Thursday, August 29, 2024

DIA PERGI DENGAN TENANG

Saya dan isteri semasa mengerjakan Haji pada tahun 2007.

BERSIDANG DI JOHOR BAHRU.

Entah kenapa saya cukup gembira untuk pergi ke Persidangan Perwakilan persatuan pesara saya pada 15 hingga 17 Ogos yang lalu di satu hotel bertaraf lima bintang di Johor Bahru, Johor. Untuk kali kedua saya menawar diri untuk menjadi ketua perwakilan.

Mengetahui hotel itu mempunya kolam renang yang besar, saya telah membeli sepasang 'goggles'. Saya juga langsung tidak menganggap kerja-kerja persiapan untuk pergi ke Johor Bahru sebagai beban. Saya rasa seronok membeli tiket bas di Terminal 1 Seremban dan juga membeli tiket secara 'online' untuk perjalanan balik.

TMJ HULUR TANGAN.

Kemuncak Persidangan itu bagi saya ialah Pemangku Sultan Johor, Sultan Ismail yang lebih dikenali sebagai TMJ menghulur tangan untuk bersalam dengan saya semasa dia berangkat pulang setelah merasmikan Persidangan kami. Saya sudah dipesan supaya tidak memulakan menghulur tangan untuk bersalam dengan mana-mana pembesar negeri. Tindakan TMJ menghulur tangan amat mengejutkan saya. Saya kira tidak sampai sepuluh orang perwakilan dapat kemudahan itu.

Walau bagaimana pun, saya ada juga rasa kurang senang, seolah-olah sesuatu akan berlaku. Di perjalanan pulang pada petang 17 Ogos 2024, semasa di dalam bas, anak saya memberitahu beberapa orang jiran perempuan saya sedang menziarahi isteri saya yang sedang terlantar di rumah. 

TIDAK SIHAT.

Pada hari Isnin 19 Ogos 2024 saya demam. Keadaan badan yang lemah agak menyukarkan saya menguruskan isteri saya. Saya cuma pergi ke farmasi berhampiran rumah dan membeli ubat demam dan batuk. Tetapi di keesokan harinya 20 Ogos 2024 bila demam masih ada saya pun pergi ke klinik hanya di sebelah farmasi untuk berjumpa doktor. Kesihatan saya beransur pulih selepas itu. Di hari itu juga saya menerima panggilan telefon dari Yang Di Pertua persatuan meminta saya memanggil Mesyuarat Ahli Jawatankuasa pada petang hari Khamis 22 Ogos 2024.

Hari esoknya 21 Ogos 2024 saya menyiapkan minit mesyuarat pada bulan Julai 2024. Seperti biasa saya minta anak lelaki saya untuk datang ke rumah untuk menjaga isteri saya pada hari mesyuarat pada esoknya.

Hari Khamis 22 Ogos 2024 bermula seperti biasa. Setelah menguruskan isteri dan memberinya minum susu dan makan bubur (dia tidak boleh memakan makanan pepejal sejak beberapa bulan) dan kemudian keluar rumah untuk mencetak minit mesyuarat.

PANGGIL 999.

Bila saya pulang saya dapati keadaan isteri saya lain dari biasa. Biasanya dia akan tidur mengereng. Tetapi kali ini dia terlentang sambil mata liar memandang ke atas. Saya pun memberi dia makan bubur dan minum susu seperti jadual. Di masa itu juga dia membuat sesuatu yang jarang dia lakukan. Dia menghulur tangan dan meraba pipi saya. Saya pun menalipon anak lelaki saya supaya datang segera. Sambil itu saya memanggil Penolong Setiausaha untuk datang ke rumah dan kemudian saya serahkan minit-minit mesyuarat untuk dibawa ke pejabat. Saya mungkin tidak dapat hadir mesyuarat. Saya pun panggil 999 dan minta ambulans datang ke rumah.

Anak saya dan isteri sampai ke rumah sama dengan ambulans. Sebelum ini sudah dua kali isteri saya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar dengan ambulans. Tetapi kali ini ada sedikit kelainan. Jika sebelum ini dia terus dibawa ke wad kecemasan, kali ini dia diberi rawatan awal di dalam ambulans lagi. Saya melihat Penolong Pegawai Perubatan menghubungi Wad Kecemasan untuk bersedia menerima pesakit di Zon Merah.

28 JAM DI WAD KECEMASAN.

Di Zon Merah, seorang doktor memberitahu akan situasi isteri saya. Memandangkan faktor umur isteri, doktor menasihatkan jika jantung isteri saya berhenti dia tidak berani membuat CPR. Bimbang tulang dada akan patah. Saya pun menurunkan tanda tangan setuju.

Tetapi isteri saya akan berada di Wad Kecemasan lebih kurang selama 28 jam. Dia masuk pada lebih kurang jam 2.30 petang hari Khamis 22 Ogos 2024, tetapi hanya dimasukkan ke wad biasa pada jam 6.00 petang hari Jumaat 23 Ogos 2024. 

Saya datang ke Wad 6A Hospital Tuanku Jaafar lebih kurang jam 8.30 pagi hari Sabtu 24 Ogos 2024 untuk memberinya makan bubur dan minum susu. Dia masih tidur dan saya mengejutkannya dan memberi makanan tersebut. Tetapi saya dapati ada yang tidak kena kerana isteri saya terus menggigit sudu apabila terasa sudu itu berada dalam mulutnya. Saya terpaksa memberinya makan bubur menggunakan 'syringe'.

TIDAK SEDAR.

Kemudian isteri tidak mahu menerima makanan lagi. Bubur dan susu meleleh di tepi mulutnya. Doktor yang kebetulan berada di situ membaca kandungan oksigen isteri saya dan mendapati ia tidak naik. Tiba-tiba dada isteri berombak dan dia diberi oksigen melalu 'mask'. Kemudian doktor memberitahu keadaan isteri saya kritikal dan dia tidak sedar. Dia minta saya menghubungi ahli-ahli keluarga terdekat.

Anak-anak, cucu dan adik beradik isteri saya menziarah isteri saya yang tidak sedar itu secara bergilir. Tiba-tiba pada jam 1.50 tengah hari adik ipar saya berlari keluar wad dan meminta kami semua masuk. Isteri saya sudah menghembuskan nafas yang terakhir dan dia pergi dengan tenang. 

 

'HAJI CUMA URUSKAN MANDI DAN KAFAN"

Saya bersyukur kerana sempat memberikan makanan kepada isteri saya semasa dia masih sedar. Jika saya datang beberapa minit lewat sudah tentu dia tidak sedar lagi. Saya juga bersyukur kerana perubahannya dari sedar kepada tidak sedar dan kemudian dari tidak sedar kepada menghembuskan nafas terakhir tidak tersekat.

Saya adalah seorang Ahli Jawatankuasa Khairat taman perumahan saya. Pengerusi kami ialah seorang guru yang baru bersara dan saya sentiasa mengikuti perkembangan Jawatankuasa Khairat ini melalui WhatsApp. Selama ini dan mungkin kerana beliau masih bekerja, Pengerusi kami sering mengarahkan peraturan kerja-kerja khairat kepada pembantu-pembantunya bila ada kematian. Tetapi kali ini saya dapati dia sendiri yang membuat kerja-kerja itu.

Arahannya kepada saya ialah supaya kerja-kerja mandi dan kafan jenazah diselesikan di hospital. Kemudian dia akan mengaturkan kerja-kerja lain seperti solat jenazah dan pengkebumian. Dia tidak menanya saya di mana jenazah isteri saya hendak dikebumikan.

 

MAKAM DEKAT RUMAH SAHAJA.

Semasa jenazah isteri sedang dimandikan barulah saya bertanya Pengerusi saya itu di mana isteri saya akan disemadikan. Alangkah gembiranya saya bila dia menyebut di Makam Taman Zaitun, Jalan Sikamat, Seremban. Itu adalah Makam yang baru dibuka beberapa tahun yang lalu dan cuma terletak lebih dua kilometer dari taman perumahan kami. Ahli-ahli keluarga kami terkejut melihatkan hampirnya makam itu dari rumah kami.

Bila saya berjumpa dengan Pengerusi Khairat yang saya panggil Cikgu Nazri kemudian, dia mengesahkan apa yang saya sebut tadi. Katanya, sejak dia menerima panggilan telefon pertama dari saya, dia memegang telefon bimbitnya. Dia bimbang apa-apa panggilan dari saya dan pihak-pihak yang terlibat tidak diterima dengan segera.

Alhamdulillah Imam surau saya Ustaz Aaffandy mengetuai Solat Jenazah dan kemudian membaca Talqin di makam.  Jenazah isteri saya selamat disempurnakan pengkebumian sebelum jam 6.30 petang hari yang sama. Semua berjalan lancar.

Al Fatihah untuk isteriku tersayang Marhamah binti Othman yang dipanggil Salmah oleh keluarganya.