Monday, June 25, 2012

Berebut sebatang durian.

Saya tertarik membaca kisah perebutan sebatang durian di sebuah negara jiran. Ini mengingatkan saya mengenai perebutan sebatang durian diantara keluarga ibu saya dengan keluarga jirannya.

Arwah moyang saya dulu adalah diantara peneroka asal kampung kami di Jelebu, Negeri Sembilan. Dia berasal dari Ulu Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bersama-samanya dan selepas itu ramailah peneroka dari tempat-tempat lain di  Kuala Pilah seperti Seri Menanti dan Terachi yang meneroka kampung kami. 

Kami mengekalkan budaya Kuala Pilah seperti percakapan sampai sekarang. Walau pun kami tinggal di Jelebu, percakapan kami sebenaranya berbeza sedikit dengan percakapan penduduk Jelebu asal. 

Seperti peneroka biasa, arwah moyang diikuti oleh arwah datuk saya menanam pokok-pokok buahan seperti durian, manggis, rambutan dan langsat di tanah kampung kami yang subur. Sehingga sekarang durian dari Jelebu, terutama dari kampung kami adalah yang terbaik di Negeri Sembilan. 

Apabila telah ramai peneroka di kampung kami tanah-tanah perlu disempadankan secara sah. Dari itu sebatang dari pokok durian yang ditanam oleh datuk saya itu termasuk dalam sempadan tanah jiran kami. Tanah moyang saya pula telah bertukar nama kepada mula-mulanya nenek saya, kemudian kepada ibu saya. 

Semasa penerokaan asalnya kampung kami hanya mempunyai jalan untuk berjalan kaki dan berbasikal sahaja. Kemudian apabila kerajaan membina jalan untuk kampung kami, sebahagian dari tanah orang-orang kampung terpaksa diambil untuk dijadikan jalan dan rezabnya. 

Pokok durian sebatang yang ditanam oleh arwah datuk saya dan kemudian didapati berada dalam tanah jiran sekarang turut terlibat dalam pengambilan tanah oleh kerajaan. Tetapi nasibnya baik sedikit kerana ia tidak perlu ditebang atau disodok jentolak, kerana berada di tepi jalan.

Keluarga saya memberi nama kepada pokok-pokok durian kami. Antaranya Durian Kundang kerana ia terletak di sebelah pokok kundang. Ada durian kami panggil Durian Besar kerana buahnya amat besar dan saya belum pernah melihat mana-mana buah durian yang lebih besar darinya. Durian Lesung terletak disebelah lesung padi yang sudah tidak ujud lagi. Di sebelah atasnya terletak Durian Darat Lesung. Ketiga-tiga Durian Besar, Durian Lesung dan Durian Darat Lesung masih berbuah sekarang dan merupakan durian terbaik dari dusun ibu saya. 



Durian yang telah bertukar pemilik itu kami beri nama Durian Jalan kerana ia berada di atas rezab jalan. Kami tahu tidak ada orang yang mempunyai hak mutlak terhadap pokok durian tersebut, tetapi jiran kami tetap mengaku durian itu kepunyaannya. 

Tetapi sedikit malang bagi jran kami kerana pokok itu kebetulan berada di sebelah rumah kami. iaitu antara tanah kami dengan jalan raya. Bila buahnya jatuh cuma orang yang bodoh sahaja yang tidak akan memperdulikannya, lebih-lebih lagi bila mengetahui pokok durian itu terletak di tanah kerajaan. Kerana kedudukannya di sebelah rumah kami, keluarga kamilah yang sering memungut buahnya untuk dimakan atau dijual. Kadang-kadang ia menggolek terus ke bawah rumah kami. Agaknya itulah yang dikatakan rezeki datang menggolek, walau pun kami tidak pernah mengakui pokok durian itu kepunyaan kami. 

Perbuatan kami ini cukup membengangkan jiran kami. Sehingga di beberapa ketika semasa buah Durian Jalan itu lebat ada anggota keluarganya sanggup menunggu berhampirannya cuma untuk memastikan kami tidak 'mencuri' buah durian yang diakui kepunyaannya. 

Agaknya Durian Jalan tidak tahan kerana menjadi punca perbalahan diantara dua keluarga berjiran. Dia merajuk dan akhirnya mati dengan sendirinya berpuluh tahun dulu sedangkan kawan-kawan sebayanya seperti Durian Besar, Durian Kudang dan Durian Lesung masih lagi tegak berdiri dan mengeluarkan buah bila musimnya tiba.

Wednesday, June 20, 2012

Sudah empat, tapi masih tak cukup.

Pos ini ialah ekoran dari pos saya sebelum ini.

Rupa-rupanya walau pun seorang penolong pengadil diletakkan berhampiran tiang gol, dia belum boleh memutuskan sama ada bola telah melintasi garisan gol. Ini terbukti malam tadi di perlawanan Euro 2012 antara Ukraine dengan England. Tayangan ulangan video jelas menunjukkan bola yang ditendang oleh  pemain Ukraine Marko Devic telah melintasi garisan gol England sebelum disepak keluar oleh pemain England John Terry. Penolong pengadil yang berada di sebelah gol hanya berdiam diri, oleh itu gol tidak diberi.

Ini mungkin kerana mata kita tidak boleh disamakan dengan lensa kamera. Contohnya kita tidak boleh melihat peluru yang ditendang keluar dari pistol, senapang atau meriam. Tetapi kamera yang mempunyai pendedahan atau 'exposure' yang tinggi boleh merakamkannya. Jika kamera bergerak atau video digunakan peluru yang laju boleh ditayang semula secara perlahan.

Situasi yang sama boleh kita lihat di sukan tennis. Kadang-kadang bola yang disebut keluar atau 'out' oleh penjaga garisan sebenarnya tidak keluar setelah ditayang semula menggunakan alat canggih yang dipanggil 'Hawk-Eye'.

Nampaknya teknologi video akan diperkenalkan di sukan bolesepak tidak lama lagi.



 

Sunday, June 17, 2012

Dulu hanya dua, sekarang dah jadi empat.

Penolong Pengadil atau Assistant Referees untuk sukan bolasepak pernah dipanggil Penjaga Garisan atau Linesmen sahaja. Tugas utama mereka ialah untuk memastikan sama ada bola sudah keluar padang atau tidak. Satu lagi tugas mereka yang tidak kurang penting ialah untuk menentukan mana-mana pemain itu dalam keadaan 'offside' atau sebaliknya.

Oleh kerana setahu saya perkataan 'offside' hanya digunakan dalam sukan bolasepak ramai dari kita di Malaysia ini yang tidak faham mengenainya. Saya sudah lama tidak melihat bolasepak di padang atau stadium. Tetapi semasa muda-muda dulu dan sering ke padang dan stadium (yang cuma terletak 300 meter dari rumah saya) saya sering terdengar penonton menjerit 'OUTSIDE, REFEREE!'. Terfikir dalam hati saya, penonton ini tidak dapat membezakan antara 'offside' dengan 'outside' bagaimana dia hendak tahu apa yang dimaksudkan 'offside' dalam perlawanan bolasepak. 

Selain dari itu penjaga garisan juga dikehendaki menentukan sama ada bola sudah melintasi garisan belakang untuk menentukan tendangan gol (goal kick) dan tendangan sudut (corner kick). 

Tetapi yang sering menimbulkan kontroversi ialah sama ada bola sudah betul-betul melintasi garisan gol untuk menentukan gol atau tidak. Oleh kerana penjaga garisan dikehendaki berada di belakang garisan tepi, agak susah baginya untuk menentukan situasi ini. Pangadil pula, walau pun berada di hadapan gol, agak susah juga untuk memberi penentuan, terutama jika bola berada di udara.

Kemudian nama penjaga garian atau 'linesman' telah ditukar kepada penolong pengadil atau 'assistant referee' untuk memberi sedikit kehormatan agaknya, walau pun tugas mereka tetap sama.

Ada cadangan menggunakan teknologi video untuk menentukan situasi bola melintasi garisan atau tidak, tetapi pihak berkuasa bolasepak atau FIFA menolaknya atas alasan utama tidak mahu permainan asyik terhenti. 

Ekoran itu saya amat gembira melihat di perlawanan bolasepak Euro 2012 yang sedang berjalan di Poland dan Ukraine terdapat empat orang penolong pengadil. Dua orang penolong berada di belakang garisan tepi memegang bendera dan dua orang lagi di belakang garisan gol memegang satu alat seperti walkie talkie. Penolong di belakang gol inilah yang lebih berkedudukan menentukan sama ada bola telah melintasi garisan belakang untuk situasi tendangan gol, tendangan sudut dan yang amat penting menentukan bola telah melintasi garisan gol untuk gol dikira atau tidak. 

Saya tidak tahu bagaimana idea meletakkan penolong pengadil di belakang garisan gol ini timbul. Jika idea ini datang dari Persekutuan Bolasepak Eropah atau UEFA pujian patut diberi kepada mereka. 

Tidak seperti persatuan bolasepak Malaysia atau FAM yang terkenal bukan kerana mutu bolasepak kita, tetapi kerana kontroversi gantung menggantung antara pegawai. Pegawai-pegawai bolesepak kita bukan hendak menaikkan mutu bolasepak negara, tetapi hanya ingin berada di situ untuk mendapat kemudahan sampingan. Sebagai contoh sudah tentu ada di antara mereka sekarang berada di Poland atau Ukraine untuk makan angin dengan ditaja. Bukan untuk memajukan sukan untuk negara.     

Sunday, June 10, 2012

Salah siapa?


Saya selalu melalui jalan di atas yang merupakan satu jalan pintas. Pada mulanya tidak ramai yang tahu akan keujudannya. Tetapi lama kelamaan ramai juga yang tahu, termasuk pemandu kenderaan berat. Ini telah menimbulkan masalah. Pertama, terdapat satu jambatan kecil di laluan ini yang memuatkan satu laluan kenderaan sahaja setiap masa. Di lain perkataan kenderaan tidak boleh selisih atau memotong di atas jambatan ini. Kedua, jambatan ini mungkin tidak kuat untuk menampung kenderaan berat. Lebih-lebih lagi ia melintasi landasan keretapi.   

Ekoran itu satu palang telah dibina untuk menghalang kenderaan berat dan tinggi melalui jalan ini. Saya tidak tahu sama ada palang ini dibuat oleh pihak berkuasa atau orang persendirian. Saya pun amat gembira kerana jalan tidak sesak lagi dan saya tidak payah berhenti lama untuk memberi laluan kepada kenderaan bertentangan di atas jambatan sempit itu. Tetapi semalam saya perhatikan palang itu telah 'terangkat' di bahagian tengah. Tekaan permulaan saya ialah satu jentera seperti 'JCB' telah 'mengangkat' palang itu untuk melintasinya dan secara tidak langsung memberi peluang kepada kenderaan berat lain melaluinya semula.

Dalam perjalanan balik saya dapat jawapannya. Palang itu sebenarnya dilanggar oleh sebuah kenderaan berat yang tidak sedar tentang kehadirannya, sehinggakan satu tiang bersama tapak konkritnya tercabut keluar.

Kemudian saya bertanya kenapa ini boleh berlaku? Jawapannya ialah tidak ada apa-apa tanda amaran diletakkan di kedua-dua haluan sebelum palang itu untuk memberitahu keujudannya. Besar kemungkinan palang itu telah dilanggar di waktu malam.

Perkara seperti ini bukan satu yang baru dalam negara kita. Berapa kali kita kereta kita melambung apabila menempoh bonggol jalan yang tiba-tiba berada di hadapan kita? Pernah dahulu kereta seorang kawan saya telah pecah kotak minyak hitamnya kerana terlanggar bonggol jalan dalam pembinaan. Ini kerana tidak ada papan amaran dibina sebelum bonggol itu untuk memberitahu tentang keujudannya. 

Saya tidak tahu apa terjadi kepada pemandu yang melanggar palang di atas. Tetapi sebenarnya dia berhak untuk mendakwa pihak berkuasa kerana kerosakan kepada kenderaannya atau kecederaan kepada dirinya atau kedua-dua sekali, jika ada.      

Wednesday, June 6, 2012

"Sultan ada di kedai saya sekarang" - Bahagian 2

Saya sertakan di sini gambar-gambar kedatangan rombongan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Darul Takzim, Sultan Ibrahim Ismail ke pekan Panchor Muar dan seterusnya ke kedai sahabat saya Hj Masjuki Hj Ramli. Terima kasih banyak-banyak kepada Naza Masjuki, sudah tentu anak kepada Hj. Masjuki kerana membenarkan saya menggunakan gambar-gambar ini.  

Rombongan DYMM Sultan datang dari arah Bandar Muar melalui Sungai Muar.

Sudah hampir. Kalau tak salah saya bot paling kiri ialah bot Polis.

Berlabuh di jeti Panchor. 

Rombongan Tuanku berjalan di pekan Panchor.

Haji Majuki mula menyambut Tuanku. 

"Selamat berjumpa kembali, Tuanku"

Tersenyum riang di sebelah Tuanku.

"Dipersilakan duduk, Tuanku" (apa bahasa diraja untuk 'duduk'?)

Di meja ini jugalah saya, isteri dan dua orang anak anak duduk di petang hari yang sama. Saya duduk di kerusi putera Tuanku (bertopi hitam). Isteri saya duduk di kerusi Tuanku.

Bukan sebarang orang boleh memegang bahu Tuanku!

"Jengok-jengoklah kami di sini, Tuanku"

Di depan restoran Haji Masjuki.

Rombongan DYMM bersedia untuk bertolak ke arah hulu Sungai Muar. Sungai Muar bermula dari Gunung Angsi yang memisahkan daerah Kuala Pilah dengan Seremban di Negeri Sembilan. 

Selamat jalanm Tuanku.



Monday, June 4, 2012

"Sultan ada di kedai saya sekarang"

Hj. Masjuki di Terminal Haji Jeddah pada 30 Disember 2007. Yang bertudung merah jambu ialah isternya.

Semalam 3 Jun 2012 saya menghantar anak saudara isteri saya berkahwin di Batu Pahat, Johor. Kami bertolak dari kampung isteri saya di Merlimau, Melaka. Dalam perjalanan balik saya bercadang untuk berjumpa dengan seorang kawan saya yang tinggal sebilik dengan saya di Makkah, Arab Saudi semasa kami sama-sama mengerjakan Haji pada penghujung tahun 2007 dahulu.

Pagi semalam saya pun menaliponnya untuk menyampaikan hajat saya. Tetapi dia menjawab tidak dapat bercakap lama dengan saya. Alasannya ialah "Sultan ada di kedai saya sekarang". Sultan yang di maksudkan ialah Sultan Johor Darul Takzim, DYMM Sultan Ibrahim Ismail.

Di Batu Pahat saya menaliponnya sekali lagi untuk mengesahkan niat saya. Kawan saya ini bernama Hj. Masjuki yang mengusakan satu restoran di pekan Panchor, Muar. Panchor pula terletak beberapa kilometer sahaja dari Lebuhraya Utara Selatan melalui Persimpangan Pagoh. Sejak mengenali Hj. Masjuki semasa mengerjakan Haji saya telah melalui bahagian Lebuhraya ini beberapa kali, tetapi baru kali ini saya dapat bertemu semula dengannya.

Memang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail sering singgah di restoran Hj. Masjuki. Ini dibuktikan dari beberapa keping gambar baginda semasa singgah di kedai Hj. Masjuki sebelum ini. Sayang sekali saya lupa untuk mengambil gambar saya sendiri di kedai ini.

Pekan Panchor terletak betul-betul bersebelahan Sungai Muar dan ia sering dilanda banjir. Saya sempat berseluruh dengan Hj. Masjuki dengan mengatakan air hujan yang membanjirkan Sungai Muar datangnya dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan kerana di situlah mulanya Sungai Muar.

Cuma Hj. Masjuki menyampaikan berita sedih bahawa isteri keduanya yang pergi bersama-samanya  mengerjakan Haji pada tahun 2007 itu sudah meninggal dunia. Itu di atas gambar Hj. Masjuki dengan isterinya yang saya ambil di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Aziz (KAIA) Jeddah, Arab Saudi sementara menunggu untuk dipanggil menaiki pesawat. Isteri Hj. Masjuki yang bertudung merah jambu.