Sunday, June 17, 2012

Dulu hanya dua, sekarang dah jadi empat.

Penolong Pengadil atau Assistant Referees untuk sukan bolasepak pernah dipanggil Penjaga Garisan atau Linesmen sahaja. Tugas utama mereka ialah untuk memastikan sama ada bola sudah keluar padang atau tidak. Satu lagi tugas mereka yang tidak kurang penting ialah untuk menentukan mana-mana pemain itu dalam keadaan 'offside' atau sebaliknya.

Oleh kerana setahu saya perkataan 'offside' hanya digunakan dalam sukan bolasepak ramai dari kita di Malaysia ini yang tidak faham mengenainya. Saya sudah lama tidak melihat bolasepak di padang atau stadium. Tetapi semasa muda-muda dulu dan sering ke padang dan stadium (yang cuma terletak 300 meter dari rumah saya) saya sering terdengar penonton menjerit 'OUTSIDE, REFEREE!'. Terfikir dalam hati saya, penonton ini tidak dapat membezakan antara 'offside' dengan 'outside' bagaimana dia hendak tahu apa yang dimaksudkan 'offside' dalam perlawanan bolasepak. 

Selain dari itu penjaga garisan juga dikehendaki menentukan sama ada bola sudah melintasi garisan belakang untuk menentukan tendangan gol (goal kick) dan tendangan sudut (corner kick). 

Tetapi yang sering menimbulkan kontroversi ialah sama ada bola sudah betul-betul melintasi garisan gol untuk menentukan gol atau tidak. Oleh kerana penjaga garisan dikehendaki berada di belakang garisan tepi, agak susah baginya untuk menentukan situasi ini. Pangadil pula, walau pun berada di hadapan gol, agak susah juga untuk memberi penentuan, terutama jika bola berada di udara.

Kemudian nama penjaga garian atau 'linesman' telah ditukar kepada penolong pengadil atau 'assistant referee' untuk memberi sedikit kehormatan agaknya, walau pun tugas mereka tetap sama.

Ada cadangan menggunakan teknologi video untuk menentukan situasi bola melintasi garisan atau tidak, tetapi pihak berkuasa bolasepak atau FIFA menolaknya atas alasan utama tidak mahu permainan asyik terhenti. 

Ekoran itu saya amat gembira melihat di perlawanan bolasepak Euro 2012 yang sedang berjalan di Poland dan Ukraine terdapat empat orang penolong pengadil. Dua orang penolong berada di belakang garisan tepi memegang bendera dan dua orang lagi di belakang garisan gol memegang satu alat seperti walkie talkie. Penolong di belakang gol inilah yang lebih berkedudukan menentukan sama ada bola telah melintasi garisan belakang untuk situasi tendangan gol, tendangan sudut dan yang amat penting menentukan bola telah melintasi garisan gol untuk gol dikira atau tidak. 

Saya tidak tahu bagaimana idea meletakkan penolong pengadil di belakang garisan gol ini timbul. Jika idea ini datang dari Persekutuan Bolasepak Eropah atau UEFA pujian patut diberi kepada mereka. 

Tidak seperti persatuan bolasepak Malaysia atau FAM yang terkenal bukan kerana mutu bolasepak kita, tetapi kerana kontroversi gantung menggantung antara pegawai. Pegawai-pegawai bolesepak kita bukan hendak menaikkan mutu bolasepak negara, tetapi hanya ingin berada di situ untuk mendapat kemudahan sampingan. Sebagai contoh sudah tentu ada di antara mereka sekarang berada di Poland atau Ukraine untuk makan angin dengan ditaja. Bukan untuk memajukan sukan untuk negara.     

No comments: