Sunday, June 10, 2012

Salah siapa?


Saya selalu melalui jalan di atas yang merupakan satu jalan pintas. Pada mulanya tidak ramai yang tahu akan keujudannya. Tetapi lama kelamaan ramai juga yang tahu, termasuk pemandu kenderaan berat. Ini telah menimbulkan masalah. Pertama, terdapat satu jambatan kecil di laluan ini yang memuatkan satu laluan kenderaan sahaja setiap masa. Di lain perkataan kenderaan tidak boleh selisih atau memotong di atas jambatan ini. Kedua, jambatan ini mungkin tidak kuat untuk menampung kenderaan berat. Lebih-lebih lagi ia melintasi landasan keretapi.   

Ekoran itu satu palang telah dibina untuk menghalang kenderaan berat dan tinggi melalui jalan ini. Saya tidak tahu sama ada palang ini dibuat oleh pihak berkuasa atau orang persendirian. Saya pun amat gembira kerana jalan tidak sesak lagi dan saya tidak payah berhenti lama untuk memberi laluan kepada kenderaan bertentangan di atas jambatan sempit itu. Tetapi semalam saya perhatikan palang itu telah 'terangkat' di bahagian tengah. Tekaan permulaan saya ialah satu jentera seperti 'JCB' telah 'mengangkat' palang itu untuk melintasinya dan secara tidak langsung memberi peluang kepada kenderaan berat lain melaluinya semula.

Dalam perjalanan balik saya dapat jawapannya. Palang itu sebenarnya dilanggar oleh sebuah kenderaan berat yang tidak sedar tentang kehadirannya, sehinggakan satu tiang bersama tapak konkritnya tercabut keluar.

Kemudian saya bertanya kenapa ini boleh berlaku? Jawapannya ialah tidak ada apa-apa tanda amaran diletakkan di kedua-dua haluan sebelum palang itu untuk memberitahu keujudannya. Besar kemungkinan palang itu telah dilanggar di waktu malam.

Perkara seperti ini bukan satu yang baru dalam negara kita. Berapa kali kita kereta kita melambung apabila menempoh bonggol jalan yang tiba-tiba berada di hadapan kita? Pernah dahulu kereta seorang kawan saya telah pecah kotak minyak hitamnya kerana terlanggar bonggol jalan dalam pembinaan. Ini kerana tidak ada papan amaran dibina sebelum bonggol itu untuk memberitahu tentang keujudannya. 

Saya tidak tahu apa terjadi kepada pemandu yang melanggar palang di atas. Tetapi sebenarnya dia berhak untuk mendakwa pihak berkuasa kerana kerosakan kepada kenderaannya atau kecederaan kepada dirinya atau kedua-dua sekali, jika ada.      

No comments: