Tuesday, March 27, 2012

Berjiran tetapi tidak bertegur sapa.

Asalnya bangunan ini ialah asrama Rumah Temenggong, SDAR. Sekarang menjadi Bangunan Yusuf Aziz, UPSI.

Jika tekaan saya betul, Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) yang sekarang terletak di Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan mempunyai rekod sebagai sekolah yang paling banyak kali berpindah.

SDAR mula ditubuhkan di Bukit Zaharah, Johor Bahru, Johor pada 1 Mei 1956. Di tahun yang sama juga saya memasuki dunia persekolahan. Pada awal tahun 1957 ia berpindah ke Ipoh, Perak. Pada bulan Mei tahun yang sama ia menumpang di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjong Mallim, Perak. Pada 5 Januari 1958 ia berpindah ke kompleks sendiri di sebelah MPSI. Pada 1 Januari 1972 ia berpindah ke Jalan Sikamat, Seremban dan akhirnya pada 1 Januari 2002 ia berpindah ke kampusnya di Sungai Gadut, Seremban. (Bahan-bahan ini saya dapati dari buku Lakaran SDAR dan buku cenderamata Sdara Dinner 2012).

Kompleks SDAR di Tanjong Malim, Perak telah diambil alih oleh MPSI yang kemudiannya menjadi Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dan akhirnya dikenali sekarang sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kompleks SDAR di Jalan Sikamat, Seremban pula telah menjadi Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir atau lebih dikenali sebagai SASER.

Saya anggap diri saya bernasib baik kerana pernah belajar di SDAR. Saya di SDAR Tanjong Malim dari 14 Februari 1962 (Hari Valentine)  sehingga bulan Disember 1967. Saya ada terbaca mengenai sejarah UPSI yang menerangkan mengapa tapak di Tanjong Malim dipilih untuk didirikan satu maktab perguruan untuk melatih guru-guru lelaki. Kerajaan British yang memerintah Malaya di masa itu mahukan satu tapak yang terletak di tengah-tengah Malaya, berdekatan dengan pekan, stesen keretapi dan sungai. Dari itu satu tapak di Tanjong Malim bersebelahan dengan Sungai Bernam yang memisahkan negeri-negeri Perak dan Selangor telah dipilih. Maktab itu kemudiannya dinamakan Sultan Idris Teachers College atau SITC. Pada tahun 1957 ia dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris atau MPSI.

Oleh kerana SDAR pernah terletak disebelah MPSI saya juga turut merasa tinggal di sekolah berasrama penuh (SBP) yang terletak dekat dengan pekan, stesen keretapi dan sungai. Kami ke pekan Tanjong Malim hanya dengan berjalan kaki. Kami merentas desa (cross country) bersebelahan dengan Sungai Bernam. Sehinggakan kami menubuhkan satu kelab bernama Canoe Club dan berkayak di sungai tersebut.

Di Tanjong Malim kakitangan MPSI dan SDAR tinggal berjiran di sekeliling kedua-dua institusi. Tidak dapat ditentukan yang mana satu kuarters untuk kakitangan MPSI atau SDAR. Oleh itu terdapat kes di mana kuaters seorang guru SDAR diapit oleh dua kuaters pensyarah MPSI. Kakitangan bawahan seperti tukang kebun dan tukang masak dapur asrama kedua-dua instituti juga tinggal berjiran. Dari itu juga kami tidak dapat menentukan remaja lelaki dan perempuan yang lalu lalang di sebelah sekolah kami itu ialah anak pekerja MPSI atau SDAR.

Tetapi bagaimana rapatnya hubungan kejiranan kakitangan dan keluarga kedua-dua institusi, ia tidak diterjemahkan kepada hubungan antara pelajar. Hubungan diantara pelajar MPSI dengan SDAR adalah dingin walau pun ada asrama kami yang terdiri bersebelahan tanpa apa-apa pemisah seperti pagar dan sebagainya. Kedudukan padang sekolah kami pelik juga, kerana untuk pergi ke sana kami terpaksa berjalan di hadapan kompleks MPSI. Dalam perjalanan itu kami tidak indahkan mereka dan mereka juga tidak kisahkan kami.

Apabila berjumpa di pekan kecil Tanjong Malim dihujung minggu kami tidak bertegur sapa, melainkan jika terjumpa orang sekampung. Di pekan itu ada kedai yang menjadi kesukaan penuntut SDAR dan ada kedai yang menjadi kesukaan bakal-bakal guru tersebut. Jika kami menonton wayang di dua pawagam di pekan itu dan pekan Ulu Bernam di Selangor kami membeli tiket kelas murah dan mereka memilih kelas di belakang yang lebih selesa. Kami pergi untuk solat Jumaat di masjid yang sama, tetapi di sana kami duduk di sudut yang berlainan. 

Ada beberapa faktor yang menyebabkan hubungan dingin ini. Faktor pertama ialah perbezaan umur. Yang paling tua dari kami masih rendah umur dari yang termuda dari mereka.

Faktor kedua ialah kami sudah bosan tinggal di Tanjong Malim dan ingin tinggal di tempat lain pula. Cita-cita kami ialah untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam dan seterusnya ke universiti. Jika itu tidak tercapai kami ingin ke kolej pertanian, maktab teknik atau ke akademi polis dan tentera. Menerima latihan perguruan di MPSI ialah paling akhir dalam ingatan kami.

Faktor ketiga ialah faktor sosial. Setelah berkawan selama enam tahun dengan lelaki belaka kami ingin belajar bersama perempuan pula. Oleh itu bagi yang bercita-cita menjadi guru biarlah di institusi yang bercampur lelaki perempuan walau pun kami tahu MPSI mengeluarkan guru-guru yang bermutu dari dahulu lagi.  

Tetapi oleh kerana kami bukan kuasa penentu untuk memasuki mana-mana institusi, ada juga diantara kami yang tersangkut ke MPSI. Kami menganggap mereka ini sebagai paling malang. Biasanya bekas pelajar SDAR Tanjong Malim yang memasuki MPSI akan dibuli oleh pelajar senior mereka. Ini sebagai tindakan balas dendam penuntut MPSI kepada kami kerana memandang dingin kepada mereka.           

Sunday, March 25, 2012

Kisah satu jalan di Seremban.

Oleh kerana kerja-kerja seperti ini.

Dan keadaan sering berlaku seperti ini.

Jalan ini telah diberi jolokan ini.

Pihak berkuasa pun membaiki jalan ini dan menurapnya semula.

Tapi tunggu dulu. Sila lihat di sebelah kanan gambar itu. Itu ialah longkang untuk jalan ini yang telah dinaikkan parasnya. Saya bukan orang kejuruteraan, oleh itu saya tak berani komen. Oleh itu saya pun menghantar gambar itu ke Facebook saya dan berikut adalah antara komen yang saya terima:

Just like roads in Kuwait ... no longkang. maybe this place no rain also lah. 

seblah kanan nampak macam longkang tapi kenapa nampak longkang lebih tinggi dari jalan? 

Drainage higher than the road? 

I thought that structure is for TNB or TM to bury their cables. If that is the longkang structure, I think you really need a Civil Engineer to explain how it works. 

kut ada lubang bawah structur macam pagar tu kut...mungkin la. 

 Longkang cum road kerb? Haha 

 Longkang tu hanya untuk perangkap air turun dari bukit atas tu aje... agar tak melimpah ke jalan (marine engineer) 

Mungkin level Jalan nak dinaikkan agaknya. 

senang cerita...ini kes kontraktor tak cekap baca drawing...atau taknak tanya bila ada discrepencies... 

Ini sebenarnya adalah projek utk thn 2020....
setahun sekali resurface 2",nanti samalah ngan level longkang tu.... 

Longkang tu guna teknologi ala-ala smart-tunnel... ;-) 

maesti ada tujuan tu... di gersik ada buat lebih kurang macam ni... yang ini mungkin nak salur air dari bukit... 

kalau benda satu blunder pun mungkin jugak... sebab masa di tengganu dulu.. ada satu longkang mengalir ke bukit (bukan dari bukit)... bayangkan, macam tak percaya tapi ia berlaku. (maksudnya longakang dari kawasan yang lebih tinggi turun ke tempat rendah dan tiada outlet ke tempat rendah... hahahhaha... 

Untuk melihat komen sebenar sila  klik di sini.


Tuesday, March 20, 2012

Kampung apa ni?


Ramai orang berkata kerajaan kita hanya tahu mendirikan projek, tetapi tidak tahu menjaganya. Banyak kita lihat tandas-tandas awam yang tidak berfungsi, buaian kanak-kanak di taman permainan awam   yang putus tali atau rantai dan sebagainya. Tetapi patutkah hanya kerajaan yang patut disalahkan?

Pagi tadi saya ternampak satu lagi projek kerajaan dalam bentuk papan nama kampung, seperti gambar di atas. Walau pun ia mungkin berharga beberapa ribu ringgit sahaja, ia tetap satu projek kerajaan. Kerajaan dalam kes ini ialah kerajaan tempatan atau lebih tepat dipanggil Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT. Seperti projek-projek lain ia hendaklah diselenggara. Tetapi dari gambar di atas, jelas projek ini tidak dibuat begitu. 

Tetapai patutkah hanya PBT yang disalahkan? Mungkin nama kampung itu didirikan atas permintaan Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut. Apa salahnya JKKK memastikan papan nama kampung itu dijaga. Bukan susah sangat hendak menjaganya. Dalam kes di atas apa yang perlu dibuat ialah memastikan tidak ada apa-apa tanaman yang menghalang papan nama kampung tersebut. Oleh itu apa-apa tanaman yang tumbuh di hadapannya hendaklah dicantas.

Jika tidak ada orang kampung yang sanggup sukarela untuk berbuat demikian mana-mana ahli JKKK boleh menalipon PBT dan mereka dengan anggota dan peralatan yang cukup boleh mencantas tanaman yang menutup papan tanda nama itu dalam beberpa minit. Tidak payahlah JKKK menunggu untuk menyuarakan masalah kecil ini di mesyuarat bulanan mereka di mana wakil PBT dijemput sama. Bagaimana jika wakil PBT tidak hadir?

Dari itu tidak timbullah soalan 'Kampung apa ni?' bila sesiapa terpandang papan nama di atas?


Wednesday, March 7, 2012

Kenapa tidak selaras sepenuhnya.

Saya pernah menceritakan walaupun perkhidmatan KTM Komuter telah disambung ke Tanjong Malim,  papan kenyataan digital di Stesen KTM Rawang masih menyatakan tren hanya akan ke stesen Kuala Kubu Baharu. Kalau nak tau cerita sebenar sila klik di sini.

Pagi tadi saya ke Klinik Kesihatan Sikamat kerana temujanji ambil darah dan urine. Klinik ini baru sahaja dinaiktaraf dari Klinik Desa Sikamat. Premisnya sudah dibesarkan, ruang menunggu pun sudah besar, cuma tempat letak kereta masih sama. 

Sistem nombor giliran pun sudah berubah. Jika dulu kami diberi tiket nombor yang dikoyakkan dari satu buku kecil, kali ini kami dikehendaki menekan butang-butang tertentu dan satu tiket dengan nombor akan keluar. Cuma saya keliru kerana nombor di tiket mempunyai empat digit sedangkan nombor di papan digital cuma tiga digit sahaja.

Sebenarnya saya sudah pergi ke klinik ini pada bulan lepas untuk mengambil ubat. Saya cukup senang hati melihatkan sistem giliran baru ini. Farmasi pun sudah berpindah ke bilik yang lebih besar dan saya tidak perlu menunggu lama. Papan kenyataan digital pun sudah berubah dari LED kepada LCD.

Tetapi saya terkejut pagi tadi apabila melihat papan kenyataan untuk bilik mengambil darah dan urin masih yang lama, masih LED dan masih mempunyai tiga digit, sedangkan nombor di tiket sudah ditukar kepada empat digit. Juga tidak ada apa-apa bunyi yang terdengar apabila nombor bertukar. Terpaksa pula seorang staf diluar menyebut 'nombor 7012' apabila papan LED menunjukkan nombor 012. Staf di dalam bilik ambil darah dan urin pula terpaksa menyebut nama pesakit jika ia terlewat masuk. 

Apabila klinik ini dinaiktaraf kenapa sistem tidak dinaik taraf sepenuhnya?

Sila tekan butang untuk dapatkan tiket.

 Papan kenyataan LCD baru.

Tiket dengan nombor empat digit

Tetapi kenapa papan LED dengan nombor tiga digit masih ada?

Saturday, March 3, 2012

Satu Petang di Pertang - Menerima BR1M Bahagian 2

Saya diminta oleh ibu saya untuk menghantarnya ke pekan Pertang, Jelebu untuk menerima baucar Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M)nya. Saya pun dengan senang hati menghantarnya. Sebenarnya saya ingin   melihat jika ada apa-apa perbezaan cara pemberian baucar yang sama seperti yang saya alami di Seremban. Tambahan lagi saya sudah berpuluh tahun tidak singgah di pekan kecil ini, walau pun ia adalah pekan untuk kampung saya.   

Inilah sepanduk untuk acara ini.



Orang ramai beratur mendaftar. Program diadakan di padang pekan ini.

Saluran mereka sudah ditentukan, oleh itu tidak mungkin sesiapa mendaftar lebih dari sekali.

Staf Pejabat Daerah Jelebu di meja pendaftaran.

Meja peserta sudah ditentukan mengikut nombor pendaftaran.

Kerusi pun sudah ditentukan.

Sementara menunggu tetamu khas kami dihiburkan oleh kumpulan muzik ini.

Termasuk nyanyaian dari penyanyi jemputan berbangsa Cina ini yang menyanyi lagu-lagu Melayu dan Cina.

Peserta yang sudah mendaftar duduk di meja dan kerusi yang ditetapkan.

Lagi peserta, ini orang-orang kampung saya.

Tetamu khas Dato' Seri Utama Rais Yatim, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, juga Ahli Parlimen Jelebu sudah sampai.

Tarian kebudayaan sebelum acara bermula.

Dato' Razak Mansor, ADUN Pertang yang juga Yang DiPertua Dewan Udangan Negeri Sembilan memberi ucapan aluan.

Giliran Dato' Seri Utama pula berucap.

Selepas ini mereka minum teh tinggi. Saya mengambil kesempatan ini untuk merayau di pekan Pertang.

Pokok papaya yang hidup subur di tepi Sungai Pertang.

Inilah pekan Pertang. Jangan keliru dengan pekan Simpang Pertang, lebih kurang 6 km jauhnya menghala ke Kuala Pilah.

Rupa-rupanya ada Pasukan Bomba Sukarela di pekan ini.

Makan sudah, sekarang tiba masa untuk mengagihkan baucar BR1M. Dato' Seri Rais menyerahkan separuh dari baucar.

Dato' Razak pula menyerahkan lagi separuh. Ini ibu saudara saya.

Ini dia ibu saya menerima baucar BR1M dari Dato' Razak.

Setelah menerima baucar mereka beratur pula untuk mendapatkan wang tunai. 

Saya dan ibu tidak menunggu untuk menunaikan baucar. Tiba pula giliran mana-mana adik saya untuk membawa ibu ke bank untuk menunaikan baucar BR1Mnya.