Sunday, August 29, 2010

Kalau sudah takdir berjumpa juga.

Dari kiri tuan rumah Anuar, Shuib, Yahya dan Zamri. Yahya datang dari Pontian, Johor.


Permulaan bacaan Tahlil di ruang tamu rumah Anuar.


Antara tetamu termasuk juga jiran-jiran Anuar.

Kawan-kawan sekolah saya di Melaka ada menjemput saya ke Majlis Berbuka Puasa mereka pada hari Sabtu 28 Ogos 2010. Saya pada mulanya bersetuju, dan berjanji untuk pergi dengan dua orang junior saya iaitu Zamri dari Seremban 2 dan Shuib dari Kuala Lumpur. 

Tiba-tiba surau saya bercadang untuk mengadakan program Khatam Quran dan berbuka puasa di waktu yang sama sedangkan kami sudah bersetuju berbuka puasa pada tiap-tiap hari Ahad di bulan Ramadan. Saya pun membatalkan hasrat untuk pergi ke Melaka. Rupa-rupanya Zamri pun ada program lain di waktu yang sama dan nampaknya kawan kami Shuib akan ke Melaka seorang diri.

Semasa di surau untuk solat Isya' dan Tarawikh pada hari Khamis 26 Ogos 2010 ahli-ahli jawatankuasa surau diminta menunggu selepas solat Tarawikh untuk mesyuarat. Oleh kerana letih saya tidak tinggal untuk mesyuarat dan tidak tahu apa yang diputuskan. Sebelumnya saya diberitahu ramai orang-orang kuat surau tidak dapat hadir untuk Majlis Khatam Quran dan berbuka puasa seperti dirancang kerana balik kampung.

Saya tidak ke surau pada hari Jumaat 27 Ogos 2010 dan masih tidak tahu apa yang diputuskan semasa mesyuarat. Sudah tentu apa-apa keputusan yang melibatkan semua jemaah diberitahu di sana, termasuk sama ada hendak meneruskan Majlis Khatam Quran dan berbuka puasa di hari yang sudah ditentukan. Di waktu yang sama saya mendapat tahu Zamri dapat juga pergi ke Melaka.

Pada pagi Sabtu 28 Ogos 2010 saya pun meninjau ke surau yang jelas nampak dari rumah saya dan hairan melihatkan tiada apa-apa aktiviti di sana. Sebelumnya ada aktiviti bacaan Ya Siin dan Tahlil muslimah. Sepatutnya sudah bermula aktiviti masak-memasak.

Tiba-tiba lalu seorang jemaah surau berjalan kaki dari surau pulang ke rumahnya. Setelah memberi salam saya memberitahunya kehairanan saya mengenai tiada aktiviti di surau. Dia terus memberitahu Majlis Khatam Quran dan berbuka puasa ditangguhkan ke hari Selasa 31 Ogos 2010. Ini telah diputuskan di mesyuarat baru-baru ini dan dihebahkan semalam. 

Saya pun terus menghubungi Zamri dan menyatakan dapat pergi ke Melaka. Program ke Melaka berjalan lancar. Saya dan Shuib meletakkan kereta di Hospital Columbia di Oakland, Seremban dan menaikki Mercedes Zamri ke Melaka.

Program di Melaka diadakan di rumah seorang sahabat kami Anuar. Walau pun kurang sihat Anuar tetap berusaha mengikuti program murid-murid tua sekolah kami terutama di Melaka. Saya rasa dengan berjumpa dengan kawan-kawan lama menaikkan semangat Anuar. Oleh itu tepatlah program berbuka puasa kali ini diadakan di rumah beliau.

Program bermula dengan bacaan Tahlil yang diketuai oleh 'Penghulu' murid-murid tua kami di Melaka Muhamad Abdullah yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Setelah berbuka puasa kami bersolat Maghrib berjemaah di Balai Raya bersebelahan rumah Anuar. Selepas makan kami bersolat jemaah Isya' pula. Kemudian kami meminta izin untuk balik ke Seremban dan Kuala Lumpur. Kawan-kawan di Melaka meneruskan program dengan bersolat Tarawikh.

Di sana saya gembira melihat Shuib yang sekarang menetap di Kg. Baru Kuala Lumpur bercakap lohghat Negeri Sembilan dengan Anuar dan 'Penghulu' Muhammad. Kedua-dua Shuib dan Anuar berasal dari Rembau, Negeri Sembilan. 

Mengenang kembali perjumpaan kami saya terfikir saya mempunyai dua peluang untuk mengetahui program surau saya ditangguhkan. Pertama semasa mesyuarat jawatankuasa surau pada 26 Ogos 2010 dan kedua semasa solat Isya' dan Tarawikh pada 27 Ogos 2010. Saya tidak hadir di ke dua-duanya.

Tetapi takdir memihak kepada saya pagi semalam apabila saya berada di hadapan rumah saya dan bercakap dengan seorang jemaah surau yang kebetulan lalu di hadapan rumah.     

Thursday, August 26, 2010

Berbuka puasa di surau.

Surau saya mengadakan program berbuka puasa tiap-tiap hari Ahad. Di bawah ialah gambar-gambar kami berbuka puasa pada 22 Ogos yang lalu. Kami berbuka puasa di bangunan ruang makan, dapur dan setor kami yang hampir siap. Saya ditugaskan menyelia kerja-kerja membina bangunan ini. Satu hari seorang Cina turun dari lorinya dan bertanya "Ini kantin kah?". Saya jawab "Ya lah tu." Dia beri kadnya dan berkata jika hendak air batu telefonlah dia.


Ambil makanan dulu. Imam Besar kami yang berbaju hitam itu masih relaks lagi.


Lihatlah kolam tebatan banjir di belakang kantin ini.


Makanan dibawa secara 'pot luck.' Saya bawa 'sandwich' sahaja.


Cara ini lebih baik dari berbuka puasa di hotel. Makanan di sini di jamin halal.


Kaum wanita di letakkan di satu khemah khas antara surau dengan kantin.


'Apo cito tu Pin? Oghang dah nak bobuko ni!' Gunung di belakang tu ialah Gunung Angsi.

Wednesday, August 25, 2010

Saya dengar lain ceritanya.

Saya merujuk kepada pos saya dua hari yang lepas mengenai satu surau disimbah cat merah dan dilempar botol arak. Hari ini kita baca di akhbar-akhbar mengenai penjelasan Polis mengenai perkara tersebut. Empat remaja berumur 16 hingga 18 tahun telah direman kerana disyakki terlibat.

Mereka kononnya membalas dendam kerana ditegur bermain mercun dan bunga api berhampiran surau. Siapa yang selalu main mercun dan bunga api di bulan Ramadan? Siapa putus jari di bulan Ramadan? Siapa buta sebelah mata di bulan Ramadan? Siapa tercmpak ke atas pokok di bulan Ramadan? Jawapannya budak Melayu Islam. Jadi dalam kes ini tentu ramai dari kita menyangka remaja Melayu yang terlibat.

Tetapi apa yang saya dengar di kes surau ini lain ceritanya. Memang benar anak-anak Melayu pun main mercun dan bunga api berhampiran surau. Tetapi ada lagi sekumpulan budak-budak bukan Melayu yang bermain benda yang sama berhampiran.  

Setakat ditegur adakah kita sanggup menyimbah cat keatas surau? Baling pulak dengan botol-botol arak yang kosong. Cat kena beli di kedai 'hardware.' Lepas tu beli pula arak dalam botol. Dalam kes ini beer. Kalau tak minum rugi. Cukuplah surau kena simbah cat, tak payah disimbah beer.

Apa yang saya dengar remaja yang terlibat bukan setakat ditegur. Ada 'physical contact' kata orang putih.

Tuesday, August 24, 2010

A tale of two suraus.

Our surau.

Their surau.

Today in almost every newspaper in the country we read about a surau in Seremban being splashed with red paint and thrown with empty liquor bottles. The reporters came late and by the time they came the bottles had been taken by the Police. I was fortunate to pass by that particular surau yesterday morning and I took some photographs. The bottles were beer bottles. I wrote a story about that incident in my previous post.

That splashed surau is only about 500 meters away from my surau. The surau is not 'mine' in the sense that it was not built with my money. But I use the word 'mine' anyway because that's where I perform my prayers nowadays.

When I performed my Haj pilgrimage almost three years ago I was challenged by my religious teacher or Ustaz stationed at my hotel. He said if we could walk to the Masjidil Haram in Makkah which is situated about 800 meters from our hotel to perform our prayers why don't we do the same thing at home. So when I returned home I disciplined myself to perform my prayers at my housing estate's surau. 

The surau then was a temporary one. A few of my neighbours were brave enough to rent a double story link house and turned it to a surau. Of course this surau had its limitations. Not many people could use it at the same time. When occasionally we had functions like the Holy Prophet Muhammad's birthday we had to close the road in front of the surau to accommodate the extra patrons.

We knew that we could not rent the house forever. We had plans to built a proper surau. Fortunately our housing developer had reserved a plot of land for this purpose. An application was made to the State Government for them to give us a surau. Meanwhile we had Plan B. We appointed a few professional donation collectors to raise money for us. In case our application to the State Government being rejected we could still build the surau on our own. In the mean time we had regular prayers in the wish that our dreams would materialise.

Until the beginning of the year we received no positive news from the authorities. It was then decided that we were going to build the surau on our own. Suddenly out of nowhere we received news that the State Government had approved our application. Construction would start in April 2010 and the surau would be ready in two months.

Unknown to us the people in our neighbouring housing estate were also having similar plans of their own. Suddenly on 1st April 2010 they started the construction of their surau. We later learned that it was build according to their Plan B, meaning they were building on their own.

A few days later construction of our surau started. Suddenly two suraus about 500 meters apart were being build simultaneously. A few outsiders who were unfamiliar with the local geography were puzzled why two suraus of very close proximity to each other were being built at the same time. We had to explain the situation every time.

At the beginning it looked like their construction was faster than ours. On my part, since I was jobless I attended to the construction of our surau almost every day. But in the end, like the hare and tortoise race we beat them. We started using our new surau on 1st July 2010 while they only started using their surau 23 days later.

It is obvious just by looking at the above photographs their surau costs more than our surau. But the value of a religious institution like a surau is not based on the cost of construction. It is from the patronisation of it by the people. In this case I can proudly say our surau is patronised better than theirs.

What now? With the money collected from donations our surau is going to the second construction phase. There is no Plan A or Plan B here. We had almost completed building our dining hall cum kitchen cum store for our surau. For this part the surau committee had appointed me as the project supervisor. I had to report about the construction progress now and then.

As for the other surau somebody splashed it with red paint and thrown empty beer bottles in the early hours of yesterday. Who they were and for what purpose was not known by the time I wrote this post. About an hour ago I passed by the surau. The splashed surfaces had been cleaned. Undercoat paint had been applied to the affected masonry. People were digging holes around the perimeter to construct fences.     

Monday, August 23, 2010

Siapa punya angkara ini?

Surau yang disimbah cat merah.

Pandangan dekat di mana cat disimbah.

Beberapa botol arak dan serpihannya. Kenderaan itu ialah kenderaan Polis.

Semalam saya baharu sahaja bercerita mengenai surau saya. Kali ini saya terpaksa bercerita mengenai surau juga, tetapi bukan surau saya. Tetapi surau ini cuma terletak lebih kurang 500 meter dari surau saya di satu taman perumahan yang berjiran. Ia juga dibina semasa dengan surau saya. Seperti surau saya ia terletak di jalan utama dan bersebelahan dengan taman permainan kanak-kanak. Kelebihan surau saya ialah ia bersebelahan juga dengan kolam tebatan banjir. 

Pagi tadi saya berjumpa dengan Penguasa Banci saya berbincang mengenai Banci Perumahan dan Penduduk Negara yang tamat semalam. Seperti biasa saya balik melalui Jalan Temiang. Apabila sahaja saya melalui surau ini saya nampak ramai orang berkumpul. Juga saya nampak sebuah kenderaan Polis bertulis FORENSIK dan beberapa anggota Polis sedang membuat tugas dalam kawasan surau.

Fikiran saya terus teringat kepada kes bunuh seorang bekas jiran saya seperti pos saya ini. Kebetulan kes itu terjadi di bulan Ramadan juga. Saya pun terus turun dari skuter saya dan bertanya dengan seorang yang berkumpul di situ kenapa ada anggota Polis. Dia terus menunjukkan kepada surau yang disimbah cat merah. Kejadian disyaki dilakukan sebelum Subuh pagi tadi.

Selain disimbah cat surau juga dibaling dengan botol-botol kosong arak yang ditujukan kepada tingkap cermin. Cermin tidak pecah tetapi botol-botol yang berkecai. Kerosakan kepada surau cuma minima sahaja. Tidak ada bahagian yang pecah atau rosak. 

Saya berharap jemaah surau ini tidak mengambil tindakan yang di luar undang-undang. Biarlah pihak-pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menghukum siapa yang bertanggungjawab terhadap perbuatan ini.

Sunday, August 22, 2010

Bubur lambuk surau ku.

Bubur yang sudah dimasak dipindahkan. Di kiri ialah Cikgu Saiful, moderator blog surau kami.


Bubur dibahagikan kedalam bekas-bekas plastik ini. Yang berbaju hijau ialah Zafri 'Tok Siak' surau kami. Di Melaka dipanggil 'Noja.'


Para jemaah mengambil bubur untuk dibawa balik.


Lagi jemaah mengambil bubur.

Imam Besar kami Ustaz Afendi tersenyum lebar melihat usaha kami berjaya. Belum rasa belum tahu, Ustaz.

Hari ini 22 Ogos 2010 surau saya Surau Al-Ansar, Taman Coral Heights, Seremban menambah satu lagi aktiviti. Kali ini kami memasak bubur lambur untuk dibahagikan secara percuma kepada penduduk-penduduk taman atas dasar 'siapa cepat dia dapat.'

Ini juga pertama kali kami memasak makanan di bangunan tempat makan dan dapur surau yang belum lagi siap sepenuhnya. Bangunan ini kami bina dari dana hasil kutipan derma. Surau utama dibina dari dana Kerajaan Negeri.

Saya tidak ada di Seremban semasa bubur dimasak. Malam tadi saya berbuka puasa di rumah anak saya Ina di Sungai Buluh, Selangor dan seterusnya tidur di sana. Walau bagaimana pun saya sempat bersolat jemaah Zohor di surau saya dan di sana saya lihat bubur lambuk sudah siap dimasak. Diumumkan juga bubur akan dibahagikan selepas solat Asar.

Selepas solat Asar saya melihat bubur dibahagikan atas dasar di atas. Tidak ada baris panjang atau perebutan. Cuma semasa memasak tiada siapa yang 'mencuba' sama ada bubur ini cukup ramuannya. Semuanya akan dapat diketahui semasa berbuka puasa nanti.

Thursday, August 19, 2010

Bersedialah sebelum dipanggil.

Lebih kurang pukul 5.30 petang semalam saya membuka blog surau saya di sini. Saya terbaca mengenai pemergian ke Rahmatullah isteri seorang jemaah kami. Saya pun terus membaca senarai penduduk taman kami yang sudah menjadi ahli Khairat Kematian. Senarai ini ada di dalam blog dan dikemaskini dari masa ke semasa oleh moderator blog Cikgu Saiful. Malangnya nama suami Allahyarham tidak ada dalam senarai. Mungkin juga senarai belum dikemaskini.

Saya pun terus pergi ke rumah Allahyarham dan bertemu beberapa orang jemaah surau di sana. Saya bertanya mereka sama ada keluarga Allahyarham termasuk dalam senarai Khairat Kematian. Jawapannya tidak. Kebetulan Setiausaha Khairat Kematian tinggal cuma dua pintu jauhnya dari rumah Allahyarham.

Alangkah baiknya jika keluarga Allahyarham sudah memasuki Khairat Kematian taman kami. Pengurusan jenazahnya akan diuruskan oleh ahli-ahli lain tanpa keluarga Allahyarham berbelanja apa-apa. Walau bagaimana pun kami tetap menolong keluarga Allahyarham di mana yang boleh. Jenazahnya di sembahyangkan di surau kami selapas Solat Isya' dan Imam Besar kami turut bersama ke Makam Tuan Haji Said, Seremban menguruskan pengkebumian semasa jemaah lain mengerjakan Solat Tarawikh.

Saya? Saya telah mendaftar untuk Khairat Kematian tersebut.

Wednesday, August 18, 2010

Kalau hujan sikit je...


Semalam hujan turun dengan lebatnya di Seremban lebih kurang puluh 3.30 petang. Selepas hujan berhenti saya keluar membeli roti dan timun untuk isteri saya Salmah buat sandwich untuk berbuka puasa. Sambil itu saya singgah di Masjid India Muslim Ulu Temiang untuk mengambil bubur lambuk, jika masih ada.

Saya perhatikan air Sungai Temiang Diversion hampir mencecah paras Masjid. Saya takut membawa kereta ke kawasan Masjid. Manalah tahu tiba-tiba datang satu kayu balak sesat dan melanggar jambatan ke Masjid dan menghanyutkannya. Apa lagi jika kereta saya betul-betul berada di atas jambatan.

Oleh itu saya letak kereta di jalan besar Ulu Temiang dan berjalan kaki ke dalam kawasan Masjid sambil mengharungi sedikit air sedalam setengah kaki. Gambar di atas saya ambil setelah saya mendapat bubur lambuk saya. Suara latar itu bukan suara saya.

Saturday, August 14, 2010

Kemarahan Allah?

Saya pernah mempertikan sama ada penjual makanan di Pasar-pasar Ramadan berpuasa atau tidak dalam pos lama saya ini. Malah dalam pos saya sebelum ini pun saya menceritakan dijual makanan yang busuk di hari puasa kedua.

Saya ingin menambah sedikit. Waktu Asar merupakan masa paling ramai orang membeli juadah berbuka puasa dari Pasar-Pasar Ramadan. Pasar-Pasar Ramadan di Ampangan dan Taman Desa Rhu, Seremban pula berhampiran dengan surau dan masjid. Tetapi bagi saya yang meramaikan kedua-dua surau dan masjid ini di waktu Asar di bulan Ramadan  bukanlah peniaga Pasar Ramadan tetapi pengunjungnya. Timbul pula soalan saya sama ada peniaga-peniaga ini mengerjakan solat?

Semalam, atau hari ketiga puasa kita dikejutkan dengan berita Pasar Ramadan di pekan Jasin, Melaka dilanda ribut. Dua orang meninggal dunia dan beberapa orang pula cedera. Adakah ini kerana kemarahan Allah kerana peniaga-peniaga meninggalkan ibadat wajib agama seperti yang saya telah sebut?

Dalam tazkirah-tazkirah yang kita dengar dalam bulan Ramadan ini sering diingatkan supaya kita tidak membazir semasa berbuka puasa. Kita diingatkan bahawa umat-umat Islam di Palestine dan Afghanistan berbuka puasa dengan serba berkurangan. Dalam tazkirah yang akhir saya dengar di surau saya penceramah berkata di Malaysia seorang boleh memakan lima biji buah kurma semasa berbuka puasa, sedangkan di Palestine sebiji buah kurma dikongsi lima orang.

Kita tidak boleh menyalahkan peniaga-peniaga Pasar Ramadan kerana gigih berniaga. Mereka cuma memenuhi permintaan pembeli yang tiba-tiba mendadak di bulan puasa sedangkan tidak semua makanan yang dibeli habis dimakan.

Mungkin ada yang tidak menyenangi pos saya ini. Tetapi bagi saya selagi kita pengguna tidak mengawal permintaan kita di bulan puasa selagi itulah peniaga-peniaga Islam di bulan puasa meninggalkan amalan agama seperti tidak berpuasa dan tidak bersolat.

Friday, August 13, 2010

Terkena di awal Ramadan.

Oleh kerana isteri Salmah saya tidak bekerja saya jarang-jarang membeli juadah di Pasar Ramadan. Kalau membeli pun ia sebagai tambahan kepada masakan yang sudah disediakan olehnya.

Walau bagaimana pun saya tetap berhati-hati membeli juadah berbuka puasa. Semasa bekerja dulu Jabatan saya mengaturkan lawatan terhadap Pasar-pasar Ramadan untuk memastikan setiap pengendali makanan mematuhi syarat-syarat jabatan dan juga syarat-syarat Jabatan Kesihatan. Jika saya perlu membeli makanan untuk berbuka puasa saya membuat menelitian dahulu semasa lawatan begini.

Walau bagaimana pun saya hanya membeli dari pengendali makanan yang saya kenal. Dalam makna lain saya hanya membeli dari mereka yang profesionnya mengendali makanan. Mereka ini sama ada pengusaha gerai atau restoran yang saya tahu bersih. Biasanya di bulan Ramadan mereka menutup gerai dan restoran dan menjual di Pasar Ramadan.  

Setelah selesai membuat tugas lawatan saya akan kembali ke gerai mereka yang saya kenal ini dan membeli makanan yang perlu.

Tetapi oleh kerana saya sudah bersara pilihan saya sudah tentu terhad. Saya tidak bebas lagi membeli di mana-mana Pasar Ramadan dalam kawasan Majlis Perbandaran Seremban seperti dulu. Pada hari puasa kedua saya membeli sedikit makanan di Pasar Ramadan di Taman Desa Rhu di Sikamat, Seremban.

Kebetulan  Pasar Ramadan Taman Desa Rhu ini terletak di hadapan gerai-gerai Majlis Perbandaran Seremban. Kebetulan pula peniaga-peniaga biasa gerai MPS itu membuka gerai mereka. Saya pun terus membeli sekeping murtabak dari satu gerai MPS memikirkan penjualnya ialah sudah tentu pengendali makanan profesional.

Alangkah terperanjatnya saya apabila hendak berbuka puasa apabila diberitahu oleh Salmah bahawa murtabak yang saya beli sudah busuk. Sebagai seorang yang dilatih di bidang kesihatan saya tidak meragui kata-katanya. Memang murtabak itu sudah busuk dan dalam bahasa kesihatan 'unfit for human consumption'. Baru saya ingat pelesen gerai MPS dimana saya membeli murtabak ini biasanya menjual air minum sahaja. Dia tidak menjual murtabak pada hari-hari biasa.

Nasib baik juga seperti dulu-dulu murtabak itu hanya tambahan kepada makanan yang sedia dimasak oleh Salmah. Jika tidak minum air sahajalah kami untuk berbuka puasa.

Mungkin pelesen gerai ini meminta ahli keluarganya menjual murtabak di bulan puasa ini. Mungkin juga dia menyewa sebahagian gerainya kepada seorang penjual murtabak. Tetapi di bulan puasa ini saya tidak boleh mempunya prasangka buruk.

Kalau saya masih bekerja sudah tentu saya mengambil tindakan kepada penjual murtabak ini. Sekurang-kurangnya dengan memberi amaran sahaja. Bayangkan berapa banyak murtabak busuk yang sudah terjual darinya sebagai sengaja atau tidak. Saya hanya dapat menalipon seorang kawan sekerja lama saya supaya membuat lawatan ke gerai ini dan mengambil tindakan jika peniagannya terus menjual makanan yang tidak layak untuk dimakan manusia atau 'unfit for human consumption'.    

Sunday, August 8, 2010

Peradong-Bukit Mahkota-Sikamat-Bukit Jelutong.


Mesyuarat koperasi kampung di Peradong, Jelebu, Negeri Sembilan.


Kenduri menyambut Ramadan di rumah kawan lama di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor.


Kenduri menyambut Ramadan di rumah jiran di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

 
Dengan pengantin di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Itulah perjalanan saya di tiga hari yang lepas. Ia bermula di petang hari Jumaat 6 Ogos 2010 apabila saya menghadiri Mesyuarat Agung Koperasi Seri Permata di Kg.Pergai, Peradong, Jelebu, Negeri Sembilan. Kampung ini bukanlah kampung saya, tetapi koperasi diasaskan oleh arwah bapa saudara saya yang menyemenda di sana. Dia mengajak saya, ibu saya yang juga kakak sulungnya dan adik beradik saya menyertai koperasi ini lebih dari 30 tahun yang lalu. 

Agaknya sudah lima tahun saya tidak mengadiri mesyuarat agung koperasi ini. Tetapi kali ini saya terperanjat juga melihat kemajuan koperasi kampung ini. Berbaloi juga saya menyertainya. Tidaklah mengabihkan bogheh. Mesyuarat dipengerusikan oleh sepupu ibu saya yang pernah menjadi Ahli Dewan Negara atau Senator. Kami memanggilnya Pak Ya sahaja. Selepas ini koperasi akan memasuki bidang perniagaan yang lebih besar lagi. Tidak payahlah saya ceritakan dalam bidang apa. Tunggulah sehingga berjaya nanti.

Pada tengah hari Sabtu 7 Ogos 2010 saya menyahut pula panggilan dari kawan lama saya yang dihantar melalui SMS sahaja. Saya telah tidak berjumpa dengannya sejak tahun 1966 apabila dia memasukki Kolej Tentera Di Raja, Sungai Besi, Selangor. Akhirnya berjumpa di jamuan makan malam murid-murid tua sekolah di Putrajaya pada tahun 2009 dan sekali lagi pada awal bulan Julai 2010 juga di Putrajaya.

Dia pernah menjadi Duta Malaysia untuk beberapa negara dan juga dianugerahkan gelaran Datuk oleh Yang Di Pertuan Agong. Dia sekarang menetap di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor. Dia mengadakan kenduri menyambut Ramadan.

Pada malamnya pula saya sekali lagi menghadiri satu kenduri menyambut Ramadan. Kali ini di rumah seorang jiran saya di Sikamat, Seremban.

Tengah hari tadi, hari Ahad 8 Julai 2010 saya ke Dewan Guthrie,  Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor bersama seorang junior  sekolah saya Zamri untuk menghadiri perkahwinan anak lelaki seorang lagi junior saya. Kebetulan pengantin pun junior saya juga. Terjadilah pertemuan dua generasi murid-murid tua sekolah saya di dewan ini. Generasi pertama ialah kawan-kawan bapa pengantin dan generasi kedua pula ialah kawan-kawan pengantin sendiri.  

Thursday, August 5, 2010

Apabila manusia hilang pertimbangan.

Hari Jumaat lepas saya menziarahi seorang bekas jiran saya di Taman Paroi Jaya, Seremban yang meninggal dunia kerana sakit tua. Hampir 80 tahun umurnya. Tentulah banyak pengalaman pahit manis yang dirasanya. 

Saya mengenalinya selepas beliau bersara dari khidmat kerajaan dan berpindah ke rumahnya. Semasa itu isteri pertamanya sudah meninggal dunia meninggalkan Allahyarham dan anak-anak tersayang. Kemudian Allahyarham kahwin lagi tetapi tidak dikurniakan dengan anak.

Walau pun sudah bersara Allahyarham tidak berdiam diri. Dia memohon untuk mengusahakan satu kiosk yang dibina oleh Majlis Perbandaran Seremban berhampiran dengan rumah kami. Beliau menjual akhbar, majalah dan makanan-makanan ringan dibantu oleh isteri dan anak-anaknya.

Tetapi pada pendapat saya saat paling pedih Allahyarham berlaku pada bulan Ramadhan empat tahun yang lalu. Saya menerima panggilan telefon dari isteri saya Salmah memberitahu anak sulung Allahyarham yang dipanggil Along telah mati ditikam di hadapan rumahnya. Saya bergegas pulang dan mendapati seorang pegawai Polis dari Balai Polis Paroi telah berada dirumah Allahyarham dan mengarahkan supaya tidak sesiapa pun mengalih atau membersihkan apa-apa yang berada di hadapan rumah Allahyarham.

Selepas itu berpuluh-puluh anggota Polis datang dan membuat kerja mereka. Ini diikuti oleh pemberita dari akhbar-akhbar, saudara mara dan jiran-jiran. Apa yang ketara ialah terdapat lumuran darah di tempat letak kereta rumah Allahyarham. 

Akhirnya Ketua Siasatan Jenayah atau OCCI Negeri Sembilan datang dan membuat kenyataan akhbar setelah berbincang dengan keluarga Allahyarham. Saya turut bersama berada di celah-celah pemberita. Katanya pihak Polis telah menyelesaikan kes ini. Suspek telah pun ditangkap.

Mengikutnya lagi kes bermula dengan hutang sebanyak seratus ringgit yang dipinjam oleh Allahyarham Along dari seorang kawannya yang juga tinggal di Taman Paroi Jaya. Pada pagi itu kawannya itu datang ke rumah Along menagih hutangnya. Terjadilah satu pertengkaran di hapadan rumah Along yang berakhir dengan satu pergelutan.

Pergelutan pula berakhir dengan satu tikaman dari pisau yang dibawa oleh suspek dari rumahnya. Setelah ditikam Along meminta tolong dan berjalan masuk ke dalam rumah. Allahyarham rebah sebelum sempat masuk. Kawannya melarikan diri.

Along dibawa ke Klinik Kesihatan Ampangan yang berhampiran dengan Taman Paroi Jaya dan disahkan meninggal dunia di situ. Suspek kemudian ditangkap di rumahnya. Rupa-rupanya dia tidak sedar tikamannya telah membawa maut. 

Semasa menziarahi jenazah bekas jiran saya baru-baru ini saya duduk di kerusi di tempat letak kereta rumahnya. Masih terbayang pada saya akan lumuran darah betul-betul di hadapan saya hampir empat tahun lepas. Kebetulan saya duduk di sebelah cucu kepada Allahyarham yang saya kenali dari kecil lagi. Sekarang dia sudah sama tinggi dengan saya.

Saya bertanya kepadanya apa jadi kepada kes bunuh Along iaitu bapa saudaranya. Jawabnya kes sudah selesai dan suspek telah dijatuhkan hukum gantung sampai mati. Saya bertanya kenapa suspek tidak didakwa dengan tuduhan ringan menyebabkan kematian tanpa niat? Jawabnya kerana dibuktikan suspek memang mempunyai niat membunuh dengan membawa pisau dari rumah.

Sebenarnya Allahyarham Along ialah seorang penagih dadah. Begitu juga dengan adik lelaki selepasnya yang kami panggil Angah. Angah pula baru meninggal dunia dua tahun yang lepas, dengar khabarnya kerana jangkitan AIDS. Kedua-dua Along dan Angah tidak berkahwin sehingga akhir hayat mereka.

Mungkin kehidupan Along juga sia-sia kerana penagihannya. Tetapi jelaslah kematian Along disebabkan hutang sebanyak seratus ringgit. Keluarga suspek pula ialah orang berada juga. Tidak menjadi masalah bagi mereka untuk melunaskan wang sebanyak itu dan melupakannya.

Buat si Along pula saya terfikir jika dia datang berjumpa saya dan mengatakan nyawanya terancam jika tidak dapat membayar hutang sebanyak seratus ringgit saya pun dengan rela menolong. Apalah seratus ringgit bagi saya di waktu itu yang menerima kedua-dua gaji dan pencen.

Tetapi  kerana manusia hilang pertimbangan satu nyawa telah melayang. Keluarga suspek juga sudah tentu membelanjakan berpuluh ribu ringgit untuk pembelaannya. Jika rayuan atau pengampunan tidak diterima satu lagi nyawa mungkin akan hilang.

Dua hari lepas negara dikejutkan dengan berita seorang lelaki dan seorang perempuan didapati mati ditembak dalam satu kereta. Tak payahlah saya ceritakan siapa mereka kerana umum sudah tahu. Teori awal Polis ialah ini satu kes bunuh dan kemudian bunuh diri. Siapa yang membunuh atau 'who pulled the trigger' tidak dinyatakan. Tapi pada fikiran saya tentulah yang punya pistol yang 'pulled the trigger'.  Kerana dia tahu tentang selok belok pintolnya, termasuk kegunaan 'safety-pin'.   

Walau bagaimana pun pada fikiran saya kes ini terjadi kerana manusia hilang pertimbangan. Sama seperti kes Allahyarham Along mungkin ada janji yang tidak ditunaikan. Apakah janji itu mungkin tidak ada yang tahu. Kalau ada yang tahu pun mereka mungkin malu untuk menceritakannya.

Saya ada seorang kawan berbangsa Cina yang mempunyai kedai menjual barang logam dan binaan di Sikamat, Seremban. Semasa saya bekerja dulu saya pernah menolongnya. Oleh itu setelah saya berpindah ke rumah saya sekarang yang kebetulan cuma lebih satu kilometer dari kedainya saya pun memohon khidmatnya. 

Khidmatnya ialah membuat tambahan dan ubahsuai kepada rumah saya berperingkat-peringkat. Yang menghairankan saya taukeh ini tidak menetapkan atau menjangka harga setiap kerja yang dibuatnya kepada saya. Perjanjian hitam putih pun tak ada. Saya tidak diminta membuat deposit atau membayar secara kemajuan kerja. Saya hanya diminta membayarnya setiap kali kerja sudah siap.

Satu hari saya pernah bertanya kepada seorang pekerjanya sama ada beliau dibayar gaji untuk membuat kerja di rumah saya. Beliau menjawab ada. 

Satu hari setelah satu kerja siap saya pergi berjumpa taukeh ini menanyakan berapa yang harus saya bayar. Dia menjawab pekerjanya belum beritahu kos sebenar, bagaimana dia hendak menetapkan harga. Kemudian saya bertanya selama ini saya dan dia hanya membuat perjanjian mulut tanpa hitam putih. Bagaimana jika saya mungkir janji?

Dia menjawab secara tidak langsung bahawa ada orang berhutang dengannya sampai beratus ribu ringgit dan beliau tidak berbuat apa-apa. Ada yang mungkir janji dengannya terdiri dari orang Melayu. Orang Melayu ini hidup mewah dengan berkereta besar. Tetapi tak apa, kata taukeh ini, dia boleh dapat duit cara lain.

Saya lihat kawan saya ini walau pun sudah berumur lebih tujuh puluh tahun tetapi masih sihat. Kesihatan lebih penting baginya. Lebih penting dari hutang yang tidak dibayar. Lebih penting dari janji yang tidak ditunaikan.

Mungkin lain ceritanya jika kawan saya ini hilang pertimbangan.  

Sunday, August 1, 2010

Tahniah SDAR!

Luqman, Pembahas SDAR pertama. Masih berada di Tingkatan 3. 


Thalhah, pembahas kedua SDAR, juga masih di Tingkatan 3.


Qushaimi, pembahas ketiga SDAR, satu-satunya dari Tingkatan 5. Dia juga diumumkan sebagai pembahas terbaik.


Sorakan murid-murid dan bekas-bekas murid SDAR apabila diumumkan kemenangan sekolah kami.

Ibu bapa, murid-murid tua dan keluarga masing-masing juga tidak ketinggalan bergembira.


Menerima piala pusingan dari Ketua Pengarah Pelajaran.


Bergambar dengan Pengetua dan Guru yang membimbing.


Bergambar bersama pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran.

Kali pertama saya ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya atau PICC untuk Putrajaya International Convention Centre saya balik dengan perasaan sedikit keciwa. Sila lihat atau klik ceritanya di sini. Tapi kali ini saya balik dengan perasaan gembira. Ini kerana sekolah saya iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban yang lebih dikenali sebagai SDAR telah memenangi Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke 37 untuk bahagian Bahasa Malaysia.

SDAR mengalahkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Selangor. Tahniah juga patut diberikan kepada SBPI Gombak kerana ia berjaya pergi ke peringkat akhir walau pun merupakan satu sekolah baru.

Di dalam bahagian Bahasa Inggeris Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Putrajaya mengalahkan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak. Semasa SDAR berada di Tanjung Malim, Perak dahulu STAR sering menjadi pesaing kami di negeri Perak.

Saya masih ingat Pertandingan Bahas ini di masa lalu pernah disiarkan secara langsung di television. Tetapi sekarang tidak lagi.

Saya kagum kerana dua dari pembahas SDAR terdiri dari murid Tingkatan 3. Tetapi rakan mereka yang berada di Tingkatan 5 disytiharkan sebagai Pembahas Terbaik. Pembahas dari SBPI Gombak rata-rata terdiri dari murid Tingkatan 5.

Memang senang untuk sesiapa yang petah bercakap untuk membaca skrip atau menghafalkannya. Apa yang menarik perhatian saya ialah murid-murid di Tingkatan 3 ini dapat menyangkal hujah-hujah dari lawan dengan senang. Ini tidak akan terjadi jika mereka tidak membuat kajian atau 'research' terlebih dahulu.

Baru-baru ini murid-murid tua SDAR di Negeri Sembilan telah menjamu makan malam pasukan Ragbi sekolah yang telah menjadi johan peringkat negeri. Kali ini satu lagi pasukan sekolah telah memenangi satu pertandingan peringkat kebangsaan. Sudah tentu satu bentuk perhargaan juga patut kami beri.

Sekali lagi, tahniah SDAR.