Hari Jumaat lepas saya menziarahi seorang bekas jiran saya di Taman Paroi Jaya, Seremban yang meninggal dunia kerana sakit tua. Hampir 80 tahun umurnya. Tentulah banyak pengalaman pahit manis yang dirasanya.
Saya mengenalinya selepas beliau bersara dari khidmat kerajaan dan berpindah ke rumahnya. Semasa itu isteri pertamanya sudah meninggal dunia meninggalkan Allahyarham dan anak-anak tersayang. Kemudian Allahyarham kahwin lagi tetapi tidak dikurniakan dengan anak.
Walau pun sudah bersara Allahyarham tidak berdiam diri. Dia memohon untuk mengusahakan satu kiosk yang dibina oleh Majlis Perbandaran Seremban berhampiran dengan rumah kami. Beliau menjual akhbar, majalah dan makanan-makanan ringan dibantu oleh isteri dan anak-anaknya.
Tetapi pada pendapat saya saat paling pedih Allahyarham berlaku pada bulan Ramadhan empat tahun yang lalu. Saya menerima panggilan telefon dari isteri saya Salmah memberitahu anak sulung Allahyarham yang dipanggil Along telah mati ditikam di hadapan rumahnya. Saya bergegas pulang dan mendapati seorang pegawai Polis dari Balai Polis Paroi telah berada dirumah Allahyarham dan mengarahkan supaya tidak sesiapa pun mengalih atau membersihkan apa-apa yang berada di hadapan rumah Allahyarham.
Selepas itu berpuluh-puluh anggota Polis datang dan membuat kerja mereka. Ini diikuti oleh pemberita dari akhbar-akhbar, saudara mara dan jiran-jiran. Apa yang ketara ialah terdapat lumuran darah di tempat letak kereta rumah Allahyarham.
Akhirnya Ketua Siasatan Jenayah atau OCCI Negeri Sembilan datang dan membuat kenyataan akhbar setelah berbincang dengan keluarga Allahyarham. Saya turut bersama berada di celah-celah pemberita. Katanya pihak Polis telah menyelesaikan kes ini. Suspek telah pun ditangkap.
Mengikutnya lagi kes bermula dengan hutang sebanyak seratus ringgit yang dipinjam oleh Allahyarham Along dari seorang kawannya yang juga tinggal di Taman Paroi Jaya. Pada pagi itu kawannya itu datang ke rumah Along menagih hutangnya. Terjadilah satu pertengkaran di hapadan rumah Along yang berakhir dengan satu pergelutan.
Pergelutan pula berakhir dengan satu tikaman dari pisau yang dibawa oleh suspek dari rumahnya. Setelah ditikam Along meminta tolong dan berjalan masuk ke dalam rumah. Allahyarham rebah sebelum sempat masuk. Kawannya melarikan diri.
Pergelutan pula berakhir dengan satu tikaman dari pisau yang dibawa oleh suspek dari rumahnya. Setelah ditikam Along meminta tolong dan berjalan masuk ke dalam rumah. Allahyarham rebah sebelum sempat masuk. Kawannya melarikan diri.
Along dibawa ke Klinik Kesihatan Ampangan yang berhampiran dengan Taman Paroi Jaya dan disahkan meninggal dunia di situ. Suspek kemudian ditangkap di rumahnya. Rupa-rupanya dia tidak sedar tikamannya telah membawa maut.
Semasa menziarahi jenazah bekas jiran saya baru-baru ini saya duduk di kerusi di tempat letak kereta rumahnya. Masih terbayang pada saya akan lumuran darah betul-betul di hadapan saya hampir empat tahun lepas. Kebetulan saya duduk di sebelah cucu kepada Allahyarham yang saya kenali dari kecil lagi. Sekarang dia sudah sama tinggi dengan saya.
Saya bertanya kepadanya apa jadi kepada kes bunuh Along iaitu bapa saudaranya. Jawabnya kes sudah selesai dan suspek telah dijatuhkan hukum gantung sampai mati. Saya bertanya kenapa suspek tidak didakwa dengan tuduhan ringan menyebabkan kematian tanpa niat? Jawabnya kerana dibuktikan suspek memang mempunyai niat membunuh dengan membawa pisau dari rumah.
Sebenarnya Allahyarham Along ialah seorang penagih dadah. Begitu juga dengan adik lelaki selepasnya yang kami panggil Angah. Angah pula baru meninggal dunia dua tahun yang lepas, dengar khabarnya kerana jangkitan AIDS. Kedua-dua Along dan Angah tidak berkahwin sehingga akhir hayat mereka.
Mungkin kehidupan Along juga sia-sia kerana penagihannya. Tetapi jelaslah kematian Along disebabkan hutang sebanyak seratus ringgit. Keluarga suspek pula ialah orang berada juga. Tidak menjadi masalah bagi mereka untuk melunaskan wang sebanyak itu dan melupakannya.
Buat si Along pula saya terfikir jika dia datang berjumpa saya dan mengatakan nyawanya terancam jika tidak dapat membayar hutang sebanyak seratus ringgit saya pun dengan rela menolong. Apalah seratus ringgit bagi saya di waktu itu yang menerima kedua-dua gaji dan pencen.
Tetapi kerana manusia hilang pertimbangan satu nyawa telah melayang. Keluarga suspek juga sudah tentu membelanjakan berpuluh ribu ringgit untuk pembelaannya. Jika rayuan atau pengampunan tidak diterima satu lagi nyawa mungkin akan hilang.
Dua hari lepas negara dikejutkan dengan berita seorang lelaki dan seorang perempuan didapati mati ditembak dalam satu kereta. Tak payahlah saya ceritakan siapa mereka kerana umum sudah tahu. Teori awal Polis ialah ini satu kes bunuh dan kemudian bunuh diri. Siapa yang membunuh atau 'who pulled the trigger' tidak dinyatakan. Tapi pada fikiran saya tentulah yang punya pistol yang 'pulled the trigger'. Kerana dia tahu tentang selok belok pintolnya, termasuk kegunaan 'safety-pin'.
Walau bagaimana pun pada fikiran saya kes ini terjadi kerana manusia hilang pertimbangan. Sama seperti kes Allahyarham Along mungkin ada janji yang tidak ditunaikan. Apakah janji itu mungkin tidak ada yang tahu. Kalau ada yang tahu pun mereka mungkin malu untuk menceritakannya.
Saya ada seorang kawan berbangsa Cina yang mempunyai kedai menjual barang logam dan binaan di Sikamat, Seremban. Semasa saya bekerja dulu saya pernah menolongnya. Oleh itu setelah saya berpindah ke rumah saya sekarang yang kebetulan cuma lebih satu kilometer dari kedainya saya pun memohon khidmatnya.
Khidmatnya ialah membuat tambahan dan ubahsuai kepada rumah saya berperingkat-peringkat. Yang menghairankan saya taukeh ini tidak menetapkan atau menjangka harga setiap kerja yang dibuatnya kepada saya. Perjanjian hitam putih pun tak ada. Saya tidak diminta membuat deposit atau membayar secara kemajuan kerja. Saya hanya diminta membayarnya setiap kali kerja sudah siap.
Satu hari saya pernah bertanya kepada seorang pekerjanya sama ada beliau dibayar gaji untuk membuat kerja di rumah saya. Beliau menjawab ada.
Satu hari saya pernah bertanya kepada seorang pekerjanya sama ada beliau dibayar gaji untuk membuat kerja di rumah saya. Beliau menjawab ada.
Satu hari setelah satu kerja siap saya pergi berjumpa taukeh ini menanyakan berapa yang harus saya bayar. Dia menjawab pekerjanya belum beritahu kos sebenar, bagaimana dia hendak menetapkan harga. Kemudian saya bertanya selama ini saya dan dia hanya membuat perjanjian mulut tanpa hitam putih. Bagaimana jika saya mungkir janji?
Dia menjawab secara tidak langsung bahawa ada orang berhutang dengannya sampai beratus ribu ringgit dan beliau tidak berbuat apa-apa. Ada yang mungkir janji dengannya terdiri dari orang Melayu. Orang Melayu ini hidup mewah dengan berkereta besar. Tetapi tak apa, kata taukeh ini, dia boleh dapat duit cara lain.
Saya lihat kawan saya ini walau pun sudah berumur lebih tujuh puluh tahun tetapi masih sihat. Kesihatan lebih penting baginya. Lebih penting dari hutang yang tidak dibayar. Lebih penting dari janji yang tidak ditunaikan.
Mungkin lain ceritanya jika kawan saya ini hilang pertimbangan.
No comments:
Post a Comment