Sunday, August 29, 2010

Kalau sudah takdir berjumpa juga.

Dari kiri tuan rumah Anuar, Shuib, Yahya dan Zamri. Yahya datang dari Pontian, Johor.


Permulaan bacaan Tahlil di ruang tamu rumah Anuar.


Antara tetamu termasuk juga jiran-jiran Anuar.

Kawan-kawan sekolah saya di Melaka ada menjemput saya ke Majlis Berbuka Puasa mereka pada hari Sabtu 28 Ogos 2010. Saya pada mulanya bersetuju, dan berjanji untuk pergi dengan dua orang junior saya iaitu Zamri dari Seremban 2 dan Shuib dari Kuala Lumpur. 

Tiba-tiba surau saya bercadang untuk mengadakan program Khatam Quran dan berbuka puasa di waktu yang sama sedangkan kami sudah bersetuju berbuka puasa pada tiap-tiap hari Ahad di bulan Ramadan. Saya pun membatalkan hasrat untuk pergi ke Melaka. Rupa-rupanya Zamri pun ada program lain di waktu yang sama dan nampaknya kawan kami Shuib akan ke Melaka seorang diri.

Semasa di surau untuk solat Isya' dan Tarawikh pada hari Khamis 26 Ogos 2010 ahli-ahli jawatankuasa surau diminta menunggu selepas solat Tarawikh untuk mesyuarat. Oleh kerana letih saya tidak tinggal untuk mesyuarat dan tidak tahu apa yang diputuskan. Sebelumnya saya diberitahu ramai orang-orang kuat surau tidak dapat hadir untuk Majlis Khatam Quran dan berbuka puasa seperti dirancang kerana balik kampung.

Saya tidak ke surau pada hari Jumaat 27 Ogos 2010 dan masih tidak tahu apa yang diputuskan semasa mesyuarat. Sudah tentu apa-apa keputusan yang melibatkan semua jemaah diberitahu di sana, termasuk sama ada hendak meneruskan Majlis Khatam Quran dan berbuka puasa di hari yang sudah ditentukan. Di waktu yang sama saya mendapat tahu Zamri dapat juga pergi ke Melaka.

Pada pagi Sabtu 28 Ogos 2010 saya pun meninjau ke surau yang jelas nampak dari rumah saya dan hairan melihatkan tiada apa-apa aktiviti di sana. Sebelumnya ada aktiviti bacaan Ya Siin dan Tahlil muslimah. Sepatutnya sudah bermula aktiviti masak-memasak.

Tiba-tiba lalu seorang jemaah surau berjalan kaki dari surau pulang ke rumahnya. Setelah memberi salam saya memberitahunya kehairanan saya mengenai tiada aktiviti di surau. Dia terus memberitahu Majlis Khatam Quran dan berbuka puasa ditangguhkan ke hari Selasa 31 Ogos 2010. Ini telah diputuskan di mesyuarat baru-baru ini dan dihebahkan semalam. 

Saya pun terus menghubungi Zamri dan menyatakan dapat pergi ke Melaka. Program ke Melaka berjalan lancar. Saya dan Shuib meletakkan kereta di Hospital Columbia di Oakland, Seremban dan menaikki Mercedes Zamri ke Melaka.

Program di Melaka diadakan di rumah seorang sahabat kami Anuar. Walau pun kurang sihat Anuar tetap berusaha mengikuti program murid-murid tua sekolah kami terutama di Melaka. Saya rasa dengan berjumpa dengan kawan-kawan lama menaikkan semangat Anuar. Oleh itu tepatlah program berbuka puasa kali ini diadakan di rumah beliau.

Program bermula dengan bacaan Tahlil yang diketuai oleh 'Penghulu' murid-murid tua kami di Melaka Muhamad Abdullah yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Setelah berbuka puasa kami bersolat Maghrib berjemaah di Balai Raya bersebelahan rumah Anuar. Selepas makan kami bersolat jemaah Isya' pula. Kemudian kami meminta izin untuk balik ke Seremban dan Kuala Lumpur. Kawan-kawan di Melaka meneruskan program dengan bersolat Tarawikh.

Di sana saya gembira melihat Shuib yang sekarang menetap di Kg. Baru Kuala Lumpur bercakap lohghat Negeri Sembilan dengan Anuar dan 'Penghulu' Muhammad. Kedua-dua Shuib dan Anuar berasal dari Rembau, Negeri Sembilan. 

Mengenang kembali perjumpaan kami saya terfikir saya mempunyai dua peluang untuk mengetahui program surau saya ditangguhkan. Pertama semasa mesyuarat jawatankuasa surau pada 26 Ogos 2010 dan kedua semasa solat Isya' dan Tarawikh pada 27 Ogos 2010. Saya tidak hadir di ke dua-duanya.

Tetapi takdir memihak kepada saya pagi semalam apabila saya berada di hadapan rumah saya dan bercakap dengan seorang jemaah surau yang kebetulan lalu di hadapan rumah.     

1 comment:

Anonymous said...

Maarof

Terima kasih diatas kehadiran you di majlis kami. Azizah isteri Anuar mengucapkan berbanyak terima kasih kepada SDARA dan kawan-kawan Anuar kerana hadir. Kami teruskan agenda kami untuk bersolat sunat tarawikh setelah mengucap selamat berangkat kepada you, Shuib & Zamri.

Kami solat 8 rakaat + 3 witr. Lepas tu kami lepak minum-minum... ada 2 orang junior kita datang join us. Kami kutuk dia cukup-cukup fasal rumah dia ditaman sebelahan taman Widuri tempat Anuar tu. Majlis bersurai lebihkurang jam 11 malam.

Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang datang dari jauh. Yang paling jauh Yahya Pakeh...dari Serkat.

Terima kasih upload gambar-gambar

wasalam
MA