Friday, July 29, 2016

Bersidang di Pulau Pinang - Bahagian 3 (Oh Azizah)

Walau pun persidangan paling pendek telah selesai, majlis perasmian belum dibuat. Jadi pada malam itu diadakan Majlis Makan Malam dan Perasmian oleh T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri, Pulau Pinang, Tun Rahman Abbas.

Yang Di Pertua, Persatuan Pesara Pulau Pinang, Datuk Daud Taha pernah memegang beberapa jawatan tinggi di Pulau Pinang, antaranya Yang Di Pertua, Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Dari itu dia banyak idea. Antara ideanya ialah tidak menjemput penyanyi-penyanyi professional untuk menyerikan majlis makan makan malam itu. Sebaliknya penyanyi terdiri dari kami pesara. Ini telah menjimatkan beribu ringgit wang persatuan.

Bagaimana? Dengan meminta setiap negeri menyediakan seorang penyanyi. Syaratnya satu saja iaitu lagu hendaklah lagu Allahyarham P Ramlee kerana P Ramlee berasal dari Pulau Pinang. Satu band disediakan untuk tujuan tersebut.

Sebaik sahaja persidangan di pagi itu tamat, Dato' Ibrahim Che' Mat, ketua perwakilan dari Negeri Sembilan meminta saya menjadi penyanyi bagi pihak Negeri Sembilan. Entah macam mana dia tahu saya boleh menyanyi tak tahulah saya.

Pada mulanya saya ragu juga sama ada boleh nyanyi atau tidak, kerana saya belum pernah menyanyi di khalayak ramai dengan iringan band. Saya cuma pernah menyanyi karaoke sahaja. Pada petang semasa pentas dan meja makan diatur saya turun untuk praktis. Di sana saya dapati walau pun band disediakan kami boleh menyanyi secara 'minus one'. Dari itu saya memilih lagu Azizah.

Mujur juga saya membawa laptop saya bersama. Di bilik saya praktis menyanyi lagu 'Azizah' berkali-kali. Semasa sessi nyanyi ada juga dari kami yang mengada-ada, contohnya berceloteh sebelum menyanyi. Mungkin mereka hendak membuang rasa gemuruh. Tetapi saya yang gemuruh dibuatnya. Untuk mereka ini saya nasihatkan "If you have to sing, sing. Don't talk", meminjman dialog dari filem 'The Good, the Bad and the Ugly'.

Sila klik  Maarof menyanyi lagu Azizah untuk tengok saya menyanyi di majlis itu. Video dirakam oleh Tn. Hj. Khalil Rahim. Yang Di Pertua Pesatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Sembilan yang juga seorang jurugaabar hebat, atas permintaan saya. Jangan salahkan beliau jika video kurang memuaskan kerana beliau menggunakan kamera murah saya.


Datuk Daud Taha selain banyak idea juga pandai melawak. 


  Saya menyanyi lagu Azizah secara 'minus one' ditambah dengan muik dari keyboard.
Gambar-gambar diambil oleh Dato' Ibrahim Che' Mat.

Oh Azizah

T.Y.T. Tun Abdul Rahman Abbas meninggalkan majlis.

Bersambung.....

Thursday, July 28, 2016

Bersidang di Pulau Pinang - Bahagian 2 (Persidangan paling pendek)

Oleh kerana persidangan tahun ini termasuk pemilihan pegawai-pegawai persatuan, saya menjangka ia akan berlarutan. Tapi jangkaan saya meleset kerana semua jawatan dimenangi tanpa bertanding. Bukan itu sahaja, semua pembentangan diterima dan disahkan tanpa apa-apa bantahan. Jadilah ia persidangan paling pendek dalam sejarah persatuan kami.

Jika difikirkan kembali begitulah sepatutnya. Persatuan ialah tempat ahli-ahlinya bersatu dan bukan tempat untuk mencari salah orang lain. Persatuan kami pun ahli-ahlinya orang-orang pencen. Buat apa berlawan dan membangkitkan perkara-perkara kecil. Berikut ialah beberapa gambar yang saya ambil di persidangan itu.

Saya duduk di baris belakang perwakilan Negeri Sembilan. Belakang saya ialah barisam pemerhati.

 Kami berpakaian baju seragam berwarna ungu.

Lagi perwakilan Negeri Sembilan. 

Dari sudut lain. 

Semua perwakilan pergi minum. Tan Sri Presiden tinggal seorang. 

Kami pun bergambar dengannya.

Semasa rehat terserempak dengan Dato' Dr. Anwa Sulaiman yang baru dipilih sebagai Timbalan Yang Di Pertua, Persatuan Persara Keraajaan Malaysia Negeri Terengganu. Dia junior saya di sekolah.

Ini pula Dato' Ghani Sulaiman, Yang Di Pertua Persatuan untuk Negeri Pahang. Dia senior saya pula di sekolah.

Seperti biasa tuan rumah mengaturkan lawatan pada petang hari pertama. Kami menaiki bas Rapid Penang melawat sekitar George town.




Tidak ada keutamaan untuk warga emas kerana semua penumpang warga emas belaka.

Bersambung...........



Wednesday, July 27, 2016

Bersidang di Pulau Pinang - Bahagian 1 (Perjalanan pergi)

Kali pertama saya menghadiri Persidangan Perwakilan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia ialah pada tahun 2013 di Kangar, Perlis sebagai pemerhati bila saya mula-mula berjinak dengan persatuan ini. Kenangan saya di persidangan itu ialah ketiadaan bekalan air di hotel menyebabkan ramai kami mandi di kolam renang.

Bukan saja hotel tidak berair, tetapi keseluruhan Perlis sehingga DYMM Raja Perlis pun menyebut 'Ayaq tak dak' semasa ucapan perasmiannya. Balik saja dari Kangar saya diserang sakit mata yang teruk yang saya percaya berpunca dari kolam renang tersebut.

Kali kedua pula pada tahun 2014 di Shah Alam, Selangor. Kenangan saya ialah berjabat tangan dengan DYMM Sultan Selangor

Kali ketiga pula tahun 2015 di Kuala Lumpur di mana Perdana Menteri Dato' Seri Najib merasmikan. Kenangan saya di persidangan ini pula ialah lewatnya bilik-bilik hotel diberi kepada kami.


Malam tadi saya sampai ke rumah setelah menghadiri persidangan yang sama kali keempat di Pulau Pinang. Bagi saya inilah persidangan yang paling menyeronokkan. Gambar-gambar berikut akan bercerita.

 Kami berkumpul di Terminal 1 Seremban.

 Sebahagian dari kami bergambar sementara menunggu bas.

Sebelum bergerak Tuan Haji Mat Sidek Sikin dari Jelebu mengetuai bacaan doa,

Kami mengaminkan doa. 

Ini basnya, bas eksekutif yang cukup selesa.


Pemandu yang cukup relaks. Untuk menghilang rasa bosan dia asyik bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbit.

Memang benar. 

 Nak memasuki Terowong Menora di Perak.

 Dalam terowong.

 Saya terpaksa duduk di sebelah pemandu untuk mengambil gambar walau pun kurang selesa.


 Kami hendak memasuki Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Tidak ada hadiah kepada siapa yang tahu aka maksud JK2PP.

 Di atas Jambatan Kedua.

 Menuju puncak Jambatan Kedua.

Kami akan ke kanan.

Bersambung.......

Sunday, July 10, 2016

Hari Raya tak macam biasa.


Tidak adil rasanya jika saya tidak menceritakan pengalaman saya berhari raya tahun ini setelah saya menceitakannya untuk tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum itu puasa saya untuk tahun ini juga tidak seperti di tahun-tahun sebelumnya. Untuk lebih dua minggu pertama saya berpuasa berdua sahaja dengan isteri saya Salmah. Ini kerana anak bongsu kami Anis berada di Korea selama empat bulan mulai bulan Februari 2016 kerana membuat praktikal pengajian universitinya di sana.

Salmah tidak berpuasa selama dua hari di minggu pertama. Saya katakan jika dia tidak tahan, tak payahlah berpuasa. Tetapi selepas itu dia kata masih boleh tahan berpuasa.

Anis balik dari Korea pada hari Khamis 23 Jun 2016 bersamaan 18 Ramadan 1437. Sejak itulah Salmah sibuk membuat persiapan hari raya. Ini tidak bermakna saya tidak menolongnya. Tetapi oleh kerana saya sudah bersara dan hampir semua anak-anak sudah lepas dari tanggung-jawab kami, saya hendak beraya ala kadar saja. Contohnya tembok rumah yang sudah 'kopam' tu tak payahlah dicat baru.

Oleh kerana surau taman saya pun mangadakan majlis berbuka puasa empat kali seminggu, saya pun sering ke sana meninggalkan Salmah kadang-kadang berbuka seorang diri di rumah. Saya langsung tidak menyangka kejadian yang akan menyebabkan hari raya saya tahun ini berbeza bermula di satu hari saya berbuka puasa di surau itu.

Pada hari kejadian itu Khamis 30 Jun 2016 Salmah sibuk seperti biasa. Semasa saya balik dari kerja tengah hari itu dia dan Anis tidak ada rumah. Apabila sahaja dia balik dia menceritakan pergi ke sini dan sana membeli itu dan ini, termasuk menghantar karpet untuk dibasuh. Kalau saya diberi pilihan tidak payahlah karpet itu dibasuh.

Saya berbuka puasa di surau pada hari itu, Samah dan Anis berbuka di rumah dengan makanan dibeli dari McDonald's. Sebaik saja saya balik slepas solat Maghrib berjemaah saya dapati Salmah terbaring atas katil di bilik belakang. Bila saya tanya sudahkan dia solat Maghrib, jawapannya 'belum'. Ini agak menghairankan saya pada mulanya, tetapi saya anggap ini kerana dia keletihan.

Kemudian saya bercerita tidak berselera makan di surau tadi. Bila tidak ada reaksi darinya saya juga hairan pada mulanya, tetapi menganggap kerana dia keletihan seperti tadi. Selepas solat Isya' saya pun terus tidur tanpa memikirkan solat Tarawikh.

Lebih kurang pukul 9.15 malam saya dikejutkan oleh Anis dan meminta saya memeriksa tekanan darah Salmah kerana katanya 'mama tak boleh bercakap'. Saya pun memeriksanya dengan alat yang memang saya sediakan dirumah dan mendapati tekanan darahnya agak tinggi.

Mula-mula saya ingat hendak menalipon ambulans, tetapi kemudiam saya putuskan untuk menghantarnya dengan kereta ke Jabatan Kecemasan, Hospital Tuanku Jaafar di Rasah, Seremban. Dipendekkan cerita di sana dia diberi CT Scan dan para doktor memutuskan dia diserang 'minor stroke' yang mengakibatkan percakapannya terjejas.

Dipendekkan cerita juga Salmah dimasukkan ke dalam wad selama dua hari dua malam di hospital yang sama dan dikeluarkan pada tengah hari Sabtu 2 Julai 2016.

Sudah tentulah Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal 1437 yang jatuh empat hari selepas isteri saya Salmah keluar dari hospital tidak sama seperti di tahun-tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya buat saya. 

Salmah ada menunjukkan tanda-tanda positif. Perkataan-perkataan yang tidak boleh disebutnya sebelum ini telah mula disebutnya, Dia akan menjalani 'speech teraphy' tidak lama lagi.

Sementara itu hari raya saya untuk tahun ini tidaklah seperti di tahun-tahun dulu.

Tuesday, July 5, 2016

Sanggupkah kita membunuh anak sendiri.

Semasa Perang Vietnam atau The Vietnam War apabila askar Amerika menyangka dirinya akan mati akibat tembakan dia akan menyebut 'Ma' iaitu memanggil emaknya. Seolah-olah dia teringatkan orang yang membawanya ke dunia di saat-saat dia akan meninggalkannya.

Saya sekarang sudah bersara. Walau pun saya bekerja selama 38 tahun dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ingatan saya sekarang banyak tertumpu keapda kenangan bekerja  selama 4 tahun dengan Kementerian Kesihatan (KKM)  sebelumnya. Oleh itu saya sekarang sangat berminat kepada isu-isu yang melibatkan Kementerian tersebut. Kebetulan pula Timbalan Menteri KKM sekarang, Dr. Hilmi Yahya ialah kawan sekelas saya semasa di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak.

Salah satu itu yang hangat sekarang dan melibatkan KKM ialah isu immunisasi untuk kanak-kanak di mana ramai penjaga tidak mahu anak kecil mereka menerima immunisasi. Ini kerana mereka terbaca kononnya vaksin untuk immunisasi itu berpunca dari sumber tidak halal. Ada juga yang percaya vaksin itu lebih memudaratkan dari membawa kebaikan.

Saya masih ingat antara subjek pertama diajar semasa diambil bekerja dulu ialah tentang immunisasi ini. Antara immunisasi itu dipanggil 'triple antigen' atau vaksin untuk tiga penyakit. Penyakit-penyakit itu ialah 'Diphteria', 'Tetanus' atau kancing gigi dan 'Whooping Cough" atau batuk kokol. Sekarang 'Whooping Cough' dipanggil 'Pertussis'.

Mungkin ramai yang masih keliru apa dia proses immunisasi ini. Prosesnya senang sahaja untuk difahami. Vaksin yang sebenarnya mengandungi kuman-kuman penyakit yang kita hendak hindari itu dimasukkan ke badan manusia (dalam kes biasa bayi dan kanak-kanak). Cara memasukkannya sama ada dengan suntikan atau melalui mulut. Itulah sebabnya anak-anak kita akan demam sebaik sahaja diberi vaksin immunisasi. Tetapi kerana jumlah kumannya amat sedikit kuman itu tidak membahayakan dan anak-anak kita akan sembuh dalam beberapa hari,

Badan anak-anak kita yang diserang oleh kuman dalam vaksin itu akan mengeluarkan apa yang dipanggil 'anti-bodies' yang tugasnya tidak lain tidak bukan seakan-akan askar melawan dan membunuh kuman-kuman yang menyerang tadi. Kemudian 'anti-bodies' atau askar tadi akan berada dalam badan anak-anak kita selama-lamanya.

Akibatnya jika kuman-kuman penyakit sebenar yang dibawa pesakit lain datang menyerang anak-anak kita, 'anti-bodies' atau askar yang sudah bersiap siaga dalam badan mereka akan menentang kuman-kuman itu habis-habisan dan menghapuskannya.

Program immuninasi negara kita cukup berjaya sehingga ketiga-tiga penyakit Diphteria, Tetanus dan Whooping Cough sudah dihapuskan. Tetapi dengan kedatangan pendatang asing di mana keadaan kesihatan negara asal mereka tidak seperti negara kita, penyakit-penyakit itu nampaknya sudah muncul kembali.  

Cuba bayangkan anak-anak kita tidak mempunyai 'anti-bodies' atau askar kerana tidak diberi immunisasi dari kecil. Penyakit-penyakit berjangkit yang dibawa pendatang asing itu dengan senang menyerang anak-anak kita. Mungkin di masa serangan badan mereka akan cuba mengeluarkan 'anti-bodies' atau askar. Tetapi kerana serangan terlalu kuat kuman-kuman yang datang dengan senang membunuh 'anti-bodies' atau askar yang baru hendak dikeluarkan itu. Akibatnya anak kita boleh ditimpa maut.

Tidakkah kita berasa bersalah jika anak kita mati akibat kelalaian kita tidak memberi mereka immunisasi semasa dia masih kecil?