Monday, December 16, 2019

Pihak Berkuasa cabul undang-undang sendiri.


Bantahan

Notis patut diserah atau 'duly served', tetapi diberi setaraf 'flyers' dan iklan Along.

KAWASAN LAPANG yang dicabul.

Papan Notis yang menunjukkan keangkuhan dan kebodohan MPS sendiri.

Papan Notis standard (di tempat lain)yang menunjukkan nombor lot tapak projek.

Ini maklumat yang tidak terdapat dalam 'flyer' dan Papan Notis MPS. Tapak projek ialah di atas Lot 12069 Mukim Seremban yang bertaraf KAWASAN LAPANG.

Salinan Warta Kerajaan Negeri Sembilan menjelaskan Lot 12069 Mukim Seremban direzabkan sebagai KAWASAN LAPANG.

Semasa saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban atau MPS dulu saya sering menghadiri satu mesyuarat yang lebih senang dipanggil OSC untuk 'One Stop Centre' Di situlah pegawai-pegawai teknikal MPS disertai oleh wakil-wakil dari jabatan-jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) meluluskan pelan-pelan pembangunan dalam kawasan MPS.

Pelan-pelan dihantar oleh AP (untuk Authorised Persons), biasanya Arkitek bertauliah. Saya perhatikan orang nombor satu MPS atau Yang Di Pertua di masa itu sangat sensitif dan prihatin tentang satu perkara iaitu KAWASAN LAPANG. Dia mahu pemaju-pemaju, terutama pemaju perumahan menyediakan cukup KAWASAN LAPANG. Ada cadangan-cadangan pembangunan ditolak kerana tidak cukup KAWASAN LAPANG. Tetapi untuk berlaku adil, pemohon diminta mengemukakan pelan-pelan baru dengan KAWASAN LAPANG yang cukup.

Untuk memastikan KAWASAN LAPANG itu tidak dicabul, MPS memastikan ia diwartakan di Warta Kerajaan. Ini bermakna dalam geran walau pun tanah itu mempunyai nombor lot, tiada rekod pemilik dan tidak ada juga cukai tanah. Ini kerana tuan punya tanah itu ialah Allah Taala.

Dari itu, bila saya bersara dan dengan wang simpangan yang cukup saya membeli sebuah rumah yang di dalam geran hakmilik tertulis KL yang bermaksud KAWASAN LAPANG terletak betul-betul di hadapan rumah.

Bila saya pindah ke sini dulu, benda pertama saya beli ialah layang-layang. Rumah saya terletak 93 meter dari paras laut  dan berangin. Petang-petang saya akan ke kawasan lapang di depan rumah untuk bermain layang-layang sambil anak-anak jiran bermain bola. 

Kebelakangan ini pula ramai orang dewasa dan kanak-kanak bermain panah di sini. Ini kerana kawasan lapang ini bersempadan dengan bukit untuk tangki air. Bila panah tersasar ia akan melekat di tebing bukit dan tidak payah dicari jauh.

Pada awal bulan ini saya dan jiran-jiran sebelah dikejutkan apabila dua orang yang saya tidak kenali meletakkan surat di peti surat saya. Ia bertajuk NOTIS MAKLUMAN. Setahu saya segala notis  Kerajaan hendaklah diserah dengan sempurna atau 'NOTICES MUST BE DULY SERVED'. Dalam kes ini notis hendaklah diserah oleh Penyerah Notis yan digaji oleh MPS dan bukan orang luar seperti kes ini. 

Notis juga hendaklah ditulis nama dan alamat penerima dan tidak dibiarkan kosong. Oleh itu saya anggap dokumen yang dimasukkan ke peti surat itu sama tarafnya dengan 'flyers' pasaraya dan 'Along' peminjam wang.

Tetapi kalau dibaca betul-betul, 'NOTIS MAKLUMAN' tidak memberitahu secara tepat di toboh mana DEWAN KOMUNITI hendak dibina. Bila ditanya kepada pemberi 'flyers', barulah kami tahu Dewan akan dibina di KAWASAN LAPANG di depan rumah kami. Di situ juga kami tahu pemberi 'flyers' itu adalah pekerja kontraktor yang telah dilantik membina Dewan itu.

Sudah tentu kami yang tinggal berjiran dengan KAWASAN LAPANG membuat bantahan kepada pihak-pihak berkuasa. Ini kerana bukan sahaja hak kami dicabul, tetapi MPS telah melanggar syarat-syarat yang mereka sendiri gubal.

MPS bukanlah pemilik mana-mana KAWASAN LAPANG dalam kawasan mereka. Mereka ialah pemegang amanah untuk menjaga rapi KAWASAN LAPANG itu dengan kos perbelanjaan ditampung dari Cukai Taksiran yang kami bayar dua  kali setahun. Membina apa-apa bangunan di atasnya ialah satu pecah amanah, pengkhianatan dan pencabulan syarat-syarat yang mereka sendiri buat. Ini tak ubah seperti bidalan Melayu 'Harapkan pagar, pagar makan padi'.

Mana-mana KAWASAN LAPANG yang sudah direzabkan di negara ini boleh ditukar syarat. Di lain perkataan perizaban itu boleh dibatal. Tetapi ia kena mengikuti prosedur yang termaktub dalam KANUN TANAH NEGARA dan AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA. Antara prosedurnya ialah permohanan dirujuk terlebih dahulu kepada jiran-jiran sebelah KAWASAN LAPANG itu. Kami tahu ini tidak dibuat kerana tidak seorang pun dari kami yang merupakan jiran-jiran itu diminta memberi pandangan.

Ini ibarat jika kita hendak kahwin dengan isteri orang, isteri itu hendaklah bercerai dengan suaminya terlebih dahulu.

Yang lebih menyakitkan hati kami ialah satu NGO yang kononnya mewakili semua penduduk taman perumahan kami telah membuat 'pungutan suara' di surau kami sama ada kami menerima atau membantah pembinaan Dewan ini. Sudah tentulah suara kami yang minoriti ini kalah. Yang menyokong itu tidak merasa kesan pencabulan hak kami itu. Mereka pula telah dijanjikan dengan janji-janji manis yang belum pasti sahih.

Dipendekkan cerita, kenderaan-kenderaan berat pun datang dan menceroboh KAWASAN LAPANG ini dan meletakkan kabin dan bahan-bahan binaan beberapa hari selepas kami menerima 'flyers' itu.

Selang beberapa hari setelah KAWASAN LAPANG diceroboh, terpacak pula Papan Notis projek. Papan Notis menunjukkan keangkuhan dan kebodohan MPS sendiri. Antaranya:

  1. Notis tidak menyebut di atas lot mana Dewan akan didirikan. Jika kita perhatikan Papan Notis MPS yang biasa, nombor lot tanah ada tertera.
  2. Ejaan RAMAI ditulis RAWAI. Mengikut kamus, RAWAI ialah sejenis gelang yang dipakai oleh perempuan Iban.
  3. Projek ialah DEWAN ORANG RAWAI AMPANGAN, tetapi didirikan di SIKAMAT. Bukan kah AMPANGAN dan SIKAMAT kawasan yang berlainan? Oh ya, SIKAMAT sudah pun mempunyai dua DEWAN KOMUNITI. Apa perlu satu lagi? 
  4. MPS mengaku pemilik projek. Tetapi mereka mendirikan projek di atas tanah yang bukan milik mereka. Mereka boleh mengaku memiliki Dewan itu, bukan tanah di bawahnya. Mengaku tanah itu sebagai milik mereka ialah satu pembohongan besar.
  5. Akhirnya kebodohan MPS terbukti bila menulis alamat mereka sebagai JALAN YAM TUAN, Seremban sedangkan MPS sudah berpindah ke Jalan Country Heights, Rahang beberapa bulan yang lalu.
Sekali lagi saya jelaskan, Majlis Perbandaran Seremban atau MPS sebagai satu pihak berkuasa telah menyalahguna kuasa. Mereka sedang mencabuli undang-undang yang mereka gubal sendiri. Bukan itu sahaja, mereka telah melanggar Warta Kerajaan Negeri Sembilan.

Sekian.

Monday, December 9, 2019

Sunyi itu emas.

Jiran-jiran dan anak-anak sama taman dan taman-taman berdekatan membantah.

Bagus mempuyai kawan-kawan di media sosial seperti Facebook. Kita pergi ke tempat dia, kita cari dia. Dan bila dia datang ke tempat kita, dia cari kita pula. Hujung minggu lepas saya ke Kuantan, Pahang menziarah seorang kawan yang sakit. Dari Terminal Sentral Kuantan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan dan balik saya menumpang skuter seorang lagi kawan. Sila baca pos saya sebelum ini.

Di hujung minggu baru-baru ini seorang lagi kawan dari Pahang tetapi berhampiran dengan sempadan Negeri Sembilan datang ke Seremban. Saya membawanya ke satu restoran mamak dan bersembang. Menurutnya dia sering datang ke Seremban melalui Jelebu. Tetapi tambahnya lagi dia takut memandu melalui Jelebu pada sebelah malam kerana suasananya sunyi.

Saya terus jawab baguslah sunyi. Saya lebih seronok memandu dengan melepaskan lampu 'high beam' di suasana sunyi di waktu malam kerana kenderaan pun kurang.

Bercakap mengenai sunyi itulah keadaannya di depan rumah saya di waktu malam. Kerana di depan rumah saya ialah satu kawasan yang direzabkan sebagai KL yang bermaksud KAWASAN LAPANG. Ia hanya tidak sunyi untuk lebih kurang satu jam lebih di waktu petang bila budak-budak di taman saya disertai oleh kawan-kawan sekolah mereka dari taman-taman berhampiran bermain bola di atasnya.

Tapi tak apalah, yang terdengar ialah suara budak-budak, walau pun saya ada terdengar bahasa mencarut. Saya juga kadang-kadang menyertai mereka dengan melepaskan layang-layang saya. Saya terfikir 'Orang KL mencari KL untuk main layang-layang' atau 'Orang Kuala Lumpur mencari Kawasan Lapang untuk main layang-layang' sedangkan saya hanya berjalan beberapa meter untuk berbuat yang sama di KL saya.

Beberapa hari yang lepas saya dikejutkan bila mendapat notis dari Majlis Perbandaran Seremban atau MPS bahawa mereka akan mendirikan satu Dewan Komuniti di Kawasan Lapang ini. Bagi saya ini adalah satu pengkhianatan atau 'betrayal' dari MPS kepada kami yang tinggal di keliling  KL ini. Saya berani berkata begitu kerana MPS sendiri yang mensyaratkan pemaju perumahan dimana saya tinggal sekarang menyediakan Kawasan Lapang. Sekarang mereka sendiri hendak melanggar syarat yang mereka buat.

Saya dan jiran-jiran sedang membuat usaha-usaha supaya Kawasan Lapang ini dikekalkan. Apa langkah-langkahnya tidak boleh saya ceritakan di sini.

Oh, dari mula saya menaip pos ini sehingga ke ayat ini tidak ada pun sebuah kereta pun yang lalu di depan rumah saya ini. Eloklah tu kerana bagi saya sunyi itu emas.

Sekian.    

Sunday, December 1, 2019

"Don't judge a book by it's cover" / Lain padang lain belalang.

Saya menunggu KTM Komuter untuk membawa saya dari Seremban ke BTS/TBS.


 Dalam KTM Komuter.

Dalam bas ekspress eksekutif.

Sementara menunggu masuk, selfie di lobi hosapital.

Image may contain: Maarof Kassim, eyeglasses and closeup
Dalam wad, kawan/pesakit yang ambil.

Semalam 30 November 2019 saya ke Kuantan, Pahang untuk melawat seorang kawan Facebook yang masuk hospital kerana sakit jantung. Saya sudah memutuskan untuk menggunakan pengangkutan awam ke sana.

Saya meletakkan skuter saya di stesen KTM Seremban. Dari situ saya ke stesen Bandar Tasik Selatan (BTS) dengan KTM Komuter. Kemudian saya berjalan kaki ke Terminal Beresepadu Selatan (TBS) di sebelahnya.

Di TBS saya terus ke kaunter tiket yang dikhaskan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas. Berdiri di depan saya seorang perempuan Melayu yang saya perhatikan bukan OKU dan bukan Warga Emas.

Bila tiba masanya untuk perempuan itu dilayan, saya memintasnya dan menyatakan kaunter ini khas untuk OKU/Warga Emas dan bukan untuknya. Dia menjawab (bercakap) dengan marah dan berkata dia seorang OKU dan menunjukkan kad OKU yang dipegangnya. Untuk menjaga perasaannya saya tidak bertanya apakah yang Kurang Upaya atau KU bagi dirinya.

Setelah dilayan, dia keluar berjalan seperti manusia biasa dengan saya tertanya-tanya apakah kekurangan atau kecatatannya. Kemudian saya teringat sebutan 'Don't jugde a book by it's cover' yang bermaksud 'Jangan menilai buku dengan hanya melihat kulitnya'.

Di kaunter, saya terus membeli tiket bas paling awal ke Kuantan. Rupa-rupanya ada sebuah bas ekspress eksekutif yang akan bergerak dalam masa lima minit lagi. Saya pun terus ke pintu di mana bas sedang menunggu. Bas berjalan dengan lancar ke Kuantan.

Dari Terminal Sentral Kuantan saya menumpang skuter seorang lagi kawan Facebook di sana dan  kami terus ke Hospital Taunku Ampaun Afzan (HTAA). Bagus juga, dengan skuter kami cepat sampai.

Di HTAA saya mengajak kawan skuter itu untuk sama-sama naik ke wad, tapi dia menolak. Di situ saya terkejut juga kerana waktu melawat di hujung minggu tidak berbeza dengan di hari-hari biasa dan tidak berterusan dari 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam seperti di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban. Tak apalah, saya menunggu dalam tujuh minit sahaja.

Sebenarnya tujuan saya melawat kawan saya yang sakit itu ialah untuk meyakinkan dirinya menjalani pembedahan jantung. Kebetulan pada malam sebelumnya saya dan kawan-kawan sama sekolah (Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR)) berkumpul untuk minum-minum. Seorang dari kami yang baru sahaja dibedah jantung menceritakan pengalamannya menjalani ujian-ujian dan pembedahan dengan jayanya.

Tetapi saya tidak payah meyakinkan kawan saya yang ini, kerana dia telah membuat keputusan untuk dibedah. Lega sedikit hati saya.

Kerana ramai lagi saudara maranya menunggu untuk melawat, saya tidak boleh tinggal lama dalam wad. Bila turun di bawah saya terus bertanya di mana letaknya kafeteria hospital, kerana saya tidak makan apa-apa sejak meninggalkan rumah dari pagi tadi.

Di kafeteria saya hairan melihat kurangnya pelanggan. Makanan pun terhad, tetapi kerana perut lapar saya menerima sahaja apa yang ada.

Sebagai seorang yang pernah bekerja di Kementerian Kesihatan dan Majlis Perbandaran Seremban saya suka makan di kafeteria hospital kerana tahu makanannya tidak tercemar. 

Aapbila saya kembali ke lobi menunggu kawan skuter mengambil saya dari HTAA ke Terminal Sentral Kuantan, saya dapat jawapan kenapa kafeteria itu kurang pelanggan, sekurang-kurang pada waktu petang di hujung minggu.

Di sebelah lobi, seperti di hospital-hospital lain terdapat satu kedai serbanika yang menjual antara lain, biskut dan buah-buahan untuk dihadiahkan kepada pesakit. Di situ juga diletakkan beberapa kerusi meja.

Pelawat (dan pesakit, sudah tentunya) boleh duduk di situ itu untuk makan dan minum yang ringan-ringan, contohnya minuman 3 in 1 dan sandwich. Ini berlainan dengan situasi di HJT Seremban di mana kemudahan kerusi meja tidak disediakan. Lain padang lain belalang.

Saya naik bas ke TBS tepat pada jam 7.30 malam setelah solat Maghrib dan Jamak Isya' berjemaah. Dalam bas saya melihat English Premier League melalui Astro Go di telefon bimbit. Bas terus ke Seremban melalui TBS dan Kajang. Saya sampai rumah lebih kurang jam 1.20 pagi.