Hujung minggu lepas saya naik tren ETS dari Gemas ke Seremban. Sebenarnya perjalanan (dengan ETS) itu tidak dirancang kerana rancangan awal ialah menaiki tren biasa dari Segamat ke Tampin dan dari situ naik Komuter ke Seremban. Sebelum itu saya naik bas dari Seremban ke Segamat. Tetapi kerana bas lewat saya terlepas tren dari Segamat. Saya naik bas henti-henti dari Segamat ke Gemas dan dari situ naik ETS ke Seremban.
Saya tidak kira apa tempat duduk yang diberi oleh penjual tiket di Gemas kerana dari pengalaman saya sebelum ini banyak tempat duduk kosong di tren ETS antara Gemas dan Seremban. Rupa-rupaya tempat duduk yang diberi menghadap ke belakang. Saya pun berpindah ke tempat duduk meghadap ke hadapan.
Dari Gemas ke Tampin tidak ada masalah. Di stesen Tampin ramai penumpang yang naik tren termasuk pelancong asing. Rupa-rupanya saya duduk di tempat duduk seorang dari mereka. Saya pun berpindah ke tempat duduk lain. Itu pun tempat duduk orang. Saya berpindah sekali lagi.
Jelas jangkaan awal saya meleset. Sudah ramai penumpang naik tren ETS sekarang sehingga saya kena berpindah tempat duduk beberapa kali.
Beberapa bulan yang lepas saya naik bas rombongan dari Terengganu ke Seremban. Bas ikut Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Kuala Berang ke Kuala Lumpur. Kami sampai di Plaza Tol Bentong waktu Maghrib. Dari situ lebuhraya sesak dan bas bergerak merangkak. Pemandu bas berkata kalau macam ini bas mungkin sampai Seremban pada pukul 2 pagi.
Pemandu tidak ikut jalan melalui Keratong dan Serting kerana dia kena turunkan penumpang di Kuala Lumpur dan Shah Alam. Orang Seremban ada banyak pilihan untuk ke Kuala Lumpur, antaranya melalui dua lebuhraya dan laluan keretapi. Tetapi orang dari pantai timur seperti Kuantan tidak banyak pilihan. Selain LPT pilihan lain ialah jalan melaui Muazam Shah, Keratong dan Serting. Dari Serting mereka boleh memilih jalan melalui Kuala Pilah atau Jelebu untuk ke Seremban dan akhirnya ke Kuala Lumpur.
Saya menulis kali ini kerana ada yang mempertikaikan projek keretapi dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur melalui Bentong, Temerloh dan Kuantan. Mereka berkata ramai ke penumpang nanti untuk tujuan membayar balik kos projek itu.
Segmen Lebuhraya Utara Selatan yang mula-mula dibina ialah antara Kuala Lumpur dengan Seremban. Di masa itu setiap laluan mempunyai dua lorong sahaja. Akibat bertambahnya kenderaan ia dijadikan tiga lorong. Itu pun tidak cukup dan sekarang menjadi empat lorong. Tetapi kita masih menerima aduan masih ada kesesakan di antara Kuala Lumpur dan Seremban di masa-masa tertentu.
Begitu juga dengan laluan keretapi kita. Dari laluan satu trek laluan Gemas ke Padang Besar sudah manjadi laluan dua trek ditambah pula dengan kuasa elektrik. Koc Komuter juga sudah di naik taraf dari tiga koc ke enam koc. Itu pun masih sesak. Tiap kali naik Komuter dari Kuala Lumpur ke Seremban saya hanya dapat tempat duduk di Kajang jika tidak ada penumpang yang kesian pada saya yang tua ini.
Itulah situasinya nanti di laluan keretapi dari Kuala ke Kuantan, contohnya. Mula-mula penumpang mungkin tidak ramai dan kekerapan tren pun kurang. Tetapi lama kelamaan penumpang akan bertambah dan bandar-bandar baru juga akan dibina di laluan keretapi. Projek itu juga akan mengurangkan kesesakan lebuhraya dari Bentong ke Kuala Lumpur seperti yang sama alami itu.
Bagi mereka yang lantang membantah projek keretapi baru itu dan mengatakan mereka yang meluluskannya adalah bodoh kena bertanya diri sendiri siapa yang sebenarnya bodoh.