Tok Mat semasa pembukaan UTC Negeri Sembilan baru-baru ini.
Saya tertarik membaca berita Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang, Dato' Seri Utama Hj. Mohamad bin Haji Hasan yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat sebenarnya digantung dari bermain bolasepak seumur hidup. Untuk mengetahuinya sila baca Tok Mat digantung seumur hidup.
Peristiwa yang melibatkan Tok Mat digantung itu berlaku pada tahun 1977 di padang depan jabatan saya yang dipanggil Majlis Bandaran Seremban atau MBS di masa itu. Padang itu pula dipanggil semasa itu sebagai Padang Negeri Sembilan dan lebih dikenali sebagai NS Padang. Sekarang MBS sudah menjadi Majlis Perbandaran Seremban atau MPS dan padang itu dipanggil Padang MPS.
Di masa itu saya belum terlibat dengan pengurusan bolasepak. Saya lebih minat mengikuti perkembangan bolasepak sekolah lama saya Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR. Tetapi mulai tahun 1978 kalau tak salah, saya terpaksa terlibat dalam pengurusan bolasepak MPS dan menjadi Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan atau NSFA. Ia terjadi secara tiba-tiba ekoran satu lagi penggantungan.
Penggantungan kali ini ialah terhadap seorang pegawai bolasepak yang juga kawan saya. Kawan sejabatan saya ini di masa itu menjadi pengurus pasukan MBS. Di samping itu dia juga dipilih menjadi Bendahari kepada NSFA. Tetapi dia telah membuat satu kesalahan meletakkan seorang pemain yang tidak berdaftar untuk bermain di pasukan MBS di pertandingan Piala FAM.
Dia kemudian digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia atau FAM yang di masa itu diterajui oleh Dato' Hamzah Abu Samah. Dia digantung dari menjadi pegawai bolasepak, untuk tempoh berapa lama saya tidak pasti. Saya kemudiannya dipanggil oleh boss saya yang mengarahkan saya mengurus pasukan bolasepak MPS dan kemudian MPS dan seterusnya menduduki kerusi Ahli Majlis NSFA.
Oleh kerana saya menjadi Ahli Majlis NSFA setahun setelah peristiwa penggantungan Tok Mat, saya tidak tahu menahu mengenainya. Jika tidak tentu perkara itu dibawa ke Mesyuarat NSFA. Saya juga tidak ternampak kelibat Tok Mat bermain bola kerana dia sudah digantung seumur hidup..
Mengikut Tok Mat, penggantungan beliau ialah akibat merampas kad merah yang dilayangkannya oleh pengadil semasa perlawanan antara pasukan Tok Mat, Persatuan Bolasepak Melayu Negeri Sembilan yang lebih dikenali sebagai NS Malays dengan Persatuan India Negeri Sembilan yang lebih dikenali sebagai NSIA.
Dari nama kedua-dua pasukan itu seolah-olah mereka kelab perkauman. Tetapi hubungan kedua-dua kelab ini cukup baik. Walau pun pemain NS Malays selalunya 100% Melayu, pasukan NSIA tidak begitu. Mereka mempunyai pemain bukan India, termasuk Melayu. Malah kelab NSIA antara penyokong kuat usaha menggantikan Setiausaha NSFA di masa itu yang berbangsa India dengan seorang Melayu. Untuk mengetahui mengenainya sila klik di sini.
Tok Mat dilayangkan kad kuning pada mulanya kerana mengasari pemain NSIA G. Torairaju yang berasal dari Sua Betong, Port Dickson. Semasa saya mengurus pasukan MBS/MPS, G. Torairaju diambil bekerja dengan kami. Sempat juga saya mengurusnya sebelum dia dibeli oleh pasukan negeri Melaka. Seorang lagi pemain Negeri Sembilan yang dibeli oleh negeri Melaka ialah Ramli Junit yang pernah bermain dengan pasukan Tok Mat NS Malays.
Yang anehnya ialah sekarang Tok Mat menerajui badan yang menggantungya dari bermain seumur hidup ialitu NSFA. Mujurlah penggantungan itu cuma untuk beliau bermain bolasepak dan tidak menyebut digantung dari menjadi pegawai bolasepak, seperti kawan yang saya sebut itu.
Walau pun ada suara-suara dari Ahli Majlis NSFA sendiri untuk memadam penggantungannya, Tok Mat tidak bersetuju, kerana mengikutnya dia sedar dia salah. Inilah satu sifat pemimpin yang kita mahu dan tidak menyalahkan orang lain.
Kita kena respek Tok Mat.
Walau pun ada suara-suara dari Ahli Majlis NSFA sendiri untuk memadam penggantungannya, Tok Mat tidak bersetuju, kerana mengikutnya dia sedar dia salah. Inilah satu sifat pemimpin yang kita mahu dan tidak menyalahkan orang lain.
Kita kena respek Tok Mat.
No comments:
Post a Comment