Pos saya sebelum ini ialah mengenai penggantungan Tok Mat dari bermain bolasepak seumur hidup. Tok Mat ialah panggilan manja kami orang Negeri Sembilan untuk Menteri Besar kami sekarang, Dato' Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hasan.
Saya fikir baik juga saya ceritakan mengenai satu lagi penggantungan tidak lama selepas Tok Mat dihukum gantung bermain itu. Ini kerana akibat penggantungan yang ini saya secara suka atau tidak mula terlibat dalam pengurusan bolasepak, walau pun saya tidak pernah bermain apa-apa bola sebelumnya.
Kisahnya agak lucu juga kerana berkait dengan perumpamaan Melayu 'lembu punya susu sapi dapat nama'. Cuma kali ini ia melibatkan permainan bolasepak.
Di penghujung tahun 1970an dan awal 1980an pasukan bolasepak jabatan saya Majlis Bandaran Seremban (MBS) yang kemudiannya menjadi Majlis Perbandaran Seremban (MPS) agak kuat. Kami telah menjadi juara Liga Bolasepak Negeri Sembilan beberapa kali.
Ini hasil kami menawarkan kerja kepada pemain-pemain dari kelab lain yang tidak mempunyai kerja tetap. Kebanyakan mereka diambil bekerja sebagai Atendan Letak Kereta. Ini juga menyebabkan kelab-kelab lain cemburu kepada kami. Contohnya senang sahaja iaitu apabila pasukan MPS bermain, kebanyakan penonton menyokong pasukan lawan.
Pada tahun 1978 kalau tak salah saya kami layak bertanding di Piala FAM hasil kami menjadi juara Liga Bolasepak Negeri Sembilan. Saya di masa itu menjadi Penolong Setiausaha Kelab Sukan MBS dan tidak campur tangan dengan pengurusan bolasepak.
Kami pun mendaftar beberapa pemain dari kelab lain untuk bermain dengan pasukan kami di Piala FAM ini kerana ia dibenarkan oleh FAM. Saya sendiri melihat senarai penuh pemain sebelum dihantar ke FAM di Kuala Lumpur.
Perlawanan pertama kami ialah dengan pasukan Daerah Johor Bahru di Padang Stesen, Seremban. Padang itu kemudiannya ditukar nama kepada Stadium Perbandaran Seremban sebelum dirobohkan dan di tempatnya ialah kompleks Seremban Prima sekarang.
Permainan berlangsung di waktu malam dan saya ditugaskan menjaga pintu pagar B di Jalan Yam Tuan (dulu dipanggil Jalan Paul) dan dijangkakan seorang VIP akan datang. Kawan-kawan saya yang lain menjaga pintu pagar A di Jalan Dato' Bandar Tunggal (dulu Jalan Birch).
VIP yang dimaksudkan ialah Dato' Mokhtar Hashim, berasal dari Tampin, Negeri Sembilan yang semasa itu menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Dia masuk melalui pintu pagar B di Jalan Paul dan saya mengiringnya ke pentas VIP semasa permainan sudah bermula.
Tetapi apa yang saya lihat di atas padang memeranjatkan saya. Ini kerana saya lihat ada seorang pemain yang tidak berdaftar sedang bermain dengan pasukan kami MBS yang lebih senang disebut Seremban Town Council. Saya pun pergi ke tempat duduk atau 'bench' pasukan kami dan terus bertanya kepada pengurus dan jurulatih kenapa mereka meletakkan seorang pemain 'haram'?
Jawapannya pemain 'haram' itu didaftarkan atas nama seorang pemain 'halal' yang sebenarnya tidak bemain dan tidak berada pun di atas 'bench' atau di mana-mana di Padang Stesen itu. Saya sebagai Penolong Setiausaha kelab terus memarahi mereka dan berkata tembelang ini akan pecah, tunggu sajalah.
Mereka menjawab tidak ada orang lain yang tahu mengenai penipuan ini melainkan kami. Kalau tahu pun tak kan ada yang berani membantah. Saya terus jawab mereka tidak tahu ke bahawa pasukan kita dibenci oleh kebanyakan penonton bola. Tentu ada dari mereka yang akan membuat aduan nanti.
Tekaan saya didapati betul. Kami menang pelawanan itu dengan jaringan 2-1. Yang menggerunkan ialah gol kemenangan dijaring oleh pemain 'haram' tadi. Di hari esoknya keluarlah berita perlawanan itu di surat khabar. Para pemberita yang merujuk kepada senarai pemain yang diberikan kepada mereka melaporkan gol kemenangan pasukan Seremban Town Council dijaringkan oleh seorang yang sebenarnya tidak ada pun di atas padang pada malam sebelumnya.
Beberapa penonton bolasepak yang sengaja datang untuk melihat kami kalah terus mengadu kepada pihak-pihak akhbar berkenaan dan mengatakan pemberita mereka telah salah lapor. Mujur juga semasa perlawanan pihak television tidak membuat siaran atau rakaman. Tetapi cerita sensasi pemain 'haram' ini telah disensasikan tidak lain tidak bukan oleh seorang ketua pemberita akhbar nasional Bahasa Inggeris yang ditempatkan di Seremban.
Ketua pemberita ini memang bermusuh ketat dengan boss kami yang berjawatan Setisuaaha walau pun mereka sebangsa (bukan Melayu). Dia sering mengeluarkan berita-berita negatif mengenai Seremban Town Council yang akhirnya membuatkan Setiausaha tadi digantikan dengan seorang Melayu, walau pun bagi saya dia seorang yang cukup baik.
Dia pun mensensasikan cerita pemain 'haram' tadi walau pun dia sebenarnya tidak melihat perlawanan itu. Antaranya siapa yang tidak kenal dengan pemain 'haram' itu kerana abangnya yang bekerja dengan Seremban Town Council juga bermain bolasepak dan sama-sama bermain di malam yang malang itu.
Dipendekkan cerita berita ini telah ditangkap oleh FAM. Mereka pun membuat siasatan sendiri dan mendapati dakwaan pasukan kami menggunakan seorang pemain 'haram' adalah benar. Kemenangan kami telah dibatalkan dan diberi kepada pihak lawan.
Bukan itu sahaja, pasukan MBS atau Seremban Town Council telah diharamkan dari bermain untuk Piala FAM walau pun kami layak untuk tahun-tahun berikutnya. Pengurus pasukan kami juga dihukum tidak boleh terlibat dengan permainan bolasepak untuk satu tempoh.
Kelab Sukan MBS akur dengan hukuman-hukuman yang dikenakan. Tetapi kami telah merayu keatas pengharaman kami bermain di Piala FAM jika layak. Rayuan kami diterima dan pada tahun berikutnya kami bertanding lagi di Piala FAM tetapi kalah di pusingan pertama di Ipoh, Perak.
Pengurus pasukan kami terus bersara dari melibatkan diri dengan bolasepak. Saya telah diarah menggantiknnya dan mengurus pasukan bolasepak MBS/MPS untuk beberapa tahun sehingga saya dengan rela hati melepaskan jawatan tersebut.
No comments:
Post a Comment