Tuesday, January 23, 2018

Naik sepuluh kenderaan dalam satu hari.

Saya di tempat kesukaan saya dalam MRT.

Satu lagi tujuan saya ke KL, untuk dapatkan kad ini.

Saya ada menerima jemputan kahwin dari kawan sama sekolah. Majlisnya pada hari Sabtu 20 Januari 2018 di Ampang, Kuala Lumpur. Isteri saya menolak ajakan saya untuk pergi sama. Ini saya tidak hairan, kerana dia tahu bila saya berjumpa dengan kawan-kawan sekolah, dia seolah-olah dipinggirkan.

Di samping itu saya ingin mendapatkan satu kad konsesi rapidKL yang dipanggil myrapid. Saya diberitahu kad itu hanya boleh didapati di stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Setelah meneliti di mana majlis diadakan, saya pun bercadang untuk menaiki kenderaan awam untuk ke sana selain menaiki skuter saya sendiri. Kenderaan-kenderaan cadangan saya pada hari itu adalah seperti berikut:
  1. Skuter Modenas Elegan dari rumah ke stesen KTM Seremban dan balik.
  2. KTM Komuter dari Seremban ke Kajang.
  3. MRT dari Kajang ke Maluri.
  4. LRT dari Maluri ke Ampang.
  5. Teksi dari stesen LRT Ampang ke lokasi Majlis.
  6. Teksi dari lokasi Majlis ke LRT Jelatek.
  7. LRT dari Jelatek ke Pasar Seni.
  8. KTM Komuter dari stesen Kuala Lumpur ke Seremban.
Saya menaiki KTM Komuter tepat pukul 10.00 pagi di Seremban. Saya sampai ke lokasi Majlis hampir pukul 12 tengah hari setelah menaiki KTM Komuter, MRT, LRT dan teksi tanpa halangan.

Majlis diadakan di kawasan rumah banglo dua tingkat di kawasan kedutaan asing seluruh dunia. Saya mula-mula menyangka majlis diadakan di rumah sebenar kawan saya itu. Setelah meneliti lanjut baru saya tahu rumah itu disewa khas untuk majlis-majlis seperti perkahwinan. Tidak hairanlah majlis tersusun rapi dengan notis-notis untuk surau, tandas dan sebagainya. 

Seperti biasa saya bergaul dengan kawan-kawan sekolah. Gambar-gambar ada saya masukkan dalam laman sosial Facebook saya. Setelah berada di situ lebih kurang 1 1/2 jam saya memutuskan untuk balik, walau pun di masa itu ramai lagi kawan-kawan sekolah saya belum muncul.

Walau pun pada mulanya saya ingin seorang kawan menghantar saya balik ke tempat menunggu teksi, saya memutuskan untuk berjalan kaki sahaja. Keluar sahaja dari kawasan rumah saya bertanya kepada seorang penunggang motosikal Melayu laluan untuk ke tempat menunggu teksi yang paling dekat. Dia terus menyuruh saya membonceng motosikalnya.

Rupa-rupanya dia seorang pembaca meter Tenaga Nasional Berhad (TNB). Dia membawa beberapa keping surat yang saya sangka notis pemotongan bekalan letrik. Sambil menaiki motosikal tanpa topi keledar saya nyatakan kehairanan saya di tempat mewah begini ada juga orang tidak membayar bil letrik.

Jawapannya dia bukan membawa notis, tetapi ingin membaca semula meter-meter yang selama ini dibuat anggaran sahaja kerana rumah tidak boleh dimasuki. Di hujung minggu ini tentu ramai dari mereka itu yang ada dirumah. Saya memarahi diri saya sendiri kerana membuat andaian salah.

Bukan sahaja kami tidak memakai topi keledar menaiki motosikal. Kami memasuki jalan sehala secara songsang dan lalu depan pondok Polis (kerana banyak kedutaan di situ) tanpa gangguan.

Saya dihantarnya ke satu bus-stop di Jalan Ampang. Setelah membaca laluan bas di notis di situ, saya batalkan niat untuk naik teksi. Sebaliknya saya ingin menaiki bas sahaja ke KLCC dan dari situ menaiki LRT ke Pasar Seni untuk mendapatkan kad myrapid. 

Bila saja menaiki bas rapidKL yang tiba tidak lama lepas itu saya terangkan kepada pemandu bahawa saya ini warga emas dengan harapan dikenakan diskaun tiket. Dia menjawab diskaun hanya diberi kepada pemegang kad myrapid. Bila ditanya di mana saya boleh mendapatkan kad itu, jawapannya di LRT Pasar Seni. Memang saya hendak ke situ pun.

Saya tidak turun di KLCC tetapi tukar niat untuk terus ke Pasar Seni. Tetapi di bus-stop Masjid Jamek semua penumpang diminta turun, entah kenapa. Saya tidak ada pilihan dari menaiki LRT dari situ ke Pasar Seni.

Di Pasar Seni saya lihat ramai pemohon kad beratur panjang, kebanyakan mereka anak muda berupa penuntut. Saya tanya kepada staff di kaunter adakah seorang warga emas seperti saya perlu beratur juga? Dia terus menghulurkan satu borang, mengambil MyKad saya dan meminta saya duduk sementara nama saya dipaggil.

Saya tidak perlu menunggu lama bila nama saya dipanggil. Potret saya diambil dan setelah kad siap dengan potret tertera seperti di atas saya diarah membuat bayaran pertama. Saya diminta membayar RM 15.00 untuk tujuan berikut:
  • RM 5.50 untuk harga kad.
  • RM 9.50 untuk harga top-up.
Saya berikan RM 20.00 dan minta staff di kaunter supaya baki RM 5.00 dijadikan top-up kepada top-up. Dia jawab tidak boleh, selepas ini apa-apa top-up hendaklah dibuat di kaunter tiket biasa. Hairan juga saya.

Walau pun pada mulanya saya hendak gunakan kad myrapid pertama kali dengan menaiki LRT dari Pasar Seni ke KL Sentral, saya putuskan untuk berjalan kaki ke stesen Kuala Lumpur di sebelah LRT Pasar Seni.

Tujuan saya ke stesen KTM Kuala Lumpur ialah untuk mengimbau kembali kenangan saya melepak di situ beberapa jam semasa perjalanan pulang ke kampung dan sebaliknya dengan tren semasa sekolah dulu. Di zaman saya bersekolah dahulu semua tren bermula dan berakhir di stesen Kuala Lumpur. Di antara pertukaran tren semua penumpang menunggu atau melepak di stesen antik ini.

Saya hampa kerana hanya platform 3 dan 4 dibuka di stesen Kuala Lumpur. Platform 1 dan 2 dan bangunan pentadbiran dilarang masuk kerana projek meletak landasan baru KTM. Saya terpaksa melepak di platform 4 tanpa berbuat apa-apa.

Saya agak menyesal kerana mungkin terlepas KTM Komuter dari KL Sentral ke Seremban. Sangkaan saya betul setelah menaiki Komuter laluan Tanjong Malim - Pelabuhan Kelang ke KL Sentral. Di KL Sentral saya dapati Komuter KL Sentral ke Seremban telah berlepas semasa saya menunggu di stesen Kuala Lumpur tadi.

Di KL Sentral ramai menunggu Komuter ke Seremban sehingga saya tertanya dapatkah saya tempat duduk nanti. Saya selalu menaiki koc B atau E bila menaik Komuter. Koc A dan F tempat duduknya mengereng dan koc C dan D pula khas untuk wanita.

Saya putuskan untuk menunggu koc A atau F di pintu masuk paling belakang. Tekaan saya tepat kerana tidak ramai yang menunggu di pintu ini. Bila tren datang saya senang masuk dan dapat tempat duduk, walau pun mengereng. KTM Komuter laluan Batu Caves - Seremban penuh sehingga ada yang berdiri hingga Seremban.

Akhirnya berikut adalah kenderaan-kenderaan yang saya naiki pada hari Sabtu 20 Januari 2018:
  1. Skuter Modenas Elegan dari rumah ke stesen KTM Seremban dan balik.
  2. KTM Komuter dari Seremban ke Kajang.
  3. MRT dari Kajang ke Maluri.
  4. LRT dari Maluri ke Ampang.
  5. Teksi dari stesen LRT Ampang ke lokasi Majlis.
  6. Motosikal (penumpang) dari lokasi Majlis ke bus-stop Jalan Ampang.
  7. Bas rapidKL dari Jalan Ampang ke Masjid Jamek.
  8. LRT dari Masjid Jamek ke Pasar Seni.
  9. KTM Komuter laluan Tanjong Malim - Pelabuhan Kelang dari stesen Kuala Lumpur ke KL Sentral.
  10. KTM Komuter laluan Batu Caves - Seremban dan KL Sentral ke Seremban.
Pembaca boleh menilai apa-apa terhadap perjalanan saya. Bagi saya jawapannya satu sahaja iaitu menyeronokkan.

Sekian.

No comments: