Wednesday, February 7, 2018

50 sen tu besar bagi saya.


Beberapa minggu lepas saya telah pergi ke stesen LRT Pasar Seni di Kuala Lumpur untuk mendapatkan kad seperti gambar di atas. Lepas ini saya akan merujuk kad itu sebagai myrapid sahaja.

Setelah mendaftar dan potret diambil, saya diminta membayar RM 15.00 sahaja. Pecahannya ialah RM 5.50 untuk harga kad dan RM 9.50 nilai tersimpan atau 'stored value'. Mula-mula saya ingin membantah kenapa harga kad dikenakan. Tetapi memikirkan kad itu tertera dengan potret dan butir-butir tuan punya saya pendamkan bantahan saya.

Saya berikan RM 20.00 dengan menyatakan lebihan RM 5.00 itu dijadikan tambahan atau 'top-up' kepada nilai tersimpan. Staff dikaunter menjawab tak boleh dan 'top-op' hanya dibuat dikaunter-kaunter biasa di stesen LRT, MRT dan Motorail. Saya tidak mengerti akan kenyataan begitu hinggalah semalam.

Petang semalam saya cuba hendak 'top-up' kad myrapid saya di satu stesen MRT. Saya diberitahu seperti berikut:
  1. 'Top-up' boleh dibuat di mesin atau kaunter khidmat pelanggan mana-mana stesen MRT, LRT dan Monorail.
  2. Bayaran 'top-up' minima ialah RM 10.00. 
  3. Tiap kali 'top-up' caj 50 sen akan dikenakan. Ini bermakna jika saya serah atau masukkan RM 10.00 nilai tersimpan kad myrapid saya hanya bertambah RM 9.50
  4. Sesiapa yang tidak mahu dikenakan caj 50 sen hendaklah membuat 'top-up' di kaunter khas Touch n Go dan di Plaza Tol.
Mereka yang menggunakan kad myrapid adalah mereka yang biasanya tidak mempunyai atau menggunakan kereta, contohnya saya sendiri. Saya sekarang jarang-jarang menggunakan kereta, tetapi nampaknya untuk menjimatkan 50 sen bila hendak menambah nilai kad mayrapid, saya terpaksa menggunakan kereta dan masuk ke mana-mana Plaza Tol yang mempunyai laluan untuk tambah nilai.

Saya hairan mengapa syarat-syarat begitu dikenakan. Sedangkan untuk kad konsesi KTM Komuter harga kad adalah percuma dan tiada caj dikenakan bila nilai tersimpan di 'top-up', baik di kaunter atau di mesin. Kenapa ada 'double standards' dalam sistem pengangkutan awam kita?

Mungkin ramai menganggap 50 sen itu kecil, tetapi bagi saya ia besar.   

No comments: