Friday, February 23, 2018

Kenapa tambah cerita asal?





Bila seorang pengarah filem menyembahkan filemnya kepada studio untuk diedar dan ditayang akan berlaku antara dua perkara. Pertama, filemnya akan ditayang tanpa apa-apa potongan. Filem yang lengkap begini dipanggil 'The Director's Cut'. Kedua, filemnya akan ditayang dengan sedikit potongan. Biasanya filem itu dipotong untuk mengelakkan penonton bosan menonton filem yang panjang dari biasa.

Tetapi belum pernah mana-mana studio filem menambah adegan filem yang diserahkan oleh mana-mana pengarah kepada mereka. Tetapi itulah yang berlaku kepada satu 'filem' arahan saya yang saya serahkan kepada satu 'studio'. 'Filem' itu berupa satu pos dari blog saya ini. 'Studio' pula berupa Sidang Pengarang sebuah buku yang memasukkan pos blog saya itu sebagai satu artikel.

Sejak mula menulis blog hampir 10 tahun yang lalu, saya berhati-hati. Saya tidak pernah menyebut nama sesiapa jika ada cerita negatif mengenainya. Saya akan hanya menyebut namanya jika cerita mengenainya adalah positif dan gambarnya saya siarkan sekali.

Saya memastikan cerita saya adalah benar. Jika tidak pasti tentang apa-apa fakta saya akan menalipon kawan-kawan atau bihak berkuasa untuk mendapatkannya. Saya tidak pernah menulis 'Dari punca-punca yang dipercayai' atau 'From reliable sources'. Saya tidak pernah 'salin dan tampal' dari mana-mana punca yang tidak sahih. 

Beberapa bulan yang lalu bila satu badan meminta saya menghantar beberapa artikel untuk dimasukkan ke dalam satu buku  terbitan mereka, saya telah menghantar beberapa pos dari blog saya ini. Pos-pos itu pula berupa peristiwa-peristiwa yang saya betul-betul alami. 

Tetapi bila buku itu diterbitkan saya terperanjat kerana mendapati banyak artikel saya ditokok tambah. Saya sengaja tidak menulis fakta-fakta yang saya tidak pasti. Saya juga tidak menulis nama sesiapa untuk menjaga perasaan mereka dan keluarga mereka, kerana ada diantara mereka sudah meninggal dunia.

Satu dari artikel dari pos saya yang dimasukkan ke dalam buku itu memasukkan  nama seorang yang masih hidup dalam nada negatif. Dimasukkan juga pergerakan nama yang disebut itu yang saya tidak pasti kesahihannya. Sedangkan nama dan pergerakan tersebut tidak ada dalam pos asal saya.

Sudah tentu orang berkenaan tersinggung dan dia telah menulis bantahan kepada Ketua Sidang Pengarang. Nama saya sebagai penulis artikel juga disebut dalam surat bantahannya. Antara permintaannya ialah supaya penerbit buku membuat permohonan maaf dalam dua akhbar kebangsaan untuk membersihkan namanya.

Saya tidak tahu apa tujuan Sidang Pengarang menokok tambah tersebut. Adakah mereka anggap saya ini belum lengkap sebagai seorang penulis? Tak apalah, kerana saya tidak pernah menganggap diri saya ini seorang penulis yang lengkap. 

Sekian.

No comments: