Minoriti antara majoriti.
Beberapa hari yang lalu Setiausaha kepada Persatuan Pesara di mana saya menjadi ahli meminta saya menolongnya. Dia meminta saya mendapatkan seorang pembaca doa untuk memulakan Mesyuarat Agung Tahunan kami. Sudah bertahun saya menolongnya dalam hal ini. Ahli Persatuan kami yang beragama Islam amat kecil bilangannya, tetapi bacaan doa di permulaan Mesyuarat Agung kami tidak pernah diabaikan.
Di hari Mesyuarat Agung tugas pertama saya ialah mencari pembaca doa yang sudah berjanji hadir. Saya dapati dia tengah menulis skrip doanya. Saya minta dia membaca doa ringkas dalam Bahasa Melayu sahaja. Tujuannya supaya hadirin yang majoritinya bukan Islam sekurang-kurangnya faham apa yang kami doakan.
Supaya tidak lupa saya minta pembaca doa menulis nama penuhnya di buku Mesyuarat Agung saya. Kemudian saya berjumpa Setiausaha tadi yang bukan Islam dengan mengatakan pembaca doa sudah bersedia. Saya berikan nama penuhnya seperti tertulis di buku Mesyuarat Agung saya. Setiausaha tadi telah menyalinnya ke buku nota kecil di dalam poket bajunya.
Apabila perasmian mesyuarat dimulakan saya terperanjat bila Setiausaha yang juga juruacara majlis terus memanggil pemberi ucapan pertama untuk berucap. Saya yang duduk di belakang terus melambai dan memberi isyarat menapang kedua-dua tangan seolah-olah berdoa kepadanya. Dia faham akan isyarat saya dan terus meminta maaf.
Dia kemudian menyebut majlis akan dimulakan dengan bacaan doa. Tetapi dia terkial-kial mencari nama pembaca doa di nota-nota di depannya. Sudah tentu nama itu tidak ada, kerana ia berada di dalam poketnya.
Untuk mengelakkan dia lagi kelam kabut mencari nama itu di dalam buku nota kecilnya saya terus mengambil buku Mesyuarat Agung saya dan menunjukkan nama pembaca doa itu yang ditulis sendiri oleh orang punya badan. Selepas itu majlis yang dirasmikan oleh seorang Timbalan Menteri Kabinet Malaysia telah berjalan dengan lancar.
Itulah tanda-tanda kami sudah tua dan saya pasti hadirin tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini.
1 comment:
Salam encik Maarof. Sila sambung tulisan lagi. Saya minat bacanya.
Post a Comment