Friday, November 29, 2019

CERITA ABU MAYAT

Image result for urn

Inilah contoh balang atau 'urn' di mana abu mayat biasanya disimpan.


Sekarang ini hebat diceritakan mengenai abu mayat Chin Peng yang pernah menjadi Setiausaha Agung, Parti Komunis Malaya (PKM). Ceritanya, abu itu sudah dibawa balik ke Malaysia dan ditaburkan. Ada yang mengatakan abu itu ditaburkan ke satu sungai dan ada juga dikatakan ditabur di banjaran gunung. Bagaimana ia ditaburkan di banjaran gunung, saya tak tahu.

Menaburkan abu mayat ke sungai mengingatkan saya kepada filem 'The Bridges of Madison County' lakunan Clint Eastwood dan Meryl Streep. Filem diarahkan oleh Clint Eastwood sendiri. Filem bermula dengan dua orang adik beradik (kakak dan adik lelaki) membaca wasiat ibu mereka yang baru sahaja meninggal dunia. Bapa mereka sudah meninggal dunia awal

Wasiat ibu mereka ialah supaya mayatnya dibakar dan abunya ditaburkan ke satu sungai melalui satu jambatan. Mereka hairan kerana belum pernah mayat ahli keluarga mereka yang meninggal dunia dibakar.

Di samping surat wasiat, terdapat juga surat tulisan ibu menceritakan kenapa dia membuat permintaan begitu. Ibunya menulis, semasa anak-anaknya yang dua orang itu masih remaja dia pernah berlaku curang dan membuat hubungan sulit dengan seorang lelaki bukan bapa mereka. Ini berlaku semasa dia tinggal keseorangan bila suami dan anak-anaknya pergi ke bandar selama empat hari kerana mempertandingkan seekor lembu mereka. Lembu itu menang pertandingan itu.

Membaca itu, si adik berkata dia hendak mencari lelaki itu untuk membunuhnya. Si kakak menjawab, nanti dulu. Kerana lelaki itu sudah meninggal dunia, mayatnya juga dibakar dan abunya ditaburkan ke sungai yang sama melalui jambatan yang sama seperti permintaan ibu mereka.

Filem itu kemudian membawa penonton ke 'flashbacks' menunjukkan bagaimana ibu mereka boleh jatuh cinta kepada lelaki bukan suaminya itu. Yang utama ditunjukkan cinta mereka bermula di atas jambatan yang dinamakan oleh ibu mereka itu.

Dipendekkan cerita kedua-dua adik beradik itu akhirnya bersetuju supaya mayat ibu mereka dibakar dan abunya ditaburkan ke sungai melalui satu jambatan, seperti permintaan ibu mereka.

Sekian.