Tuesday, May 26, 2009

Selamat Harijadi Salmah, Haziq dan Fahim

Pada hari Ahad 24 Mei yang lepas kami merayakan harijadi tiga ahli keluarga kami. Isteri saya Salmah sudah berumur 56 tahun. Cucu kedua saya Haziq berumur 6 tahun dan Cucu bongsu saya Fahim berumur 5 tahun.
Memang untuk beberapa tahun sebelum ini harijadi mereka bertiga ini diraikan serentak. Tetapi untuk kali ini kami buat sedikit perubahan dengan mengadakannya di Restoran A & W, Taman Tasik, Seremban.
Seperti biasa cuma orang-orang Seremban sahaja yang dijemput. Minta maaf kepada orang-orang di Lembah Kelang dan Melaka.
Inilah tempatnya, Restoran A & W, Taman Tasik, Seremban.


Haziq, Fahim dan Danial bermain belon sebelum acara bermula.


Hijau, biru dan merah.


Fahim minum root beer.

Haziq kata 'peace' sambil makan ayam goreng.


Menjamu selera.

Saya nak bergambar juga. Danial tunjuk muka masam kerana dia tak dapat apa-apa hadiah hari jadi.

Tiba masa untuk Mr. Bear masuk.

Hello kids!

Menari dengan Mr. Bear. Anis (sebelah Mr. Bear) kemudian dapat hadiah sebagai 'best dancer'.

Mr. Bear sungguh hebat.

Mereka menari. Fahim menyuruk kerana takutkan beruang.

Mr. Bear menyampaikan hadiah kepada Awin.

Yang diraikan bergambar dengan Mr. Bear. Fahim tak takutkan beruang lagi.

Bersama-sama meniup lilin disaksikan Mr. Bear.

Memotong kek.

Lagi memotong kek.

Akhirnya Mr. Bear bergambar dengan budak-budak.

Untuk gambar-gambar lain sila layari:


dan



Sunday, May 24, 2009

Melawat tapak sekolah rendah

Pada 20 Mei yang lepas saya balik ke kampung saya Kg. Petaseh, Jelebu, Negeri Sembilan untuk menziarahi seorang anak buah saya yang meninggal dunia di Subang Jaya Medical Centre (SJMC). Alfatihah kepadanya. Sementara jenazah sampai saya sempat melawat tapak sekolah dimana saya menerima pelajaran rendah dari tahun 1956 hingga 1961 yang hanya terletak 200 meter dari rumah keluarga Allahyarham.

Sebenarnya sekolah rendah kampung saya sudah berpindah dari tapak asal ke satu tapak baru di tepi Laluan Persekutuan 86 beberapa tahun yang lalu. Apa yang istimewa bagi sekolah baru ini ialah ia mempunyai asrama untuk menempatkan murid-murid yang tinggal jauh. Setahu saya ada juga murid yang datang dari luar Jelebu yang bersekolah di sekolah baru ini.

Inilah pintu pagar masuk ke tapak sekolah. Sekolah ini terletak lebih kurang 1.8 km dari rumah ibu saya. Kebanyakan kami hanya berjalan kaki untuk ke sekolah. Bangunan sekolah sudah dirobohkan. Bangunan yang nampak ialah kandang projek ternakan kambing.


Inilah padang sekolah dimana saya dan kawan-kawan bermain di masa kecil-kecil dulu. Saya nampak ada tiang gol. Sudah pasti didirikan oleh budak-buak kampung ini untuk bermain bolasepak. Saya tidak tahu status tanah sekolah ini sekarang. Adakah sudah dimiliki oleh pihak lain selain kerajaan?



Nampak satu lagi tiang gol. Yang ketara ialah kandang projek ternakan kambing. Rumput yang panjang itu ialah untuk makanan kambing. Saya tidak tahu sama ada budak-budak boleh bermain bola lagi dengan kehadiran kandang ini.



Ini papan tanda projek ternakan kambing. Kelihatan seorang pekerja (pengusaha?) projek ini sedang memotong rumput panjang makanan kambing. Yang sudah pasti ialah kandang kambing ini terletak di tapak sekolah lama. Adakah pengusaha ini sudah membeli tanah ini dari kerajaan atau mendapat lesen pendudukan sementara (T.O.L.)? Saya kurang pasti.

Malang juga bagi saya kerana kedua-dua sekolah rendah dan menengah saya sudah berpindah ke tapak-tapak baru. Sekolah menengah saya iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR sudah berpindah dua kali dari tapak asalnya di Tanjung Malim. Mula-mula ke Sikamat, Seremban dan akhirnya ke Sg. Gadut, Seremban juga.

Yang positif ialah kedua-dua sekolah saya ini berpindah ke tapak yang mempunyai kemudahan yang lebih baik. Saya bercita-cita untuk kembali ke tapak sekolah menengah lama saya pula untuk mengambil gambar-gambar serupa seperti di atas. Dengar khabarnya kebanyakan bangunan lama juga sudah dirobohkan.

Monday, May 18, 2009

Tulisan di baju T - Bahagian 2

Seorang kawan saya Anuar Mohamed menghantar gambar di bawah kepada saya. Anuar juga juga menerimanya dari kawannya.

Saya salin dan tampal komen-komen mereka.


"Biar betul budak ni...tak tau makna ke?

Akibat tidak berilmu atau sengaja?

Sama-samalah kita menjaga kesucian islam terutama didalam masjid.

Semoga mendapat iktibar,"


"bahayanya tak faham!"



Saya tak tahu nak komen apa-apa.

Sunday, May 17, 2009

Pergi majlis perkahwinan anak kawan lama

Semalam bersamaan Hari Guru 16 Mei 2009 saya telah pergi ke majlis perkahwinan anak seorang kawan lama saya Hj. Borhan bin Bulat di Taman Suria, Jasin, Melaka. Hj. Borhan berasal dari Kg. Bukit Senggeh, Jasin, Melaka. Kebanyakan penduduk di Kg. Bukit Senggeh bercakap loghat Negeri Sembilan. Ramai juga saudara mara sekampung Hj. Borhan yang datang dan saya sempat berbahasa Negeri Sembilan dengan dengan mereka.

Saya sama-sama sekelas dengan Hj. Borhan di Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak dari tahun 1962 hingga 1967. Setelah meninggalkan sekolah saya telah berjumpa dengan Hj. Borhan sebanyak tiga kali.

Kali pertama ialah pada tahun 1972 di mana saya bekerja di Pasir Putih dan Hj. Borhan di Machang, kedua-duanya di Kelantan. Saya masih ingat dari Pasir Putih ke Machang terpaksa melalui jalan menaiki dan menurun bukit. Tetapi sekarang sudah ada jalan yang baru lagi lebar.

Semasa di Machang Hj. Borhan menjadi guru dan saya masih ingat lagi Hj. Borhan menyatakan beliau bercita-cita untuk masuk ke universiti. Semalam saya lupa bertanya beliau sama ada cita-citanya itu tercapai atau tidak.

Kali kedua saya berjumpa Hj. Borhan di makan malam bekas pelajar sekolah kami di Putrajaya pada tahun 2006.

Kali ketiga pula saya berjumpanya di majlis perkahwinan anak seorang kawan sekolah kami Muhamad Abdullah di Semabok, Melaka pada bulan Disember 2008. Sila lihat pos ini :

http://maarofkassim.blogspot.com/2008/12/delima-mempunyai-dua-kawan-yang-nama.html

Hj. Borhan tetap seperti yang saya kenali lebih empat puluh tahun yang lalu. Berbeza dengan saya dia tidak memakai cermin mata tetapi rambutnya hampir putih semuanya.


Inilah Taman Suria, Jasin, Melaka di mana Hj. Borhan dan keluarga tinggal.


Hj. Borhan menerima tetamu. Warna tema perkahwinan ini ialah hijau.



Inilah anak lelaki Hj. Borhan bernama Fitrin dengan isterinya. Ini juga merupakan kali ketiga Hj. Borhan menerima menantu.




Ini gambar Hj. Borhan dan saya pada tahun 1962. Kebetulan Hj. Borhan berdiri betul-betul di belakang saya.


Ini gambar kami semalam.
Selamat menerima menantu, Borhan!

Friday, May 15, 2009

Kenangan 13 Mei 1969

Pengenalan


Umum tahu bahawa pada 13 Mei 1969 berlaku satu peristiwa hitam dalam negara kita. Di hari itu terjadi satu pergaduhan kaum di antara orang Melayu dengan orang Cina di Kuala Lumpur. Pergaduhan ini melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Ia berlaku hanya setelah tiga hari Pilihanraya Umum keempat (PRU 4) negara kita.

Mengikut apa yang saya baca pergaduhan itu berlaku akibat perbuatan mengejek yang dilakukan oleh orang-orang bukan Melayu terhadap orang Melayu kerana parti Perikatan banyak hilang kerusi di PRU tersebut. Negeri Selangor yang masih termasuk Kuala Lumpur mungkin diperintah oleh parti-parti bukan Perikatan. Situasi yang sama berlaku di Perak. Pulau Pinang sudah jatuh kepada parti Gerakan.


Perarakan

Satu atau dua hari selepas PRU 4 itu telah diadakan satu perarakan kemenangan di Kuala Lumpur yang dianjurkan kononnya oleh parti-parti yang menentang Perikatan. Ini telah membakar semangat orang-orang Melayu dan berlakulah pergaduhan itu yang dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei.

Banyak versi tentang Peristiwa 13 Mei ini. Terdapat juga soalan-soalan yang masih belum terjawab mengenai sebab atau puncanya atau siapa yang benar-benar memulakannya. Saya tidak ingin menyentuh mengenai itu kerana tidak tahu sebenarnya.

Apa yang ingin saya ceritakan ialah pengalaman saya semasa Peristiwa 13 Mei 1969 tersebut. Di tarikh itu saya baru berumur 19 tahun empat bulan sepuluh hari.


Gagal melanjutkan pelajaran

Oleh kerana saya gagal memasuki Tingkatan Enam dan seterusnya univerisiti seperti yang saya cita-citakan saya terus bekerja setelah tamat Tingkatan Lima dengan Sijil Malaysia Certificate of Education. Tarikh saya mula bekerja ialah 2 Disember 1968 bilamana saya mendapat latihan empat bulan di Kuala Lumpur.


Ditempatkan di Seremban

Pada 1 April 1969 saya ditempatkan di Pejabat Kesihatan Seremban. Oleh kerana saya belum mempunyai kawan-kawan untuk berkongsi tempat tinggal, saya menumpang di rumah ibu saudara saya Saleha di Kg. Baru Blok C, Ampangan, Seremban. Suaminya bekerja sebagai anggota Polis Hutan atau Field Force di tapak Flet Bandar Baru Ampangan sekarang.


PRU 4

Saya masih ingat di masa itu dimana-mana orang bercakap mengenai Pilihanraya Umum yang akan dadakan tidak lama lagi. Saya tidak berminat tentang politik tetapi terbaca juga mengenai PRU 4 ini. Antara yang saya baca dan menjadi berita hangat di masa itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Dr. Mohd. Said mengumumkan tidak akan bertanding di PRU itu.

Ini disebabkan beliau tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman meminta beliau bertanding untuk kerusi Parlimen di Port Dickson dengan harapan untuk menjadikan beliau seorang menteri kabinet.

Dr. Mohd. Said ingin kekal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan apabila berlaku perlesisihan pendapat dengan ketuanya iaitu Perdana Menteri beliau telah mengambil tindakan yang betul dengan mengundur diri.


Kempen

Dari pertengahan bulan April 1969 hingga pilihanraya sebenar pada 10 Mei 1969 ialah tempoh untuk berkempen. Ini ialah tempoh yang agak lama dibandingkan dengan keadaan sekarang. Rapat umum juga dibenarkan berbanding dengan ceramah seperti sekarang.

Oleh kerana saya masih bujang dan tidak banyak yang hendak dibuat di waktu malam saya pun pergi juga ke rapat-rapat umum ini. Saya pun pergi ke rapat umum parti Perikatan dan parti PAS di Ampangan dan Dusun Nyior, Seremban.


10 Mei 1969 hari mengundi

Pada hari pilihanraya 10 Mei 1969 saya pergi bekerja seperti biasa dengan menaiki bas. Saya belum layak mengundi. Warganegara Malaysia yang layak mengundi pun mengundi. Oleh kerana hari itu hari Sabtu saya pun balik kampung ke Jelebu selepas bekerja setengah hari.

Dalam perjalanan ke kampung menaiki bas saya nampak juga rakyat mengundi di sekolah-sekolah yang menjadi tempat mengundi. Di masa itu tidak terbayang dalam hati saya yang saya akan terlibat dalam proses pengundian dalam masa-masa yang akan datang. Sila lihat pos-pos saya ini:

http://maarofkassim.blogspot.com/2009/02/pengalaman-sebagai-pegawai-spr-bahagian.html
dan ini :
http://maarofkassim.blogspot.com/2009/02/pengalaman-sebagai-pegawai-spr-bahagian_24.html

Sampai di kampung dua pupu saya yang mempunyai kereta mengajak saya untuk pergi ke pekan Kuala Klawang pada malam itu untuk melihat keputusan mengundi untuk daerah Jelebu. Di masa itu orang kampung jarang-jarang ada kereta. Tetapi dua pupu saya ini menjadikan keretanya sebagai 'prebet sapu' untuk cari makan.

Kebetulan seorang kampung kami yang juga bapa saudara kepada isteri dua pupu saya ini bertanding sebagai ADUN mempertahankan kerusinya dan beliau menang. Beliau kemudian diarak dari tempat mengira undi (saya lupa dimana) ke bangunan UMNO Jelebu. Di situ beliau membuat sedikit ucapan kemenangan.


MUSUH-MUSUH KITA

Di pejabat UMNO Jelebu saya sempat meninjau ke bilik gerakan pilihanraya mereka yang sudah pasti sibuk sehingga malam sebelumnya. Di satu dinding di situ saya lihat satu senarai bertajuk 'MUSUH-MUSUH KITA'. Saya terperanjat melihat antara nama-nama itu ialah nama bapa saudara saya iaitu adik kandung ibu saya dan abang kandung ibu saudara saya di Ampangan, Seremban di mana saya menumpang tinggal.

Apabila balik kampung saya bertanyakan hal 'Musuh-Musuh Kita' ini kepada emak saya. Emak menerangkan memang betul adiknya berkempen untuk menentang wakil rakyat kita pada pilihanraya ini. Bagi dua pupu saya ini menjadi satu delima kerana bapa saudaranya menjadi 'musuh kita' kepada bapa saudara isterinya.


Keputusan Pilihanraya

Pada esoknya Ahad 11 Mei 1969 saya kembali ke rumah ibu saudara saya di Seremban. Dalam bas tak ada cerita lain melainkan keputusan pilihanraya semalam. Keesokannya Isnin 12 Mei 1969 saya pergi bekerja seperti biasa. Di pejabat pun tidak ada cerita lain melainkan cerita keputusan pilihanraya.

Situasi di Negeri Sembilan ialah walau pun di daerah-lain lain parti Perikatan menguasai tetapi di daerah-daerah Seremban dan Port Dickson banyak kerusi ADUN dan Parlimen dimenangi parti DAP. Mansor Osman (kemudian Dato') disebut-sebut akan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.


'Ada curfew di Kuala Lumpur'

Pada hari bersejarah Selasa 13 Mei 1969 saya juga pergi kerja dan balik ke rumah Mak Cik saya seperti biasa. Cuma Pak Cik saya balik lewat dari biasa. Tetapi ini tidak menghairankan Mak Cik saya kerana sejak hari kempen pilihanraya lagi masa kerjanya tidak tetap dan suaminya sering pulang lewat.

Apabila sahaja Pak Cik saya balik dia terus berkata 'Ada curfew di Kuala Lumpur'. Memang saya tahu 'curfew' bermaksud 'berkurung'. Tetapi saya tidak tahu 'curfew' ini akibat pergaduhan kaum. Kami pun membuka television yang masih hitam putih di masa itu. Program-program biasa sudah ditukar kepada rencana sahaja. Sekali sekala Perdana Menteri Tunkn Abdul Rahman muncul di kaca TV untuk memberitahu keadaan semasa. Amanat pentingnya ialah supaya kita semua bertenang dan tidak mendengar khabar-khabar angin.

Pak Cik memberitahu saya supaya pergi bekerja seperti biasa. Pesannya lagi jika berlaku apa-apa yang tidak diingini saya hendaklah berjumpa dengan mana-mana anggota polis. Jika saya takut nak balik sendiri minta polis hantar balik, katanya. Memang di masa itu kelihatan anggota polis di mana-mana.

Di hari-hari kemudiannya Pak Cik saya sering meninggalkan rumah untuk beberapa hari untuk menjaga keselamatan negara. Saya memang berniat untuk berpindah rumah dan tinggal dengan kawan-kawan tetapi kerana dia sering keluar rumah begini dia minta saya menangguhkan cita-cita saya ini dan sebaliknya menjaga Mak Cik saya dan anak-anak mereka yang masih kecil.


'JANGAN DENGAR KHABAR-KHABAR ANGIN'

Di pajabat, di tempat-tempat menunggu bas dan tempat-tempat awam yang lain ditampal risalah-risalah meminta rakyat bertenang. Risalah yang paling utama ialah 'JANGAN DENGAR KHABAR ANGIN'. Di tulis juga dalam Bahasa Inggeris 'DO NOT LISTEN TO RUMOURS' dan bahasa-bahasa Cina dan Tamil.

Memang di pejabat dan kedai-kedai kopi bermacam khabar khabar angin yang saya dengar. Sampai yang tidak manasabah pun ada. Dalam kenderaan kerajaan selagi ia tidak berhenti selagi itulah pemandu dan penumpangnya menceritakan khabar-khabar angin. Tetapi saya hanya mendengar sahaja. Baik juga di masa itu belum ada internet dan telefon bimbit. Kalau tidak entah macam mana pula khabar-khabar angin yang tersebar.


Berpindah ke rumah pangsa

Setelah keadaan kembali tenang saya pun dibenarkan berpindah oleh Pak Cik dan Mak Cik saya. Saya berpindah ke Flet Tun Dr. Ismail, Seremban. Sila lihat pos saya ini :

http://maarofkassim.blogspot.com/2008/07/sini-lah-se-duduk-dulu.html

Sebenarnya saya mendapat kemudahan menyewa unit flet itu kerana ramai penghuni telah meninggalkannya kerana khabar-khabar angin akibat Peristiwa 13 Mei 1969. Flet Tun Dr. Ismail lima belas tingkat yang terletak di Jalan Templer (sekarang dinamakan Jalan Tun Dr. Ismail) iaitu jalan utama arah ke Kuala Lumpur mempunyai dua blok utama iaitu Blok A dan Blok B.

Blok A sepatutnya dikhaskan untuk orang Melayu dan Blok B untuk bangsa-bangsa lain. Tetapi akibat Peristiwa 13 Mei 1969 dan khabar-khabar angin yang bertiup kencang selepas itu ramai penghuni Melayu dari Blok A perpindah. Tambahan pula Flet ini terletak betul-betul dikelilingi kawasan penduduk berbangsa Cina.

Kerajaan negeri pula tidak ada pilihan untuk membuka Blok A kepada semua bangsa. Saya juga menjadi salah seorang yang menggantikan mereka yang telah berpindah tersebut walau pun saya masih bujang. Beberapa tahun kemudian kerajaan negeri sekali lagi telah membina beberapa unit flet empat tingkat di sebelah Flet Tun Dr. Ismail ini. Kali ini penghuninya seratus peratus Melayu.


Jumpa jiran lama

Baru tiga hari lepas saya melawati Flet Tun Dr. Ismail ini dan berjumpa dengan seorang jiran berbangsa Cina yang masih ingat saya tinggal di salah satu unit flet ini. Saya juga berceritakan mengenai 13 Mei kepadanya. Dia masih ingat Blok A dahulu didiami olah orang Melayu tetapi berpindah kerana 13 Mei.

Dia dan saya sama-sama berharap peristiwa ini tidak akan berulang lagi.

Monday, May 11, 2009

Kenangan di Negara Matahari Terbit - Bahagian 3

Gelarannya pun negara matahari terbit. Memang betul matahari terbit awal di Japan. Waktu solat Subuh di Fukuoka untuk hari ini ialah pukul 3.04 pagi waktu tempatan dan waktu matahari terbit atau syuruk pukul 4.49 pagi.

Kadang-kadang saya hairan juga bila melihat pada pukul 7.00 pagi waktu tempatan matahari telah meninggi di Fukuoka. Sedangkan waktu kerja di Japan bermula pukul 8.00 pagi sama seperti di Malaysia.Jadi saya ada masalah untuk menghabiskan masa setelah solat Subuh. Nak buat apa? Nak pergi mana? Satu hari saya terfikir mengapa tidak saya pergi ke lapangan terbang untuk melihat kapalterbang mendarat dan berlepas?

Sebenarnya sebelum itu saya sering juka ke Fukuokakuko iaitu panggilan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka di hujung minggu untuk tujuan yang sama. Di Tingkat Empat iaitu tingkat paling atas ada tempat khas untuk melihat kapal terbang sama seperti Anjung Tinjau di KLIA. Bezanya di Fukuokakuko Anjung Tinjaunya sengaja diletakkan di luar bangunan utama. Oleh itu kawasan ini tidak berhawa dingin dan tidak beratap.

Saya lebih suka keadaan begini kerana kita boleh mendengar bunyi kapalterbang berbeza dengan keadaan sunyi sepi di Anjung Tinjau KLIA.

Ini gambar saya di Anjung Tinjau Fukuokakuko.

Berbalik kepada cerita Sesudah Subuh tadi. Kebetulan di bawah hotel saya terdapat satu stesen LRT atau Subway. Subway ini bermula (atau berakhir) di Fukuokakuko. Jadi pada beberapa hari selepas saya selesai mandi, solat subuh dan bersarapan sendiri saya pun turun ke bawah hotel ke stesen Nakasu-kawabata. Di situ saya menaikki LRT untuk ke Fukuokakuko.

Di Fukuokakuko saya terus ke Anjung Tinjau di Tingkat Empat dan melihat kapalterbang mendarat dan berlepas. Tepat pukul 7.30 pagi saya pun turun ke stesen LRT dan balik ke hotel. Di hotel saya naik ke bilik dan mengambil mana-mana fail yang perlu dan turun semula ke lobi untuk bertemu dengan enam orang lagi kawan-kawan saya dari Malaysia.

Kami akan hanya bergerak setelah kami semua bertujuh berkumpul di lobi. Siapa yang lewat akan ditalipon dibilik dimana kami ditempatkan sebilik seorang. Dari lobi kami pun berjalan kaki ke Fukuoka City Hall untuk menerima taklimat seterusnya dari tuan rumah.

Tiada seorang pun dari kawan-kawan saya tahu kemana saya pergi sebelum kami berkumpul di lobi tadi.

Sunday, May 3, 2009

Tulisan di baju T

Adalah menjadi kebiasaan kita melihat batu T atau 'T-shirt' ditulis dengan ayat-ayat atau lukisan. Saya masih ingat semasa saya pergi ke negara Jepun anak saya Ina berpesan supaya membelikannya baju T yang ditulis dengan tulisan Jepun. Malangnya saya tidak terjumpa baju T yang dimaksudkan oleh kerana saya perhatikan orang Jepun suka memakai baju T yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Kadang-kadang ayat yang ditulis di baju T mencabar kita juga. Ada juga yang tidak kena pada tempatnya. Saya pernah melihat seorang memakai baju T dengan tulisan 'No to ISA' di A Famosa Waterworld, Melaka. Mungkin mesej yang hendak diberikan adalah sesuai, tetapi saya rasa ia tidak sesuai diiklan di tempat bersukaria seperti di Waterworld tersebut.

Baru-baru ini saya nampak seorang memakai baju T berwarna biru di Pasar Besar Seremban. Apa yang menarik perhatian saya ialah kata-kata yang ditulis di atas bajunya berbunyi DRUGS SEX & BMX. Sila lihat gambar di bawah.

Saya belum dapat memikirkan apakah hubungan ketiga-ketiga perkataan itu.