Sunday, May 24, 2009

Melawat tapak sekolah rendah

Pada 20 Mei yang lepas saya balik ke kampung saya Kg. Petaseh, Jelebu, Negeri Sembilan untuk menziarahi seorang anak buah saya yang meninggal dunia di Subang Jaya Medical Centre (SJMC). Alfatihah kepadanya. Sementara jenazah sampai saya sempat melawat tapak sekolah dimana saya menerima pelajaran rendah dari tahun 1956 hingga 1961 yang hanya terletak 200 meter dari rumah keluarga Allahyarham.

Sebenarnya sekolah rendah kampung saya sudah berpindah dari tapak asal ke satu tapak baru di tepi Laluan Persekutuan 86 beberapa tahun yang lalu. Apa yang istimewa bagi sekolah baru ini ialah ia mempunyai asrama untuk menempatkan murid-murid yang tinggal jauh. Setahu saya ada juga murid yang datang dari luar Jelebu yang bersekolah di sekolah baru ini.

Inilah pintu pagar masuk ke tapak sekolah. Sekolah ini terletak lebih kurang 1.8 km dari rumah ibu saya. Kebanyakan kami hanya berjalan kaki untuk ke sekolah. Bangunan sekolah sudah dirobohkan. Bangunan yang nampak ialah kandang projek ternakan kambing.


Inilah padang sekolah dimana saya dan kawan-kawan bermain di masa kecil-kecil dulu. Saya nampak ada tiang gol. Sudah pasti didirikan oleh budak-buak kampung ini untuk bermain bolasepak. Saya tidak tahu status tanah sekolah ini sekarang. Adakah sudah dimiliki oleh pihak lain selain kerajaan?



Nampak satu lagi tiang gol. Yang ketara ialah kandang projek ternakan kambing. Rumput yang panjang itu ialah untuk makanan kambing. Saya tidak tahu sama ada budak-budak boleh bermain bola lagi dengan kehadiran kandang ini.



Ini papan tanda projek ternakan kambing. Kelihatan seorang pekerja (pengusaha?) projek ini sedang memotong rumput panjang makanan kambing. Yang sudah pasti ialah kandang kambing ini terletak di tapak sekolah lama. Adakah pengusaha ini sudah membeli tanah ini dari kerajaan atau mendapat lesen pendudukan sementara (T.O.L.)? Saya kurang pasti.

Malang juga bagi saya kerana kedua-dua sekolah rendah dan menengah saya sudah berpindah ke tapak-tapak baru. Sekolah menengah saya iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR sudah berpindah dua kali dari tapak asalnya di Tanjung Malim. Mula-mula ke Sikamat, Seremban dan akhirnya ke Sg. Gadut, Seremban juga.

Yang positif ialah kedua-dua sekolah saya ini berpindah ke tapak yang mempunyai kemudahan yang lebih baik. Saya bercita-cita untuk kembali ke tapak sekolah menengah lama saya pula untuk mengambil gambar-gambar serupa seperti di atas. Dengar khabarnya kebanyakan bangunan lama juga sudah dirobohkan.

1 comment:

nagaemas36 said...

salam abg, kalau abg ader balik ke petaseh tu, abg amiklah gambar sekolah baru tu plak. mcm mana lah rupanyer sekolah tu sekarang. kg petaseh glamour sebab sekolah tu....ramai org tau pasal sekolah tu. dan bila kita sebut kita sekolah kat sana semua org kata...ooo sekolah budak2 pandai tu ye....