Tuesday, November 27, 2018

Tertampal di dahi.


Dalam filem L.A. CONFIDENTIAL,  Bud White (Russel Crowe) bertanya kepada Lynn Bracken (Kim Basinger) bagaimana Lynn tahu yang dia seorang pegawai polis? Lynn, seorang pelacur kelas atasan, menjawab ia ternampak perkataan POLICE tertampal di dahi Bud. 

Saya membawa isteri saya Salmah ke Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam (26 November 2018) untuk pemeriksaan ulangan. Surat dari IJN memberitahu pemeriksaan akan berlangsung  antara tiga hingga enam jam. Dari itu saya telah bersedia, antaranya membawa Power Bank yang telah dicaj penuh dari rumah lagi. 

Betul seperti jangkaan, pemeriksaan mengambil masa. Pada jam 3.00 petang telefon bimbit saya menunjukkan baterinya tinggal 60%. Saya pun caj telefon itu dengan Power Bank kerana saya ingin main 'game' sementara menunggu.   

Tiba-tiba datang seorang gadis India yang saya agak berumur awal 20an duduk di sebelah saya. Dia datang ke IJN mengiringi seorang yang saya agak datuknya. Dia terus bertanya kepada saya "Pak Cik, boleh saya pinjam Power Bank Pak Cik?". Jelaslah dia tidak bersedia seperti saya. 

Mustahil saya meminjamkan Power Bank saya secara fizikal. Saya teringat adegan dalam filem BUJANG LAPOK di mana Ramli (P Ramlee) ingin meminjam dapur dari Cik Normah (Normadiah). Cik Normah bertanya 'Kalau saya beri pinjam, saya nak pakai apa?'. 

Saya pun pindahkan soket Pawer Bank saya dari telefon saya kepada telefonnya. Telefonnya yang menunjukkan bateri 10% tiba-tiba mendapat nyawa baru. Saya pun berhenti bermain 'game'.

Saya terkejut juga memikirkan kenapa dia memilih saya. Sedangkan saya perhatikan ramai lagi penunggu di bilik menunggu itu sedang caj telefon mereka menggunakan Power Bank. Seperti saya dan gadis ini, mereka yang memegang telefon kebanyakanya menemani pesakit.

Kejutan saya ialah kerana negara sedang hangat dengan isu ICERD. Pagi semalam pula berlaku rusuhan di satu Kuil Hindu di Putra Heights, Selangor. Kenapa perempuan India ini memilih saya, seorang Melayu menolongnya?. 

Mungkinkah seperti juruterbang pesawat perang yang melihat ada pesawat asing dalam radarnya, dia menghantar isyarat Identification Friend or Foe atau IFF kepada saya dan dia menerima jawapan bahawa saya ini seorang kawan (Friend), bukan musuh (Foe).

Atau dia ternampak perkataan NON-RACIST tertampal di dahi luas saya.

Wednesday, November 7, 2018

Kalau tak pasti nama jiran sebelah, jangan hebahkan.

(Sebelum saya menulis pos ini saya telah membuka laman web Masjid Dato' Klana Petra Mohd Yusof. Di bawah ruang 'HUBUNGI KAMI' nombor telefon yang diberi ialah (012)3456789. Saya panggil nombor itu dan asyik terdengar mesej orang dihubungi sibuk. Saya tidak pasti nombor itu betul atau tidak, kerana digitnya berterusan. Email yang diberi pula ialah salam@masjidsikamat.com. Email yang saya hantar ke situ kena tendang. Saya tidak ada pilihan dari meneruskan pos ini.)

Pagi tadi saya ke Klinik Kesihatan Desa Rhu, Sikamat, Seremban untuk mengambil ubat. Saya nampak sususan buletin seperti gambar di bawah di kaunter. Kerana ada tulisan PERCUMA saya pun ambil satu. Mengikut maklumat di dalamnya, ini adalah edisi kedua buletin tersebut. Sepatutnya juga apa-apa kesilapan di edisi pertama dibetulkan di edisi kedua ini.

Tetapi ada satu fakta yang tidak tepat tertera di muka 5 buletin tersebut. Di perengggan empat di sebut masjid ini terletak bersebelahan Balai Polis Sikamat dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Taman Desa Rhu Sikamat. Jika fakta tentang klinik itu betul, saya dan berpuluh lelaki dan perempuan yang sudah menopause tidak patut berada di klinik itu pagi tagi.

Saya sensitif tentang perkara ini kerana bukan sahaja saya salah seoranng pelanggan berjadual klinik ini, tetapi kerana saya ialah bekas kakitangan kesihatan dan mula bekerja dengan kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan. Malah kod Kad Pesara saya ialah AW untuk Pesara Kesihatan Pihak Berkuasa Tempatan, satu golongan minoriti antara beratus ribu pesara satu Malaysia. 

Saya tidak mahu menulis panjang mengenai perkara ini, bimbang dianggap cuba memalukan pihak lain. Lebih-lebih lagi ini melibatkan satu institusi keagamaan.

Cuma saya hairan bagaimana pegawai-pegawai masjid tidak teliti dengan menghebahkan satu fakta salah mengenai institusi yang berada di sebelah pagar mereka.  

Biarlah gambar-gambar di bawah bercerita.


Edisi kedua buletin MASJID DATO' KLANA PETRA LELA MOHD YUSOF, SIKAMAT, SEREMBAN.

Maklumat kurang tepat di Muka 5 perenggan 4 buletin di atas.

Ini maklumat yang tepat.

Sunday, November 4, 2018

Sebelum aku pukul dia......

Gambar hiasan. Tidak ada hubungan dengan cerita.

Sekarang terlalu banyak pendedahan. Bukan pendedahan badan, tetapi pendedahan rahsia-rahsia lama. Saya pun banyak rahsia yang hendak didedahkan. Berikut adalah satu daripadanya.

Setelah menonton filem 'The Godfather' lakunan Marlon Brando dan Al Pacino, saya terfikir ada juga baiknya jika saya berkawan dengan seorang berwatak seperti itu. Tujuan saya ialah supaya dia melindungi saya sama seperti 'The Godfather' melindungi anak-anak buahnya. 

Akhirnya saya terjumpa dengan seorang yang saya maksudkan. Dia ialah seorang ketua kepada satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO selalu membuat urusan dengan jabatan saya. Di masa itu saya tidak menyangka akan menjadi aktif dalam mana-mana NGO selepas saya bersara nanti, seperti sekarang.

Saya pun berkawan dengan orang yang saya panggil 'Godfather' dalam hati ini, walau pun ini boleh dianggap melanggar etika seorang pegawai kerajaan. Oleh itu saya merahsiakan hubungan saya dengannya dari jabatan saya. Dia pernah meninggikan suara di pertemuan persatuannya dengan jabatan saya dan ini telah menyebabkan saya serba salah dibuatnya. 

Sama seperti 'The Godfather' bangsa Sicilian itu, 'Godfather' saya juga menggunakan kekerasan untuk menentang musuh-musuhnya, terutama yang melibatkan perniagaan. Kekerasan sebenarnya dilakukan oleh anak-anak buahnya, tetapi tidaklah sampai menjadi kes jenayah.

Satu hari saya dipanggil oleh 'Godfather' di pejabat perniagaannya. Dia terus bertanya adakah saya terlibat dalam satu kes yang telah sampai ke pengetahuannya. Saya pun menceritakan penglibatan saya seperti berikut:-

Beberapa bulan sebelum itu saya didatangi di rumah oleh seorang saya tidak kenali, tetapi dia mengaku kenal dengan saya. Dia seorang lelaki Melayu yang masih bekerja dengan kerajaan tetapi bercadang berhenti untuk menjalankan perniagaan. Perniagaan itu ialah menjual kayu yang sudah dipotong.

Saya hairan bagaimana dia berani berhenti bekerja dengan kerajaan dan terus menjalankan perniagaan tanpa apa-apa pengalaman.

Dia bercadang menjalankan perniagaan di atas satu tanah kosong di tepi jalan besar di Ampangan, Seremban. Untuk tujuan tersebut dia inginkan kebenaran saya untuk mendirikan satu bangsal untuk menyimpan kayu-kayu tersebut.

Dulu memang banyak perniagaan menjual kayu sahaja, tetapi sekarang ia menjadi sebahagian dari perniagaan barang-barang binaan atau 'hardware'. 

Saya terus jawab saya bukanlah orang yang berkuasa meluluskan pembinaan apa-apa struktur. Saya juga nasihatkannya supaya membuat permohonan yang formal ke pejabat saya. Tapi dari percakapannya saya tahu dia tidak mahu berbuat demikian. Apa yang dia mahu ialah kebenaran dari saya, yang sudah tentu melanggar peraturan. Untuk tujuan tersebut saya akan diberi sedikit habuan.  

Beberapa hari selepas itu saya nampak satu struktur sementara sedang dibina di tapak yang di maksudkan. Saya agak, kemungkinan besar orang akan mengadu kepada pejabat saya mengenai pembinaan ini. Saya juga tahu, jika tindakan diambil, nama saya akan disebut nanti.

Saya pun membuat laporan ke jabatan berkenaan di pejabat saya mengenai pembinaan yang saya tahu dibuat secara haram ini. Mereka pun mengambil tindakan dengan menghatar arahan berhenti kerja atau 'stop work order' dan sebagainya. Tetapi saya perhatikan kerja-kerja pembinaan diteruskan juga.

Tibalah hari bila notis arahan tamat tempohnya. Sebenarnya tugas saya sudah selesai dan saya berpuas hati telah menjalankan tanggung jawab kepada jabatan dan negara. Tetapi pasukan meroboh takut kena maki hamun. Mereka meminta saya turut sama dengan tujuan biarlah saya yang menerima maki hamun. Bagi mereka 'kau yang pandai-pandai buat laporan, kaulah yang patut dimaki hamun'.  

Seperti dijangka, semasa kerja-kerja perobohan dijalankan, saya dimaki hamun oleh orang yang berjumpa dengan saya di rumah beberapa minggu sebelum itu. Tetapi saya sudah masak dengan pengalaman itu. Itu bukanlah kali pertama saya dimaki hamun.

Seperti biasa, selepas selesai sessi maki hamun dan struktur haram diratakan, saya pergi ke Balai Polis Seremban membuat laporan. Itu juga bukan kali pertama saya membuat laporan polis.

Beberapa minggu selepas kes itu selesai saya ditangani sekali lagi oleh lelaki tersebut, di rumah juga. Kali ini maki hamunnya sudah hilang dan dia bercakap secara lemah lembut sama seperti kedatangan pertamanya ke rumah saya. 

Katanya dia telah berbincang dengan rakan-rakan perniagaannya. (Oh, dia ada business partners, rupanya). Mereka telah berbincang dan memutuskan saya  bertanggjawab terhadap kerugian perniagaan mereka. Oleh itu mereka mahu saya membayar gantirugi. (Amboi, senangnya nak dapat duit orang).

Jawapan saya senang sahaja seperti berikut: "Saya akan bayar segala ganti rugi yang awak tanggung. Tetapi dengan syarat saya diarahkan membayar secara sah. Awak boleh membuat aduan ke mahkamah menyatakan saya telah salah laku. Kalau mahkamah mendapati saya bersalah dan mengarahkan saya membayar ganti rugi kepada awak, saya akan membayarnya'.      

'Pilihan kedua ialah awak mendakwa pejabat saya, Majlis Perbandaran Seremban, bahawa mereka telah mengambil tindakan menyalahi undang-undang kepada awak. Jika MPS didapati bersalah, awak boleh menuntut ganti rugi dari mereka. Ambillah berapa ganti rugi yang diarahkan mahkamah. 


MPS pula akan mengambil tindakan terhadap saya kerana bertindak melangkaui tugas saya. Saya mungkin diambil tindakan seperti buang kerja dan memotong gaji saya untuk membayar ganti rugi awak'.


Saya tahu dia tidak ada kes terhadap saya atau pejabat saya dan tidak akan berani membuat apa yang saya minta. Kemudian dia mengugut saya dengan berkata boleh mencederakan saya atau keluarga saya. Saya jawab, apabila selesai saja kerja-kerja meratakan bangsalnya, saya telah membuat laporan polis terhadapnya. Jika apa-apa terjadi kepada saya atau ahli keluarga saya, dialah orang yang pertama mereka tangkap.

Kemudian saya berbalik kepada pertemuan saya dengan 'Godfather'. Mengikut 'Godfather', orang yang saya ceritakan itu telah datang berjumpanya. Sama seperti permintaan Bona Sera yang meminta pembelaan dari 'The Godfather' dalam filem tersebut, orang itu meminta 'Godfather' mencederakan saya. Saya terus jawab."Apa lagi bang, pukullah saya" .    

Kemudian 'Godfather' berkata "Saya kata padanya, sebelum aku pukul Maarof tu, aku pukul kau dulu". Mana boleh 'Godfather' pukul saya, salah seorang 'godson' atau anak buahnya.

Tidak lama selepas kes itu, kerja-kerja pembesaran Jalan Seremban - Kuala Pilah pun bermula. Ini melibatkan tapak di mana bangsal yang saya maksudkan itu. Ini bermakna, jika saya tidak melaporkan supaya ia dirobohkan, ia akan dirobohkan juga oleh pihak berkuasa. Ini juga bermakna orang yang berjumpa saya itu dan rakan-rakannya akan menerima pampasan lumayan dari kerajaan. 

Projek pembesaran jalan itu sudah dirancang beberapa lama. Mungkin orang yang berjumpa saya itu atau kawan-kawannya telah melihat peta kawasan yang terlibat dan mengambil kesempatan mendiaminya untuk tujuan mendapat pampasan. Lagi pun kayu boleh disimpan lama tanpa ia rosak atau luntur. Dia tidak ada niat untuk berhenti kerja dengan kerajaan pun. 

Sekarang ramai yang mengeluh kerana pembatalan beberapa projek oleh kerajaan sekarang terhadap projek-projek yang telah diluluskan oleh kerajaan lama. Salah satu sebab ialah ramai yang sudah membeli atau menyewa tanah-tanah yang terlibat dengan projek, contohnya laluan Keretapi Pantai Timur. Sekarang sudah tentu pembeli atau menyewa tanah itu melopong kerana tidak menerima apa-apa pampasan.

Memandangkan kepada situasi semasa, saya merasa lega kerana telah menyelamatkan beberapa ribu ringgit (tidaklah sampai million atau billion) wang negeri dan negara.   

Bagi Majlis Perbandaran Seremban pula, saya terbaca baru-baru ini laporan rakyat Seremban, Negeri Sembilan dan Malaysia berhutang dengan mereka berjuta ringgit (belum billion ya) dalam bentuk tunggakan cukai dan denda. 

Komen saya: Inilah akibat asyik nak jadi popular dan takut dimaki hamun. Saya harap dengan kerajaan baru, mereka berubah.   

Saturday, November 3, 2018

Macam naik keretapi ekspres.

Walau pun saya selalu ke Kuala Lumpur dan kawasan sekitar dengan menaiki KTM Komuter, LRT dan MRT,  bila ada kesempatan saya akan pergi arah selatan ke Tampin dan Gemas menaiki KTM Komuter dan ETS. Contohnya beberapa tahun dulu saya pergi ke Gemas dengan ETS untuk hadir di satu program Persatuan Pesara saya di sana. Pada awal tahun ini pula saya ke Tampin untuk menyampaikan beberapa dokumen kepada Setiausaha Persatuan saya di sana.

Dua hari lepas saya ke Hospital Tampin untuk menziarahi seorang kawan se kelas saya Mustafar. Mujur juga seorang lagi kawan kami Md. Shah mengambil saya di stesen keretapi Pulau Sebang(Tampin). Jika tidak terpaksalah saya menaiki teksi. 

Mungkin ada yang bertanya kenapa stesen tujuan saya dipanggil Pulau Sebang(Tampin)? Kerana ia terletak di pekan Pulau Sebang dalam Negeri Melaka. Pulau Sebang pula pula bersebelahan dengan pekan Tampin, Negeri Sembilan.

Kami bertiga dulu sama-sama bersekolah menengah di Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR di Tanjong Malim, Perak. Sekarang kami sudah bersara dan menetap di Negeri Sembilan. Md. Shah di Tampin, Mustafar di Chengkau, Rembau dan saya di Sikamat, Seremban.

Menaiki KTM Komuter dari Seremban ke Pulau Sebang/Tampin seolah-olah menaiki keretapi ekspres. Maklum sahaja setelah setesen Sungai Gadut di Seremban cuma stesen Rembau yang berada di antaranya dengan Pulau Sebang(Tampin). Secara kebetulan sekolah kami SDAR sekarang sudah berpindah ke Sungai Gadut, Serermban.

Trek keretapi antara Seremban dengan Gemas pula adalah trek baru dan di beberapa tempat jajarannya pun baru dan lurus. Tidak hairanlah jika tren Komuter boleh lari sehingga 122 km se jam mengikut bacaan melaui program 'Waze' di telefon bimbit saya. Ini kelajuan yang tidak dapat dicapai oleh tren Komuter di laluan Kuala Lumpur - Seremban.  

Berikut ialah cerita bergambar saya pergi ke Tampin dan balik ke Seremban dua hari lepas.


Menunggu tren arah ke selatan di Platform 1 Stesen Keretapi Seremban. Sememangnya platform ini selalu kosong kerana kebanyakan penumpang menunggu tren ke utara di Platform 2 dan 3 seperti dalam gambar.

Menziarah kawan se kelas Mustafar di Hospital Tampin. Terima kasih Md. Shah yang memandu saya dari Stesen Keretapi Pulau Sebang/Tampin. Mustafar kata dia pernah berjumpa saya di beberapa mesyuarat selepas kami keluar sekolah, tetapi saya langsung tak ingat bila dan di mana.


Dalam KTM Komuter hendak balik ke Seremban. Oleh kerana saya naik di stesen permulaan, saya dapat memilih tempat duduk. Saya memilih koc kedua di belakang, di tepi tingkap yang tidak retak untuk menikmati pemandangan di luar. Antara yang cukup menghibur saya ialah suasana kampung di Rembau dengan ternakan lembu, kambing dan kerbau. Ini cukup berbeza dengan pemandangan di laluan Kuala Lumpur - Seremban, 

Mereka sama-sama naik di Pulau Sebang(Tampin) dengan saya, tetapi memilih untuk duduk di koc biasa, sedangkan ada koc-koc khas untuk mereka. Mereka lebih suka menikmati gajet dari melihat pemandangan di luar. Mungkin salah satu sebab mereka suka membelek gajet ialah untuk mengelakkan dari berasa bersalah jika tidak memberikan tempat duduk kepada mereka yang lebih memerlukannya.