Thursday, June 26, 2014

"Dia ludah saya dulu......"

Baru-baru ini saya melihat di TV dan membaca mengenai pemain bolasepak Uruguay Luis Suarez menggigit bahu seorang pemain Italy di perlawanan bolasepak Piala Dunia 2014 di Brazil. Sehinggakan satu akhbar England menggelarkan Suarez sebagai seekor binatang dengan menulis 'Animal Suarez......'. Ini tidak memeranjatkan kerana sudah tentu semua warga England marah kepada Suarez kerana dia mencari makan dengan bermain dengan kelab mereka Liverpool. Tiba-tiba jaringan dua golnya menyebabkan England tersingkir dari Piala Dunia 2014.  

Rupa-rupaya ini bukan pertama kali Luis Suarez menggigit pemain bolasepak. Sekurang-kurangnya dia telah menggigit dua pemain bolasepak sebelum ini.

Cerita Suarez ini membawa ingatan saya kepada seorang penjual daging lembu di Pasar Besar Seremban berpuluh tahun yang lalu. Dia seorang lelaki Melayu yang tinggal di Mambau, Seremban di masa itu. Sebelum itu dia seorang anggota tentera tetapi telah diberhentikan kerana masalah yang dibawanya. Dia juga pernah berkahwin tetapi bercerai dengan isterinya juga kerana masalah yang dibawanya.

Tanpa mengetahui masalah yang dibawanya Majlis Perbandaran Seremban (MPS) meluluskan permohonannya untuk menjual daging lembu di Pasar Besar Seremban. Sudah menjadi dasar MPS menolong bekas-bekas tentera dengan memudahkan mereka mendapat gerai-gerai kepunyaannya.

Rupa-rupanya masalah yang dibawanya di kem tentera dan di rumahtangganya dibawanya ke Pasar Besar Seremban. Apakah masalah yang dibawanya? Tidak lain tidak bukan dia suka meludah orang. Ini saya ketahui pada satu hari apabila saya ditugaskan menjaga pasar itu. Seorang yang lalu didepannya tiba-tiba diludah. Yang diludah membalas dengan menumbuk si peludah. 

Orang ramai membawa kedua-duanya ke pejabat saya yang cuma beberapa meter dari gerai daging lembu di Pasar itu. Apabila saya tanya kenapa dia meludah orang yang lalu dihadapannya penjual daging ini menjawab "Dia ludah saya dulu". 

Kita tidak akan meludah orang tanpa sebab. Saya pun bertanya kepada staff saya mengenai penjual daging ini. Mereka menjawab memang selalu dia meludah orang dan jawapannya tetap sama "Dia ludah saya dulu". Saya pun memberitahunya supaya jangan meludah kembali jika ada sesiapa meludahnya. Sejak itu kurang sedikit insiden dia meludah orang.

Satu hari dia datang ke pejabat saya dan menunjuk kepada seorang sambil bertanya "Orang itu meludah saya Encik, boleh tidak saya tumbuk dia?". Saya jawab "Jangan, mana bekas ludahnya?". Dia tidak dapat membuktikan apa-apa.

Kemudian saya membuat kajian sedikit mengenai manusia seperti ini. Memang benar pada pandangannya orang meludahnya. Itulah sebab dia meludah balik. Jika diuji dengan alat 'lie detector' pun dia akan lulus ujian itu. Jika disoal di mahkamah pun jawapannya tetap konsisten iaitu dia nampak orang meludahnya. Ada orang yang bersikap begini akibat pengaruh dadah. Ada juga yang tidak. 

Berbalik kepada Luis Suarez. Pada hemat saya Luis Suarez mempunyai perasaan yang sama dengan penjual daging lembu itu. Dia nampak atau terasa orang menggigitnya. Ekoran itu dia menggigit kembali. Jika dia hendak mencederakan pemain lain secara sengaja atau tidak banyak caranya, bukan dengan meninggalkan kesan seperti gigitan.

Saya tidak tahu apa terjadi kepada penjual daging lembu itu sekarang. Yang saya tahu ialah lesen menjual daging lembunya telah ditarik balik. Bukan untuk menganiaya dia sebenarnya, tetapi untuk melindungnya. Ini kerana kami tidak tahan melihatnya sering ditumbuk oleh orang yang diludahnya. 

Sekian.  

Wednesday, June 25, 2014

Kenapa takut menuntut hak kita?

Gerai burger di petak letak kereta. Sila perhatikan kereta-kereta di belakang saya juga mencari tempat letak kereta.

Gerai yang sama setelah dipindahkan ekoran aduan saya.

Petang Ahad lepas saya singgah di satu pasaraya yang baru dibuka beberapa minggu berhampiran rumah saya. Saya tidak berniat untuk membeli apa-apa pada mulanya. Tetapi saya tanya diri saya, manalah tahu ada keperluan rumah yang ditawarkan dengan harga murah di pasaraya ini. Jadi saya pun melencong ke situ.

Seperti biasa banyak kereta mencari-cari petak letak kereta di hadapan pasaraya itu. Saya perhatikan ada kereta yang berhenti di hadapan saya menunggu kereta yang hendak keluar dari petak. Walau pun saya terhalang, saya sabar kerana berfikir di situasi yang sama saya juga akan membuat seperti pemandu di hadapan saya itu.

Tiba-tiba saya ternampak sesuatu yang membuat kesabaran saya hilang. Satu petak letak kereta di hadapan saya dipenuhi dengan satu gerai burger. Dari keadaan keempat-empat tayar gerainya yang sudah terangkat saya pasti gerai itu diletakkan di petak letak kereta itu 25 jam sehari (meminjam senikata lagu The Beatles 'Eight Days A Week'). Apabila sampai di hadapan gerai burger itu saya pun mengambil gambar seperti gambar pertama di atas.

Saya bukanlah sakit hati melihat orang berniaga menjual burger. Tetapi mengapa menjual dengan menafikan hak orang lain? Bukankah petak letak kereta itu untuk diletakkan kereta, bukan gerai burger atau gerai apa-apa pun. Banyak lagi tempat di sekitar pasaraya itu untuk diletakkan gerai burger.

Pagi esoknya saya pun mengedarkan gambar itu di facebook persendirian saya dan beberapa kumpulan facebook yang saya menjadi ahli, termasuk kumpulan facebook jabatan saya dulu. Di samping itu saya juga menggunakan hak saya mengadu secara rasmi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang kebetulan jabatan saya dulu itu.

Kemudian saya pun banyak menerima komen dari kawan-kawan dan ahli-ahli kumpulan facebook saya. Kebanyakan komen itu menyokong tindakan saya mengedarkan gambar tersebut. Tetapi ada juga komen yang mengutuk tindakan saya dengan menuduh saya dengki kepada bangsa sendiri. Kerana tidak mahu akaun facebook saya dijadikan sebagai medan kutuk mengutuk dan tuduh menuduh saya pun menggunakan hak saya menahan atau 'block' mereka yang mengutuk dan menuduh saya itu.

Ada juga komen-komen yang memberitahu situasi yang sama berlaku di tempat-tempat lain di Seremban. Sehingga ada juga yang meminta saya memajukan aduan kepada PBT bagi pihak mereka. Jawapan saya senang sahaja iaitu kenapa takut untuk menggunakan hak kita untuk membuat aduan sendiri? Buatlah seperti yang saya telah buat.

Esok harinya saya dapati gerai burger itu sudah dialihkan ke kawasan di luar petak letak kereta tersebut. Saya yakin ini akibat saya memasukkan gambar ke akaun facebook jabatan saya dulu ditambah dengan aduan rasmi saya.

Kenapa takut untuk menuntut atau menggunakan hak kita?

Tuesday, June 24, 2014

Kalau orang kata saya mengumpat, mengumpatlah saya.

Kalau orang berkata saya ini mengumpat, mengumpatlah saya.

Minggu lepas jiran sebelah rumah saya sekeluarga yang menyewa rumah tersebut telah berpindah. Bertahun-tahun sebelum ini semasa bekerja dan kemudiannya bersara saya bernasib baik kerana jiran-jiran bersebelahan rumah-rumah saya tidak ramai isi rumahnya (meminjam dari bahasa yang digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk jumlah penduduk dalam sebuah rumah).

Pernah beberapa tahun jiran di sebelah kanan rumah saya di Paroi Jaya ialah seorang janda yang anak-anaknya (dua orang lelaki) pada mulanya meninggalkan rumah untuk belajar di institut pengajian tinggi dan kemudian bekerja bukan di Negeri Sembilan. Rumah jiran di sebelah kiri pula hampir kosong sepanjang masa kerana tuan punya suami isteri telah meninggal dunia dan anak-anak pula mencari jalan masing-masing.

Apabila berpindah ke rumah yang lebih besar di Sikamat pada mulanya jiran sebelah kiri ialah pasangan yang tidak mempunyai anak. Kemudian mereka berpindah ke Kuala Lumpur kerana kedua-duanya bekerja di sana dan tinggal di rumah ibu bapa kepada puan rumah. Beberapa bulan rumah itu kosong sehingga saya meletakkan kereta saya di tempat letak keretanya.

Kemudian suasana menjadi haru biru apabila rumah itu disewakan dengan isi rumah seramai lapan orang. Mujurlah mereka berpindah ke sini selepas Banci Penduduk 2010 berlalu. Jika tidak tentu Kerani Banci pening kepala mengisi banyak borang. Ini kerana isi rumah terdiri dari dua keluarga. Satu keluarga pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak dan satu lagi pasangan dengan empat orang anak. Mereka bersaudara kerana puan-puan rumah adik beradik.

Mereka pula mempunyai empat buah kereta yang tidak pernah diletak dalam kawasan rumah. Kemudian pada hujung-hujung minggu ibu-bapa dan saudara mara datang menambahkan suasana haru biru sehingga seorang dari jiran kami menyangka adik beradik saya dan isteri yang datang apabila melihat jumlah kerana yang diletak di hadapan rumah kami.

Untuk memberi contoh suasana haru biru itu loceng rumah saya telah beberapa kali dibunyikan oleh anak-anak mereka kerana bola yang mereka main termasuk ke dalam kawasan rumah saya. Kesabaran saya hilang pada satu hari apabila bola mereka masuk betul-betul ke dalam rumah. Saya terus menyimpan bola itu walau pun mereka membunyikan loceng tanpa henti sambil menyebut 'Assalamualaikum' beberapa kali.

Saya pernah berkata kepada isteri 'Ini mungkin balasan kepada kita kerana hidup tanpa gangguan selama ini. Tibalah masanya untuk kita diganggu pula walau pun dalam usia emas dan anak-anak kita telah meninggalkan rumah kita'.

Dari keadaan di atas saya akan dituduh menipu jika saya kata tidak suka jiran saya berpindah. Cuma isteri saya agak marah apabila mendapat tahu sebenarnya tuan rumah (yang pernah menjadi jiran kami) seolah-olah suka penyewanya keluar dengan berkata 'Awak meletak kereta depan rumah orang'. Sudah tentu saya diantara 'orang' itu. Saya kata kepada isteri 'Apa nak dimarahkan, memang betul mereka meletak kereta depan rumah kita'.

Tuan rumah sudah meletakkan notis hendak menjual rumahnya. Saya cuma berharap apabila tiba masa untuk Banci Penduduk seterusnya Kerani Banci hanya menggunakan satu borang untuk membanci jiran saya. 

Sunday, June 22, 2014

Komat Jolobu



Sungai Teriang, di Jelebu, Negeri Sembilan. Sungai ini mengalir melalui pekan Triang di Pahang, kemudian ke Sungai Pahang dan seterusnya ke Laut China Selatan. Di masa dulu-dulu orang-orang dari Pahang yang tidak percaya dengan 'Komat Jolobu' menyusur ke hulu sungai untuk menetap di Jelebu.

Ko Jolobak ko Jolobu
Tuai padi tigo tangkai
Kalao kono komat Jolobu
Tak mati badan meghasai

Gurindan dulu-dulu jangan ponah dipotikai
Tak tahu tanyo dulu jangan goma momandai-mandai

Saya telah mendengar sebutan 'komat Jolobu' sejak saya kecil lagi. Maklum sajalah saya dilahirkan di Jelebu dan bersekolah rendah di sana. Sekarang tiba-tiba sebutan itu menjadi terkenal seluruh Malaysia kerana penyanyi Hattan, orang Kuala Pilah dan Waghih, orang Rembau menjadikannya sebahagian lagu mereka 'Gadis Jolobu'.

Jika sebutan 'komat Jolobu' dijadikan sebahagian senikata lagu lima puluh tahun yang lalu tentu ramai orang Jelebu yang marah. Sudah tentu ramai yang meminta lagu itu diharamkan. Tetapi tidak lagi sekarang, malah kami anak-anak Jelebu merasa bangga sebab nama daerah kami disebut dalam lagu.

Untuk mereka yang belum kenal Jelebu saya ingin menerangkan mengenainya secara ringkas. Daerah Jelebu terletak di utara Negeri Sembilan. Banyak keunikan Jelebu, antaranya bandar utamanya tidak dipanggil 'Jelebu' tetapi Kuala Klawang. Kepada mereka yang masih kurang jelas saya sering memberitahu mereka 'Saya orang Jelebu, tetapi saya bukan orang Kuala Klawang'.

Jelebu bersempadan dengan daerah Hulu Langat di Selangor dan daerah Bentong di Pahang. Ini satu lagu keunikan yang tidak dikongsi oleh daerah-daerah lain di Negeri Sembilan, iaitu kami bersempadan dengan dua negeri.

Jelebu pula daerah yang paling kurang pembangunan di Negeri Sembilan. Perkara ini mungkin menyebabkan rasa rendah diri orang-orang Jelebu di masa dulu, sehinggakan ada orang Jelebu yang tidak mengaku orang Jelebu. Tetapi perkara ini tak jadi hal lagi sekarang.

Apa dia 'komat Jolobu?'. Mungkin dalam Bahasa Melayu maknanya 'Hikmat Jelebu'. Saya ada mendengar beberapa penjelasan mengenainya. Tetapi di sini saya cuba menerangkan dua daripadanya.


Teori pertama: Dulu kebanyakan daerah Jelebu belum diteroka. Tentulah mengikut kepercayaan kawasan-kawasan yang belum diteroka ramai 'penunggu'nya. 'Penunggu' ini akan mengenakan 'komat' mereka kepada penceroboh yang datang. Mereka yang kena 'komat' ini sama ada akan mati atau badan mereka 'meghasai' atau merana sepanjang hayat'. 

Tetapi mereka yang tidak percayakan 'komat' ini tetap datang meneroka ke Jelebu. Contohnya orang dari Pahang menaiki sampan menyusur ke hulu sungai dan menetap di Simpang Durian, Peradong dan Kenaboi. Orang dari Kuala Pilah pula akan merentas hutan untuk menetap di Geylang, Petaseh dan Peradong. Nenek moyang saya ialah contoh pendatang dari Kuala Pilah itu. Alhamdulillah saya tak kena 'komat Jolobu'.

Kalau dibanci asal-usul mereka penduduk pendatang Melayu di Jelebu mengatasi penduduk asal. Tidak ada pula yang mati atau meghasai kena 'komat Jolobu'.

Teori kedua: Kerana kedudukannya yang jauh dari tamadun, ramai orang yang takut atau ditakutkan apabila diperintah bertugas di Jelebu. Ibu-bapa takut anak-anak bujang mereka yang dihantar bertugas di Jelebu akan lupa kampung halaman mereka. Lebih-lebih lagi jika mereka 'menyomondo' atau kahwin dengan orang Jelebu. Sekali lagi 'komat Jolobu' digunakan sebagai alat untuk menakutkan.

Tetapi terbukti itu cerita dongeng juga. Ramai kakitangan kerajaan seperti anggota Polis dan kakitangan Kesihatan ditugaskan di Jelebu. Belum ada saya dengar antara mereka terkena 'komat Jolobu'. Malah apabila mereka meninggalkan Jelebu tidak ada cerita lain melainkan kenangan manis yang mereka ceritakan kepada ibu bapa dan kawan-kawan mereka.

Mungkin pembaca-pembaca yang berasal dari Jelebu ada teori-teori lain. Saya mengalu-alukannya. 

Tuesday, June 17, 2014

Hanya dua orang tetamu?


Minggu lepas saya berpusing-pusing mencari rumah pengantin kerana tunjuk arah di kad jemputan salah. Semalam saya pergi lagi ke satu majlis di mana saya juga dijemput melalui kad. Cuma majlis ini bukan majlis kahwin, tetapi majlis perasmian satu fesival peringkat kebangsaan. Yang dijemput juga bukan sebarang orang, antaranya duta-duta dari negara asing yang berpejabat di Kuala Lumpur.

Sekali lagi saya dikecewakan oleh kad jemputan. Tetapi kali ini bukan kerana tunjuk arah salah. Tetapi saya kecewa dengan bahasa yang ditlulis di kad jemputan. Bahasa Melayunya betul tetapi terjemahannya dalam Bahasa Inggeris bagi saya cukup memalukan. Lebih-lebih lagi bila kad-kad jemputan tersebut dibaca oleh duta-duta negara asing seperti yang saya sebutkan di atas.

Mari saya jelaskan satu persatu:

Ayat pertama di buku program ialah 'Ketibaan tetamu' dengan terjemahannya 'Arrival of Guest'. Ini bermakna di majlis ini hanya ada seorang tetamu biasa atau 'guest' yang dijemput. 

Ayat kedua pula menyebut 'Ketibaan Dif-dif kehormat' dengan terjemahannya 'Arrival of Guest of honour'. Walau pun dalam Bahasa Melayu ada beberapa tetamu dalam kategori ini, dalam Bahasa Inggeris hanya seorang. Saya tidak tahu dikategori mana saya dikelaskan.

Di akhir majlis ada 'Penyampaian cenderamata' yang diterjemah sebagai 'Presentation of momento'. Ini bermakna cuma satu cenderama yang disampaikan. Tetapi saya perhatikan ramai juga yang menerima cenderamata.

Yang amat menghairankan saya ialah Majlis dianjurkan oleh satu badan di mana pengerusinya ialah bekas seorang juruacara tv yang saya tahu fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Perancis. 

Agaknya sama seperti tuan rumah yang memberi saya kad jemputan perkahwinan anaknya minggu lepas, pengerusi ini juga tidak meneliti kad-kad jemputan yang disediakan oleh anak-anak buahnya.    

Thursday, June 12, 2014

Kedai No. 8

Saya di Kedai No. 8

Kerusi pun ditulis No. 8

Di bandar Seremban ada sebuah rumah kedai yang dari dulu dijadikan restoran. Dari dulu juga ia diusahakan oleh peniaga-peniaga India Muslim atau lebih senang kita panggil Mamak, yang telah bertukar ganti. Saya berani berkata begitu kerana dulu saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan tahu tentang apa-apa perubahan terhadap mana-mana perniagaan.

Kedai tersebut beralamat No. 1 Jalan Dato' Bandar Tunggal, 70000 Seremban (nama asal Jalan Birch). Apabila saya mula bekerja dengan MPS pada tahun 1973 saya dapati fail kedai tersebut pun bernombor 1. Malah nombor lesen juga 1. Mungkin kerana ia kedai pertama di jalan utama Bandar Seremban ia diberi nombor fail dan nombor lesen 1.

Tetapi sekarang kerana pertukaran hakmilik dan pengkomputeran sistem lesen nombor 1 hanya kekal di alamat kedai. Nombor fail dan nombor lesen sudah berubah.

Walau bagaimana pun orang Seremban dan Negeri Sembilan tidak pernah memanggilnya Restoran No. 1 atau Kedai No. 1. Ia dikenali dengan nama yang ditulis di papan iklan kedai, pada mulanya Restoran Malabar, kemudian telah bertukar beberapa kali hingga sekarang menjadi Restoran Al-Jasira.

Tetapi lain pula ceritanya di bandar Kuala Klawang, Jelebu iaitu bandar pentadbiran daerah yang dianggap 'hulu' di Negeri Sembilan. Ada sebuah restoran Mamak yang dikenali sebagai Kedai No. 8 dari dulu hingga sekarang, walau pun ia telah bertukar hakmilik serta nama beberapa kali. Kedai itu beralamat No. 8 Jalan Dato' Abdullah, 71600 Kuala Klawang (nama asal Jalan Besar).

Orang Jelebu tidak sah dipanggil orang Jelebu jika tidak tahu di mana Kedai No. 8. Saya masih ingat dibawa oleh arwah datuk saya untuk makan roti canai di Kedai No. 8 ini semasa saya bersekolah rendah lagi. Walau pun ada beberapa restoran dan gerai-gerai Melayu dan Cina di bandar Kuala Klawang, Kedai No. 8 tetap unggul dari dulu hingga sekarang.

Tidak hairanlah petang semalam apabila kawan-kawan Facebook saya dari Jelebu membuat perjumpaan di bandar Kuala Klawang, Kedai No. 8 menjadi tempat pilihan, walau pun ada gerai-gerai Melayu yang dibuka di masa itu. Saya dapati restoran itu telah banyak berubah. Sebagai contoh kerusi ialah jenis alumunium dan bukan kerusi kayu seperti dulu. Meja pula dibuat dari 'stainless steel' dan bukan meja kayu ditutup batu marmar seperti dulu. Lantai dan dinding pula sudah dilapik jubin sepenuhnya. Pendek kata Kedai No. 8 boleh menandingi restoran-restoran Mamak di seluruh negara.

Saya pasti mana-mana pemilik Kedai No. 8 telah menjadi kaya raya sekarang. Petang semalam saya berani kata bahawa restoran itu dipenuhi 80%. Pelanggannya pula terdiri 80% Melayu dan 20% Cina. Saya tidak pasti sama ada kedai itu disewa atau dipunyai oleh operator atau pelesennya. Jika disewa sudah tentu tuan punyanya telah mendapat pulangan berganda.    

Walau pun bandar Kuala Klawang sudah mempunyai jalan-jalan sehala, lampu trafik, kedai 7-11 dan restoran KFC, orang Jelebu tetap melanggani Kedai No. 8. 

Tuesday, June 3, 2014

Antara Hey Jude dengan Ya Hanana

Na na na na na na na Hey Ju......Oooops,  Ya Hanana, Ya Hanana........................

  1. Semasa kumpulan The Beatles masih membuat persembahan dulu ada satu perkara yang berulang semasa mereka menyanyikan lagu Twist and Shout (yang sebenarnya bukan ciptaan mereka). John Lennon ketua mereka akan berkata "Those on the cheaper seats please clap your hands" atau "Kamu yang duduk di kerusi murah tolong tepuk tangan". Kemudian dia menambah "The rest of you just rattle your jewelry" atau "Yang lain (yang duduk di kerusi mahal) cuma goncang perhiasan (emas permata) mu". 
  2. Setiap kali Paul McCartney (bekas ahli The Beatles) menyanyikan lagu Hey Jude dia akan menjemput hadirin menyanyi sama "Na na na na na na na, Hey Jude". Contohnya semasa penutup sukan Olimpik di London dua tahun yang lepas. Sebenarnya lagu asal Hey Jude dirakamkan oleh The Beatles. Tetapi semasa itu mereka tidak membuat persembahan lagi. Oleh itu tidak ada peluang untuk mereka meminta penonton mereka menyanyi sama.
  3. Setiap kali kumpulan Deep Purple menyanyikan lagu Smoke On The Water di depan penonton, mereka akan meminta penonton menyanyi sama "Smoke on the water, fire in the sky".  
Baru-baru ini saya ada melihat video Ya Hanana di mana hadirin yang rata-rata Melayu Islam bertepuk tangan, menyanyi dan menari sama mengikut kumpulan penyanyi di pentas. Cuma tidak ada yang menggoncang perhiasan mereka.

Saya tidak mahu menyatakan sama ada tindakan itu betul atau salah. Cuma ia meniru perkara yang pernah dan selalu dilakukan oleh penyanyi-penyanyi dari barat seperti contoh-contoh yang saya berikan.

Bukankah meniru itu pujian yang terbaik?

Hujung minggu yang tak dapat dilupakan

Zaheen merenung datuknya.

Tersesat sampai ke sini.

Ia bermula pada petang Jumaat 30 Mei 2014. Anak saya Miza datang bersama suaminya Zul dan anak mereka iaitu cucu saya Zaheen yang baru berumur 6 bulan. Seperti biasa tumpuan saya dan isteri saya Salmah ialah kepada cucu bongsu kami itu.

Seperti baisa Zaheen akan merenung lama-lama muka sesiapa yang hampir dengannya. Inilah sifat Zaheen yang saya perhatikan lain dari cucu-cucu saya yang lain. Mungkin Zaheen sudah biasa dengan pelukan dan panggilan manja neneknya. Oleh itu ia tidak menunjukkan apa-apa reaksi negatif bila neneknya memegang dan mendukungnya. 

Tetapi dengan saya reaksi Zaheen kali ini berbeza. Ia merenung saya seperti sebelum ini, kemudian dia mencemek dan terus menangis. Dulu apabila saya letakkan jari ditapak tangannya ia akan menggenggam jari itu dan tidak akan melepaskannya. Tetapi kali ini ia terus melarikan tangannya. Saya tahu Zaheen sudah kenal orang. Mungkin baginya saya ini seorang asing,

Saya pun mengamalkan petua yang diajar kepada saya oleh seorang tua beberapa tahun dulu. Katanya untuk seorang kanak-kanak itu tidak takut kepada kita, petuanya ialah kita mengusap kepalanya perlahan-lahan. Itulah yang saya buat kepada Zaheen. Mula-mula Zaheen hendak mengangis seperti tadi, tapi kemudian dia terus diam dan tidak menunjukkan kemungkinan menangis.

Mulai saat itu Zaheen tidak lagi 'takut' kepada saya. Begitu juga pada keesokan harinya, Sabtu 31 Mei 2014. Hari itu saya pergi ke dua majlis kenduri. Pertama Majlis Aqiqah sahabat saya di Taman Paroi Jaya sebeum tengah hari. Pada petangnya kami sekeluarga pergi ke Port Dickson untuk majlis membaca Yaa Siin dan tahlil arwah bapa saudara kepada isteri saya.

Keesokan harinya Ahad 1 Jun 2014 saya ke Kuala Lumpur berjumpa dengan ahli-ahli kumpulan Facebook saya. Apabila melihatkan hotel di mana kami berjumpa itu dekat dengan satu stesen LRT Rapid KL saya memutuskan untuk pergi ke sana dengan keretapi iaitu KTM Komuter dan Star.

Saya tidak ada masalah semasa pergi, tetapi semasa hendak balik saya tersesat. Baru saya sedar dalam memikirkan saya ini cerdik, ada juga kebodohannya. Semasa menaiki LRT Rapid KL di stesen Bandaraya saya langsung tidak membaca apa yang ditulis di depan tren tersebut. Apabila terdengar sebutan 'Stesen beikutnya, Miharja' barulah saya sedar berada dalam tren yang salah.

Saya pun terus turun di setesen Miharja. Rupa-rupanya bukan saya seorang yang 'sesat'. Ada juga dua tiga orang seperti saya. Bagi kakitangan Rapid KL pula masalah ini sudah biasa bagi mereka. Malah mereka ada menyediakan laluan khas untuk manusia 'sesat' seperti saya.   

Saya terpaksa menunggu tren yang membawa saya ke stesen Chan Sow Lin. Di sana saya turun dan menunggu pula tren membawa saya ke stesen tumpuan saya iaitu Bandar Tasik Selatan. Saya telah hilang masa lebih kurang 30 minit. Walai bagaimana pun saya sempat berjumpa Zaheen sebelum dia dibawa oleh ibu bapanya balik ke rumah mereka di Selangor.

Itulah satu pengalaman yang tidak boleh saya lupakan.