Thursday, June 12, 2014

Kedai No. 8

Saya di Kedai No. 8

Kerusi pun ditulis No. 8

Di bandar Seremban ada sebuah rumah kedai yang dari dulu dijadikan restoran. Dari dulu juga ia diusahakan oleh peniaga-peniaga India Muslim atau lebih senang kita panggil Mamak, yang telah bertukar ganti. Saya berani berkata begitu kerana dulu saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan tahu tentang apa-apa perubahan terhadap mana-mana perniagaan.

Kedai tersebut beralamat No. 1 Jalan Dato' Bandar Tunggal, 70000 Seremban (nama asal Jalan Birch). Apabila saya mula bekerja dengan MPS pada tahun 1973 saya dapati fail kedai tersebut pun bernombor 1. Malah nombor lesen juga 1. Mungkin kerana ia kedai pertama di jalan utama Bandar Seremban ia diberi nombor fail dan nombor lesen 1.

Tetapi sekarang kerana pertukaran hakmilik dan pengkomputeran sistem lesen nombor 1 hanya kekal di alamat kedai. Nombor fail dan nombor lesen sudah berubah.

Walau bagaimana pun orang Seremban dan Negeri Sembilan tidak pernah memanggilnya Restoran No. 1 atau Kedai No. 1. Ia dikenali dengan nama yang ditulis di papan iklan kedai, pada mulanya Restoran Malabar, kemudian telah bertukar beberapa kali hingga sekarang menjadi Restoran Al-Jasira.

Tetapi lain pula ceritanya di bandar Kuala Klawang, Jelebu iaitu bandar pentadbiran daerah yang dianggap 'hulu' di Negeri Sembilan. Ada sebuah restoran Mamak yang dikenali sebagai Kedai No. 8 dari dulu hingga sekarang, walau pun ia telah bertukar hakmilik serta nama beberapa kali. Kedai itu beralamat No. 8 Jalan Dato' Abdullah, 71600 Kuala Klawang (nama asal Jalan Besar).

Orang Jelebu tidak sah dipanggil orang Jelebu jika tidak tahu di mana Kedai No. 8. Saya masih ingat dibawa oleh arwah datuk saya untuk makan roti canai di Kedai No. 8 ini semasa saya bersekolah rendah lagi. Walau pun ada beberapa restoran dan gerai-gerai Melayu dan Cina di bandar Kuala Klawang, Kedai No. 8 tetap unggul dari dulu hingga sekarang.

Tidak hairanlah petang semalam apabila kawan-kawan Facebook saya dari Jelebu membuat perjumpaan di bandar Kuala Klawang, Kedai No. 8 menjadi tempat pilihan, walau pun ada gerai-gerai Melayu yang dibuka di masa itu. Saya dapati restoran itu telah banyak berubah. Sebagai contoh kerusi ialah jenis alumunium dan bukan kerusi kayu seperti dulu. Meja pula dibuat dari 'stainless steel' dan bukan meja kayu ditutup batu marmar seperti dulu. Lantai dan dinding pula sudah dilapik jubin sepenuhnya. Pendek kata Kedai No. 8 boleh menandingi restoran-restoran Mamak di seluruh negara.

Saya pasti mana-mana pemilik Kedai No. 8 telah menjadi kaya raya sekarang. Petang semalam saya berani kata bahawa restoran itu dipenuhi 80%. Pelanggannya pula terdiri 80% Melayu dan 20% Cina. Saya tidak pasti sama ada kedai itu disewa atau dipunyai oleh operator atau pelesennya. Jika disewa sudah tentu tuan punyanya telah mendapat pulangan berganda.    

Walau pun bandar Kuala Klawang sudah mempunyai jalan-jalan sehala, lampu trafik, kedai 7-11 dan restoran KFC, orang Jelebu tetap melanggani Kedai No. 8. 

2 comments:

Rusli Abdullah said...

Kedai no8 mmg terbaik dan lejen (y)

Rusli said...

Kedai no8 mmg terbaik dan lejen (y)