Saturday, July 27, 2019

Rupa-rupanya kami bersaudara.

Hj. Hamdan dan saya di Terachi, Kuala Pilah semasa ziarah kematian ibu kepada jemaah surau kami yang kebetulan juga bersaudara dengan saya. Perhatikan baju kami mempunyai corak yang sama.

Saya mengenali Hj. Hamdan Jamaluddin pada tahun 2006 bila saya berpindah ke taman perumahan kami sekarang. Kebetulan rumah Hj. Hamdan terletak di hadapan surau sementara taman kami. Di situlah kami sering bertemu.

Saya dapati Hj. Hamdan seorang yang 'knowledgable' iaitu tahu tentang perkara-perkara duniawi. Bila kumpulan kami bercakap tentang apa-apa topik, haiwan umpamanya, Hj. Hamdan boleh memberikan fakta-fakta yang betul. Ini menarik perhatian saya kepadanya, kerana saya pun begitu. Sekurang-kurangnya  bila kami bercakap kami tidak bermula dengan menyebut 'Saya dengar......'.

Saya tidak sedar yang Hj. Hamdan juga memerhatikan saya. Dia sedar saya diantara dua orang di taman kami yang boleh membetulkan waktu jam elektronik di surau kami. Sebenarnya saya membetulkan waktu jam itu (yang selalu lewat dari waktu sebenar) melalui 'trial and error'. Saya tidak belajar mengenainya di mana-mana pun.

Tahun 2007 merupakan tahun bersejarah bagi saya dan juga Hj. Hamdan, kerana kami dipilih untuk mengerjakan Haji. Yang menariknya ialah pada tahun itu 8 orang jemaah dari taman kami terpilih untuk tujuan tersebut. Lorong saya yang hanya mempunyai 18 rumah, menyumbangkan 6 orang jemaah (terdiri dari 3 pasangan suami isteri) dan 2 lagi terdiri dari Hj. Hamdan yang menemani ibunya. Beberapa tahun kemudian Hj. Hamdan ke tanah suci sekali lagi, kali ini menemani isterinya pula.

Surau kami meraikan kami di satu majlis sebelum kami bertolak ke Arab Saudi. Tidak seorang pun tahu bahawa empat dari lapan orang yang diraikan itu bersaudara.

Biasalah di zaman sekarang, kita mempunyai kumpulan Whatsapp dan sebelum ini entah apa namanya. Taman kami sahaja mempunyai sekurang-kurang tiga kumpulan, antaranya kumpulan surau dan Rukun Tetangga. Tetapi entah kenapa saya tidak berani memberi komen terhadap komen-komen yang diberikan oleh Hj. Hamdan. Sebenarnya saya tidak berani, memikirkan Hj. Hamdan yang 'knowledgable' itu. Hj. Hamdan pun tidak pernah memberi komen terhadap komen-komen saya, sehinggalah baru-baru ini.

Beberapa minggu lepas, apabila jemaah Haji Malaysia mula terbang ke Arab Saudi, sepupu saya Razif, seorang pegawai Tabung Haji memberitahu kumpulan Whatsapp keluarga kami yang beliau sekarang bertugas di Madinah. Memikirkan beberapa jemaah dari taman kami juga akan ke sana, saya memanjangkan pos Razif itu ke Whatsapp taman kami beserta foto Razif sekali.

Tujuan saya ialah jika kawan-kawan kami itu mempunyai masalah di tanah suci, mereka boleh berhubung terus dengan sepupu saya itu. Kemudian saya lihat pertama kali Hj. Hamdan memberi komen terhadap pos saya. Komennya senang sahaja iaitu saya dan Razif memang ada iras. Saya anggap itu komen biasa sahaja.

Beberapa hari selepas itu satu keluarga dari taman kami mengadakan kenduri termasuk majlis doa selamat. Saya sampai lewat, itu pun setelah pergi ke surau dahulu untuk memastikan adakah orang seperti saya ini dijemput untuk majlis doa selamat tersebut. Setelah melihat jawapan positif, saya pun pergi ke majlis itu.

Sebaik sahaja majlis doa selamat selesai saya dipanggil oleh Hj. Hamdan dan bertanyakan adakah saya kenal dengan seorang yang bernama Ghani dari Jelebu. Saya jawab tentu kenal, kerana Ghani yang dimaksudkan ialah sepupu saya juga (dari berpuluh sepupu yang lain). Dia menerangkan baru bermesyuarat dengan Ghani membincangkan aktiviti keluarga kami yang besar. Dari situlah saya baru tahu yang Hj. Hamdan ini bersaudara dengan saya.

Baru-baru ini bila ibu kepada sahabat setaman kami (yang sebenarnya bersaudara juga dengan saya melalui talian perkahwinan) meninggal dunia, saya mempelawa Hj. Hamdan untuk menziarahinya di Terachi, Kuala Pilah. Saya fikir inilah masa yang terbaik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hubungan persaudaraan kami.

Dalam perjalanan itu saya dapati memang banyak persamaan antara kami berdua. Antaranya kami berminat kepada perkara-perkara duniawi yang tidak kena mengenai dengan tugas kami. Kemudian Hj. Hamdan memberitahu satu perkara yang saya tidak tahu sebelum ini.

Kalau melihat kepada salasilah keluarga, Hj. Hamdan bertaraf anak buah kepada saya. Ini kerana ibunya bertaraf tiga pupu saya. Mengikutnya ibu kepada moyang saya ialah dari keturunan Cina. Itulah sebabnya saya perhatikan Hj. Hamdan ini ada iras-iras Cina. Malah saya sendiri ada yang mengatakan mempunyai iras Cina juga.

Salah satu sebab mengapa kami tidak mengenali diri masing-masing sebelum ini ialah moyang saya telah berhijrah ke Jelebu dari Kuala Pilah semasa kecil atau muda, sedangkan keluarga Hj. Hamdan tetap di sana.

Sekian.

Friday, July 26, 2019

Akibat buruk sangka.


 4WD MPS berhampiran sebuah gerai popular di Terachi, Kuala Pilah.

4WD yang sama sedang ditukar bateri.

Cerita bermula bila saya terbaca YAB Menteri Besar Negeri Sembilan menegur pegawai-pegawai kerajaan dari Seremban keluar minum pagi hingga ke Kuala Pilah. Sila lihat artikel teguran YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

Saya sering ke Kuala Pilah dan Jempol dengan urusan dan aktiviti persatuan pesara dan ternampak banyak kereta diletak berampiran beberapa buah gerai di sepanjang jalan lurus antara Ulu Bendul dengan Terachi di Kuala Pilah. Antaranya kenderaan kerajaan. Tetapi saya besangka baik kerana memikirkan pegawai-pegawainya mungkin ada urusan di Kuala Pilah, Jempol dan mungkin di Negeri Pahang.

Dua hari lepas saya lalu sekali lagi di jalan lurus ini kerana menziarah seorang saudara yang meningal dunia di Terachi. Saya nampak antara kenderaan yang diletak di tempat popular itu sebuah kenderaan 4WD kepunyaan Majlis Perbandaran Seremban atau MPS iaitu jabatan di mana saya cari makan dulu. Kali ini saya bersangka buruk.

Saya fikir tidak ada sebab mengapa kenderaan MPS berada di luar kawasan operasinya melainkan kerana sebab-sebab tertentu. Lebih-lebih lagi di luar Daerah Seremban seperti di Kuala Pilah ini. Saya pula tidak ada masa untuk berhenti untuk berhenti dan bertanya akan situasi sebenar.

Teringatkan teguran YAB Menteri Besar itu, apabila balik ke Seremban saya pun membuat pos di laman Facebook saya. Saya masukkan foto di atas yang menjadi sebahagian dari video perjalanan saya dari Seremban ke Terachi. Kemudian ramailah pembaca yang memberi komen, ada yang menyokong dan ada yang juga yang mengutuk saya.

Kerana ingin memberi penjelasan panjang, beberapa jam kemudian saya pun membuat satu pos di blog saya ini dan sekali lagi memasukkannya di laman Facebook saya. Sekali lagi saya menerima komen-komen menyokong dan mengutuk saya. Apa yang saya kesalkan ialah ada yang mengatakan kerja Haji saya dan kehadiran saya di surau telah menjadi sia-sia kerana membuat fitnah.

Tetapi saya ingin ingatkan di sini bahawa saya tidak sekali-kali memfitnah MPS. Saya cuma sebut selagi saya tidak menerima penjelasan sebenar, saya tetap bersangka buruk tentang kenapa 4WD MPS itu diletak statik berhampiran satu gerai popular di Terachi, Kuala Pilah.

Pagi semalam saya bermesyuarat dengan Yang Di Pertua dan Bendahari persatuan saya dan saya tahu di waktu itu banyak komen-komen masuk ke laman facebook saya. Selepas mesyuarat barulah saya dapat jawapan kepada teka teki saya. Seorang kawan sekerja saya di MPS telah meghantar foto-foto melalui Whatsapp menerangkan situasi sebenar.

Kenderaan MPS itu hendak ke Kemaman, Terengganu untuk mengambil beberapa pegawai MPS yang berkursus di sana. Ia kehabisan bateri di Terachi dan terpaksa diletak berdekatan sebuah gerai popular di Terachi. Tidak lama selepas saya lalu itu sebuah bateri baru pun dihantar kesana.

Kerana tidak mahu memanjangkan isu yang saya anggap sudah selesai, saya pun membuat satu keputusan drastik. Saya buang pos atau 'delete' pos-pos saya di Facebook dan di blog ini. Sebab utama ialah kerana saya dapati telah timbul fitnah bukan saja terhadap MPS, tetapi terhadap saya sendiri.

Setelah menulis di blog selama lebih dari sepuluh tahun, inilah pertama kali saya membuang atau 'delete' pos saya.


Penutup: 

Sehari sebelum ke Terachi itu saya telah dipelawa oleh Dato' Abdullah Sani Abdul Hamid, seorang bekas Yang Di Pertua MPS untuk minum pagi di Kelab Golf Antarabangsa, Paroi, Seremban. Saya berasa bertuah kerana merupakan segolongan kecil dari beratus bekas kakitangan MPS yang dipilihnya  untuk minum pagi bersamanya. 

Antara celoteh Dato' Abdullah Sani ialah bagaimana dia terjumpa kakitangannya mengelat semasa kerja. Juga ada pegawai kanannya yang cuba sabotaj kerjanya semasa dia mula-mula dipinjamkan ke MPS dari Kerajaan Persekutuan. 

Kemudian ingatan saya kembali ke puluhan tahun dulu bila saya diajak sama oleh Dato' Abdullah Sani untuk pergi ke Gentam, Kuala Pilah untuk melawat kakitangan MPS yang berkursus di sana. Apabila balik di waktu malam kenderaan MPS kami tiba-tiba habis bateri dan kami letakkannya di Balai Polis Tanjong Ipoh, Kuala Pilah.

Kami pun menalipon bengkel MPS yang menghantar sebuah kederaan lain untuk mengambil kami balik ke Seremban. Pagi esoknya sebuah lagi kenderaan MPS datang ke Balai Polis membawa bateri baru untuk kenderaan asal kami.  

Memang benar, sekali sekala kenderaan MPS kena keluar kawasan juga. Dengan ini saya meminta maaf jika ada pihak-pihak yang rasa senang terhadap pos di Facebook dan blog saya sebelum ini yang telah saya buang itu.

Tuesday, July 16, 2019

Inilah dia Mr. K




Mohd. Ayop dan Mr. K atau K. Subramaniam.

Jika pos saya sebelum ini menceritakan mengenai seorang yang bernama Maniam, kali ini saya ingin menceritakan mengenai seorang lagi Maniam. Cuma Maniam yang ini tinggal di Kubang Kerian, Kelantan. Walau pun dia tinggal beratus kilometer jauh di sana, orangnya sentiasa berada dekat di hati saya.

Maniam yang di Kelantan ini bernama K. Subramaniam, tetapi lebih dikenali sebagai Mr. K sahaja Saya pernah menceritakan mengenai Mr. K di pos saya bertajuk "Bertugas di Kelantan - Bahagian 3". Tetapi kali ini saya ingin menceritakan lebih lanjut lagi mengenainya.

Saya pernah bertugas di Kelantan pada keseluruhan tahun 1972 semasa saya masih bujang, lima bulan pertama di Pusat Kesihatan Kecil Bachok dan tujuh bulan kedua di Pejabat Kesihatan Pasir Puteh. Antara orang pertama yang saya jumpa ialah Mr. K. Dia bertugas di Pusat Kesihatan Kecil Gunung sebagai Pengawas Kesihatan sedangkan penempatan saya di Bachok merupakan penempatan pertama setelah tamat latihan sebagai seorang Inspektor Kesihatan.

Walau pun saya sudah mengenali budak-budak Kelantan semasa saya belajar di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak, saya belum bergaul dengan rakyat Kelantan di negeri mereka sendiri. Mr. K lah orang yang banyak mengajar saya tentang apa yang boleh dan tidak boleh buat di Kelantan. Pelik juga ya, kerana Mr. K seorang bukan Melayu dan bukan Islam boleh mengajar saya bagaimana hendak bergaul dengan masyarakat Melayu dan Islam di Kerlantan.

Salah satu sebabnya ialah Mr. K bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, tetapi boleh bercakap loghat Kelantan seperti orang Melayu Kelantan. Bagaimana Mr. K 'kecek' dengan saya 47 tahun yang lalu, begitulah Mr. K bercakap dengan saya melalui telefon pagi tadi.

Ya, pagi tadi saya dapat bercakap semula dengan Mr. K. Kisahnya bermula bila saya membaca di Facebook tentang 'reunion' satu kumpulan yang dipanggil 'EX IK KELATE'. Nama itu bermaksud pesara Inspektor Kesihatan yang pernah bertugas di Kelantan tidak kira di mana mereka berada sekarang. Saya juga seorang 'Ex IK Kelate', tetapi ramai yang tidak tahu. Oleh itu saya tidak dipanggil untuk 'reunion' itu.

Dipendekkan cerita saya pun dimasukkan ke kumpulan WhatsApp 'EX IK KELATE' setelah menghubungi seorang dari mereka yang saya kenal. Untuk membuktikan kesahihan saya menyertai kumpulan tersebut, saya pun siarkan pos-pos blog saya mengenai pengalaman saya bekerja di Kelantan termasuk mengenai Mr. K.

Seorang Ex IK Kelate yang sekarang bersara di Kelantan bernama En. Mohd. Ayop memberitahu saya bahawa Mr. K masih hidup. Saya pun minta dia menghubungi Mr. K untuk saya bercakap dengannya. Itulah yang dibuat oleh En. Mohd. Ayop pagi tadi.

Semasa saya di Kelantan, Pusat Kesihatan Kecil Gunong di mana Mr. K bertugas terkenal dengan satu isu negatif. Staff di sana ramai yang tidak bertegur sapa dan Mr. K terperangkap di tengah-tengah. Ceritanya boleh dibaca di pos yang saya lampirkan itu. Tetapi ketegangan di antara mereka itu tidak kena mengena dengan isu perkauman.

Bila En. Mohd. Ayop menghantar gambar di atas melalui telefon bimbitnya, mula-mula saya ingin masukkan gambar Mr. K sahaja. Tetapi setelah berfikir dua kali saya saya masukkan gambar asal sebagaimana yang dihantar oleh En. Mohd. Ayop.

Perhatikan gambar itu baik-baik. En. Mohd. Ayop, seorang Melayu Islam memasuki rumah Mr. K, seorang India Hindu, dengan memakai kopiah. Mr. K pula menerimanya dengan memakai singlet sahaja. Situasi itu jarang berlaku di tempat-tempat-tempat lain.

Jika di Seremban, seorang Islam akan menanggalkan kopiahnya apabila masuk ke rumah seorang bukan Islam. Tuan rumah pula akan memakai baju penuh untuk menghormati tetamu.

Apa yang dilakukan oleh En. Mohd. Ayop dan Mr. K bukanlah kerana kurang hormat antara mereka, tetapi menunjukkan betapa akrabnya kaum-kaum di Kelantan yang malangkaui batas perkauman, dan patut menjadi contoh kepada kita semua. Sayang sekali saya hanya merasainya dalam tempoh setahun sahaja.

Mr. K sekarang berumur 84 tahun dan masih sihat. Ini bermakna semasa saya bekerja dengannya di umur 22 tahun, Mr. K berumur 37 tahun. Tetapi ia tetap menghormati saya sebagai ketuanya, satu perkara yang saya tidak boleh lupa sehingga sekarang.

Sekian.

Wednesday, July 10, 2019

Saya sudah terlanjur jauh untuk ke pangkal jalan.

Saya dengan En. Maniam di bangunan baru Majlis Perbandaran Seremban di Forest Heights, Seremban.

Beberapa jam tadi saya menerima panggilan telefon dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau lebih dikenali sebagai ROS untuk Registrar Of Societies. Pemanggil ingin saya hadir di pejabat ROS Negeri Sembilan di Bandar Seremban untuk saya memberi keterangan.

Bagi Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO, ROS dalah seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia atau SPRM untuk badan-badan Kerajaan. Segala salah laku NGO dan pegawai-pegawainya akan disiasat oleh ROS. Mungkin bezanya ialah ROS boleh bertindak terhadap mana-mana NGO termasuk membatalkannya sedangkan hukuman terhadap apa-apa tindakan SPRM hanya boleh diputuskan oleh pihak mahkamah. 

Saya sudah beberapa kali dipanggil oleh ROS Negeri Sembilan kerana saya pernah menjadi Setiausaha untuk dua NGO. Saya sudah melepaskan jawatan di satu NGO dan sekarang terlibat dengan satu NGO sahaja. Dari itu juga saya sudah dapat mengagak kenapa saya dipanggil oleh ROS kali ini.

Semalam saya terserempak dengan orang yang mengenalkan saya dengan NGO saya sekarang. Saya tidak tahu nama penuhnya tetapi saya kenal dia sebagai Maniam sahaja. Dulu dia pernah menjadi Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seremban atau MPS mewakili parti MIC dan saya pula bekerja di situ. 

Saya dapati En. Maniam betul-betul menjalankan tugas sebagai Ahli Majlis. Dia sering ke pajabat saya untuk menyelesaikan masalah ahli-ahlinya. Sudah tentulah dia banyak mewakili pembayar cukai sebagsa dengannya. Ekoran itu bila kami berjumpa di Bilik Mesyuarat tidak ada ketegangan antaranya dengan pegawai-pegawai Majlis seperti saya. Situasi itu adalah sama dengan Ahli-ahli Majlis dari parti-parti MCA dan Gerakan.

Tetapi ini berbeza dengan Ahli-ahli Majlis dari parti UMNO. Mereka jarang-jarang datang ke pejabat untuk berjumpa dengan kami pegawai-pegawai. Mereka cuma datang semasa Mesyuarat. Tiap kali Mesyuarat saya sangat bimbang dengan Ahli-ahli Majlis UMNO ini. Kerana apa? Kerana mereka akan mencari salah kami. 

Mereka akan menggunakan kami untuk melepaskan dendam mereka terhadap musuh-musuh mereka.  Oleh kerana mereka bercakap semasa Mesyuarat dan direkodkan dalam minit, kami terpaksa mengambil tindakan terhadap apa yang mereka bangkitkan, wajar atau tidak. Sehingga seorang bekas Yang Di Pertua MPS pernah menegur mereka kerana bersikap sebagai pembangkang.   

Sembilan tahun yang lalu saya terserempak semula dengan En. Maniam. Situasi kami juga sudah berbeza. Saya sudah bersara dari MPS dan  En. Maniam juga tidak lagi menjadi Ahli Majlis. Tetapi dia menjadi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban. 

Seperti sebelumnya dia menolong orangnya. Dia mengiringi seorang yang masuk wad sementara sebelum pembedahan mata. Kebetulan isteri saya Salmah juga memasuki wad yang sama untuk pembedahan yang sama. 

Sambil bertegur sapa dengan mesra seperti dulu dan mengetahui saya sudah bersara, En. Maniam bertanya tahukah saya bahawa saya boleh menuntut segala bayaran yang dikenakan kepada saya, jika ada, dari pembedahan itu. Saya jawab tidak tahu langsung mengenai perkara itu.

Saya nyatakan sudah membeli lensa mata berharga RM 650. En. Maniam kemudian memberi petunjuk bagaimana saya boleh menuntut balik duit tersebut. Saya diminta pergi ke satu pejabat yeng terletak di satu 'basement' atau bawah tangga. 

Baru saya tahu pejabat itu ialah pejabat satu persatuan pesara iaitu NGO saya sekarang. Seorang pekerja di situ memberitahu, saya dikehendaki menjadi ahli persatuan untuk menerima apa-apa perkhidmatan. Saya pun terus mengisi borang dan membayar yuran seumur hidup.

Saya langsung tidak menyangka bahawa langkah saya turun tangga ke 'basement' itu akan membawa saya ke langkah-langkah seterusnya. Antara langkah-langkah itu ialah ke cawangan-cawangan NGO saya di seluruh Negeri Sembilan, ke Ibu Pejabat NGO di Kuala Lumpur, ke JPA Pencen Putrajaya, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Cyberjaya dan ke Persidangan Perwakilan di Kangar, Shah Alam, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan.

Ini kerana tidak lama setelah menyerahkan borang keahlian, saya menerima tawaran menjadi Setiausaha persatuan di peringkat Negeri Sembilan. Pejabat saya juga telah berpindah ke premis kepunyaan sendiri di tingkat satu, satu rumah kedai di Bandar Seremban. 

Saya telah banyak membuat innovasi setelah memegang jawatan itu. Saya berani berkata bahawa penubuhan kaunter-kaunter MyPesara di setiap Pejabat Setiausaha Kerajaan di Semenanjung Malaysia baru-baru ini adalah meniru idea saya. 

Walau bagaimana pun, perubahan mendadak saya serta innovasi yang saya lakukan ada juga rintangannya. Tiga tahun lepas, isteri saya Salmah disahkan mengidap Vascular Dementia yang menyebabkan saya mengurangi aktiviti saya termasuk tidak pergi ke Persidangan Perwakilan di Kota Bharu, Kelantan. Tetapi saya masih boleh membuat kerja-kerja di rumah termasuk memberi panduan di mana yang boleh melalui telefon.

Tidak kurang pula ada yang tidak senang dengan perubahan saya ini. Itulah sebabnya saya dipanggil untuk pergi ke pejabat ROS Negeri Sembilan itu. Tetapi saya sudah terlanjur jauh untuk kepangkal jalan.

Sunday, July 7, 2019

"Itu bukan lagu BEATLES"

Hanya seorang peminat tegar The Beatles yang sanggup membeli buku seperti di atas.

Beberapa bulan yang lepas sekeluarga jiran anak saya Ina di Sungai Buloh, Selangor datang menziarah kami di Seremban ini. Semasa kami berborak, Ina memberitahu saya ketua keluarga itu ialah peminat The Beatles, seperti saya. Susah juga hendak berjumpa dengan seorang peminat The Beatles yang bertaraf anak bagi saya.

Kemudian lama juga saya bercerita mengenai kumpulan hebat itu dengannya, termasuk saya menunjukkan koleksi CD lagu-lagu Beatles saya kepadanya. Saya dapati fakta-fakta mengenai The Beatles darinya adalah betul belaka. Maklumlah dia seorang terpelajar, tambahan lagi banyak fakta-fakta mengenai kumpulan itu boleh dibaca di internet.

Tetapi berlainan pula dengan seorang lagi peminat Beatles yang saya ingin ceritakan seterusnya. Dia sama bekerja dengan saya di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sebelum ini dan sekarang sudah bersara seperti saya. Saya merujuk dia sebagai W sahaja untuk menjaga identitinya.

Saya terserempak dengannya membelek CD lagu-lagu Inggeris di satu kedai di Bandar Seremban. Mengetahui perbuatannya salah kerana memasuki kedai semasa di waktu bekerja, dia pun keluar apabila ternampak saya.

Bebarapa hari kemudian saya pula terserempak dengannya di lobi bangunan pejabat kami. Saya pun terus bertanya CD apa yang dicarinya dari kedai itu. Jawapannya CD The Beatles. Saya terperanjat kerana rupa-rupanya ada juga kakitangan MPS yang minat The Beatles.

Kemudian saya tanya W, antara lagu-lagu The Beatles, lagu apa yang paling dia suka. Jawapannya lagu 'Rock and Roll Music'. Sekali lagi saya terperanjat, kerana lagu itu lagu hebat yang dicipta loleh seorang pencipta hebat. Cuma penciptanya bukan anggota The Beatles.

Saya ketawa kecil yang menghairankannya. Dia bertanya kenapa saya ketawa? Saya jawab kerana lagu 'Rock and Roll Music' bukan lagu The Beatles. Dia bertanya lagi apa maksud saya. Saya jawab The Beatles merakamkan satu lagu lama yang dicipta oleh orang lain.

W bertanya siapa penciptanya. Saya terus jawab Chuck Berry. Sekali lagi saya terperanjat kerana W juga kenal siapa Chuck Berry dan menyebut antara lagu Chuck Berry ialah 'Johnny B Goode'. Tetapi W menambah mugkin Chuck Berry yang menyanyikan lagu ciptaan The Beatles.

Saya boleh membawa buku di atas dan menunjukkan kepada W keterangan mengenai semua lagu-lagu yang dirakam oleh The Beatles, termasuk lagu-lagu yang bukan ciptaan mereka. Tetapi saya ambil jalan mudah sambil melanggar etika kerja saya.

Saya ajak W masuk ke bilik saya dan terus buka komputer. Saya pergi ke internet dan taip 'Rock and Roll Music' di program Google. Terpampang fakta-fakta mengenai lagu itu termasuk siapa penciptanya. Barulah W percaya.

W tidak payah bertanya kepada pihak ketiga seperti kawan sama sekolah saya yang tidak percaya lagu YAHOO ialah nyanyian Muhammad Rafi (dengan pertolongan Pryag Raj yang menjerit 'YAAHOO' di awal lagu).

Saturday, July 6, 2019

Rupa-rupanya saya pun salah juga.

Saya dengan Hj. Shahril Saat yang satu kelas dengan Hj. Muhammad.

Lebih setengah abad dulu, atau pun 56 tahun secara tepat saya berada di Tingkatan 1 Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak. Duduk sebilik dengan saya ialah seorang bernama Muhammad (sekarang Haji) berasal dari Langgar, Kedah. Dia senior dua tahun dari saya. 

Seperti saya, Muhammad minat lagu-lagu Hindustan. Kebetulan radio untuk blok asrama kami terletak sebelah bilik kami. Jadi, bila lagu-lagu Hindustan berkumandang di radio dan ada pelajar lain cuba hendak mengubah stesen, Muhammad dan saya bersatu untuk menghalangnya. 

Bukan setakat mendengar lagu-lagu Hindustan. Kami juga menonton filem-filem Hindustan di panggung Rex, Tanjong Malim dan panggung Majestic di pekan Ulu Bernam, Selangor yang terletak di sebelah Sungai Bernam, sungai yang memisahkan negeri-negeri Perak dan Selangor. 

Muhammad pun sering menyanyi lagu-lagu Hindustan dalam bilik dan ini tidak menjadi masalah bagi saya. Satu ketika setelah menonton filem Junglee lakunan Shammi Kapoor dan Saira Banu, Muhammad pun menyanyi lagu-lagu dari filem itu. Antara lagu-lagunya ialah yang berjodol YAHOO. 'Shammi Kapoor', 'Saira Banu' dan 'YAHOO' ada disebut dalam filem 'Nasib Do Re Mi', lakunan dan arahan Allahyarham P Ramlee.

Satu hari setelah menyanyi sebahagian lagu YAHOO, Muhammad berkata 'Sedap betul suara Shammi Kapoor'. Mengetahui fakta itu salah, saya pun menegurnya dan berkata suara di lagu itu bukan suara Shammi Kapoor, tetapi suara seorang penyanyi bernama Muhammad Rafi. Muhammad terus menempelak saya dan berkara 'Apa kau tahu?'.    

Saya pun menerangkan lagu-lagu di filem-filem Hindustan dinyanyikan oleh antaranya Mukesh, Muhammad Rafi, Lata Mangeshkar dan Asha Bosle. Saya terus menerangkan kepadanya lagu-lagu di filem-filem Melayu pun begitu juga. Pelakon-pelakon seperti Jins Shamsuddin, Noordin Ahmad, Zaiton dan Sarimah tidak pandai menyanyi dan bila mereka menyanyi dalam filem, bukan suara mereka yang kita dengar, tetapi suara P Ramlee, Saloma, Normadiah dan R Ismail.

Mendengar penjelasan ini, Muhammad lagi berang dengan saya. Di hari-hari berikutya dia asyik mengejek saya. Di masa itu mana ada internet untuk membantu saya. Saya juga malas untuk merujuk kepada kawan-kawan lain untuk membantu, demi menjaga hati Muhammad yang lebih tua dan senior dari saya

Satu hari bila kami balik ke sekolah setelah bercuti di kampung masing-masing, sebutan pertama Muhammad kepada saya ialah meminta maaf. Katanya dia telah bertanya kepada abangnya, seorang guru, mengenai fakta-fakta lagu-lagu Hindustan. Baru dia sedar segala fakta yang saya beri kepadanya betul belaka. Mulai hari itu Muhammad menghormati saya dan dia mula memuji keenakan suara Muhammad Rafi dan lain-lain.

Entah kenapa pagi tadi saya teringin hendak mendengar lagu YAHOO. Di mana lagi kalau tidak di YouTube. Kemudian saya terlihat satu video Shammi Kapoor yang dibuat tidak berapa lama sebelum beliau meninggal dunia. Dia menceritakan hubungan baiknya dengan Allahyarham Muhammad Rafi. Dia berterima kasih kepada 'Rafi Sahab' kerana meminjamkan suaranya untuk lagu-lagu filem lakunannya.

Antara yang disebut oleh Shammi Kapoor ialah tentang lagu YAHOO. Mengikutnya walau pun hampir keseluruhan lagu itu dinyanyikan oleh Muhammad Rafi, jeritan 'YAAHOO' di awal lagu itu bukan suara 'Rafi Sahab' dan juga bukan suaranya, tetapi suara seorang bernama Pyrag Raj. Ini juga bermakna penjelasan saya kapada Muhammad 56 tahun yang lalu sebenarnya tidak 100% tepat.

Seperti saya, Hj. Muhammad sudah bersara. Beliau sekarang tinggal di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan ramai bekas pelajar SDAR tinggal di sana. Jika berjumpa lagi dengannya saya ingin membawa ingatannya kepada minatnya terhadap lagu-lagu Hindustan.

Saya juga ingin memohon maaf kepadanya mengenai fakta lagu YAHOO itu.

Thursday, July 4, 2019

Kalau tidak ada telur untuk jalankan arahan, baik berhenti saja.

Dulu ada seorang Yang Di Pertua saya berpesan kepada saya "Apa yang saya arahkan, buat saja. Kalau kita didakwa dan didapati salah, bukan kita yang kena bayar, tetapi jabatan kita". 

Pesanan itu memberi kekuatan kepada saya untuk menjalankan kerja, lebih-lebih lagi antara tugas saya ialah menguatkuasakan undang-undang. 

Semalam ada sedikit kekecohan di Dewan Rakyat. Saya tidak sempat melihat siarannya secara langsung, tetapi sempat melihat rakamannya.

Apa yang berlaku ialah seorang Ahli Dewan Rakyat diarahkan keluar Dewan, kemudian diberi hukuman tidak dibenarkan masuk ke Dewan selama empat hari. Timbalan Yang Di Pertua Dewan telah beberapa kali mengarahkan Bentara Dewan supaya menjalankan tugas. Tugas yang dimaksudkan ialah membawa Ahli Dewan Rakyat itu keluar dari Dewan. Itu sahaja.

Tetapi Bentera cuma tercegat berdiri di belakang Ahli yang diarahkan keluar itu. Saya tidak tahu apa kesudahan episod kekecohan itu.

Saya tidak mempertikaikan sebab musabab kenapa Ahli Dewan itu diarahkan keluar dewan. Saya juga tidak mempertikaikan adakah arahan yang diberi oleh Timbalan Yang Di Pertua itu adil atau tidak. 

Tetapi sebagai Bentara, jika arahan sudah diterima, jalankan sajalah arahan itu. Kamu tidak berhak menjadi hakim untuk memutuskan samada arahan tuan kamu itu adil atau tidak. 

Kalau kamu tidak ada telur untuk menjalan arahan, kamu berhenti sajalah.

Sekian.