Saya dengan En. Maniam di bangunan baru Majlis Perbandaran Seremban di Forest Heights, Seremban.
Beberapa jam tadi saya menerima panggilan telefon dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau lebih dikenali sebagai ROS untuk Registrar Of Societies. Pemanggil ingin saya hadir di pejabat ROS Negeri Sembilan di Bandar Seremban untuk saya memberi keterangan.
Bagi Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO, ROS dalah seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia atau SPRM untuk badan-badan Kerajaan. Segala salah laku NGO dan pegawai-pegawainya akan disiasat oleh ROS. Mungkin bezanya ialah ROS boleh bertindak terhadap mana-mana NGO termasuk membatalkannya sedangkan hukuman terhadap apa-apa tindakan SPRM hanya boleh diputuskan oleh pihak mahkamah.
Saya sudah beberapa kali dipanggil oleh ROS Negeri Sembilan kerana saya pernah menjadi Setiausaha untuk dua NGO. Saya sudah melepaskan jawatan di satu NGO dan sekarang terlibat dengan satu NGO sahaja. Dari itu juga saya sudah dapat mengagak kenapa saya dipanggil oleh ROS kali ini.
Semalam saya terserempak dengan orang yang mengenalkan saya dengan NGO saya sekarang. Saya tidak tahu nama penuhnya tetapi saya kenal dia sebagai Maniam sahaja. Dulu dia pernah menjadi Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seremban atau MPS mewakili parti MIC dan saya pula bekerja di situ.
Saya dapati En. Maniam betul-betul menjalankan tugas sebagai Ahli Majlis. Dia sering ke pajabat saya untuk menyelesaikan masalah ahli-ahlinya. Sudah tentulah dia banyak mewakili pembayar cukai sebagsa dengannya. Ekoran itu bila kami berjumpa di Bilik Mesyuarat tidak ada ketegangan antaranya dengan pegawai-pegawai Majlis seperti saya. Situasi itu adalah sama dengan Ahli-ahli Majlis dari parti-parti MCA dan Gerakan.
Tetapi ini berbeza dengan Ahli-ahli Majlis dari parti UMNO. Mereka jarang-jarang datang ke pejabat untuk berjumpa dengan kami pegawai-pegawai. Mereka cuma datang semasa Mesyuarat. Tiap kali Mesyuarat saya sangat bimbang dengan Ahli-ahli Majlis UMNO ini. Kerana apa? Kerana mereka akan mencari salah kami.
Mereka akan menggunakan kami untuk melepaskan dendam mereka terhadap musuh-musuh mereka. Oleh kerana mereka bercakap semasa Mesyuarat dan direkodkan dalam minit, kami terpaksa mengambil tindakan terhadap apa yang mereka bangkitkan, wajar atau tidak. Sehingga seorang bekas Yang Di Pertua MPS pernah menegur mereka kerana bersikap sebagai pembangkang.
Sembilan tahun yang lalu saya terserempak semula dengan En. Maniam. Situasi kami juga sudah berbeza. Saya sudah bersara dari MPS dan En. Maniam juga tidak lagi menjadi Ahli Majlis. Tetapi dia menjadi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.
Seperti sebelumnya dia menolong orangnya. Dia mengiringi seorang yang masuk wad sementara sebelum pembedahan mata. Kebetulan isteri saya Salmah juga memasuki wad yang sama untuk pembedahan yang sama.
Sambil bertegur sapa dengan mesra seperti dulu dan mengetahui saya sudah bersara, En. Maniam bertanya tahukah saya bahawa saya boleh menuntut segala bayaran yang dikenakan kepada saya, jika ada, dari pembedahan itu. Saya jawab tidak tahu langsung mengenai perkara itu.
Saya nyatakan sudah membeli lensa mata berharga RM 650. En. Maniam kemudian memberi petunjuk bagaimana saya boleh menuntut balik duit tersebut. Saya diminta pergi ke satu pejabat yeng terletak di satu 'basement' atau bawah tangga.
Baru saya tahu pejabat itu ialah pejabat satu persatuan pesara iaitu NGO saya sekarang. Seorang pekerja di situ memberitahu, saya dikehendaki menjadi ahli persatuan untuk menerima apa-apa perkhidmatan. Saya pun terus mengisi borang dan membayar yuran seumur hidup.
Saya langsung tidak menyangka bahawa langkah saya turun tangga ke 'basement' itu akan membawa saya ke langkah-langkah seterusnya. Antara langkah-langkah itu ialah ke cawangan-cawangan NGO saya di seluruh Negeri Sembilan, ke Ibu Pejabat NGO di Kuala Lumpur, ke JPA Pencen Putrajaya, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Cyberjaya dan ke Persidangan Perwakilan di Kangar, Shah Alam, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan.
Ini kerana tidak lama setelah menyerahkan borang keahlian, saya menerima tawaran menjadi Setiausaha persatuan di peringkat Negeri Sembilan. Pejabat saya juga telah berpindah ke premis kepunyaan sendiri di tingkat satu, satu rumah kedai di Bandar Seremban.
Saya telah banyak membuat innovasi setelah memegang jawatan itu. Saya berani berkata bahawa penubuhan kaunter-kaunter MyPesara di setiap Pejabat Setiausaha Kerajaan di Semenanjung Malaysia baru-baru ini adalah meniru idea saya.
Walau bagaimana pun, perubahan mendadak saya serta innovasi yang saya lakukan ada juga rintangannya. Tiga tahun lepas, isteri saya Salmah disahkan mengidap Vascular Dementia yang menyebabkan saya mengurangi aktiviti saya termasuk tidak pergi ke Persidangan Perwakilan di Kota Bharu, Kelantan. Tetapi saya masih boleh membuat kerja-kerja di rumah termasuk memberi panduan di mana yang boleh melalui telefon.
Tidak kurang pula ada yang tidak senang dengan perubahan saya ini. Itulah sebabnya saya dipanggil untuk pergi ke pejabat ROS Negeri Sembilan itu. Tetapi saya sudah terlanjur jauh untuk kepangkal jalan.
No comments:
Post a Comment