Monday, March 28, 2016

Perjuangan mereka tidak sia-sia.

SDAR sekarang di Sungai Gadut, Seremban.


SDAR super seniors (dan isteri-isteri mereka) di Melaka baru-baru ini. Ada diantara mereka dibuang sekolah akibat 'mogok' tahun 1961.

Bila kita sebut 'mogok' ingatan kita ialah 'tindakan se kumpulan pekerja tak mahu kerja', walau pun 'mogok' boleh bermakna 'tidak mahu berjalan'. Contohnya bas itu 'mogok' kerana beberapa sebab, antaranya bateri sudah mati.

Tetapi dalam banyak makna 'mogok' saya tidak terjumpa 'tidak mahu masuk kelas untuk belajar' antaranya. Tetapi itulah yang dilakukan oleh keseluruhan pelajar di sebuah sekolah asrama penuh di Tanjong Malim, Perak pada pertengahan tahun 1961. Sekolah itu ialah Sekolah Dato'Abdul Razak atau SDAR yang sekarang sudah berpindah ke Sungai Gadut, Seremban.

Itu juga sekolah di mana saya menerima persekolahan menengah, walau pun saya tidak terlibat dengan 'mogok' tersebut kerana kerana saya masuk ke sekolah itu pada tahun 1962. Tetapi setiap pelajar yang masuk ke SDAR diingatkan kepadanya. 

Tidak tepat jika perbuatan mereka itu disebut 'enggan datang ke sekolah', kerana semua mereka tinggal di asrama sekolah. Oleh itu perbuatan mereka tidak mahu masuk kelas untuk belajar dipanggil 'mogok'.

Mereka kemudiannya dihantar balik kampung masing-masing sebelum dipanggil semula beberapa bulan kemudian. Susulan 'mogok' itu sembilan pelajar yang dianggap sebagai dalang telah dibuang sekolah.

'Mogok' itu dilakukan kerana beberapa sebab. Antaranya para pelajar berpendapat Guru Besar (sekarang dipanggil Pengetua) sekolah adalah lemah dan perlu diganti. Kedua sekolah kekurangan banyak kemudahan, antaranya sebuah dewan.

Walau pun para pelajar yang tinggal menerima berita pahit sembilan kawan mereka telah dibuang sekolah, kebanyakan perkara yang menjadi isu mogok tecapai juga, Pertama, mereka mendapat Guru Besar baru. Kedua, kemudahan yang mereka minta diberi. Antaranya sebuah dewan yang kemudian diberi nama DEWAN RAHMAN TALIB.

DEWAN RAHMAN TALIB masih tersergam sekarang walau pun banyak bangunan lama SDAR dirobohkan apabila ia diambil alih oleh Maktab Perguruan Sultan Indris (MPSI) pada tahun 1972 dan sekarang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 

Semasa lawatan saya ke Tanjong Malim beberapa tahun yang lalu DEWAN RAHMAN TALIB digunakan sebagai tempat mesyuarat agung satu koperasi di Tanjong Malim. Mungkin juga dewan itu digunakan sebagai majlis perkahwinan di hujung-hujung minggu.

Antara kesan 'mogok' ialah kami pelajar-pelajar tidak takut membuat tindakan drastik jika kami terasa seperti dianak-tirikan. Akibatnya pada tahun 1967 berlaku pula satu peristiwa yang kami panggil 'pecah pinggan'. Oleh kerana saya sama-sama 'memecahkan pinggan' saya ada menulis mengenainya di sini. 

'Mogok' tidak merugikan pihak sekolah. Guru Besar, guru-guru dan pekerja sekolah menerima gaji semasa kami mogok dan dipaksa bercuti di kampung. Cuma kami yang rugi tidak menerima apa-apa pelajaran di masa itu.

Tetapi 'pecah pinggan' bermakna menjahanamkan harta kerajaan. Tetapi kali ini pihak sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan Kementerian Pelajaran tidak membuang sesiapa.

Saya berani berkata hasil 'mogok' dan 'pecah pinggan' SDAR sekarang mendapat kampus serba lengkap di Sungai Gadut, Seremban. Setiap kali saya ke selatan melalui Lebuhraya Utara Selatan saya akan memandang ke kanan di Sungai Gadut dan ternampak tulisan besar SDAR terpampang di sekolah. Begitu juga sebaliknya bila saya balik ke Seremban dari selatan.

Kebanyakan mereka yang dibuang sekolah akibat 'mogok' itu masih hidup. Tetapi insan yang mencadangkan 'pecah pinggan' telah meninggalkan kami. Tetapi nyata perjuangan mereka tidak sia-sia.  

1 comment:

Unknown said...

Sedihnya membaca sejarah ini..walaupun telah mengetahuinya sebelum ini.Sebagai guru yg baharu 6 tahun di SDAR..kasih saya seolah2 telah belasan tagun.Zalita Md Lassim.