Friday, December 23, 2011

Kasih tak boleh dijual beli.

Pasir Puteh di pinggir kali,
Tempat menyabung ayam berlaga,
Kasih tak boleh dijual beli,
Bukannya benda buat berniaga.

(Dari lagu Pasir Roboh).

Tiap kali aku terdengar lagu Pasir Roboh aku teringatkan bandar dan jajahan Pasir Puteh di Kelantan, kerana aku pernah tinggal dan bekerja di situ pada tahun 1972. Tetapi ada satu lagi 'Pasir Puteh' yang juga bermain dalam ingatanku. 


Pos aku kali ini ialah ekoran kepada posku beberapa bulan yang lalu. Untuk mengetahuinya sila klik di sini. Setelah membuat pos itu hatiku meronta-ronta ingin kembali ke tempat peristiwa pos itu. Akhirnya pada hari Khamis 22 Disember 2011 hajatku dikabulkan.  

Aku masih ingat tarikhnya iaitu hari Selasa 13 Februari 1962 bersamaan 8 Ramadan 1381. Aku singgah di rumah mereka di Kampung Pasir Puteh, Kalumpang, Selangor  dalam perjalananku ke Tanjong Malim, Perak untuk memasuki satu sekolah berasrama penuh di situ. Sekolahnya ialah Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) yang sekarang sudah berpindah ke Seremban. Aku datang bersama ibuku, Pak Lang Ibrahim iaitu adik kandung ibuku dan adik bongsuku di masa itu Faridah. (Lepas itu Faridah ada adik lagi). 

Dengan takdir Allah orang yang pertama kami temui setelah turun dari bas (bernama Len yang sekarang sudah dututup) di pekan Kalumpang ialah isteri kepada saudara yang kami ingin temui. Dia bersama dua orang anaknya yang masih kecil, kalau tak salah seorang lelaki dan seorang perempuan. 

Setelah memberitahu nama orang yang kami ingin temui iaitu Kadir, perempuan itu terus berkata 'Dia ayah kepada budak-budak ni' sambil menunjuk kepada anak-anaknya. Secara tidak langsung dia memberitahu orang yang kami cari ialah suaminya. Kami pun terus dibawa ke rumahnya di mana kami bermalam semalam. 

Aku masih ingat di bawa ke dapur dan ditawarkan makanan oleh beberapa orang perempuan  kerana memikirkan aku belum berpuasa. Mereka kemudian terperanjat bila aku mengatakan aku berpuasa kerana mengikut mereka lagi budak-budak sebaya aku di kampung itu belum berpuasa lagi. Antaranya ialah anak kepada tuan rumah bernama Zainol yang kelihatan sebaya denganku. (Baru aku tahu sebenarnya Zainol tua lebih setahun dariku). 

Pada pagi esoknya kami pun bertolak ke Tanjong Malim. Tetapi sebelum itu mereka mempelawa aku menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun itu di rumah mereka.

Untuk menyahut pelawaan mereka, pada 1 Syawal 1381 bersamaan 8 Mac 1962 aku pun pergi ke rumah mereka sekali lagi untuk berhari raya. Mereka menyambutku dengan senang hati dan itu juga pertama kali aku berhari raya berjauhan dengan ibu dan adik beradikku. Aku masih ingat Zainol membawaku ke pekan Hulu Bernam, Selangor bersebelahan dengan Tanjong Malim, Perak untuk menonton wayang berjodol Hang Jebat lakonan Noordin Ahmad dan M. Amin. Itu jugalah kali pertama dan terakhir aku pergi menonton wayang di Hari Raya. 

Aku masih ingat juga pada malamnya dibawa oleh Zainol ke pesta hiburan di pekan Kalumpang yang terletak cuma seratus meter dari kampungnya. Keesokan harinya iaitu di Hari Raya Kedua aku dibawa berbasikal di sekeliling kampung oleh kakak kepada Zainol bernama Jasmah. Antara yang aku tidak boleh lupa ialah budak-budak kampung mengurat Jasmah. Setahuku Zainol dan kakaknya tidak berjaya masuk ke sekolah menengah.  

Walau pun aku sungguh gembira di Hari Raya itu, aku tidak berkunjung lagi ke rumah mereka dan aku sanggup berhari raya di asrama sekolah sahaja di tahun-tahun berikutnya. Ini mungkin kerana aku telah sebati hidup dengan kawan-kawan yang sama tinggal di asrama. Setiap kali cuti sekolah ibuku sering bertanya bila lagi aku nak berkunjung ke rumah saudaranya di Kalumpang itu. 

Akhirnya di tahun 1967 iaitu tahun terakhir aku bersekolah aku ke rumah mereka sekali lagi. Sudah tentu pada mulanya ada antara mereka tidak mengenaliku kerana aku sudah besar panjang.

Berpuluh tahun kemudian aku pernah berjumpa dengan bapa kepada Zainol di perkahwinan sepupuku Zulkarnain di Serting, Jempul, Negeri Sembilan. Mengikutnya Zainol bekerja di Kuala Lumpur. 

Penduduk Kampung Pasir Puteh, Kalumpang kebanyakannya berasal dari Kerinchi, Sumatera, Indonesia. Kampung asal mereka di Malaysia ialah Kg. Sabai dekat dengan Sabak Bernam, Selangor. Di zaman Dharurat mereka dipindahkan ke sini, oleh itu rumah-rumah mereka nampak tersusun. Kebanyakan rumah di kampung ini sudah bertukar dari rumah kayu kepada rumah banglo, termasuk rumah Zainol dan rumah ibunya. Bapa Zainol, Kadir iaitu dua pupu ibuku sudah lama meninggal dunia. Oleh itu Zainol ialah tiga pupuku.   

Berikut ialah gambar-gambar aku bertemu dengan Zainol dan keluarga pada 23 Disember 2011


 
Aku dan Zainol di rumahnya. Aku turut gembira walau pun Zainol cuma bekerja kampung dia dapat membina satu rumah banglo.

Di kiri mak saudara Zainol dan di kanan ibu Zainol. Sebenarnya ibu Zainol tinggal di Felda Gedangsa bersama anaknya Jasmah. Tetapi entah macam mana mereka balik ke Kalumpang pada hari ini. Ibu Zainol ingat-ingat lupakan aku, tetapi mak saudaranya ingat sangat. Agaknya dialah yang berkata 'Di kampung ni budak-budak baya kau belum berpuasa lagi'. 

Ini Jasmah, kakak sulung Zainol yang berbasikal denganku sekeliling kampung hampir 50 tahun yang lalu. 

Ini rumah keluarga Zainol. Rumah ini menggantikan rumah kayu di mana aku tidur beberapa malam pada hampir 50 tahun yang lalu. Yang berseluar hitam ialah isteriku Salmah.

Wednesday, December 14, 2011

Akibat terlalu mengharap pertolongan orang.

Di jabatan saya bekerja dahulu ada sekumpulan yang orang yang selalu berurus dengan kaunter kami. Kami gelarkan mereka 'runners' walau pun kerja mereka tidak semestinya berlari. Merekalah yang mengemukakan borang permohonan lesen dan sebagainya yang sudah pasti mereka sendiri yang mengisikankan. Walaupun khidmat mereka sebenarnya tidak diperlukan ia banyak membantu kami kerana borang-borang yang mereka isi biasanya lengkap.

Di luar pejabat-pejabat kerajaan pula kita sering nampak apa yang dinamakan 'petition writers'. Tugas mereka juga mengisi borang-borang dan menaip surat-surat seperti aduan dan rayuan.

Bila kita berurusan dengan pihak swasta seperti bank dan syarikat komunikasi biasanya kita hanya diminta menulis nama, nombor kad pengenalan dan kemudian diminta menurunkan tandatangan di tempat yang ditanda 'x'. Ada yang terus meminta kita menurunkan tanda tangan sahaja.

Contoh-contoh di atas menunjukkan sudah menjadi budaya kita meminta orang lain atau pihak ketiga membuat kerja senang seperti  mengisi borang untuk kita. Hari ini timbullah cerita mengenai borang Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M dipalsukan. Apa yang menarik ialah perbezaan borang asli dengan yang palsu cuma borang palsu memerlukan nombor akaun bank dicatitkan.

Pihak berkuasa sudah tentu mempunyai sebab yang baik mengapa tidak memerlukan nombor akaun bank. Tetapi sindiket borang palsu pula mempunyai sebab tersendiri mengapa memerlukan nombor akaun bank seseorang. Saya bukan orang bank, oleh itu saya tidak tahu jawapan kepada dua-dua soalan itu.

Perkara pemalsuan borang ini berlaku kerana pihak berkuasa tidak memerlukan pemohon sendiri datang menyerahkan borang. Dalam lain perkataan orang ketiga boleh menyerahkannya. Dalam jangkaan saya apa yang boleh berlaku adalah seperti berikut: 

Sindiket borang palsu akan berjumpa dengan mereka yang layak menerima BRIM dan menawarkan khidmat mengisi dan menghantar borang. Mereka akan meminta salinan kad pengenalan dan buku akaun bank. Seperti kes di tiga perenggan pertama di atas ahli sindiket akan mengisi borang BR1M di hadapan pemohon dan akhirnya meminta pemohon menurunkan tandatangan di ruang yang sudah ditanda 'x' oleh ahli sindiket. Ahli sindiket berjanji menghantar sendiri borang BR1M kepada pihak-pihak berkuasa.

Apa yang berlaku seterusnya dan tidak diketahui oleh pemohon ialah ahli sindiket akan menyalin semula segala butir-butir dari borang BR1M palsu dan memasukkannya ke dalam borang BR1M sebenar termasuk memalsukan tanda tangan, tetapi sudah pasti tanpa nombor akaun bank yang tidak diperlukan. Ahli sindiket akan menghantar sendiri borang yang sudah diisi ke mana-mana pejabat yang sudah ditentukan dan mendapatkan slip akuan terima. 

Akhirnya ahli sindiket akan datang semula kepada pemohon dan menyerahkan slip akuan terima. Sama ada ada apa-apa transaksi diantara mereka itu mereka sahaja yang tahu. Tetapi apa yang pemohon tidak tahu ialah borang yang ditanda tanganinya masih berada di tangan ahli sindiket. Di dalam borang itu sudah tertera maklumat peribadi pemohon seperti nombor kad pengenalan, nombor telefon dan nombor akaun bank. Ini akan digunakan oleh ahli sindiket untuk kepentingan mereka apabila perlu.

Ini mungkin salah satu punca di mana kita sering membaca cerita-cerita seperti seorang itu diganggu oleh peminjam wang walau pun dia tidak pernah meminjam wang. Ia berpunca kerana kita selalu sangat mengharapkan orang lain membuat kerja senang seperti mengisi borang. 


Sunday, December 11, 2011

Mereka meghina pakaian kebangsaan kita.

Gambar ini menceritakan segala-galannya. Yang berbaju hitam dan mengenakan cermin mata untuk rambutnya ialah mak andam.

Ada satu ungkapan bahasa Inggeris berbunyi 'dressed for the occassion' atau maknanya lebih kurang 'berpakaian untuk upacara tertentu'. Ini menunjukkan orang barat menitikberatkan pakaian yang sesuai untuk tempat dan masanya.

Semalam saya dijemput ke satu majlis perkahwinan di satu hotel kecil di satu bandar kecil juga. Saya sudah biasa dengan hotel tersebut, oleh itu saya berpakaian memakai baju-t sahaja. Tetapi saya difahamkan seorang Mat Salleh telah datang memakai kot dan tali leher. Kita tidak boleh menyalahkannya kerana dia memikirkan itulah pakaian yang sesuai untuk satu majlis di sebuah hotel. Apa yang dia tidak tahu ialah majlis di adakan di bawah khemah di tempat letak kereta hotel tersebut. Mungkin dia memikirkan majlis di adakan di dalam dewan hotel.

Memang orang kita tidak cerewet tentang pakaian yang harus dipakai untuk majlis perkahwinan, lebih-lebih lagi jika ia diadakan di bawah khemah di waktu siang. Itu sebabnya di kad jemputan tidak disebut mengenai pakain yang harus dipakai untuk datang. Lainlah jika ia diadakan di dalam dewan, tidak kira malam atau siang. Untuk tempat seperti ini pakaian batik atau baju Melayu amat sesuai walau pun tidak disebut di dalam kad jemputan.

Tetapi bagaimana pula dengan orang yang kita raikan, ia itu pengantin sendiri. Mereka sepatutnya 'dressed for the occassion' lebih dari orang lain. Bukankan mereka ialah 'raja sehari' untuk hari itu dan menjadi tumpuan kepada tetamu yang datang. Disamping itu kehendak agama seperti menutup aurat hendaklah diutamakan.   

Oleh itu saya amat kesal melihat kedua mempelai, pengapit dan mak andam semalam. Sudahlah pengantin perempuan, pengapit dan mak andam tidak menutup aurat. Pengantin lelaki dan pengapitnya melakukan jenayah besar dengan menghina pakaian kebangsaan kita. 

Mereka memakai baju Melayu tanpa songkok.


Tuesday, December 6, 2011

Mencari Perigi Beracun

Ia bermula apabila saya hendak mencuba lebuhraya baru  yang lebih dikenali sebagai LATAR mengubungi Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor . Kebetulan saya berada di rumah anak saya Ina di Saujana Utama kerana kenduri kesyukuran anaknya Haziq yang baru berkhatan. Saya bawa cucu-cucu saya Danial, Haziq dan Fahim bersama. Baik juga tu kerana mereka tidak mengacau kerja-kerja mengemaskan rumah yang baru lepas kenduri.

Sesiapa yang ke Kuala Selangor tidak sah kalau tidak ke Bukit Malawati. Oleh kerana hujung minggu kenderaan tidak dibenarkan naik ke atas bukit dan kami menaiki tram kelolaan Majlis Daerah Kuala Selangor ke sana.  

Selepas memberi makan dan bergambar dengan monyet kami masuk ke muzium di situ. Antara yang dipamerkan di muzium ialah gambar-gambar bahan sejarah yang terdapat di Bukit Malawati. Cucu-cucu saya tertarik dengan Perigi Beracun setelah membaca penerangan mengenainya dan meminta saya menunjukan sendiri perigi tersebut. 

Keluar sahaja dari muzium kami berjalanan kaki turun bukit untuk melihat sendiri bahan-bahan yang hanya digambarkan dalam muzium. Antaranya Batu Hampar, Busut Malawati  dan Makam Diraja. Tetapi kami tidak berjumpa dengan apa-apa perigi. Bagi cucu-cucu saya perigi ialah benda yang asing bagi mereka, apa lagi perigi beracun. Naluri ingin tahu mereka mendesak saya mencari perigi tersebut sampai dapat.

Akhirnya kami turun ke pangkal bukit tanpa berjumpa Perigi Beracun. Supaya tidak menghampakan mereka kami menaiki semula tram. Kali ini saya merayu kepada pekerja-pekerja Majlis Daerah supaya membenarkan kami naik semula tanpa bayaran dan rayuan saya diterima. Sampai sahaja di stesen atas bukit kami berjalan kaki turun bukit melawan arah kenderaan untuk mencari Perigi Beracun. Akhirnya kami berjumpa juga dengannya. 

Dari Laluan Persekutuan 54 ke E 25 di kanan.

Dah sampai Kuala Selangor.

Kami naik tram ini ke Bukit Malawati.

 Saya naik tram. Itu cucu saya Fahim yang suka merajuk.


Gaya mereka di atas Bukit Malawati.

Mercu tanda Bukit Malawati, rumah api.

Monyet hitam atau 'Silver-eared leaf monkey' merenung saya. Sebenarnya monyet ini baik.

Haziq menyerahkan kacang hijau kepada monyet. Terima kasih 'ziq'.

Mana satu monyet?

Ini monyet jenis 'macaque' yang jahat.  

Bergaya depan muzium.

Batu Hampar atau Bed Rock.

Busut Malawati.

Akhirnya berjumpa Perigi Beracun.





Sunday, December 4, 2011

Tidak cukup sekadar meminta maaf.

Sesiapa yang mengikuti perkembangan bolasepak dunia sekarang mungkin tahu bahawa dua orang pemain Liga Perdana Inggeris sedang menghadapi tuduhan menggunakan perkataan perkauman atau lebih senang disebut 'rasis' di atas padang. Belum lagi perkara itu reda ia dihangatkan dengan Presiden kepada FIFA iaitu gabungan persatuan bolesepak seluruh dunia membuat satu kenyataan yang kontroversi juga. Beliau seolah-olah difahamkan berkata apa-apa sebutan rasis di atas padang boleh diselesaikan dengan berjabat tangan di akhir perlawanan. Timbul pula seruan supaya Presiden FIFA itu meletakkan jawatan walau pun beliau kemudian menerangkan bahawa kenyataannya telah disalah ertikan.

Begitulah seriousnya bila seseorang didapati mengeluarkan perkataan rasis. Sehinggakan seorang yang mencadangkan supaya ia boleh diselesaikan dengan berjabat tangan pun kena belasah. 

Di hari-hari pertama saya bekerja di Majlis Perbandaran Seremban saya dikejutkan dengan satu kenyataan rasis. Seorang kakitangan yang telah berkhidmat beberapa tahun di situ menyebut 'Banyak manggis di sini' bila saya bersalam kenal dengannya. Melihat saya memandang sekeliling pejabatnya tercari-cari buah manggis dia kemudian menceritakan maksudnya sebenar. 

Sejak hari itu saya terus membencinya. Beberapa tahun kemudian saya dipilih di mesyuarat agung Badan Kebajikan Islam jabatan saya untuk menjadi seorang ahli jawakankuasa sedangkan si rasis tadi kalah. Kekalahannya juga melambangkan popularitinya di kalangan ahli-ahli persatuan. Tetapi di mesyuarat jawatankuasa pertama si rasis telah dilantik sebagai ahli jawatankusa tambahan. Di hari esoknya saya telah mengemukakan surat perletakan jawatan. Saya telah berbohong dengan menberi alasan banyak beban kerja. Tetapi alasan sebenar saya ialah kerana tidak mahu duduk semeja dengan seorang rasis.

Mungkin tindakan saya itu menyebabkan laporan prestasi tahunan saya kurang markahnya kerana tidak aktif dalam persatuan, Mungkin juga pahala saya kurang kerana lari dari terlibat dalam satu badan yang aktivitinya menegakkan Islam. Tetapi prinsip saya membenci siapa sahaja yang rasis mengatasi segala-galanya. Mujur juga si rasis tadi tidak bekerja satu pejabat dengan saya. Jika tidak 'siah palih' (loghat Negeri Sembilan) juga saya memandang mukanya hari-hari.

Memanggil seorang sebagai 'hitam metalik' samalah seperti memanggilnya 'manggis'. Ia bukan satu jenaka untuk ditertawakan. Dari itu sesiapa siapa sahaja yang mengangggapnya satu jenaka dan ketawa, bagi saya adalah seorang 'moron'.

Seorang bekas pengurus bolasepak kelab Liverpool pernah berkata 'Bolasepak bukan perkara hidup atau mati, ia lebih dari itu'.

Oleh itu kesalahan melimparkan kata-kata rasis juga tidak boleh diselesaikan dengan meminta maaf. Ia lebih dari itu.


Thursday, December 1, 2011

Dialah si 'Haram Jadah' sebenarnya!

Arwah nenek saya dulu pernah berkata jika orang mencaci kita, janganlah kita mencaci balik. Katanya lagi apa  cacian yang dilemparkan kepada kita mencerminkan si pencaci itu sendiri. Saya menjadi anak yatim semenjak berumur tiga tahun. Semasa kecil saya memang nakal dan ini membuatkan saya sering dicaci oleh jiran-jiran. Mereka mempunyai alasan semula jadi untuk mencaci saya, iaitu  saya tidak mempunyai seorang ayah yang boleh mengajar saya.

Cacian itu akirnya berkurangan kerana ternyata saya seorang yang cerdik juga. Di sekolah saya dapat mengalahkan anak-anak kepada pencaci saya di bidang pelajaran. Ada seorang guru kami yang suka melepaskan anak-anak muridnya balik awal seorang lepas seorang dengan syarat kami dapat menjawab soalan-soalan amnya. Dia akan bermula dari soalan paling susah sehingga yang paling senang.

Biasanya sayalah yang pertama balik awal. Satu hari saya melintasi rumah seorang jiran yang pernah mencaci saya dan dia bertanya kenapa saya sudah balik sekolah sedangkan anaknya belum. Saya terus menjawab anaknya tidak dapat menjawab soalan cikgu. Saya seperti dapat membalas dendam apabila menjawab begitu.

Tetapi membalas dendam bila orang mencaci kita bukanlah tindakan terbaik. Setahu saya Nabi Muhammad dulu tidak pernah membalas dendam kepada sesiapa yang mencaci atau menghina Baginda.

Perkataan Baginda menunjukkan orang Melayu kaya dengan budi bahasa. Kita tidak boleh membahasakan orang kedua dan ketiga sebagai 'awak' dan 'dia' sewenang-wenangnya. Contohnya seorang yang sudah menunaikan Haji kita panggil Tuan Haji atau Haji sahaja untuk yang lelaki dan Hajjah untuk yang perempuan.

Tiga hari lepas saya ke menjadi tetamu kepada seorang pembesar negeri Negeri Sembilan iaitu Undang Luak Jelebu. Bila saya balik ke rumah dan ingin menceritakan perjumpaan saya dengannya di blog ini kelam kabut juga saya untuk mendapatkan gelaran orang ketiga untuknya. Akhirnya saya diberitahu gelaran orang ketiga untuk seorang Undang Luak ialah Yang Teramat Mulia dan singkatannya YTM. Memanggilnya sebagai orang kedua memadai dengan sebutan Datuk sahaja.

Begitu juga ahli-ahli dewan negeri, dewan rakyat dan dewan negara kita dipanggil Yang Berhormat atau YB. Saya masih ingat di satu operasi jabatan saya dulu apabila seorang YB masuk campur. Seorang anggota polis yang tidak mengenalinya cuba menariknya ketepi dan YB ini terus menjerit "Saya Ahli Yang Berhormat, awak kena hormat sama saya". Walau apa pun parti yang diwakilinya ia tetap seorang Yang Berhormat.

Walau pun panggilan khas kepada orang-orang tertentu ini boleh membosankan terutama di upacara-upacara rasmi ia sebenarnya melambangkan kekayaan budaya kita. Di tempat lain juga apa kurangnya. Sehinggakan ada satu lagu The Beatles yang bertajuk 'Her Majesty'.

Tetapi bagaimana pula jika seorang Yang Berhormat mencaci seorang YB lain dengan perkataan 'Haram Jadah?'. Ini mengingatkan saya satu adegan di filem The Godfather Part III. Seorang kawan Godfather sering mencaci Godfather di belakangnya. Di satu hari Godfather memanggil kawannya dan berkata seorang yang mencacinya di belakang tidak layak menjadi kawannya kerana ia setaraf dengan anjing. Kawannya itu bersetuju, tetapi Godfather dapat membaca pengkhianatannya dan ia dibunuh.

Jadi seorang yang memanggil orang lain 'Haram Jadah', dialah si 'Haram Jadah' sebenarnya.