Aku baru berumur 12 tahun satu bulan dan aku ditawarkan masuk satu sekolah asrama penuh. Amat gembiranya aku. Ini bermakna aku tidak perlu bangun pagi-pagi untuk menanti bas yang akan membawa aku ke sekolah menengah di bandar. Di masa itu sesiapa yang berjaya masuk ke sekolah asrama penuh dianggap sangat beruntung. Maklum sahajalah keadaan kampung di masa itu masih berkurangan. Contohnya kampung ku di masa itu belum mempunyai bekalan air paip dan elektrik.
Sekolah yang aku masuk ialah Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjong Malim, Perak. Kebetulan sekolah itu sekarang sudah berpindah ke Seremban, di mana aku menatap sekarang. Tetapi kenangan ku tetap di Tanjong Malim.
Aku ke Tg. Malim bersama ibu ku, adik ku Faridah dan bapa saudara ku Alang Ibrahim (arwah) iaitu adik kepada ibu ku. Kami mempunyai saudara sebelah datuk ku di Kalumpang, Selangor yang cuma terletak lebih kurang 6 kilometer dari Tg. Malim. Oleh itu kami bercadang bermalam di rumahnya sebelum ke Tg. Malim. Aku masih ingat waktu itu bulan puasa.
Kami menaiki bas dari kampung ku di Jelebu, Negeri Sembilan ke Kalumpang dan Tg. Malim. Ini sangat berbeza dengan keadaan sekarang di mana murid-murid yang berjaya masuk ke sekolah-sekolah asrama penuh menaiki kereta bapa mereka sendiri. Kami menaiki 4 bas semuanya dan untuk pengetahuan semua syarikat bas itu sudah ditutup sekarang akibat mangsa kemajuan.
Oleh kerana di masa itu tidak ada kemudahan komunikasi seperti sekarang kami pergi ke Kalumpang tanpa diketahui oleh tuan rumah. Nasib kamilah jika tidak berjumpa rumahnya atau dia tiada di rumah. Kami sampai di pekan kecil Kalumpang lebih kurang waktu Asar dan terus mencari rumah saudara kami itu dengan bertanya. Alhamdulillah rumah dan kampungnya cuma terletak di belakang pekan Kalumpang dan kami dipelawa masuk.
Alang Ibrahim terus menceritakan hajat kami datang dan meminta izin bermalam di rumah mereka. Mereka dengan senang hati menerima kami.
Semasa kami berborak di hadapan rumah aku perhatikan seorang perempuan menggamit aku supaya masuk ke dalam rumah. Aku fikir dia tidak mahu aku masuk campur orang tua berborak, oleh itu aku pun mengikutinya masuk ke dalam. Perempuan itu rupanya anak gadis tuan rumah dan dia membawa aku hingga ke dapur.
Di dapur sudah terhidang makanan di atas meja dan aku percaya makanan itu akan menjadi bahan berbuka puasa nanti. Aku perhatikan ada beberapa orang kanak-kanak di dapur yang aku agak ahli keluarga tuan rumah.
Aku pun bertanya kenapa aku dibawa ke dapur. Perempuan tadi terus meminta aku makan makanan yang terhidang di atas meja. Aku terus jawab aku tak boleh makan sebab aku puasa.
Saudara aku itu terus terperanjat dan berkata di kampungnya budak-budak baya aku ini belum berpuasa lagi.
1 comment:
itu jaman dolu2.. skg kalau x poso malu kat bdk2.. skg bdk2 ompek tahun pon dh belajar poso...
Post a Comment