Sunday, August 7, 2011

Tudung Periuk

Masa saya bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tg. Malim, Perak dulu ada satu persatuan yang dinamakan lebih kurang Persatuan Agama Islam. Saya tidak pasti namanya sebenar tetapi saya yakin ia masih aktif di SDAR sekarang.

Salah satu aktiviti persatuan ialah memanggil penceramah-penceramah agama memberi ceramah kepada ahli-ahli persatuan. Pada satu hari kami menjemput seorang penceramah dari Kuala Lumpur. Saya tidak pasti dari Jabatan mana kerana setahu saya JAKIM belum wujud di masa itu,

Saya masih ingat di ceramah itu seorang pegawai kanan persatuan mencadangkan supaya Khutbah Jumaat diadakan di luar masjid dan bukan semasa solat Jumaat. Sebagai contoh ia diadakan di dewan sekolah, balai raya dan lain-lain pada masa-masa yang sesuai. 

Kawan saya itu memberi sebab-sebab yang manasabah juga, maklumlah kami pelajar salah satu sekolah asrama penuh yang cuma berjumlah enam buah satu Malaysia di masa itu, tiga darinya di negeri Perak. Katanya orang-orang yang pergi solat Jumaat ialah orang-orang yang tahu tentang hukum hakam agama. Oleh itu khutbah tidak perlu bagi mereka. 

Bagaimana pula dengan mereka yang jarang-jarang  atau tidak pergi langsung ke masjid untuk solat Jumaat?  Sudah tentu mereka tidak tahu hukum hakam agama Islam. Kepada mereka inilah sepatutnya Khutbah Jumaat disampaikan. 

Itu di tahun enam puluhan di mana cerita-cerita pembuangan anak, orang Islam berbuka puasa di gereja dan orang Islam berjudi di bulan puasa jarang-jarang didengar atau tidak didengar langsung. Tetapi sekolah saya di masa itu surau pun tak ada, samalah agaknya dengan sekolah-sekolah yang semasa dengannya.

Tetapi sekarang bukan sahaja sekolah-sekolah mempunyai surau, kampus baru sekolah saya di Seremban mempunyai masjid. Begitu jugalah kita dapati masjid dan surau di mana-mana. Sebagai contoh di jalan yang menghubungi Jalan Sikamat dan Jalan Temiang di Seremban terdapat satu masjid dan tiga surau. 

Dengan adanya surau-surau adalah ceramah-ceramah. Surau taman saya mengadakan ceramah pada tiap malam. Ini tidak termasuk tazkirah yang diadakan selepas solat Tarawikh di bulan Ramadan ini. Ceramah pula diberi oleh ustaz-ustaz yang tidak kurang hebat kelulusan mereka. Selepas ceramah adalah imbuhan diberi dalam sampul surat. Kadang-kadang saya fikir lebih baik jadi ustaz dari menjadi seorang professional seperti jurutera dan peguam. 

Media massa pun apa kurangnya, sehinggakan ada saluran khas agama Islam di radio dan TV. Oleh itu cadangan kawan sekolah saya itu sudah nampak hasilnya.

Sering kita dengar "Ustaz itu sedap ceramahnya" dan sebagainya. Dalam hal ini saya pernah bertanya kepada seorang kawan saya yang juga sudah bersara seperti saya. Dia juga seorang Imam yang sering mendengar ceramah-ceramah dan dia juga antara yang selalu menyebut "Ustaz itu sedap ceramahnya"

Satu hari saya bertanya kepadanya adakah dia menghayati ceramah yang 'sedap didengar' itu. Jawapannya tidak, dia hanya seronok kerana 'kesedapan' ceramah yang disampaikan. Saya terfikir jika seorang Imam boleh memberi jawapan begitu bagaimana orang lain? Kesimpulan saya kebanyakan yang mendengar ceramah bukan hendak menerapi dan mengamalkan apa yang diceramah tetapi setakat mendengar 'kesedapan' ceramah yang disampaikan. Lebih-lebih lagi jika ceramah itu diselitkan dengan sindiran kepada pemimpin, isteri mereka dan lain-lain.

Dari itu pada pendapat saya mereka yang mendengar ceramah kerana 'kesedapan' ceramah tidak ada bezanya dengan seorang yang mendengar lagu. Tidak kiralah ia lagu klasik atau lagu 'rock'. Sebab kita bukan hendak menghayati atau mengamalkan apa yang disampaikan oleh pencipta dan penyanyi. Kita hanya mendengar kerana 'kesedapan' lagu.

Tudung periuk pandai menari,
Menari lagu putra mahkota,
Kain buruk berikan kami,
Untuk menyapu si air mata.

Itulah antara senikata lagu 'Tudung Periuk' nyanyian P. Ramlee dan Saloma dari filem 'Sumpah Orang Minyak'. Saya sebut 'antara' kerana di lagu sepunuhnya ada sebutan 'hai' dan 'lah'. Lagu itu walau pun mempunyai satu pantun, lebih panjang dari lagu Beatles biasa. 

Kalaulah setiap pendengar lagu itu mengamalkan senikatanya maka ramailah yang pergi ke klinik kerana sakit mata. Kerana kain buruk tidak sesuai dijadikan penyapu air mata. Oleh itu kita mendengar lagu 'Tudung Periuk' hanya kerana 'kesedapan'nya, bukan kerana nasihatnya.

Samalah seperti kebanyakan orang mendengar ceramah agama kerana 'kesedapan' ceramahnya, bukan kerana menghayati apa yang disampaikan. 

Jika tidak kenapa masih ada cerita pembuangan anak, berbuka puasa dalam gereja dan berjudi di bulan puasa sehinggakan mati lemas apabila lari dari serbuan polis.  

6 comments:

Anonymous said...

Interesting jugak phenomenon Tudung Periuk ni.
Merapu ikut dan, ikut sedap kata2. NO real meaning.

Bang M K,
Mohon tambah ckit..
Ada 1 fakta yang missing dalam pendekatan yang digunakan.

Kita haruslah menJIWAi dahulu sebelom diHAYATi.
Listen first, understand, believe, absorb then enlighten others.
WE do NOT practice 'DU as I SAY, dont dU as I DU'

Sebagai umat Islam kita mesti hidupkan diri sendiri dulu,
keluarga terdekat dulu, sebelom menghidupkan orang lain.

N k

Anonymous said...

Salam Bro Maarof,

.. kalau tak kerana ulasan NKF, saya pun tak baca cerita dalam blog bro tentang cerita penceramahan dan kesan nya tu... saya suka,.. satu tulisan yang hampir dengan saya..

kerana saya suka membaca, kemudian bercakap.. tak berapa suka mendengar... he.. he.. he..

betul juga, sekarang ini hasil dari berceramah mungkin lebih baik dari hasil menjadi seorang jurutera... popularnya pun sudah sebaris dengan para penghibur lain.. cuma nya setakat ini belum ada anugerah tahunan untuk penceramah terbaik..

regards
bernadib

Anonymous said...

Salam Bulan Ramadan,

Maaf mencelah. Kita kena berpegang kepada ini - apa-apa kita 'amalkan dan lakukan mestilah hanya kerana ALLAH SWT atau dengan kata yang simple, hanya ikhlas kepadaNYA.

Kita melakukannya bukan kerana manusia, pemimpin, ketua bahagian atau kerana member desak. Ada nas yang soheh, jika kita ber'amal bukan kerana ALLAH SWT, di hari perhitungan nanti (akhirat), pahala ini akan dipadamkan. Yang tinggal, hanya pahala 'amalan kerana ALLAH SWT sahaja yang dihisab untuk ke syuga atau ke neraka, na'uzubillah. Yang mengetahui sama ada orang itu ikhlas atau sebaliknya ialah dirinya sendiri dan ALLAH SWT sahaja. Malaikat pun tidak mengetahui siapa yang ber'amal ikhlas cuma mencatakan 'amalan. Satu lagi, khutbah, ceramah dan tazkirah matlamatnya sama iaitu memberi khabar baik tetapi cara penyampaian berbeza apa lagi khutbah kerana salah satu rukun solat yang tertentu.

Mengingatkan diri saya......

Dori Sarbini
6368/162

Mshah said...

Brother Maarof,
Kain yang buruk tidak semestinya kotor. Pada zaman dahulu, sekitar tahun 60s, suri rumah tangga (termasuklah ibu saya) tidak menggunakan towel untuk mengelap pinggan yang basah. Apa yang digunakan ialah kain buruk, tetapi bersih. Kain batik atau kain pelikat yang lama kalau dah koyak tidak dibuang tetapi digunakan sebagai kain buruk. Mula mula digunakan buat mengelap pinggan mangkok. Bila telah semakin usang turun taraf digunakan untuk mengelap meja. Bertambah usang digunakan pula untuk mengelap lantai. Sehinggalah tidak boleh digunakan lagi barulah dibuang.
Saya terkenang sangat perkara ini kerana suatu ketika pernah membuat karangan bertajuk "Kain pelikat". Itulah isi karangan tersebut.

melayuangkat said...

Assalamualaikum Tuan Haji,

Semasa di Gedong Lalang tahun 60an dulu, kami mengaji beramai-ramai dengan nenek mengaji Sarinah, orang Minangkabau. Banyak jasa nenek, selalu saya hadiahkan Al-Fatihah pada ruhnya dan Arwah suaminya.

Tidak ramai tenaga pengajar Agama bertauliah seperti sekarang. Tetapi apa yang Arwah nenek Sarinah ajar MELEKAT di hati dan fikiran hingga sekarang.

Tak pernah terlintas lansung kita nak hampiri mana mana rumah ibadat nak mohon apa pun bantuan walaupun sebagaimana terdesak menghadapi berbagai cubaan dan dugaan hidup yang fana ini.

Tetapi kita sedih, dengan SEGALA prasarana yang ada dan dengan guru Agama yang berlambak lambak, terdapat juga antara kita yang minta tolong dari orang Kristian dan siap berbuka di gereja.

Amat mengaibkan!!!

Walaubagaimana pun saya amat berharap adalah HIKMAHnya disebalik semua ini dan yang ke 12 itu dapat ditarbiyahkan semula ke landasan yang betul.

WaAllahuALam.

Abu Nu'man said...

Assalamualaikum wrh wbt...

Kadang kala kita terlupa bahawa niat juga memainkan peranan yang penting supaya sesuatu mesej dapat dijiwai dgn sebenar-benar penghayatan. Jika niat penceramah berceramah kerana mahukan popularitinya meningkat, mahu melepaskan geram kepada pemimpin...sampai bila2 pun mesej tersebut tidak akan sampai. Jadi, amat penting diluruskan niat sebelum berceramah. Jika seseorang itu ikhlas berceramah kerana mahu menegur pemimpin, maka hanya kesalahan pemimpin tersebutlah yang wajar difokuskan. Jangan dilibatkan masalah peribadi pula