Saturday, August 6, 2011

Berbuka puasa di hotel yang lain dari biasa.


Beberapa tahun yang lepas saya diminta oleh boss saya untuk mewakilinya di satu jemputan berbuka puasa di satu hotel terkemuka di Seremban. Beliau dijemput oleh Syarikat Nestle yang meraikan pengedar-pengedar mereka untuk berbuka puasa.

Pada mulanya saya ingat Nestle telah menempah beberapa meja di 'coffee house' hotel tersebut untuk tetamu mereka. Terbayang oleh saya orang-orang Melayu Islam beratur memenuhkan pinggan mereka dengan segala ada makanan di atas meja buffet beberapa minit sebelum berbuka, seolah-olah jika tidak berbuat begitu makanan akan habis dikebas orang. Terbayang juga di surau yang disediakan oleh hotel tidak ramai yang bersolat Maghrib akibat pelanggan tidak mahu meninggalkan meja selagi perut belum penuh. Tetapi mengenangkan saya tidak perlu membayar apa-apa saya pergi juga. Orang Melayu (termasuk saya) memang tidak melepaskan peluang jika diberi peluang makan percuma.

Tapi apa yang saya alami memeranjatkan juga. Pihak Nestle telah menempah beberapa ruang khas untuk aktiviti mereka dengan tidak mengganggu pelanggan berbuka puasa yang lain. Untuk berbuka puasa kami dihidangkan dengan minuman dan kuih muih yang ringkas sahaja. Selesai berbuka kami diminta mengambil wuduk di satu kawasan yang khas, juga tidak bercampur dengan tetamu hotel. Kemudian kami dibawa ke satu bilik khas di mana kami bersolat Maghrib diketuai oleh seorang Imam dari Masjid Negeri. Bilik ini biasanya digunakan untuk mesyuarat atau seminar. Terasa malu pulak saya tidak membawa ketayap atau songkok. Kami bersolat sedangkan tetamu di 'cofee house' masih melantak makanan mereka.

Selesai solat kami kembali ke ruang berbuka puasa tadi dimana tiba pula giliran kami untuk melantak segala makanan yang ada. Tetapi kami tidaklah gelojoh seperti mereka yang di 'cofee house' kerana sambil makan kami menikmati program-progam lain yang diaturkan oleh Nestle. Makanan dan minuman pula kebanyakannya produk Nestle.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kumpulan Nestle diketuai oleh Pengurus Pemasaan mereka seorang berbangsa Cina dan bukan Islam dan beliau sempat menyambut harijadinya di program ini. Sudah tentu mereka membuat kajian mengenai adat sopan orang Melayu berbuka puasa sebelum menganjurkan program ni. 

Syabas, Nestle Products Sdn. Bhd.

Gerai-gerai produk Nestle.

Salah satu program, membuat murtabak dengan bahan-bahan Nestle.

Program di luar jangka, Pengurus Pemasaran Nestle meniup kek harijadi yang dihadiahkan oleh pengedar-pengedar Nestle Negeri Sembilan.


1 comment:

Anonymous said...

bestttttt
realiti nya kdg2 org bukan islam lebih memahami islam drp org yg sedia islam
kisah yg menarik
sngt gembira mmbaca nya
perlu diambil perhatiannnn
tahniah MK

Salwa Ahmad