Sunday, April 30, 2017

Lebih 50 jam berkurung.

Sdarians are everywhere. Berjumpa junior saya Dr. Rusli (berdiri di tengah) di IJN. Gambar diambil oleh isteri Dr. Rusli.

Saya pernah berkurung dalam bangunan selama lebih dari 48 jam beberapa kali dalam hidup saya. Ini terjadi semasa saya dimasukkan ke wad hospital semasa bersekolah rendah, bersekolah menengah dan juga semasa masih bekerja. 

Tetapi mulai tiga hari yang lepas saya berkurung di satu hospital selama lebih dari 50 jam, bukan kerana saya yang masuk wad. Kali ini saya menemani isteri saya Salmah menjalani pemeriksaan angiogram di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.  

Ia bermula bila saya sampai ke IJN lebih kurang pukul 12 tengah hari Khamis 27 April 2017. Setelah meletak kereta di Blok C, kami pun terus makan tengah hari di Kafeteria di blok yang sama. Di sana saya terserempak dengan seorang junior saya di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Dr. Rusli yang pernah dibedah di IJN. Dia ke sana untuk pemeriksaan susulan.

Keputusan saya untuk makan tengah hari dulu didapati berbaloi. Ini kerana prosedur untuk memasuki wad mengambil masa lebih kurang dua jam. Saya ingin menginap di dormitori yang disediakan oleh IJN, tetapi diberitahu untuk masa sekarang ia dikhaskan untuk waris-waris yang menunggu pesakit di wad-wad rawatan intensif sahaja.

Syukurlah waris dibenarkan menunggu pesakit di dalam wad. Saya yang telah bersedia membawa tikar dan tilam nipis membentangnya di sebelah katil isteri saya dan tidur di sana pada dua malam seterusnya. Syabas kepada IJN kerana membenarkan waris tidak kira jantina menemani pesakit di dalam wad. Satu lagi polisi IJN ialah tidak memberi pakaian seragam untuk pesakit. Tetapi saya tidak berani memberi komen tentang ini. 

Esoknya Jumaat 28 April 2017 ialah hari yang saya nantikan. Isteri saya disahkan mengalami masalah jantung oleh Hospital Tuanku Jaafar (HJT) Seremban beberapa bulan yang lalu, Dia telah dirujuk ke IJN dan pada 28 Mac 2017dan saya telah membawanya ke sana untuk pemeriksaan pertama. Kami terus diberitau supaya membuat pemeriksaan angiogram. Tarikh yang ditetapkan ialah tepat 31 hari selepas itu.

Pada pukul 8.00 lagi Salmah diminta memakai pakaian khas yang disediakan oleh IJN. Jururawat membawanya dengan kerusi roda ke makmal untuk dibuat angiogram. Dia dimasukkan ke bilik makmal lebih kurang pada pukul 8.45 pagi. Saya yang tidak dibenarkan masuk ke makmal gelisah menunggu di luar.

Salmah dibawa keluar dari makmal lebih kurang pukul 11.30 pagi. Jururawat yang menemani kami balik ke wad memberitahu bacaan angiogram isteri saya adalah baik. Tetapi ini menunggu pengesahan dari doktor perunding yang menjalankan angiogram tersebut. Saya diberitau doktor  akan datang ke wad pada pagi esoknya.

Untuk solat Jumaat saya menunaikannya di surau IJN yang dinamakan SURAU JUMAAT. Agaknya surau ini diberi nama begitu rupa untuk memberitau pelanggan IJN sama ada pesakit atau pelawat bahawa mereka tidak perlu keluar dari kompleks IJN  bukan sahaja untuk solat biasa, tetapi untuk solat Jumaat.

SURAU JUMAAT terletak di Tingkat 7 atau bumbung Blok C IJN. Asalnya tempat letak kereta yang telah diubahsuai menjadi surau. Syabas sekali lagi kepada IJN.

Satu perkara yang menarik saya perhatikan semasa bersolat Jumaat di IJN ialah 95% dari jemaahnya termasuk saya tidak memakai songkok atau ketayap. Saya perhatikan Khatib pun tidak menutup kepala. Ini tidak salah, kerana semasa membuat Umrah dan Haji kita tidak perlu menutup kepala.

Pagi esoknya Sabtu 29 April 2017 saya diberitahu doktor perunding akan datang agak lewat, yang menjadi kebiasaan untuk hari Sabtu. Setelah sabar menunggu akhirnya dia datang lebih kurang pada pukul 2 petang.

Doktor mengesahkan apa yang diberitau oleh jururawat sebelumnya. Dia menunjukkan gambar  hasil angiogram kepada Salmah, saya dan dua orang anak kami dan menjelaskan pembacaaannya. Katanya isteri saya tidak perlu apa-apa pembedahan. Dia cuma perlu memakan ubat. Malah ada ubat yang telah diambil untuk beberapa bulan selama ini tidak diperlukan lagi.

Akhirnya kami pulang dengan stok ubat untuk enam bulan. Temujanji di IJN seterusya juga enam bulan lagi.

Terima kasih IJN kerana layanan yang cukup baik. 

Monday, April 24, 2017

Kalau hendak membebek carilah kandang kambing.



'Bila ke kandang kerbau menguak, bila ke kandang kambing membebek'. Itulah satu peribahasa Melayu yang tidak kedengaran lagi sekarang. Maksudnya bila kita pergi ke mana-mana tempat berbahasalah bagaimana orang di situ bercakap. Contohnya saya yang berasal dari Negeri Sembilan berloghat Kelantanlah semasa saya bekerja di sana dahulu. Dalam hal ini saya tidak menghadapi masalah untuk 'menguak atau membebek' kerana saya sudah faham loghat Kelantan semasa bersekolah menengah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) dahulu.

Cuma saya perhatikan susah bagi orang Kelantan untuk 'menguak atau membebek' di tempat lain. Contohnya di taman perumahan saya ini ada beberapa orang Kelantan. Saya terpaksa bercakap loghat Kelantan bila berdepan dengan mereka. 

Kenapa saya kata peribahasa itu tidak kedengaran lagi? Kerana sekarang kita jarang-jarang melihat kandang kerbau dan kambing. Mungkin pengacara TV Azizul Ammar Abu Hassan juga tidak pernah melihat kandang kerbau atau kambing. Itulah sebab agaknya dia 'membebek' di kandang yang salah. Dia telah 'membebek' di dalam studio TV. Sama ada secara 'live' atau tidak saya kurang pasti. 

Malangnya bagi Azizul dia 'membebek' dengan tujuan menyidir nama seorang. Malah Azizul sempat berlagak seperti seekor kambing bila dia 'membebek'. Ini sudah tentu menimbulkan kemarahan kepada mana-mana ahli keluarga yang disindir dan melihat program TV itu. Kebetulan seorang dari ahli keluarga itu ahli sukan negara yang terkenal.  

Azizul sudah meminta maaf, tetapi ahli sukan itu tidak menerima permohonan maafnya. Saya setuju dengan ahli sukan itu. Nama keluarga bukanlah satu perkara yang boleh dianggap lucu. Saya sendiri tidak akan memaafkan sesiapa yang menyindir nama keluarga saya. 

Nasihat saya kepada Azizul ialah 'Kalau hendak membebek, carilah kandang kambing'.

Sekian.