Masa saya bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tg. Malim, Perak dulu ada satu persatuan yang dinamakan lebih kurang Persatuan Agama Islam. Saya tidak pasti namanya sebenar tetapi saya yakin ia masih aktif di SDAR sekarang.
Salah satu aktiviti persatuan ialah memanggil penceramah-penceramah agama memberi ceramah kepada ahli-ahli persatuan. Pada satu hari kami menjemput seorang penceramah dari Kuala Lumpur. Saya tidak pasti dari Jabatan mana kerana setahu saya JAKIM belum wujud di masa itu,
Saya masih ingat di ceramah itu seorang pegawai kanan persatuan mencadangkan supaya Khutbah Jumaat diadakan di luar masjid dan bukan semasa solat Jumaat. Sebagai contoh ia diadakan di dewan sekolah, balai raya dan lain-lain pada masa-masa yang sesuai.
Kawan saya itu memberi sebab-sebab yang manasabah juga, maklumlah kami pelajar salah satu sekolah asrama penuh yang cuma berjumlah enam buah satu Malaysia di masa itu, tiga darinya di negeri Perak. Katanya orang-orang yang pergi solat Jumaat ialah orang-orang yang tahu tentang hukum hakam agama. Oleh itu khutbah tidak perlu bagi mereka.
Bagaimana pula dengan mereka yang jarang-jarang atau tidak pergi langsung ke masjid untuk solat Jumaat? Sudah tentu mereka tidak tahu hukum hakam agama Islam. Kepada mereka inilah sepatutnya Khutbah Jumaat disampaikan.
Itu di tahun enam puluhan di mana cerita-cerita pembuangan anak, orang Islam berbuka puasa di gereja dan orang Islam berjudi di bulan puasa jarang-jarang didengar atau tidak didengar langsung. Tetapi sekolah saya di masa itu surau pun tak ada, samalah agaknya dengan sekolah-sekolah yang semasa dengannya.
Tetapi sekarang bukan sahaja sekolah-sekolah mempunyai surau, kampus baru sekolah saya di Seremban mempunyai masjid. Begitu jugalah kita dapati masjid dan surau di mana-mana. Sebagai contoh di jalan yang menghubungi Jalan Sikamat dan Jalan Temiang di Seremban terdapat satu masjid dan tiga surau.
Dengan adanya surau-surau adalah ceramah-ceramah. Surau taman saya mengadakan ceramah pada tiap malam. Ini tidak termasuk tazkirah yang diadakan selepas solat Tarawikh di bulan Ramadan ini. Ceramah pula diberi oleh ustaz-ustaz yang tidak kurang hebat kelulusan mereka. Selepas ceramah adalah imbuhan diberi dalam sampul surat. Kadang-kadang saya fikir lebih baik jadi ustaz dari menjadi seorang professional seperti jurutera dan peguam.
Media massa pun apa kurangnya, sehinggakan ada saluran khas agama Islam di radio dan TV. Oleh itu cadangan kawan sekolah saya itu sudah nampak hasilnya.
Sering kita dengar "Ustaz itu sedap ceramahnya" dan sebagainya. Dalam hal ini saya pernah bertanya kepada seorang kawan saya yang juga sudah bersara seperti saya. Dia juga seorang Imam yang sering mendengar ceramah-ceramah dan dia juga antara yang selalu menyebut "Ustaz itu sedap ceramahnya".
Satu hari saya bertanya kepadanya adakah dia menghayati ceramah yang 'sedap didengar' itu. Jawapannya tidak, dia hanya seronok kerana 'kesedapan' ceramah yang disampaikan. Saya terfikir jika seorang Imam boleh memberi jawapan begitu bagaimana orang lain? Kesimpulan saya kebanyakan yang mendengar ceramah bukan hendak menerapi dan mengamalkan apa yang diceramah tetapi setakat mendengar 'kesedapan' ceramah yang disampaikan. Lebih-lebih lagi jika ceramah itu diselitkan dengan sindiran kepada pemimpin, isteri mereka dan lain-lain.
Dari itu pada pendapat saya mereka yang mendengar ceramah kerana 'kesedapan' ceramah tidak ada bezanya dengan seorang yang mendengar lagu. Tidak kiralah ia lagu klasik atau lagu 'rock'. Sebab kita bukan hendak menghayati atau mengamalkan apa yang disampaikan oleh pencipta dan penyanyi. Kita hanya mendengar kerana 'kesedapan' lagu.
Tudung periuk pandai menari,
Menari lagu putra mahkota,
Kain buruk berikan kami,
Untuk menyapu si air mata.
Itulah antara senikata lagu 'Tudung Periuk' nyanyian P. Ramlee dan Saloma dari filem 'Sumpah Orang Minyak'. Saya sebut 'antara' kerana di lagu sepunuhnya ada sebutan 'hai' dan 'lah'. Lagu itu walau pun mempunyai satu pantun, lebih panjang dari lagu Beatles biasa.
Kalaulah setiap pendengar lagu itu mengamalkan senikatanya maka ramailah yang pergi ke klinik kerana sakit mata. Kerana kain buruk tidak sesuai dijadikan penyapu air mata. Oleh itu kita mendengar lagu 'Tudung Periuk' hanya kerana 'kesedapan'nya, bukan kerana nasihatnya.
Samalah seperti kebanyakan orang mendengar ceramah agama kerana 'kesedapan' ceramahnya, bukan kerana menghayati apa yang disampaikan.
Jika tidak kenapa masih ada cerita pembuangan anak, berbuka puasa dalam gereja dan berjudi di bulan puasa sehinggakan mati lemas apabila lari dari serbuan polis.