Friday, August 19, 2022

JANGAN SUKA-SUKA BUNYI 'HORN'!

Notis ini banyak nampak di Bandar Seremban sekarang.

Menonton filem menjadi kesukaan saya sejak belasan tahun lagi dan sekarang saya menonton filem dalam purata lima filem dalam lima hari seminggu melalui TV. Baki dua hari lagi itu saya ketepikan untuk melayan anak-anak dan cucu-cucu saya yang balik mengunjung saya suami isteri.  

Dua hari yang lepas saya melihat filem bertajuk UNHINGED melalui Netflix di TV. Tajuk filem merujuk kepada seorang lelaki yang fikirannya tidak stabil. Dia bertindak ganas bila seorang pemandu perempuan membunyikan 'horn' kepadanya bila dia tidak bergerak ke hadapan apabila lampu trafik bertukar menjadi hijau. Kemudian berlakulah apa yang disebut 'road rage' atau keganasan jalanan sehingga pemandu yang 'unhinged' itu membunuh beberapa orang sebelum pemandu perempuan itu membunuhnya pula di akhir filem.

Seperti dirancang, saya alami situasi yang sama tengah hari semalam. Saya berhenti di satu simpang lampu trafik di pinggir Bandar Seremban. Berada di depan dan paling hampir dengan simpang ialah sebuah teksi. Dia berhenti kerana lampu merah. Tetapi di sebelah lampu ialah notis seperti dalam gambar di atas. Notis itu membenarkannya pemandu teksi itu melanggar lampu merah jika dia faham akan maksudnya.

Saya perhatikan pemandu teksi itu boleh membelok ke kiri kerana kenderaan yang lalu 90 darjah di depannya kurang. Saya tidak membunyikan 'horn' kerana bimbang mungkin pemandu itu hendak ke hadapan dan bukan ke kiri. 

Bila lampu bertukar ke hijau, teksi itu belok ke kiri. Jelaslah pemandunya tidak mengambil kesempatan terhadap notis di sebelahnya. Atau dia tidak faham apa maksud notis itu.

Biarlah pemandu teksi itu berfikir apa pun. Setelah melihat filem UNHINGED itu, saya fikir saya telah membuat pilihan yang betul dengan tidak membunyikan 'horn' kereta saya.

Sekian.