Friday, April 30, 2010

Jiran - Bahagian 2.


Sebenarnya pos saya bertajuk 'Jiran' belum habis lagi. Entah macam mana saya tertekan butang 'Publish'. Tak apalah, saya sambung di sini.

Saya pernah menghadapi keadaan sama seperti di Sentul, Kuala Lumpur itu. Saya mempunyai seorang kawan berbangsa Cina bernama Leong. Kerjanya membaiki motosikal di rumah kedai kepunyaan abangnya. Abangnya menetap di Hong Kong tetapi sekali sekala balik ke Malaysia.

Apabila abangnya balik ke Malaysia, Leong berpindah ke rumahnya sendiri, tetapi datang setiap pagi untuk membuka kedai membaiki motosikalnya. Jika tidak Leong tinggal di rumah kedai abangnya. Anak-anak Leong pun bersekolah hampir dengan kedainya.

Lebih setahun yang lepas satu keluarga India menyewa sebuah rumah di belakang kedai Leong. Keluarga ini berpindah kerana rumah lama mereka sering dilanda banjir. Malangnya mereka membawa perangai buruk mereka membuang sampah merata-rata. Antara tempat mereka membuang sampah ialah kawasan lapang di antara rumah mereka dengan rumah Leong.

Leong kerap kali mengadu kepada saya mengenai masalah ini. Saya pernah bertanya kepada Leong mengapa dia sendiri tidak menegur jirannya. Leong menjawab tidak mahu bergaduh. Saya pun menyuruh orang bawah saya menyelesaikan masalah ini. Tetapi saya percaya orang bawah saya mencari jalan mudah dengan mengarahkan pekerja-pekerjanya membersihkan sampah tadi. Dia pun tak mahu bergaduh, agaknya.

Menyedari saya akan bersara tidak lama lagi Leong meminta saya supaya sendiri datang menyelesaikan masalahnya. Jika saya sudah bersara kepada siapa dia hendak mengadu, katanya.

Saya dapati aduan Leong memang benar dan saya terus berjumpa dengan isteri tuan rumah yang membuang sampah berkenaan. Rupa-rupanya seorang anak lelakinya yang belum sekolah membuang sampah di belakang rumah. Sampah yang lain dibuang di dalam tong sampah di hadapan rumah.

Saya sendiri meminta anak lelakinya memungut semula sampah yang sudah dibuang dan memintanya memindahkan ke tong sampah di hadapan rumah. Saya fikir dengan cara ini ia akan belajar membuang sampah dengan cara yang betul.

Selepas itu Leong tidak lagi mengadu. Saya fikir dia membuat keputusan yang bijak tidak menegur jirannya. Takut terjadi seperti di Sentul, Kuala Lumpur itu.

Memang benar kami sebagai pihak berkuasa kadang-kadang pening kepala melayan aduan antara jiran-jiran. Tetapi jika kami tak mencelah kejadian yang tidak diingini seperti di Sentul itu boleh terjadi.

Thursday, April 29, 2010

Jiran.

Belum lagi negara kita reda dari berita kematian seorang remaja kerana ditembak polis timbul pula cerita seperti di atas. Seorang lelaki terbunuh akibat perkelahian berpunca dari tegurannya kepada jirannya yang membuang sampah bukan di tempatnya. Saya anggap kedua-dua kematian ini sia-sia sahaja dan boleh dielakkan.

Saya dulu bekerja di satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sudah biasa dengan aduan antara jiran-jiran. Ini termasuk aduan mengenai jiran membuang sampah bukan di tempat yang sepatutnya. Dalam pencen ini pun saya baru-baru ini menerima aduan melalui facebook dari seorang kawan sekolah saya mengenai jirannya yang membuang sampah di hadapan rumahnya. Dia tahu saya pun sudah pencen sepertinya, tetapi meminta saya menggunakan pengaruh saya untuk menguhubungi jabatan lama saya. Saya tidak lagi menerima aduan darinya, dari itu saya anggap masalahnya sudah selesai.

Ikut arahan polis.

Saya tumpang berdukacita terhadap kematian adik Aminul Rasyid yang meninggal dunia kerana ditembak polis di Shah Alam. Kejadian berlaku selepas Pilihanraya Kecil P 94 Hulu Selangor. Saya tidak boleh bayangkan jika kejadian terjadi sedang kempen rancak berjalan. Kebetulan pilihanraya dan kejadian tembakan berlaku di negeri yang sama. Adakah kejadian ini akan mengubah keputusan pilihanraya? Saya tidak berani nak jawab.

Ini bukan pertama kali kita mendengar atau membaca cerita yang serupa. Kejadian serupa berlaku di seluruh dunia. Ia juga ditunjukkan di dalam filem-filem. Dalam filem 'Devil's Own' lakunan Brad Pitt ada ditunjukkan polis menembak mati seorang remaja yang lari dan disangkakan mempunyai senjata.

Banyaklah tuduh menuduh terkeluar di laman-laman web seperti blog dan sebagainya. Pihak polis menjadi tumpuan tuduhan. Tetapi tidak terfikirkah kita akan kesalahan kita juga. Lihatlah di sekeliling kita betapa ramainya kanak-kanak yang berumur serendah sepuluh tahun menunggang motosikal?

Mungkin menunggang motosikal cuma susah sedikit dari menunggang basikal. Lebih-lebih lagi sekarang ada motosikal dan skuter seperti Yamaha EGO dan Modenas Karisma yang fungsinya tangannya betul-betul seperti basikal. Kaki kita tidak berfungsi langsung. Oleh itu kanak-kanak yang tahu menunggang basikal boleh menunggang motosikal dan skuter tanpa diajar.

Bagaimana pula dengan kereta? Saya tidak percaya adik Aminul belajar membawa kereta dengan sendirinya. Sudah tentu ada orang dewasa yang mengajarnya. Sepatutnya siapa yang mengajar adik Aminul membawa kereta juga merasa bersalah dalam kes ini.

Kenapa kerajaan meletakkan had umur minima untuk pengeluaran lesen memandu kenderaan bermotor? Sebab lebih kita dewasa lebih matang pemikiran kita. Saya sudah berkali-kali hampir kemalangan jalanraya, cuma pengalaman menyelamatkan saya.

Saya juga mempunyai saudara dan kawan-kawan dari anggota polis. Dalam kerja dulu pun saya sering meminta bantuan pihak polis terutama dalam operasi. Pesanan mereka senang sahaja iaitu 'Ikut arahan polis.' Saya mematuhi arahan mereka walau pun ada arahan itu saya kurang bersetuju.

Ada juga arahan polis itu bertentangan dengan arahan asal jabatan saya. Tetapi bila balik ke pejabat dan ditanya oleh boss jawapan saya senang sahaja iaitu 'Saya ikut arahan polis.'

Saya masih ingat dalam satu operasi yang sensitif Yang Di Pertua saya mengarahkan boss saya sendiri mengetuainya. Seperti biasa pihak polis diminta membantu, kali ini diketuai oleh seorang berpangkat ASP. Tetapi boss saya tidak mengindahkan arahan polis. Akibatnya boss saya kena pukul oleh orang awam. Itu baru kena pukul. Kalau kena tikam senjata tajam bagaimana?

Sama jugalah dengan kes adik Aminul. Dari apa yang saya baca dia tidak mengindahkan arahan polis supaya berhenti. Mungkin dia panik kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Saya tidak mahu memberi komen apa-apa kerana tidak mengetahu cerita sebenar. Saya minta maaf jika menyinggung sesiapa.

Tetapi jika apa yang saya baca itu benar dan adik Aminul 'ikut arahan polis' mungkin dia masih hidup sekarang.

Tuesday, April 27, 2010

Monday, April 26, 2010

Tahniah, Y.B.!

Itu bukan isyarat lucah, tetapi isyarat 1Malaysia.
Saya turut mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat P. Kamalanathan yang memenangi Pilihanraya Kecil Parlimen P. 94 Hulu Selangor semalam atau 25 April 2010. Hulu Selangor tetap dalam hati saya kerana saya pernah tinggal beberapa ratus meter darinya di antara tahun 1962 hingga 1967. Ini semasa saya bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak.

Sekolah saya itu dipisahkan dengan Hulu Selangor oleh Sungai Bernam. Pada waktu-waktu petang saya dengan kawan-kawan sekolah selalu duduk membaca buku di tebing Sungai Bernam. Sungai itu memisahkan negeri-negeri Perak dengan Selangor. Apabila saya memandang seberang sungai nampaklah Hulu Selangor.

Sekolah saya itu sekarang sudah berpindah ke Sungai Gadut, Seremban dan tapak lama diambil oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris atau UPSI. Beberapa bulan yang lalu saya telah melawat tapak lama itu dan mendapati ramai penuntut UPSI membaca buku di tepi Sungai Bernam seperti saya dahulu.

Saya sendiri mempunyai saudara-mara di Kalumpang, Hulu Selangor. Sudah lama saya tidak berjumpa dengan mereka. Saya tidak pasti sama ada masih ada yang mengingati saya. Insya Allah dengan Hulu Selangor masih disebut-sebut saya akan cuba pergi ke sana dan mencari saudara mara yang masih ada.

Oleh kerana saya berjanji tidak mahu menyentuh politik ini sahaja yang dapat saya tulis.

Tahniah, Y.B.!

Saturday, April 24, 2010

Every one of us is an actor

Leon Trotsky


Richard Burton


Alain Delon

Leon Trotsky was a Soviet Communist official who disagreed with Joseph Stalin. He was exiled to Mexico in 1937. Joseph Stalin considered him a threat and sent an assassin to kill him in 1940.

In 1972 a British film company made a film titled 'The Assassination of Trotsky'. The role of Leon Trotsky was played by Richard Burton, a British actor, or a Welsh actor to be exact. The role of the assassin was played by French actor Alain Delon.

As the film had to reenact what really happened in history, actor Alain Delon had to pretend killing Richard Burton using an ice axe. I read somewhere that Alain Delon felt really scared. He mentioned of being afraid he might kill the real Richard Burton.

Richard Burton replied "There are a lot of French actors, but if you kill me you kill one sixth of all Welsh actors." The writer of the article said Richard Burton was wrong, because to him every Welshman is an actor of sorts.

But I think every one of us is an actor.

Friday, April 23, 2010

Atap bocor

Saya tertarik dengan pos baru sahabat blogger saya Mahaguru58. Ia menceritakan perjumpaannya dengan seorang penduduk Ulu Yam Baru, Selangor. Penduduk ini berkata ia hanya akan mengundi di Pilihanraya Parlimen Hulu Selangor pada 25 April 2010 nanti jika mana-mana calon sanggup membaiki atap rumahnya yang bocor. Blogger Mahaguru58 sendiri menunjukkan video atap yang bocor tersebut. Rajin sungguh sahabat blogger saya ini.

Melihat video atap bocor tadi saya teringat kepada dua filem yang juga menunjukkan atap bocor. Satu filem Melayu dan satu lagi filem Hollywood.

Filem Melayu ialah 'Penarek Becha' (ejaan lama). Filem ini ialah filem pertama arahan seniman agung P.Ramlee. Kerana dilahirkan dalam keluarga miskin dan kurang berpelajaran karaktor Amran yang dilakunkan oleh P.Ramlee tinggal di sebuah rumah yang compang camping dengan ibunya yang dilakunkan oleh seniwati Saamah. Apabila tiba hujan air mencurah-curah turun ke lantai rumah mereka melalui atap rumah mereka yang bocor.

Rumah penduduk Ulu Yam yang ditemui oleh Mahaguru58 juga bocor kerana kemiskinan penghuninya. Tetapi ia tidaklah sedaif Amran dan ibunya seperti dalam filem 'Penarek Becha'.

Filem Hollywood pula ialah 'Unforgiven'. Persamaan filem 'Penarek Becha' dengan 'Unforgiven' ialah pelakon utamanya juga menjadi pengarah. P. Ramlee mengarah dan menjadi pelakon utama filem 'Penarek Becha' manakala Clint Eastwood mengarah dan menjadi pelakon utama filem 'Unforgiven'.

Perbezaannya ialah rumah yang bocor atap dalam 'Unforgiven' bukan rumah pelakon utama, tetapi rumah orang jahat filem ini. Karaktor jahat ini dilakonkan oleh Gene Hackman. Ia menjadi seorang Marshall kejam yang cuba membina rumahnya sendiri. Tetapi oleh kerana ia tidak pandai ilmu pertukangan, rumahnya dimasukki air bila hujan kerana atap bocor. Oleh itu atapnya bocor bukan kerana kemiskinan, tetapi kerana keegoannya sendiri.

Pada suatu hari seorang pembunuh upahan singgah di pekan Marshall ini diiringi dengan seorang penulis yang sedang menulis biografi pembunuh ini. Marshall ini kemudian membelasah pembunuh ini dan menghalaunya keluar. Tetapi dia menahan penulis tadi dengan tujuan menulis biografinya pula.

Di satu malam sedang Marshall ini memberi butir-butir biografi untuk ditulis oleh penulis barunya, hujan turun dengan lebatnya. Air mencurah turun kedalam rumahnya yang sedang dalam pembinaan, dari atap yang bocor.

Penulis tadi memberi komen "Tukang kayu rumah ini patut digantung (sampai mati)" tanpa menyedari orang yang dimaksudkan ialah tuan barunya. Apabila melihat muka Marshall berubah penulis tadi terus menukar topik kepada biografi yang ditulisnya. Kalau tidak dia juga mungkin kena dibelasah seperti tuan lamanya.

Di akhir cerita apabila ia hendak dibunuh oleh hero filem ini Marshall telah merayu dengan alasan dia tidak berhak mati kerana sedang membina rumah. Hero ini menjawab hak tidak kena mengena dalam hal ini dan terus melepaskan tembakan membunuhnya.

Thursday, April 22, 2010

Dua pelangi

Kita biasa melihat pelangi selepas hujan. Tetapi pagi tadi saya nampak dua pelangi. Saya hantar gambar ini kepada 'Thumbnails' akhbar The Star. Disiarkan untuk edisi 23 April 2010, tetapi tidak memenangi hadiah apa-apa.

Monday, April 19, 2010

Semoga impian akan menjadi kenyataan - Bahagian 4


Pembinaan surau di taman perumahan saya berjalan dengan lancar. Pekerja-pekerja yang terdiri keseluruhannya dari warganegara Indonesia bekerja tanpa menghiraukan panas atau hujan.

Saturday, April 17, 2010

Menyamar

Bila membaca cerita mengenai 'Tuan Muda Pahang' yang menyamar saya teringat bahawa saya pun pernah 'menyamar' juga, walau pun dalam keadaan berbeza.

Jabatan saya mempunyai jawatan Pegawai Pendakwa. Tetapi bila Pegawai Pendakwa ini tidak dapat hadir bekerja kerana bercuti atau berkursus seorang pegawai lain dikehendaki menggantikannya untuk mendakwa kes-kes di mahkamah. Semasa saya masih bekerja dahulu 80% dari penggantian ini diserahkan kepada saya.

Ada satu ketika apabila jawatan Pegawai Pendakwa ini kosong selama enam bulan kerana pemegangnya berhenti untuk bekerja di jabatan lain. Saya diminta untuk memangku jawatannya dalam tempoh tersebut. Di dalam tempoh itu juga saya seolah-olah 'menyamar' satu hari dalam seminggu.

Saya dikehendaki hadir ke Mahkamah Majisteret Seremban pada tiap-tiap hari Selasa. Isteri saya Salmah pun tahu. Pada tiap-tiap pagi Selasa dia akan menggosok seluar hitam dan baju lengan putih untuk saya. Tali leher dan 'coat' saya tinggalkan di pejabat.

Di masa itu Mahkamah Majisteret Seremban masih terletak di Jalan Campbell, Seremban berhadapan dengan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Seremban. Sekarang kedua-duanya sudah berpindah ke Seremban 2.

Apabila sahaja saya sampai ke kompleks mahkamah bermulalah 'penyamaran' saya. Bukan apa, pakaian peguam dan pegawai-pegawai pendakwa adalah sama iaitu seluar hitam, baju putih bertali leher dan memakai 'coat' hitam. Cuma pegawai-pegawai pendakwa dari Polis, JPJ, Kastam dan Bomba memakai pakaian seragam mereka.

Dari itu juga orang awam yang datang ke mahkamah, sama ada sebagai orang kena tuduh, penjaman atau cuma sebagai pemerhati tidak dapat membezakan antara peguam dengan pegawai pendakwa.

Pada satu pagi apabila sahaja saya meletakkan kereta saya, seorang peguam perempuan Cina telah menegur saya kerana tidak memasukkan duit ke dalam meter letak kereta. Saya terus menjawab bahawa saya bukan seorang peguam tetapi pegawai pendakwa jabatan saya. Oleh kerana meter letak kereta ini di dalam kuasa jabatan saya, saya tidak perlu membayar apa-apa. Saya juga menunjukkan pelekat khas di kereta saya.

Saya nyatakan kepadanya bahawa antara tujuan saya datang ke mahkamah hari ini ialah mendakwa mereka yang gagal memasukkan duit ke meter letak kereta. Dia terus ketawa mendengar jenaka sindiran saya sambil berkata dia mula-mula menyangka saya seorang peguam.

Saya tidak menukar pakaian sehingga petang setelah balik dari mahkamah. Cuma saya menyangkut 'coat' dan tali leher saya di tempatnya. Nanti kalau memakai 'coat' di pejabat melebehi ketua saya pula. Kalau ada operasi di luar saya berpakaian seluar hitam dan baju lengan panjang putih sedangkan kawan-kawan saya yang lain berpakaian seragam. Seronok juga memakai lain dari yang lain. Apabila ada yang bertanya kenapa saya tidak berpakaian seragam jawapan saya ialah "Saya ke mahkamah pagi tadi."

Bercakap mengenai menyamar ini saya teringat kepada satu filem bernama 'Midnight Run' lakonan Robert De Niro. Dia berlakon sebagai seorang pemburu upahan atau 'bounty hunter' untuk memburu seorang akauntan yang lari dari satu firma 'bail bonds' atau lebih kurang satu syarikat ikat jamin. Pihak Mafia pun memburu akauntan ini dengan tujuan membunuhnya kerana menggelapkan duit mereka dan juga supaya dia tidak menjadi saksi terhadap mereka. Pihak FBI sama-sama memburu akauntan ini untuk dijadikan saksi mereka terhadap Mafia.

Bertahun-tahun pihak Mafia dan FBI memburu akauntan ini tetapi tidak berjaya. Tetapi hero kita dengan pengalamannya sebagai seorang bekas polis dapat menangkap akauntan ini dengan senang. Tetapi ia juga tidak akan berjaya jika tidak menyamar.

Ajen FBI yang bertahun-tahun memburu akauntan ini meminta hero kita supaya jangan buang masa memburu buruannya. Dia seorang ajen FBI yang dibantu oleh peralatan canggih pun tidak berjaya menangkap buruan mereka. Apakan lagi seorang bekas polis yang bekerja seorang diri.

Tetapi hero ini telah mencuri kad kuasa ajen FBI tadi dan menggantikan gambar ajen tadi dengan gambarnya sendiri. Dengan kad kuasa ini ditambah dengan pengalamannya sebagai seorang anggota polis itu dia dengan senang menangkap akauntan tadi.

Dengan kad kuasa curi itu juga dia senang bergerak dari New York ke Los Angeles membawa akauntan tadi. Apabila ada halangan dia menunjukkan kad kuasa curinya dan menjerit 'FBI'. Dia juga menyebut nama ajen yang tertulis di kad kuasa itu, bukan namanya sendiri.

Boleh dikatakan semua mereka yang ditunjukkan kad kuasa curi tadi tidak memeriksa sama ada kad itu tulin atau tidak. Kalau diperiksa sudah tentu nama yang tertulis di kad berlainan dengan nama di kad pengenalan pemburu upahan tadi. Saya mengaku ini benar, kerana dalam pengalaman saya setiap kali saya tunjukkan kad kuasa saya tidak ada yang berani mempersoalkannya.

Sehingga sekarang pun jabatan saya tidak menuntut balik kad kuasa saya. Ini bermakna saya boleh menyamar, jika saya mahu.

Ajen FBI yang hilang kad tadi sudah tentu malu melaporkan kehilangan kad kuasanya, takut diambil tindakan tatatertib. Apatah lagi dia tahu kadnya dicuri oleh orang yang diejeknya.

Hampir dengan Las Vegas ajen FBI sebenar tadi telah menangkap pemburu upahan yang menyamar tadi. Dia terus mengugut untuk mendakwa pemburu upahan ini kerana menyamar sebagai seorang pagawai kerajaan. Pemburu ini terus menjawab 'Sepatutnya kau yang didakwa kerana menyamar'.

Ajen tadi terperanjat pada mulanya dengan jawapan tadi. Tetapi kemudian baru dia sedar bahawa selama ini kerjanya terlalu teruk, seolah-olah menyamar. Akhirnya mereka bekerjasama menangkap pihak Mafia yang berniat hendak membunuh seorang saksi kerajaan berupa akauntan tadi.

Moral ceritanya ialah jika kita bekerja dengan teruk, samalah seperti kita menyamar.

Friday, April 16, 2010

Kids' Stuff

I always enjoyed watching my neighbours' kids playing football on the open space in front of my house. Most of the kids are of primary school age.

Two evenings ago they were playing football as usual. Suddenly the boys were missing. My guest was right. Their football had gone over the slope towards the flood mitigation pond neighbouring the open space.
Had the ball not being kicked hard it would just roll down and stopped at the 'buffer zone' between the slope and the pond itself. This happened many time before. But the way some of the boys were shouting from the top of the slope I knew something was wrong. Their ball must had been kicked to the pond itself.

My only fear was for some of the boys to jump into the pool to retrieve their ball. I quickly joined their crowd. Yes, their ball was floating right in the centre of the pool. Some of them were throwing stones and sticks in the hope that the ball would be hit and would float to the other side.

One boy threw a dead tree branch. This made matters worse as the ball was trapped by the branch's twigs. The branch itself was not floating at all. I guessed it was stuck in mud.

Drops of rain were beginning to fall, so I told the boys to go home.

The next morning, that was yesterday, I looked into the pond and saw the ball was still trapped by the dead tree branch. The rain did not move the branch and ball any further. Suddenly I realised that the boy who threw the branch was not dumb after all.

I went home and took out my adjustable aluminium pole which I bought a few years ago from the supermarket. Even after being stretched to the maximum length it still could not reach the branch. So I tied the pole to a wire which I kept handy. I bent the wire end to form a hook.

I went down the pond's edge and threw the wire like a man throwing a fishing line.

After a few throws the hook managed to catch the branch. I only had to pull the branch towards me and the ball came with it. Kids' stuff.

My only problem now is to look after the ball's owner.

Thursday, April 15, 2010

Selamat Pengantin Baru, Dato' Seri Utama

Saya tumpang gembira apabila mendengar berita Dato' Seri Utama Tan Sri Isa Samad menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini Bibi Sharliza.

Tidak payahlah saya menceritakan panjang lebar mengenai Dato' Seri Utama Tan Sri Isa. Sebelum ini saya sudah menulis dua pos mengenai beliau.

Tahniah juga kepada Datin Seri Utama Bibi Sharliza kerana sekurang-kurangnya namanya naik semula setelah agak tenggelam selama lebih dua tahun.

Kepada siapa yang tidak kenal dengan Bibi Sharliza beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Paroi pada tahun 2004 hingga 2008. Pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008 dia digugurkan dari mempertahankan kerusinya. Saya yakin jika beliau diteruskan bertanding, ia akan menang.

Semasa menjadi ADUN kami memanggilnya YBBB untuk Yang Berhormat Bibi.

Dengan perkahwinan ini ada tiga berita baik mengenai Negeri Sembilan dalam seminggu. Pertama ialah kejayaan pasukan bolasepak Negeri Sembilan memenangi Piala FA. Kedua YB ADUN Lenggeng didapati tidak bersalah atas tuduhan rasuah. Ketiga ialah perkahwinan dua orang veteran ini

Semoga Negeri Sembilan sentiasa aman dan tenteram.

Monday, April 12, 2010

Hobin Jang Hobin. Pemenang atau Johan?




Baharu sahaja lima bulan pasukan bolasepak Negeri Sembilan memenangi Piala Malaysia, mereka memenangi satu lagi piala yang dinamakan Piala FA. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka.
Saya telah menceritakan panjang lebar mengenai bolasepak Negeri Sembilan dalam pos saya 'Hobin Jang Hobin!' pada bulan November 2009. Oleh itu saya fikir tidak payah bercerita panjang lagi mengenai mereka.

Cuma saya tidak setuju kepada nama piala yang dimenangi kali ini. Dalam Bahasa Inggeris tentu ia disebut The FA Cup. Kalau tak salah saya FA di sini bermaksud Football Association. Tak tahulah saya jika ia bermaksud Fatimah Ahmad atau lain-lain.

Setahu saya juga dalam dunia ini ada satu badan sahaja yang menggunakan nama The FA atau The Football Association iaitu pihak berkuasa bolasepak di England. Pihak-pihak berkuasa lain dikehendaki meletakkan nama negara atau negeri sebelum atau selepas Football Association. Jadilah Football Association of Malaysia (FAM) untuk negara kita dan Negeri Sembilan Football Association (NSFA) untuk nogoghi se.

The FA Cup pula ialah nama ekslusif untuk piala pertandingan bolasepak kalah mati di England. Kebetulan di waktu yang sama Negeri Sembilan mengalahkan Kedah, pasukan Chelsea pula mengalahkan Aston Villa di separuh akhir atau semi-final pertandingan The FA Cup sebenar.

Negara-negara lain juga mempunyai pertandingan kalah mati mereka. Tetapi setahu saya tidak ada dari mereka yang memanggil piala yang ditandingi sebagai FA Cup.

Satu lagi saya juga tidak bersetuju pemenang Piala FA di Malaysia disebut 'Johan'. Sila lihat gambar di atas. Johan bermaksud 'Champions' dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ini adalah satu perlawanan kalah mati pemenangnya patut dipanggil 'Pemenang' atau 'Winners' sahaja.

Tunggulah perlawanan akhir The FA Cup di England antara Chelsea dengan Portsmouth pada bulan Mei 2010 nanti. Saya pasti pihak media massa di England tidak menyebut pemenangnya sebagai 'Champions' tetapi 'Winners'.

Thursday, April 8, 2010

Sunday, April 4, 2010

Tak lama lagi sibuklah tempat ini.

Jambatan memisahkan Hulu Bernam dengan Tanjung Malim.



Dulu saya ke Hulu Bernam semata-mata untuk menonton wayang di bangunan ini. Sila perhatikan juga nama HULU SELANGOR.


Sebenarnya gambar-gambar di atas sudah berada dalam pos saya pada bulan Jun 2009 semasa saya melawat pekan Tanjung Malim, Perak. Ia menjadi sebahagian dari perjalanan saya 'down memory lane' ke tempat saya dibesarkan dari tahun 1962 hingga tahun 1967.

Sekarang nama Hulu Selangor tiba-tiba giat diperkatakan kerana tidak lama lagi akan diadakan satu Pilihanraya Kecil di situ. Walau pun banyak aktiviti bertumpu di Kuala Kubu Baharu, pekan atau tempat yang saya gambarkan di atas akan menjadi tumpuan juga, walau pun dalam skala lebih kecil.

Pekan di atas ialah Hulu Bernam. Ia terletak bersebelahan dengan pekan Tanjung Malim, Perak. Kedua-dua pekan itu dipisahkan dengan jambatan seperti dalam gambar pertama.

Semasa saya bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjung Malim di tahun-tahun seperti di atas, saya dan kawan-kawan pergi ke pekan Hulu Bernama hanya untuk satu tujuan. Tujuannya ialah untuk menonton wayang gambar di pawagam bernama Majestic. Bangunan pawagam itu ialah dalam gambar kedua.

Seperti kebanyakan pawagam di Malaysia sekarang ia menjadi korban kepada pembangunan. Ia tidak digunakan lagi. Mengikut nama yang terpampang di hadapannya ia sekarang menjadi satu setor perabot.

Semasa kegemilangan pawagam di Malaysia filem-filem ditayangkan oleh dua gergasi perfileman iaitu Shaw Organisation dan Cathay Organisation. Shaw mempunyai studio-studio filem Melayu iaitu Malay Film Productions di Singapura dan Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur. Cathay juga mempunyai studio filem Melayunya iaitu Cathay Keris di Singapura.

Shaw dan Cathay juga membahagikan edaran filem-filem dari luar negara antara mereka. Filem-filem keluaran MGM, United Artists dan Columbia diedarkan oleh Shaw, manakala filem-filem Twentieth Century Fox diedarkan oleh Cathay.

Di Tanjung Malim filem-filem Shaw ditayangkan di panggung Rex. Panggung itu sudah ditutup dan dibiarkan begitu sahaja. Panggung Majestic di Hulu Bernam pula menayangkan filem-filem Cathay. Antara filem Hollywood yang saya tonton di Hulu Bernam ialah 'The Longest Day' keluaran 20th Century Fox. Filem itu menjadi salah satu filem kesukaan saya dan saya menyimpan DVDnya sebagai satu koleksi.

Filem-filem James Bond keluaran United Artists ditayangkan di pawagam Rex, Tanjung Malim. Saya juga menyimpan koleksi DVDnya.

Saya juga menonton filem 'Sangam', satu filem Hindustan di pawagam Majestic, Hulu Bernam. Mengenai filem Hindustan saya tidak faham mengenai pengedarannya diantara Shaw dengan Cathay.

Pekan-pekan Tanjung Malim di Perak dan Hulu Bernam di perak dipisahkan oleh Sungai Bernam. Oleh itu ramai penduduknya yang tinggal di satu pekan tapi bekerja di pekan yang lagi satu. Kalau tak salah saya, di masa saya di sana dulu seorang dari Imam Masjid Jamek Tanjung Malim tinggal di Hulu Bernam. Kawan-kawan tolong betulkan jika saya salah.

Semasa perayaan Maulidur Rasul sekolah saya tidak pernah tinggal dalam menyertainya termasuk berarak. Saya masih ingat di satu tahun kami berarak sampai mengelilingi satu kampung di Hulu Bernam. Saya tidak tahu mengapa kami terpaksa menyeberang ke negeri lain untuk perarakan Maulidur Rasul. Mungkinkan ini sebagai penghormatan kepada kepada imam masjid kami yang tinggal di situ.

Sekarang ini di Malaysia saya tidak fikir ada mana-mana perakan Maulidur Rasuk menyeberang ke mana-mana negeri lain. Tetapi saya bangga kerana menjadi sebahagian dari peserta perarakan yang pernah berbuat demikian.

Tidak lama lagi pekan Hulu Bernam akan dihias dengan poster-poster pilihanraya. Pekan Tanjung Malim sudah tentu sibuk dengan dipenuhi pekerja-pekerja pilihanraya. Mungkin dari sekarang mereka yang terlibat dalam pilihanraya kecil ini sudah mula menempah bilik-bilik hotel di Tanjung Malim.

Kepada penduduk Hulu Bernam dan Hulu Selangor saya ucapkan selamat mengundi.

Friday, April 2, 2010

Kerana seekor nyamuk...

Saya tertarik dengan tajuk 'caption' 'KERANA SEEKOR NYAMUK' yang ditulis oleh Astro Awani apabila menceritakan mengenai pemergian ke Rahmatullah artis Din Beramboi. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada rohnya.

Sudah tentu kita merasa sedih apabila seorang 'celebrity' seperti Allahyarham Din Beramboi meninggal dunia. Di samping itu perasaan marah juga ada, kerana kematiannya disebabkan oleh gigitan SEEKOR NYAMUK. Nyamuk Aedes lebih tepat. Belum tepat lagi, kerana nyamuk yang paling tepat ialah nyamuk jenis Aedes Agypti. Disebut 'Edis Ejiptai'.

Saya ialah seorang pekerja kesihatan. Lebih tepat seorang pekerja kesihatan yang sudah bersara. Tetapi apa yang saya belajar mengenai nyamuk tidak bersara.

Sebenarnya semasa saya menjalani latihan kerja saya, di tahun-tahun 1969, 1970 dan 1971 demam denggi belum datang lagi ke Malaysia. Oleh itu saya belajar mengenainya dalam bentuk am sahaja, tidak secara menyeluruh. Saya lebih dilatih mengenai penyakit-penyakit lain seperti malaria, juga satu penyakit yang dibawa oleh nyamuk. Cuma nyamuknya berlainan sedikit. Malaria dibawa oleh nyamuk jenis Anopheles. Malah saya sendiri pernah dijangkiti malaria ini.

Kementerian Kesihatan di masa itu mempunyai satu program yang dinamakan 'Malaria Eradication Programme' atau MEP. Program itu sangat berkesan sehingga sekarang penyakit malaria boleh dikatakan sudah terhapus di Malaysia.

Setahu saya demam denggi datang ke Malaysia pada tahun 1973. Di masa itu saya baharu sahaja bekerja di Majlis Perbandaran Seremban, sebuah Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT. Dari itu kawalan penyakit denggi menjadi tambahan kepada tugas-tugas saya.

Oleh kerana pengetahuan saya mengenai demam denggi cuma secara am sahaja, saya terpaksa membuka buku-buku dan membaca risalah-risalah mengenainya. Tetapi kerana saya sudah menjadi seorang pekerja kesihatan terlatih, tidak menjadi masalah bagi saya memahami selok belok penyakit baru ini.

Ada dua spesis nyamuk aedes pembawa denggi di Malaysia iaitu itu aedes aegypti dan aedes albopictus. Aedes aegypti biasanya membiak di dalam rumah di mana terdapat air jernih bertakung. Aedes albopictus pula membiak di luar rumah seperti dalam bekas-bekas buangan.

Demam denggi biasa atau 'Dengue Fever' (DF) dibawa oleh aedes albopictus sedangkan demam denggi berdarah atau 'Dengue Hemorrhagic Fever' (DHF) dibawa oleh aedes aegypti. Oleh itu jika benarlah Allahyarham Din Beramboi dijangkiti demam denggi berdarah ini bermakna dia telah digigit oleh SEEKOR NYAMUK yang biasanya membiak dalam rumah.

Pada mulanya agak susah juga bagi saya untuk meyakinkan tuan-tuan rumah bahawa rumah mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk pembawa penyakit. Mereka sering menunjuk kepada longkang-longkang awam dan mengatakan terdapat beribu jentik-jentik nyamuk di situ, mengapa nak cari dalam rumah. Apa lagi tanggungjawab membersihkan longkang-longkang awam jatuh kepada jabatan saya sendiri.

Menjadi satu beban juga untuk menerangkan kepada mereka bahawa nyamuk yang membiak di longkang itu tidak merbahaya. Bagi mereka semua nyamuk serupa belaka.

Masalah saya ini ditambah lagi apabila ketua-ketua saya sendiri di pejabat tidak faham mengenai perbezaan tempat pembiakan nyamuk ini. Saya terpaksa mengambil beberapa sampel jentik-jentik dari longkang, bekas-bekas air di luar dan dalam rumah untuk menunjukkan perbezaannya. Itu pun dengan melihat melalui mikroskop yang dibeli khas oleh pejabat saya. Tetapi saya tidak dapat membawa mikroskop apabila keluar dari pejabat.

Setelah berjaya meyakinkan ketua-ketua saya senanglah sedikit kerja saya. Tetapi setelah lebih 37 tahun demam denggi datang ke Malaysia nampaknya penyakit ini tidak nampak penurunannya. Pada hal mengawal penyakit ini amat mudah, iaitu dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes, iaitu pembawa penyakit itu, disebut 'carrier' dalam Bahasa Inggeris.

Seolah-olah sekarang apabila tempat-tempat pembiakan lama dihapuskan, tempat-tempat pembiakan baru pula timbul. Seperti lagi maju kita lagi banyak tempat pembiakan nyamuk dicipta.

Adalah sangat malang apabila manusia dijangkiti penyakit hasil dari pembiakan nyamuk dalam rumahnya sendiri. Seolah-olah kita membela serangga yang akhirnya memusnahkan kita.

Saya letakkan gambar kitaran hidup SEEKOR NYAMUK di atas. Berapa orang dari kita dapat melihat SEEKOR NYAMUK betina bertelur di atas air? Berapa ramai dari kita yang tahu bahawa jentik-jentik yang berenang dalam mana-mana bekas air dalam rumah kita adalah sebenarnya anak SEEKOR NYAMUK? Berapa ramai dari kita dapat melihat SEEKOR NYAMUK menjelma dari jentik-jentik yang sudah bertukar menjadi pupa?

Mungkin dalam mengejar kemajuan hidup kita lupa terdapat pembunuh dalam rumah kita. Pembunuh yang merupakan SEEKOR NYAMUK yang kita bela secara sedar atau tidak.

Thursday, April 1, 2010

Semoga impian akan menjadi kenyataan - Bahagian 2

Tepat pada pukul tiga petang tadi beberapa beberapa kakitangan dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah datang ke tapak surau kami untuk menentukan arah Qiblat. Ini satu lagi kemajuan kepada cadangan pembinaan surau taman kami.

Mengikut kontraktor yang ikut sama, pembinaan akan dimulakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.




Arah kiblat sedang ditentukan.


Apakah nama alat ini? Rumah saya di sebelah kiri itu.



Menanamkan kayu sebagai panduan. Satu lagi kayu di tanam di seberang sana.


Kontraktor, pegawai-pegawai ICU dan ahli-ahli jawatankuasa surau sedang berbincang.