Petang semalam saya pergi ke acara menanam cerucuk untuk projek perumahan PR1MA Seremban Sentral oleh Yang Berhormat Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak di Bukit Tembok, Seremban. Peribahasa Melayu menyebut 'Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'. Bumi yang dipijak oleh Dato' Seri Najib, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan beribu lagi yang lain termasuk saya ialah Bukit Tembok, Seremban. Tetapi nama Bukit Tembok langsung tidak disebut oleh juruacara, Pengerusi PR1MA, Menteri Besar dan Perdana Menteri. Dari itu biarlah saya sahaja yang menyebutnya.
Saya menulis begitu kerana takut nama Bukit Tembok atau Jalan Bukit Tembok akan hilang sama seperti nama-nama jalan berbahasa Melayu di Seremban seperti Jalan Rahang, Jalan Lobak, Jalan Labu dan Jalan Labu Lama. Nama-nama jalan tersebut telah ditukar kepada nama-nama orang perseorangan yang kononnya telah berjasa kepada Seremban dan Negeri Sembilan.
(PM Dato' Seri Najib berkata dia tidak mahu acara memecah tanah kerana dari pengalamannya banyak tanah telah dipecahkan tetapi projeknya tidak naik-naik. Oleh itu beliau mencadangkan acara menanam cerucuk yang sudah pasti berupa salah satu kerja pembangunan).
Apabila sampai sahaja ke tapak perasmian saya perhatikan khemah hampir penuh, melainkan tempat duduk untuk para VIP. Saya terpaksa sama-sama berebut untuk mendapatkan satu beg pemberian PR1MA. Di dalamnya saya dapati cuma ada dua benda, iaitu acara majlis dan satu topi. Sedangkan mereka yang datang lebih awal juga menerima satu baju-t dan kupon dari Kentucky Fried Chicken (KFC).
Semasa masuk ke dalam khemah ada seorang membahagikan kupon-kupon KFC dan saya pun mendapat satu kupon yang mempunyai nombor siri. Saya perhatikan ramai orang berdiri kerana semua kerusi melainkan kerusi-kerusi VIP sudah penuh. Bukan penuh diduduki manusia, tetapi dijadikan tempat meletak harta karun.
Harta karun yang saya maksudkan ialah beg-beg PR1MA. Saya sebut harta karun kerana kupon-kupon KFC selain digunakan untuk mendapat kotak ayam goreng di akhir acara, juga mempunyai nombor-nombor cabutan bertuah. Juruacara sedang menyebut nombor-nombor bertuah yang dicabut. Tetapi nombor-nombor berhampiran dengan nombor di kupon saya langsung tidak disebut. Di sini saya boleh merangka apa yang terjadi:-
- Tuan rumah menyediakan beg-beg yang mengandungi i) Acara majlis, ii) Baju-t, iii) Topi dan iv) Kupon KFC dengan nombor siri untuk cabutan bertuah. Pendua nombor siri kupon dimasuikkan ke kotak cabutan bertuah.
- Ramai pengunjung yang mengambil lebih dari satu beg untuk tujuan i) Lebih peluang untuk mendapat hadiah cabutan bertuah, ii) Membawa pulang lebih dari satu kotak ayam goreng untuk diberi kepada keluarga dan iii) Membawa pulang lebih baju-t dan topi..
- Ini menyebabkan beg-beg yang mengandungi empat-empat benda di atas telah habis dikebas awal-awal lagi.
- Pengunjung lewat seperti saya (tidaklah lewat dari para VIP) terpaksa menerima beg-beg yang kurang harta karun. Pendua nombor-nombor kupon kami pun tidak dimasukkan ke kotak cabutan bertuah.
- Oleh kerana ramai yang mengambil lebih dari satu beg harta karun seorang, beg-beg diletakkan di atas kerusi. Kebanyakan mereka yang tiba kemudian segan untuk meminta supaya harta-harta karun ini diturunkan.
Saya tanpa segan silu meminta seorang yang meletakkan begnya di atas kerusi untuk mengosongkannya dan saya pun duduk di kerusi itu menunggu kedatangan tetamu-tetamu khas. Saya bertanya kepada tetamu di sebelah saya dia datang dari mana. Jawabnya dari satu rancangan Felda di daerah Jempol, Negeri Sembilan. Saya perhatikan dia lebih tua dari saya dan seperti saya juga tidak mungkin akan membeli sebuah unit rumah PR1MA.
Begitu jugalah seperti 80% yang datang ke acara itu. Mereka bukan datang untuk membeli rumah PR1MA tetapi untuk 'mengabihkan bogheh' berupa bas percuma, ayam goreng KFC dan hadiah-hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh tuan rumah.
Tidak ada nama Bukit Tembok!
Mungkinkah nama Bukit Tembok akan hilang?
Adakah mereka (dan saya) hendak membeli rumah PR1MA?
Kerusi diletakkan harta karun.
Ini saja harta karun yang sama dapat, topi PR1MA.
Apa tugas SECURITY saya tak tahu. Jangan jadi macam PPS sudahlah.
Abang-abang Polis kan sudah ada.
Kerusi dikosongkan kerana mereka beratur nak tengok PM dari dekat.
Itu pun PM Dato' Seri Najib sudah sampai. Mak Cik ini tak mau kalah dengan telefon pintarnya.
Tolong beri laluan kepada PM kita.
Saya tunggu PM untuk gerakkan mesin ini tapi dia masih sibuk agaknya.