Saturday, May 29, 2021

KENAPA TAK PANGGIL SAYA?


Kisah bermula pada Hari Isnin 24 Mei 2021 bila saya menerima cek elaun bulanan dari Bendahari NGO saya. Saya pun terus pergi ke bank untuk memasukkan cek itu ke mesin cek. Isteri saya menunggu dalam kereta yang saya letakkan di luar petak letak kereta yang penuh. Kebetulan di bank itu jugalah NGO saya menguruskan akaun dan saya menjadi salah seorang penandatangan cek itu.

Saya dapati mesin cek ditutup dan diletakkan notis memberitahu alamat cawangan-cawangan bank yang sama di mana saya boleh memasukkan cek tersebut. Bila saya cuba untuk menyerahkan cek di kaunter bank, saya dapati bank tersebut ditutup kerana Covid-19. Cuma mesin ATM dan CDM yang dibuka.

Oleh kerana tidak mahu bergerak jauh, saya pun pergi ke satu lagi bank di mana saya juga mempunyai akaun. Sekali lagi saya letakkan kereta di luar petak dan isteri saya menunggu di dalamnya. Saya padamkan nombor akaun yang sudah tertulis di belakang cek dan menggantikannya dengan nombor akaun di bank kedua ini. Saya masukkan cek ke dalam mesin.

Satu ketika dulu pengguna boleh menaip nombor akaun bank serta harga cek di mesin cek. Jika pengguna menaip nombor akaun yang salah, dia boleh tahu dengan serta merta. Mugkin untuk menjimatkan masa dan tidak mahu pengguna beratur rapat-rapat, bank-bank telah mengenepikan kemudahan ini. Mereka mungkin mengharapkan pengguna menulis nombor akaun yang betul di belakang cek.

Di hari esoknya, Selasa 25 Mei 2021, bila saya lihat akaun saya di bank kedua itu melalui komputer, didapati tiada rekod akan kemasukkan cek pada hari sebelumnya. Saya fikir mungkin kerana bank yang mengeluarkan cek itu masih ditutup akibat Covid-19. Saya langsung tidak terfikir akan kemungkinan saya telah memasukki nombor akaun yang salah di belakang cek. Jika itu berlaku sudah tentu saya akan menerima panggilan telefon dari bank, oleh kerana nombor telefon saya juga tertulis di belakang cek.

Hari kemudiannya, Rabu 26 Mei 2021 ialah Hari Kelepasan Vesak dan semua bank ditutup. Tetapi bila saya dapati pada hari Khamis 27 Mei 2021 cek saya itu masih belum diselesaikan, saya bertekad untuk pergi ke bank di mesin mana cek itu saya masukkan.  

Itulah yang saya buat pagi semalam, Jumaat 28 Mei 2021. Bila mengadu cek saya belum diselesaikan kepada pegawai bank di lobi, saya diminta pergi terus ke satu kaunter di dalam bank. Di situlah baru saya tahu cek saya tidak diselesaikan kerana terdapat sedikit kesilapan kepada nombor akaun yang saya tulis di belakang cek. Cek saya dipulangkan dan saya diminta menulis nombor akaun yang betul dan memasukkan semula cek itu ke dalam mesin.

Di sinilah saya ingin menyoal kenapa pegawai bank itu tidak memanggil saya melalui telefon bila mendapati saya telah membuat sedikit kesilapan? Tidakkah sekarang semua cek memerlukan nombor telefon penerima cek ditulis di belakangnya? Kalau dia telefon saya di saat mendapati nombor akaun saya salah, tak payahlah saya datang ke bank. Lebih-lebih lagi di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang bila pengguna tidak digalakkan memasukki bank untuk berurus di kaunter. 

Kalau dia sedikit pro-aktif, dia sendiri boleh membetulkan nombor akaun saya itu dengan menyemak nama saya di komputer depan matanya. Saya pasti tidak ada manusia lain yang mempunyai nama MAAROF BIN KASSIM di cawangan banknya. Kalau ada pun sudah tentu nombor akaunnya amat berbeza dengan nombor akaun saya yang cuma lari sedikit dari nombor akaun yang saya tulis.

Syukurlah saya tidak memerlukan wang tunai dengan segera. Bagaimana jika saya memerlukannya atau saya sudah berjanji akan membayar hutang kepada sesaorang dengan harapan cek saya itu diselesaikan dengan segera?

Saya fikir pegawai-pegawai kerajaan sekarang sahaja yang tidak pro-aktif. Ini dari pengalaman saya banyak berurus dengan jabatan kerajaan dalam aktiviti NGO saya sekarang. Rupa-rupanya pegawai-pegawai bank pun dua kali lima juga. 

Sekian.

Sunday, May 23, 2021

KENAPA TAK SEKALI HARUNG?

Sijil vaksinasi isteri saya. Sedangkan saya belum menerima temujanji pun.

Setahu saya yang biasa menggunakan sebutan 'sekali harung' ialah orang Melaka. Orang Negeri Sembilan menyebutnya 'sekali gus' yang mempunyai makna yang sama.

Contoh 'sekali harung' ialah bila si abang ada 'girl friend' dan si adik perempuan pula ada 'boy friend'. Kenapa tidak diadakan majlis perkahwinan mereka 'sekali harung' iaitu di satu majlis di hari yang sama? Beberapa tahun yang lalu, saya pernah pergi ke satu majlis perkahwinan si bapa dan anak perempuannya 'sekali harung'. Si bapa mendapat pengganti kepada isterinya yang sudah meninggal dunia.

Saya bersyukur kerana akhirnya Kerajaan Malaysia mengadakan program vaksinasi untuk mengawal penyakit Covid-19. Seorang anak saya terkejut tentang adanya jawatan yang dipanggil 'Vaccinator'. Dia tidak sedar yang ayahnya ini dulu juga pernah menjadi seorang 'Vaccinator'. 

Ya, sebagai seorang Inspektor Kesihatan saya pernah 'vaccinate' orang-orang seperti berikut: 1. Pengembara antarabangsa yang memerlukan 'International Health Certificate'.  2. Pengendali makanan yang memerlukan suntikan mencegah penyakit 'Typhoid'.

Oleh itu sebagai seorang yang pernah menjadi 'Vaccinator' dan faham apa tujuan 'Vaccination', mustahil bagi saya untuk menolak program vaksinasi Covid-19 sekarang. Dari itu saya telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera di telefon pintar pada 24 Februari 2021. 

Pada 19 April 2021 saya pula mendaftarkan isteri saya (sebagai jagaan saya) untuk divaksin. Selang beberapa hari selapas itu saya menerima telefon dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban bertanyakan 'ID' atau kod pengenalan untuk MySejahtera saya. Katanya mereka hendak menggunakan kod itu untuk mendaftarkan isteri saya menerima vaksin Covid-19. 

Saya jawab 'ID' saya tidak lain dan tidak bukan ialah nombor telefon bimbit saya. Saya pun terasa menerima harapan bahawa akhirnya saya dan isteri akan divaksin. Beberapa hari selepas itu saya menerima satu lagi panggilan telefon untuk menghantar isteri divaksin pada 30 April 2021. Saya sempat bertanya bila pula saya akan divaksin. Pemanggil di talian menjawab, itu saya kena tunggu giliran. Isteri saya didahulukan kerana dia dikategori sebagai berisiko tinggi.

Dipendekkan cerita, isteri saya pun diberi dos pertama pada 30 April 2021 dan dos kedua pada 21 Mei 2021. Sedangkan saya belum menerima apa-apa petunjuk akan divaksin.

Di sinilah saya ingin bertanya "Kenapa saya dan isteri saya tidak divaksin sekali harung?". Memang benar kategori kami lain-lain - saya sebagai seorang warga emas dan isteri saya warga berisiko. Tetapi bukankah kerajaan inginkan kita kurang bergerak. Sehinggakan motto untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah "Stay safe, stay home". 

Tetapi dengan tidak membenarkan saya menerima vaksin sekali harung dengan jagaan atau isteri saya, akan hanya menyebabkan saya lebih bergerak. Kerana setiap kali saya 'leave home', saya akan jadi 'unsafe'. Jika sekali harung, saya dan isteri akan hanya ke pusat vaksinasi sekerap dua kali. Tetapi nampaknya kekerapan itu akan menjadi empat kali. 

Sekian

Tuesday, May 18, 2021

FARMASI, KLINIK DAN HOSPITAL




10 MEI 2021

Saya sepatutnya mengambil bekalan bulanan ubat isteri saya di Klinik Sikamat. Tetapi entah macam mana, saya terlupa. Saya hanya menyedarinya beberapa hari kemudian.

13 MEI 2021 - HARI RAYA AIDILFITRI

Bila saya memberi ubat kepada isteri saya di pagi Raya, baru saya sedar satu jenis ubat tidak ada. Ubat itu pula hanya diambil di waktu malam sebelum tidur. Menyedari pejabat-pejabat kerajaan termasuk Klinik Kesihatan ditutup selama empat hari, saya terpaksa menunggu sehingga ia dibuka untuk mendapatkan bekalan seterusnya.

Sementara itu saya pergi ke satu Farmasi berdekatan rumah saya untuk mendapatkan ubat yang satu itu. Saya membelinya dengan harga hampir RM 40.00 (untuk minimum 10 biji) kerana ia dikeluarkan oleh satu syarikat ternama di dunia. Syarikat itu juga menyediakan vaksin untuk mencegah penyakit Covid-19 dan digunakan oleh Kerajaan Malaysia.

17 MEI 2021

Saya tahu Klinik Kesihatan di mana-mana sibuk pada hari ini setelah ditutup selama empat hari. Saya ke Klinik Kesihatan Sikamat lebih kurang jam 12 tengah hari dan mendapati ramai yang menunggu untuk mendapatkan bekalan ubat di Farmasi. 

Sebelum ini saya hanya menunggu lebih kurang 15 minit untuk mendapatkan ubat, tetapi kerana hari ini pelanggan ramai, saya terpaksa menuggu selama satu jam. Farmasi juga terpaksa dibuka sehingga waktu rehat makan tengah hari. Lagi melambatkan ialah apabila pegawai di Farmasi terpaksa menerangkan tentang dos dan jadual ubat walau pun ia sudah dicetak di tiap-tiap sampul atau kotak ubat.

Syukurlah bila tiba giliran saya, pegawai itu tidak menerangkan mengenai dos dan jadual ini. Mungkin dia faham saya sudah biasa dengan dos dan jadual ini. Dia cuma memberitahu tarikh saya patut datang kembali untuk mengambil ubat pada bulan hadapan.

18 MEI 2021

Hari ini ialah hari lahir ke 68 isteri saya, tetapi saya terpaksa membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk dua perkara. Pertama untuk urusan mengambil darah dan kedua untuk di X-Ray. Kedua-duanya untuk mendapatkan bacaan sebelum pemeriksaan susulan penyakitnya di bulan hadapan. 

Pengambilan darah ditetapkan pada jam 2.00 petang, tetapi tidak ada masa ditetapkan untuk X-Ray. Saya cuba hubungi Klinik Darah untuk bertanyakan bolehkah saya datang awal. Saya dapat menghubungi Hospital Tuanku Jaafar, tetapi panggilan ke Klinik Darah tidak dijawab. Ini berulang selama tiga kali.

Saya terus membawa isteri ke hospital pagi tadi juga kerana kasihan dia tidak makan apa-apa sejak malam tadi (sebagai satu syarat sebelum diambil darah). Syukurlah mungkin kerana angkara Covid-19, Hospital Tuanku Jaafar tidak sesak dan saya pun dapat meletakkan kereta di kawasan hospital tanpa perlu menaikki bas 'shuttle'. 

Saya terus ke Klinik Darah yang dipanggil BILIK PERPATIH. Walau pun temujanji isteri saya ialah pada jam 2 petang, kami tetap dilayan. Isteri saya dikategorikan sebagai Warga Emas dan sepatutnya dilayan di Kaunter 3 (khas untuk Warga Emas). Tetapi saya perhatikan ada seorang perempuan muda bukan sahaja dilayan di kaunter ini, tetapi telah dipanggil lebih awal dari isteri saya, walau pun nombor gilirannya di belakang.

Saya bersangka baik dan tidak membantah, lebih-lebih lagi memikirkan saya datang awal dari waktu yang ditetapkan. Mungkin perempuan tadi juga seorang 'frontliner' untuk Covid-19. Tetapi seperti yang saya jangka, ada juga yang membantah. Yang membantah itu juga datang membawa isteri, seperti saya.

Bila tiba masa untuk isteri saya dipanggil, dia dilayan bukan di kaunter untuk Warga Emas, tetapi di kaunter untuk orang biasa. Mana-manalah.

Selepas ambil darah, saya pun pergi ke Klinik Radiologi untuk isteri di X-Ray. Saya tidak menunggu lama di sini. 

Sekian.





Friday, May 14, 2021

SAYA TAK KISAH BERAYA DI MANA.

Di hari baik, bulan baik ini, iaitu Hari Raya Aidilfitri 1442 Hijrah, saya ingin bercerita tentang tiga perkara, kesemuanya ada kaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

  1. Saya tidak suka duduk di baris atau saf hadapan semasa solat di surau atau masjid, walau pun saya datang awal. Berapa kali saya dihimpit kiri dan kanan oleh jemaah yang pada mulanya duduk di saf belakang. Bila tiba masa Iqamah diseru, ramai dari mereka itu menyerbu ke hadapan. Tak payahlah saya terangkan kenapa. Yang saya tahu saya tidak selesa bila dihimpit. Ada kalanya saya memberi jalan kepada mereka yang berebut untuk solat di saf hadapan ini. Biarlah apa orang kata, yang penting bagi saya ialah keselesaan dan saya tidak ada perasaan marah.                                                                       
  2. Saya juga kurang senang bila Khatib membaca ayat-ayat panjang semasa Solat Jumaat. Kadang-kadang saya tertanya "Tidakkah Khatib ini terfikir yang ramai dari jemaah itu akan meneruskan kerja di pejabat. Pembacaan ayat-ayat yang panjang akan membuatkan ramai dari kami datang lewat ke pejabat di waktu petang".                                                                                                         
  3. Kita banyak terdengar dan terbaca cerita suami isteri bergaduh hendak beraya di mana? Di kampung suami ke atau kampung isteri. Sejak saya berkahwin sehingga anak sulung kahwin, saya beraya di kampung isteri. Saya beraya di kampung saya cuma di hari kedua. Saya tidak mempunyai masalah tentang itu kerana sejak umur 12 tahu  saya sudah biasa tidak beraya dengan emak dan adik beradik kerana bersekolah di satu sekolah berasrama penuh.
Bila Covid-19 menyerang negara kita yang mengakibatkan ujud apa yang dipanggil PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN, tiga masalah itu telah dapat diselesaikan seperti berikut:
  1. Semua masjid dan surau diarahkan menjarakkan kedudukan jemaah supaya mereka berada sekurang-kurangnya 1 meter (ada yang 1.5 meter) antara satu dengan lain. Akibatnya perebutan untuk berada di saf paling hadapan tidak timbul lagi.                                                                          
  2. Khatib di Solat Jumaat diarahkan untuk membaca ayat-ayat dan doa-doa yang pendek. Akibatnya jemaah tidak lagi sama ada mereka boleh sampai ke pejabat sebelum waktunya petang nanti.                                                                                                                         
  3. Rakyat dilarang merentah negeri dan daerah semasa Hari Raya Aidilfitri. Melainkan suami isteri tinggal di satu daerah dengan kampung-kampung asal mereka, perbalahan hendak beraya di kampung mana tidak timbul lagi. 




Tuesday, May 4, 2021

KENAPA DIA BUAT BEGITU?

Sebenarnya saya telah menulis pos ini dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2008 bila saya masih bekerja. Sekarang saya akan cuba membuatnya dalam Bahasa Malaysia pula.


Dalam filem The Godfather Part II, seorang ketua Mafia memberitahu kawan-kawannya "When a man reaches the twilight of his life he recollects things he did in the past" atau “Bila seorang itu mencapai usia emas, dia teringat perkara-perkara yang dibuatnya di masa lampau”. Saya sekarang berumur 71 tahun (58 semasa saya menulis pos asal) dan saya banyak kenangan silam. Berikut ialah satu kenangan silam saya yang saya tidak boleh lupa sehingga hari ini. 


Di awal tahun 1990an saya menjadi ketua Jabatan Pembersihan Bandar di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Secara amnya tugas saya ialah memastikan sampah dipungut, longkang dibersihkan dan rumput dipotong.


Tabiat membuang sampah merata-rata sudah menjadi perkara biasa antara kita orang Malaysia. Tetapi bila pembuangan itu menjadi satu ‘pattern’ atau corak yang dilakukan oleh orang atau orang-orang yang sama, ia menjadi satu yang membimbangkan orang dalam kedudukan saya. Itulah yang berlaku di satu tempat di Bandar Seremban pada satu ketika di awal tahun 1990an. 


Sebahagian Jalan Tok Ungku dan Jalan Nuri Indah, Seremban ditaburi sampah berupa surat khabar yang sudah koyak rabak dan bungkusan makanan setiap tiga atau empat hari. Seorang pekerja hanya mengambil masa setengah jam untuk membersihkan sampah itu. Tetapi jika sampah itu tiada, bukankah dia boleh dihantar bekerja di tempat lain?


Corak dan kekerapan sampah itu dibuang memunjukkan ia dilakukan oleh orang atau orang-orang yang sama. Tetapi oleh siapa? Petunjuk yang ada cuma satu, iaitu ia dilakukan oleh orang atau orang-orang yang membaca akhbar bahasa Cina. Sampah juga dibuang di waktu malam kerana disedari hanya pada pagi esoknya.  


Masalah itu menjadi lebih mencabar bagi saya bila boss saya, Yang Di Pertua, MPS terlihat akan sampah itu dan memanggil saya. Saya tiada pilihan dari berjanji kepadanya akan menyelesaikan masalah itu.


Tetapi bagaimana saya hendak menyelesaikannya? Saya suka melihat cerita-cerita risikan polis di television. Antaranya pihak polis akan mengadakan ‘stake-out’ untuk melihat jenayah sedang dlakukan dan jika perlu menangkap penjenayah. Saya pun bertekad untuk mengadakan ‘stake-out’ tetapi dengan tujuan ‘menangkap’ pesalahnya.


Saya pun menubuhkan satu pasukan ‘stake-out’ yang akan menyorok dalam semak di tepi jalan-jalan berkenaan di waktu malam. Setiap ahli pasukan dibekalkan dengan ‘walkie-talkie’ (telefon bimbit belum ada lagi di masa itu). Saya sendiri memantau dengan ‘walkie-talkie’ di rumah. 


Malam pertama tidak menghasilkan apa-apa. Di malam kedua mereka nampak sampah dibuang dari satu kereta. Tetapi kereta itu hilang begitu sahaja. Disinilah saya bertekad untuk menyertai sendiri ‘stake-out’ ini. Sekurang-kurangnya saya tahu sampah itu dibuang dari sebuah kereta, bukan motosikal atau lori.


Saya dapati anggota saya tidak mencukupi untuk ‘menangkap’ pembuang sampah bersiri ini. Saya meghubungi Jabatan Undang-Undang MPS untuk meminjam beberapa anggota mereka untuk membantu saya. Mereka juga disyaratkan membawa ‘walkie-talkie’ seorang satu.



Di malam yang dijanjikan kami datang dengan motosikal dan berkumpul di satu gerai di Jalan Nuri Indah. Di situ saya bentangkan satu kertas menunjukkan kedudukan setiap anggota ‘stake-out’. Setelah setiap anggota tahu akan kedudukan mereka, kami pun beredar. Tumpuan kami ialah sampah dibuang dari kereta. Semasa saya, iaitu anggota terakhir hendak beredar, pengusaha gerai itu bertanya saya ni polis ke? Saya jawab, bukan.


Sambil menunggu dalam semak, kami pun berborak dengan ‘walkie-talkie’ untuk menghabiskan masa. Sambil itu sang nyamuk berpesta darah kami pada malam itu. 


Setelah beberapa jam menunggu sambil memberi minuman kepada sang nyamuk, seorang dari kami menjerit ternampak sampah dibuang di tengah jalan. Kemudian seorang lagi menjerit nampak yang sama. Kami pun melompat ke atas motosikal masing-masing dan mengekori kereta itu. Sambil itu bungkusan sampah yang dibuang diatas jalan kami pungut sebelum ia langgar oleh kenderaan lain.


Kemudian kereta itu membelok dan berhenti betul-betul di gerai di mana kami berkumpul beberapa jam tadi. (Agaknya inilah sebab kereta itu didapati hilang di malam ‘stake-out’ sebelum ini).  Kami pun berkumpul di keliling kereta itu seperti anjing liar mengelilingi anak antelope di Afrika.



Kami dapati sepasang suami isteri berbangsa Cina berumur dalam 50an di tempat duduk hadapan. Bila saya tanya kepada si suami yang memandu kereta betul kah dia yang membuang bungkusan sampah yang kami pungut itu, dia menafikan sekeras-kerasnya. Tetapi isterinya membisu seribu bahasa. Apa yang menarik ialah di bahagian kaki si isteri masih terdapat dua bungkusan sampah yang belum di buang.


Oleh kerana si suami enggan untuk menunjukkan kad pengenalan dan saya pula tidak mempunyai kuasa untuk mendapatkannya darinya, saya keluarkan kompuan berdasarkan nombor keretanya. Kemudian kami pun beredar setelah saya mengambil beberapa gambar dengan kamera filem saya.


Dari cara si suami menafikan penglibatannya membuang sampah itu, saya fikir dia tidak akan membayar kompuan saya. Oleh itu saya pun bersedia menyediakan pertuduhan mahkamah terhadapnya.


Alangkah terperanjatnya saya setelah beberapa hari bila diberitahu oleh Jabatan Undang-Undang MPS bahawa seorang lelaki Cina muda telah datang membayar kompuan yang saya keluarkan itu. Saya tidak tahu apa hubungan lelaki itu dengan pasangan dalam kereta itu. Sejak itu juga, tidak kelihatan lagi sampah-sampah bertaburan di Jalan Tok Ungku dan Jalan Nuri Indah, Seremban.


Sementara itu, seorang dari pegawai saya mengenali pasangan yang membuang sampah itu dan tahu di mana dia tinggal berasaskan keretanya. Setelah memberitahu boss akan kejayaan ‘stake-out’, saya pun melawat rumah pasangan itu.


Saya dapati mereka memelihara beberapa ekor burung mainan di mana najis burung ditadah dengan kertas surat khabar. Di belakang rumah saya perhatikan kotak sampah mereka bersih dan tidak digunakan. Dari itu saya boleh membuat ‘kronologi’ kegiatan pembuangan sampah mereka seperti berikut:


  1. Mereka mungkin tinggal berdua sahaja, oleh itu tidak menjana banyak sampah.
  2. Kertas surat khabar dengan najis burung diganti dari masa ke semasa. Kertas yang sudah digunakan juga dijadikan pembungkus bekas-bekas makanan mereka. Mereka juga mungkin tidak memasak di rumah.
  3. Di malam pembuangan, bungkusan-bungkusan sampah diletakkan di kaki si isteri di dalam kereta. Mereka pun keluar dengan kereta.
  4. Dalam perjalanan, si isteri akan memindahkan bungkusan sampah kepada si suami satu persatu.
  5. Si suami akan hanya melepaskan bungkusan sampah itu dari tingkap pemandu kereta.
  6. Bungkusan yang satik di tengah jalan akan dilanggar oleh kenderaan-kenderaan yang mengekor. Sampah akan berterbangan.

Beberapa minggu kemudian saya singgah di gerai di mana kami membuat perancangan ‘stake-out’ tersebut. Tuan punya gerai itu memberitahu pasangan berbangsa Cina itu singgah di gerainya dalam dua minggu dalam seminggu. Dia langsung tidak menyangka pasangan itulah yang membuang sampah yang sering dilihatnya setelah menutup kedai dalam kekerapan yang sama.



Sehingga hari saya masih tertanya-tanya kenapa pasangan itu membuang sampah cara itu. Dia boleh meletakkan sampah itu dikotak sampah di belakang rumahnya. Lori MPS akan memungutnya. Jika hendak dibuang di luar rumah melalui kereta pun, kenapa tidak arahkan sahaja si isteri mencampak sampah itu ke bahu jalan, walau pun ini akan membuatkan bungkusan itu dikoyak pula oleh anjing dan kucing.


Agaknya dia seronok melihat sampah itu berterbangan di belakangnya.