Friday, May 20, 2022

LANGIT TIDAK SELALU CERAH


Itulah gambar adik beradik isteri saya (tiga lelaki dan tujuh perempuan) dengan isteri dan suami masing-masing. Gambar diambil di Hari Raya Aidilfitri kedua tahun 2015. 

Di tahun-tahun terakhir bekerja dulu saya dikenalkan dengan seorang kontraktor sampah dari Melaka. Bila saya katakan yang isteri saya juga orang Melaka dari Merlimau dia terus menjawab "Bukan sebarang orang boleh kahwin dengan orang Merlimau". Mendengar kenyataan itu, saya tidak perlu bertanya apa yang dimaksudkannya kerana saya sudah tahu.

Boleh dikatakan setiap Hari Raya kami adik beradik dan ipar lamai akan berkumpul seperti di gambar itu. Sudah tentulah menantu-menantu, anak-anak dan cucu-cucu turut sama. Jika dicampurkan beratus jumlahnya. Tetapi kerana masalah Covid-19 yang melanda seluruh dunia baru-baru ini, kami tidak dapat berkumpul selama lebih dua tahun. 

Ekoran itu, sepatutnya perjumpaan kami di Hari Raya baru-baru ini meriah, bagaimana meriahnya dirayakan di tempat-lain. Tetapi kami tidak dapat mencipta kemeriahan itu kerana masalah kesihatan kepada salah seorang dari kami. Adik ipar saya iaitu adik perempuan bongsu isteri saya yang diberi nama timangan Awin didapati mengidap kanser tahap empat. 

Kebetulan pula seperti yang diatur, anak sulung lelaki Awin akan berkahwin di Baling, Kedah dua minggu selepas raya. Hampir semua kami beserta anak-anak dan cucu-cucu sama-sama merayakan perkahwinan anak buah kami itu. Ini perhimpunan besar kedua kami selepas tamat PKP Covid-19.

Setelah kembali dari perjalanan jauh dari Baling, Kedah, ada ahli keluarga kami menjadi kurang sihat, mungkin kerana keletihan, termasuk saya sendiri. Tetapi kesihatan Awin lagi merudum. Dia dimasukkan ke hospital pada hari Isnin 16 Mei 2022 dan akhirnya meniggal dunia pada malam 18 Mei 2022. Kebetulan tarikh pemergian Awin sama dengan tarikh hari lahir isteri saya yang ke 69. Adiknya yang sepuluh tahun muda darinya itu dikebumikan pagi semalam di tanah perkuburan yang sama dengan emak saya di Senawang, Seremban.

Sekali lagi keluarga besar kami berkumpul. Cuma kali ini kami berkumpul bukan kerana merayakan sesuatu, tetapi kerana kesedihan. Untuk pengetahuan, Awin duduk kedua dari kiri di dalam gambar, di depan suaminya. Di masa kecilnya Awin telah dibawa mengerjakan Haji oleh arwah bapa dan ibu mertua saya.

Pemergian adik kepada isteri saya ini amat dirasai oleh semua ahli keluarga, termasuk saya sendiri. Ini kerana kami sama-sama tinggal di Seremban. Anak keduanya seorang perempuan kami jaga dari umur dua bulan sehingga dia masuk sekolah. Hinggakan  dia memanggil isteri saya 'mama' sama seperti anak-anak saya. Setiap pagi Awin menghantar anaknya itu ke rumah kami sebelum pergi kerja dan mengambilnya semula selepas balik kerja. Tiga lagi anaknya, semua lelaki di hantar ke tempat lain.

Saya percaya apa yang berlaku ini semua kehendak Allah Taala. Siapa sangka isteri saya yang menghidapi 'dementia' sejak enam tahun yang lalu masih bertahan sehingga hari ini. Tiba-tiba adiknya pula diambil seolah-olah dalam sekelip mata.

Sekian.

Tuesday, May 3, 2022

BELI RUMAH

Semua orang tentu suka bila mempunyai rumah sendiri. Tetapi saya banyak terbaca cerita tentang mereka yang rasa tetipu bila membeli rumah. Kadang-kadang 'penipuan' itu bukan disengajakan, tetapi terjadi akibat faktor-faktor yang tidak dapat dikawal. Dalam hal ini saya rasa bernasib baik kerana tidak terperangkap dalam apa-apa 'penipuan'.  

RUMAH PERTAMA

Saya mula menduduki rumah sendiri di tahun 1982 bila saya berumur 32 tahun, sudah berkahwin dan  mempunyai dua orang anak. Isteri saya tidak bekerja, oleh itu segala keputusan perbelanjaan rumah termasuk membeli rumah saya buat sendiri. 

Sebelum itu saya menyewa rumah bapa saudara saya dari tahun 1978 di tempat yang sama iaitu Taman Paroi Jaya, Seremban. Bila pemaju taman perumahan itu ingin membina fasa seterusnya (fasa kedua) untuk taman perumahannya, saya tidak melepaskan peluang untuk membeli sebuah unit, iaitu sebuah rumah teres satu tingkat. Saya bernasib baik kerana membeli satu unit di hujung blok, jadi saya adalah sedikit tanah di tepi rumah. Saya penuh yakin terhapa pemaju perumahan ini kerana rumah yang saya sewa tidak ada cacat celanya.

Tetapi pembelian rumah pertama itu tidaklah berjalan lancar seperti saya jangkakan. Mungkin kerana tidak berpengalaman, saya cepat-cepat memohon pinjaman kakitangan kerajaan. Akibatnya gaji saya dipotong awal walau pun rumah belum siap sepenuhnya. Yang belum siap ialah jalan di depan rumah tidak diturap lagi dan bekalan elektrik belum disambung walau pun pendawaian dalam rumah sudah siap. Situasi pertama itu mungkin kerana rumah saya terletak di barisan terakir di fasa kedua dan  pemaju berfikir untuk membinanya semasa pembinaan fasa ketiga.


Tetapi saya bersyukur kerana bekalan air sudah ada. Sementara menunggu untuk mendapatkan bekalan air yang sah (kerana rumah belum mendapat Sijil Kelayakan dari Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT) saya curi air. Ya, saya sambung air dari paip awam di depan rumah ke dalam rumah.

Kerana bekalan elektrik belum ada, saya pinjam jenerator elektrik dari seorang penjaja yang saya kenal. Dia tidak mengenakan apa-apa bayaran, cuma dia minta saya bayar kos pembaikan jika perlu. Kos minyak tentulah ditanggung oleh saya. Saya cuma menggunakan jenerator itu di waktu malam. Peti sejuk langsung tidak digunakan. 

Setelah lebih kurang tiga bulan menggunakan jenerator, saya lihat Lembaga Letrik Negara atau LLN (sekarang Tenaga Nasional Berhad atau TNB) mendirikan tiang-tiang elektrik dan seterusnya menyambung wayar ke rumah-rumah, walau pun belum memasang meter. Kalau tiga bulan dulu saya curi air, kali ini saya curi elektrik pula. Sekali lagi dengan ilmu yang ada saya sambung bekalan elektrik ke rumah.

Jika dulu tidak ada yang mengadu tentang saya mencuri air (kerana jiran-jiran saya juga mencuri), kali ini ada seorang jiran saya mengadu saya mencuri bekalan elektrik. Sehingga ada seorang pegawai Badan Pencegah Rasuah atau BPR menyiasat saya, sedangkan LLN tidak bertindak apa-apa walau pun mereka tahu saya mencuri bekalan elektrik mereka.

Saya terus jawab kepada pegawai BPR suaya mengambil apa-apa tindakan yang patut kepada saya. Saya berani bercakap begitu kerana tahu BPR tidak boleh mengambil tindakan kepada sesiapa yang mencuri bekalan elektrik. Jangkaan saya betul kerana pihak BPR tidak menghubungi saya lagi selepas itu. 

Cuma apa yang saya kesal dalam episod ini ialah tentang sikap orang yang mengadu saya kepada BPR itu. Sudah tentu dia seorang dari jiran saya. Dari dia mengadu kepada sesiapa, mengapa tidak minta saya ajarkan dia bagaimana hendak mencuri bekalan elektrik. 

Setelah mencuri bekalan elektrik selama dua bulan, LLN pun memasang meter ke rumah saya, lebih kurang sama masanya Jabatan Bekalan Air pula memasang meter mereka. Jalan di depan rumah saya juga diturap walau pun fasa tiga belum dimulakan. 

RUMAH KEDUA

Apabila saya hampir bersara di tahun 2005, saya bercadang untuk membeli sebuah rumah lagi. Setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak (sekarang sudah empat orang), saya bercadang untuk membeli sebuah rumah berkembar satu tingkat. Akhirnya kami terjumpa sebuah rumah di Taman Coral Heights. Jika rumah dulu jauhnya enam km dari Bandar Seremban, rumah yang baru cuma lima km. 

Saya bercadang membeli rumah ini secari tunai dengan mencampurkan segala duit simpanan saya. Saya masih ingat sehari selepas saya memberi cek dari akaun semasa kepada pemaju, seorang pegawai bank telah menalipon saya dan meminta saya memberitahunya butir-butir cek yang saya baru keluarkan. Itulah pertama kali pihak bank menanya saya demikian. 

Pembelian rumah kedua ini secara tunai juga menyebabkan simpanan Tabung Haji saya menjadi kosong. Syukurlah setelah bersara saya diambil bekerja semula. Saya kemudian mengarahkan Tabung Haji untuk memotong gaji saya sejumlah RM 2,000.00 sebulan, seribu untuk akaun saya dan seribu lagi untuk akaun isteri saya. Saya tidak risau tentang perbelanjaan harian kerana saya juga menerima pencen bulanan.

Setelah kedua-dua akaun saya dan isteri cukup untuk menampung kami mengerjakan Haji, saya pun mengarahkan Tabung Haji memberhentikan potongan. Syukur juga permohonan Cuti Haji saya diluluskan walau pun saya sudah bersara. Jika tidak saya sudah bersedia untuk memohon Cuti Tanpa Gaji untuk menunaikan Haji tersebut.

Sekian.