Monday, April 18, 2022

HAJAT TIDAK SAMPAI

Allahyarham Syed Abdullah bin Syed Osman Jamalullail

Pesara dan pegawai Majlis Perbandaran/Bandaraya Seremban semasa pengkebumian Allahyarham.
 

Tiga hari lepas (Jumaat 15 April 2022) saya kehilangan seorang sahabat yang sama-sama bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Allahyarham ialah Syed Abdullah bin Syed Osman Jamalullail. Selepas ini saya merujuknya sebagai Syed sahaja untuk memendekkan penulisan.

Syed berasal dari negeri Perak (sama ada Ipoh atau Kuala Kangsar, saya kurang pasti) dan mengikut rekod yang ada pada saya, dia muda sebelas (11) bulan dari saya. Untuk pengetahuan, negeri Perak juga tetap berada di hati saya kerana saya bersekolah menengah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim. Sekolah itu sudah berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan sekarang.

Satu lagi persamaan saya dengan Syed ialah kami masuk kerja di MPS (semasa ia masih dipanggil Majlis Bandaran Seremban) di hari yang sama iaitu 2 Januari 1973. Setahu saya juga, Syed tidak berjaya meneruskan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) sebelum itu. Saya pula sudah bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memperolehi Diploma. 

Walau pun kami berlainan jawatan dan jabatan, hubungan kami di tahun pertama bekerja di MPS adalah rapat. Buktinya Syed dan beberapa orang kawan-kawan lagi datang ke majlis perkahwinan saya di Merlimau, Melaka pada bulan November tahun itu. Tetapi oleh kerana saya berada di atas pelamin semada mereka datang, saya tidak dapat menyambut mereka.

Di tahun 1974 giliran Syed pula kahwin. Saya pula berhajat untuk pergi ke Kelantan kerana saya pernah bekerja di negeri itu pada tahun 1972. Isteri Syed pula berasal dari Kuala Terengganu. Oleh itu kami merancang untuk sama-sama pergi ke Kuala Terengganu untuk perkahwinan Syed dan saya meneruskan perjalanan ke Kelantan.

Di hari yang dijanjikan saya (dengan isteri) mengambil Syed di rumah sewanya di Seremban (saya lupa di toboh mano). Saya memandu kereta pertama saya, Morris Mini 850 c.c. terpakai. Dari Seremban kami ke Kuala Lumpur mengambil isteri Syed, seorang Syarifah yang tinggal di rumah sewanya di Kg. Baru, kalau tak salah. Semasa itu Syed dan isterinya sudah dinikahkan.

Dari Kuala Lumpur kami melalui jalan lama Karak, kemudian ke pekan-pekan dan bandar Temerloh. Kuantan, Chukai (Kemaman), Dungun dan akhirnya sampai hampir petang di Kuala Terengganu. Di situ saya tinggalkan Syed dan isteri di rumah mertuanya. Kami berjanji akan datang untuk perkahwinan Syed selang dua hari selepas itu. Saya dan isteri kemudian meneruskan perjalanan ke Kelantan.

Di Kelantan kami tinggal di rumah saudara kepada isteri saya di Pengkalan Chepa. Tetapi kerana kesuntukan masa dan setelah melawat tempat kerja lama saya di Pasir Puteh, kami tidak sempat singgah di Kuala Terengganu untuk perkahwinan Syed. Saya cuma dapat meminta maaf dari Syed semasa berjumpa semula dengannya di MPS selepas perkahwinannya.

Tetapi entah kenapa, selepas itu hubungan saya dengan Syed tidak lagi serapat sebelumnya. Salah satu sebab mungkin kerana tanggungjawab kami terhadap keluarga masing-masing. Juga kami terjumpa kawan-kawan baru di dalam dan luar MPS. Di lain perkataan Syed rapat dengan gengnya dan saya pula rapat dengan geng saya. Sebagai contoh saya menjadi anggota pasukan kawad MPS dan semua anggota pasukan itu menjadi geng saya, sedangkan Syed tidak.

Syed pula menghadapi sedikit masalah dalam kerjanya. Dia tidak dinaikkan pangkat, sedangkan ramai staff yang lebih junior darinya dinaikkan pangkat. Akhirnya Syed membuat pilihan bersara awal, kalau tak salah semasa dia memasukki usia 50 tahun. Sedangkan saya, setelah bersara di usia 56 tahun diambil bekerja semula sehingga saya mencapai usia 60 tahun. 

Setelah Syed bersara awal, saya langsung putus hubungan dengannya. Jika tidak, bila terserempak di pejabat kami tetap bertegur sapa walau pun hubungan kami tidaklah seperti di tahun mula-mula kami bekerja dulu.

Dalam tempoh setahun dua ini ada beberapa pesara MPS mengumpulkan kami dalam satu kumpulan WhatsApp. Saya yang sudah aktif beberapa tahun dalam satu NGO pesara menyahut baik pelawaan ini. Apa yang lebih menarik saya ialah bila mendapati Syed sendiri menyertai kumpulan WhatsApp ini. Dari pengalaman saya bergerak aktif dalam NGO pesara, saya tahu betapa pentingnya untuk menjaga silaturrahim antara pesara. Untuk permulaan saya bertekad untuk menghubungi Syed.

Di satu hari bila bebas dari aktiviti NGO, saya pun menalipon Syed. Alhamdulillah saya dapat berbual panjang dengannya. Tetapi dari gaya percakapannya Syed tidak menunjukkan apa-apa petunjuk yang dia menghadapi masalah kesihatan. Saya juga tidak terfikir itulah percakapan terakhir kami berdua, walau pun di talipon. Di samping itu Syed menghantar pos di kumpulan WhatsApp boleh dikatakan setiap hari. 

Kebetulan kami pesara MPS bercadang hendak mengadakan satu perjumpaan yang sudah tertangguh sejak Covid-19 menyerang negara kita. Saya bertekad perjumpaan saya dengan Syed di majlis perjumpaan itu akan merapatkan semula hubungan kami.

Beberapa hari sebelum majlis perjumpaan, Syed menulis di WhatsApp bahawa dia tidak dapat hadir kerana terpaksa pergi ke IJN Kuala Lumpur untuk pemeriksaan jantung. Saya yang juga berdepan dengan masalah jantung isteri yang menerima rawatan berkala dari IJN tidak menjangka masalah Syed adalah lebih serious. 

Dipendekkan cerita, Syed meninggal dunia setelah lebih kurang empat bulan menjalani 'by-pass' jantung. Dengan itu juga hajat saya untuk rapat semula dengan  Syed seperti 49 tahun yang lalu tidak tercapai. 

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada sahabat saya Syed Abdullah bin Syed Osman Jamalullail.    

Sekian.