Wednesday, November 30, 2011

Sehari di Kuala Klawang

Program dinamakan Lawatan ke Jelebu. Yang mengatur program ialah Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Negeri Sembilan di mana saya menjadi ahli. Setelah beberapa kali menolak pelawaan menyertai apa-apa program persatuan saya menerimanya kali ini walau pun lawatan ialah ke daerah di mana saya dibesarkan. Kurang tepat sebenarnya kerana jika diteliti dari pos-pos saya sebelum ini, saya tidak dibesarkan sepenuhnya di Jelebu.

Nama program juga kurang tepat kerana kami hanya melawat bandar pentadbiran daerah Jelebu. Sebelum penubuhan daerah Jempol, daerah Jelebu adalah unik dari daerah-daerah lain di Negeri Sembilan kerana bandar pentadbirannya mempunyai nama yang berbeza dari nama daerah. Nama bandar itu ialah Kuala Klawang. Lebih unik lagi kerana nama Kuala Klawang ialah nama rasmi sedangkan orang Jelebu memanggilnya Klawang sahaja. Oleh itu saya namakan pos saya kali ini 'Sehari di Kuala Klawang'.

Sebenarnya bandar Kuala Klawang tidak pernah berada dalam hati saya. Semasa saya remaja saya cuma singgah di bandar ini sementara menunggu pertukaran bas untuk balik kampung dan sebaliknya. Saya tidak pernah berada di bandar ini lebih dari enam jam. Saya pernah tidur semalam di Hospital Jelebu kerana patah tangan semasa saya di sekolah rendah sebelum dipindahkan ke Hospital Seremban. Tetapi Hospital Jelebu tidak terletak di bandar Kuala Klawang sebenarnya, tetapi di satu pekan kecil bernama Petaling dua kilometer dari bandar Kuala Klawang arah ke pekan Titi. Itulah satu lagi keunikan daerah Jelebu. Kepada mereka yang masih kurang faham saya selalu sebut "Saya orang Jelebu tetapi saya bukan orang Kuala Klawang".

Pada Hari Selasa 29 November 2011 saya berada di bandar Kuala Klawang selama tujuh jam. Gambar-gambar berikut menceritakan segala-galanya.
Kami menaik bas ini, cuma penumpang bukan 'Super Boyz' tetapi 'Senior Citizenz'. Semasa datang ke Kuala Klawang pemandunya memandu laju. Kami balik dalam hujan gerimis. Semasa menurun Bukit Tangga bas dipandu perlahan.  Saya terasa seperti kepal terbang mahu mendarat. Syabas kepada pemandu kerana mementingkan keselamatan penumpang.

Jurucakap rombongan memberi taklimat dalam bas.
Lawatan pertama kami ialah ke Muzium Adat. Muzium ini menghimpunkan bahan adat semua kaum di Malaysia. Oleh itu konsep 1 Malaysia telah diamalkan di muzium ini sebelum ia dihebohkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak. 

Kami memasuki perkarangan muzium.

Taklimat dari pegawai muzium. 

Mendengar taklimat mengenai muzium

Yang lain mendengar taklimat. Kerusi kosong tu kerusi saya.



Ini pula kerusi Yang Di Pertuan Agong pertama dulu, Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan. Ia bukan replika.

Ini lambang Persekutuan Tanah Melayu di kerusi, dengan bintang sebelas dan harimau Malaya terjelir lidah.

Yang ini replika.

Pandangan bandar Kuala Klawang dari muzium. Walau pun cuti sekolah kenderaan tidak banyak seperti di bandar-bandar lain.

Satu lagi pandangan bandar Kuala Klawang. Kebetulan ada helikopter turun di padang, satu kejadian yang jarang-jarang berlaku di sini.

Lawatan kami seterusnya ialah ke Balai Undang Luak Jelebu. Inilah kediaman rasmi Yang Teramat Mulia. Ini pertama kali saya ke sini walau pun pernah pergi ke kediaman Undang Sungai Ujong dan Rembau.

 Kami menunggu di astaka ini. 

Yang Teramat Mulia Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Hj. Musa Wahab berangkat ke astaka.

Yang Teramat Mulia berdiri hormat.

Yang Teramat Mulia duduk. Saya perhatikan YTM prihatin kepada kamera. YTM akan mengalihkan muka kepada jurukamera yang ingin mengambil gambar YTM.

Yang Teramat Mulia memberi amanat sebelum jamuan makan tengah hari. YTM memberi isyarat 'sila duduk' apabila kami sama-sama mula berdiri. 

Kami mendengar amanat.

Cenderamata dari kami.

Selepas makan YTM bergaul dengan kami pesara.

YTM bergambar dengan kami.

Lagi bergambar dengan kami.

Selepas solat Zuhur lawatan seterusnya untuk bertemu dengan pesara kerajaan dari daerah Jelebu. Tempatnya Bangunan PERKIM, Kg. Bandar Tinggi, dua kilometer dari bandar Kuala Klawang arah ke Kuala Pilah. Kami menerima taklimat dari Yayasan Pesara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan bank RHB.

Tuan rumah pesara kerajaan Jelebu dan tetamu. Jamuan disubsidi oleh Yayasan Pesara.

Ini Sungai Teriang di belakang Bangunan PERKIM. Ia mengalir ke bandar Teriang, Pahang dan seterusnya ke Laut Cina Selatan melalui Sungai Pahang.

Sekianlah satu lawatan yang tidak dapat saya lupakan. 






Saturday, November 26, 2011

Dah hampir 40 tahun masih macam itu juga?

Saya terbaca berita bekalan air paip di negeri Kelantan yang kotor. Kemudian timbul pula alasan bahawa puncanya  air sungai yang kotor. Maka disebut juga air sungai di negeri-negeri lain pun kotor juga. Memang saya akui air-air sungai kita kotor. Rakyat kita suka membuang sampah merata-rata. Jika sampah itu tidak dipungut ia akan dibawa oleh air hujan ke sungai melalui longkang-longkang.

Saya pernah berteduh dari hujan di satu kedai menjual anak-anak tanaman yang terletak di tepi Sungai Linggi, iaitu sungai utama di Negeri Sembilan. Kemudian saya sempat melihat paras air sungai itu naik. Sambil air naik segala kekotoran yang berada di hulu sungai dibawa bersama. Saya nampak botol-botol plastik, tin-tin kosong, perabut terbuang termasuk tilam dan juga bangkai binatang.

Kita memang gembira selepas hari hujan apabila melihat longkang-longkang kita bersih dari kotoran yang berpunca dari dari kita sendiri. Tetapi berapa ramai dari kita tahu yang kotoran itu akan pergi ke sungai dan air sungai juga menjadi punca bekalan air minuman kita? Tetapi kita tidaklah dibekalkan air terus dari sungai. Air yang dipam dari sungai perlu dirawat dahulu. Di Negeri Sembilan kerja-kerja bekalan air dijalankan oleh  satu syarikat bernama Syarikat Air Negeri Sembilan dengan nama pendek Sains sahaja. Sebelum ini ia dijalankan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) dan sebelumnya pula oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 

Hampir 40 tahun dulu saya pernah bertugas di negeri Kelantan. Saya pun sama-sama terlibat dalam tugas-tugas bekalan air dan tugas saya ialah mengambil sampel-sampel air yang telah dirawat dan sepatutnya selamat dibekalkan kepada pengguna.

Di hari-hari tertentu satu kenderaan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan akan mengambil saya untuk dibawa ke tempat-tempat sampel air diambil. Tidak perlulah saya ceritakan secara terperinci bagaimana saya mengambil sampel air tersebut. Yang pasti ialah semasa mengambil sampel tidak ada apa-apa pencemaran berlaku. Adalah satu yang memalukan jika pencemaran berpunca dari pengambil sampel. Oleh itu pengambil sampel hendaklah orang yang terlatih dan bertauliah.

Sampel air yang sudah diambil dimasukkan ke dalam botol-botol khas yang bebas dari kuman dan apa-apa pencemaran dan dilak. Ia kemudian dihantar ke Jabatan Kimia berdekatan, di Kuala Terengganu kalau tak salah saya.

Setelah dianalisa satu salinan hasil analisa akan dihantar ke ibu pejabat saya di Kota Bharu dan satu salinan kepada saya sebagai pengambil sampel. Jika hasil analisa baik tidak ada apa-apa tindakan yang diambil. Tetapi jika ada bahan yang tidak diingini terdapat dalam sampel air Jabatan Kimia terus menalipon ibu pejabat saya di Kota Bharu. Ibu pejabat pula akan menalipon saya. Laporan rasmi analisa akan menyusul kemudian.

Dukacita saya kerana sering menerima panggilan talipon dari ibu pejabat saya mengatakan sampel air yang saya ambil mengandungi bahan-bahan pencemar. Apa yang saya buat ialah pergi sendiri ke pejabat JKR di bandar mana saya bertugas dan memberitahu pegawai yang berkenaan bahawa air yang mereka rawat mengandungi bahan pencemar. 

Sudah tentu mereka menerima nasihat saya dan meningkatkan mutu rawatan air mereka walau pun saya merupakan seorang budah mentah dari negeri lain. Memang ramai budak-budak mentah dari negeri-negeri lain bertugas di negeri Kelantan di masa itu. Jika nasihat saya tidak diindahkan, saya akan membangkitkan isu air tercemar ini di Mesyuarat Tindakan Jajahan di mana ahli-ahli yang berhormat sama-sama hadir. 

Oleh itu saya merasa sedih juga membaca berita bekalan air yang sudah dirawat di Negeri Kelantan masih lagi tercemar walau pun saya telah meninggalkan negeri itu hampir 40 tahun. 

Thursday, November 24, 2011

Orang akan tahu juga akhirnya.

Saya tidak tahu cerita sebenar mengenai Pusat Fidlot Nasional (NFC) ini. Cuma saya rasa berminat kerana ia terletak di selatan negeri saya Negeri Sembilan di sempadannya dengan negeri Johor. Sebelum ini saya ada dengar kawasan itu akan dijadikan satu pusat ternakan lembu. Kemudian cerita itu tenggelam sehinggalah timbul kontraversi NFC ini. 

Saya difahamkan sebahagian dari duit pinjaman kerajaan kepada NFC digunakan untuk membeli sebuah kondo mewah berharga 9 juta ringgit. Patut juga orang marah. Kalau kita pinjam duit orang untuk bela lembu, belalah lembu. Tapi pergi beli kondo buat apa? Kalau ada duit berlebih pulangkan cepat-cepat, nanti akhirnya kuranglah hutang. Kalau duit tu bukan pinjaman, tapi pemberian atau anugerah lain ceritalah. 

Salahguna duit pinjaman ini bukan cerita baru. Banyak kita tengok bila seseorang itu dapat pinjaman untuk menjalankan perniagaan contohnya, ia akan membeli kereta besar dulu walau pun perniagaan entah mana. Akibatnya pinjaman tidak dapat dibayar balik. Itu sebab ramai orang jadi bangkrap. Kalau bangkrap kerana hutang sendiri tak apa juga. Tetapi ramai juga yang bangkrap kerana menjadi penjamin kepada peminjam yang tidak dapat membayar balik hutang.

Tetapi pos saya kali ini ialah cerita seseorang ingin menyembunyikan kegiatannya yang tidak betul dengan keyakinan orang tidak akan tahu. Tetapi akhirnya orang tahu juga. Oleh kerana di masa ini orang Malaysia sedang hangat bercerita mengenai bolasepak, cerita saya ini mengenai bolasepak juga.

Berpuluh tahun dulu saya aktif dalam kelab sukan jabatan saya. Di satu tahun pasukan bolasepak jabatan kami berjaya memasuki pertandingan Piala FAM. Pengurus dan jurulatih bolasepak berfikir dengan pemain yang ada kita belum cukup kuat untuk bertanding dengan pasukan kelab dari negeri-negeri lain. Oleh itu beberapa pemain dari kelab lain di Seremban didaftar untuk bermain dengan kelab kami khusus untuk Piala FAM ini. Nama-nama pemain yang didaftar dihantar ke pejabat FAM di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum perlawanan bermula.

Di hari perlawanan saya bertugas di pintu pagar Jalan Yam Tuan, Padang Stesen Seremban (sekarang sudah menjadi kompleks Seremban Parade) di mana perlawanan dijalankan. Lawan kami ialah pasukan Daerah Johor Bahru kalau tak salah. Setelah beberapa minit perlawanan bermula pintu pagar pun ditutup dan saya masuk ke padang. Kemudian saya perhatikan salah seorang pemain kita yang sedang bermain sebenarnya tidak berdaftar. Saya amat pasti akan perkara ini kerana saya antara yang meneliti senarai akhir pemain sebelum ia dihantar ke FAM.

Saya pun terus pergi ke bangku pegawai dan pemain simpanan dan bertanya kepada pengurus dan jurulatih   macam mana mereka boleh menurunkan pemain yang tidak berdaftar? Mereka menjawab dengan selamba iaitu pemain tidak berdaftar itu menggunakan nama pemain yang berdaftar di senarai pemain. Mujur juga di masa itu nama pemain belum di tulis di belakang jersi seperti sekarang. Jika tidak penipuan akan nampak jelas kerana pemain yang dimaksudkan popular juga di Seremban di masa itu. 

Sebenarnya walau pun pasukan jabatan kami kuat di masa itu ramai yang tidak menyenanginya. Mungkin kerana pemain-pemain kami menerima kemewahan yang tidak didapati oleh pemain-pemain lain. Oleh itu kita dicemburui. Saya terus menyatakan fakta ini kepada pengurus dan jurulatih saya dan menambah penipuan mereka ini akan diketahui juga dan kita akan didenda. 

Jangkaan saya benar. Pasukan jabatan saya menang perlawanan itu dengan jaringan 1-0. Tetapi malangnya gol tunggal itu dijaringkan oleh pemain yang tidak berdaftar itu. Esok harinya berita kemenangan kita disiarkan diakhbar-akhbar dan sudah tentu nama penjaring gol juga disiarkan. Cuma 'pemain' yang menjaringkan gol itu sebenar tidak bermain. Kerana pemberita sudah pasti membandingakn nombor di jersi pemain dengan senarai pemain yang diberi kepada mereka. 

Esok harinya pula tersebar berita penipuan ini. Sudah tentu musuh-musuh yang cemburu kepada jabatan atau kelab kami selama ini yang mengadu. Sebenarnya pemain yang bermain itu boleh didaftarkan secara sah, tetapi pengurus dan jurulatih kami tidak terfikirkan namanya semasa menghantar senarai akhir ke FAM.  Kemenangan diberi kepada pasukan lawan dan kelab kami didenda oleh FAM dan dilarang menyertai mana-mana pertandingan kelolaan FAM untuk beberapa tahun. Tetapi pemain-pemain kami dan juga pemain tidak berdaftar itu bebas bermain untuk pasukan Negeri Sembilan kerana mereka tidak bersalah.

Itulah satu contoh di mana perkara yang tidak betul dan cuba disorok itu akan diketahui orang juga. Lebih-lebih lagi jika kita ramai musuh yang cemburu terhadap kita. 


  

Tuesday, November 22, 2011

Kono batang hidung kau sondighi.

Itulah yang dapek se coghitokan bila pasukan bolasepak kito mongalahkan pasukan Indonesia di pertandingan pingat omeh Sukan Laut (maaf Sukan SEA) di Jakarta, Indonesia malam tadi. 

Se tak nampak apa sobab eh koc bola kita Ong Kim Swee dihalau kelua padang masa tim kito lawan tim Indonesia dalam liga kumpulan dulu. Tapi lopeh tu tengok dapek yo Ong becakap dongan oghang-oghang eh pakai woki toki, apo ko namo bondo tu. 

Se ingat dah habih lawan tu habihlah hukuman tu. Tapi se tengok lopeh tu maso tim kito lawan tim Myanmar semaso sepaghuh akhir Ong Kim Swee masih tak bulih tughun  padang. Mulo-mulo se nampak Ong pakai henpon, lopeh tu tak ado lai. Itu pun tak boleh pakai. Mano ado undang-undang dalam dunio ni tak boleh pakai henpon dalam stadium? Kok dalam spita atau mahkamah boleh cayo lah. 

Konolah Ong Kim See hanta arahan pakai koghoteh yo. Boghulang aliklah penolong eh bawak koghoteh yang botulih arahan dari Ong Kim Swee tu. Agak eh oghang Indonesia ni tak dapek caghi sobab konapo tak bulih tulih apo-apo di koghoteh dalam stadium. Kalau tidak koghoteh tu pun dighampeh eh. 

Kosian Ong Kim Swee mulo-mula duduk soghang di tompek duduk dalam stadium tu. Tibo-tibo datang Ahmad Shabery Chik, montoghi sukan kito duduk sobolah Ong Kim Swee. Se bulih sobut Ahmad Shabery ni pakai namo yo sobab dia samo sekolah dongan se. Dio junior se, kalau jumpo se dia kono pangge se ni abang.

Lopeh tu pulak bilo tim kito dapek kalahkan tim Myanmar tu Ong pun nak tughun dalam padang jumpa anak-anak buah eh. Itu pun tak diboghi dek oghang Indonesia ni. Gem dah habih, mano bulih pakai undang-undang lai? Lopeh tu tak tau lah se samo ado Ong samo-samo naik kegheto barrakuda samo anak-anak buah eh bilo balik ko hotel. Tapi elok yo tim kito naik keto peghisai namo ikan yu tu. Kok kono baeh budak-budaki kito dek batu siah palih yo.

Tibolah maso eh kito jumpo balik dongan Indonesia. Tapi se tau tim Indonesia dah lomah sikit daghi tim kito. Potamo gem sepaghuh akhir eh lawan Vietnam tu duo jam lewat daghi gem kito lawan Myanmar tu. Jadi budak-budak kito ado maso rehat duo jam lobih dari budak-budak Indon tu. Koduo maso Indonesia lawan Vietnam padang basah dek hujan. Padang eh dah lah tak elok, bilo kono hujan jadi 'soggy' kato oghang putih. Sapo yang main ateh padang macam tu copek lotih. 

Itu salah satu sobab Vietnam kalah samo Myanmar masa gem pingat gangso. Pado hal Vietnam johan kumpulan liga eh. Kaki-kaki budak Vietnam tu dah lotih dek main ateh padang 'soggy' lawan Indonesia.

Tapi Indonesia masukkan gol dulu. Lomah yo hati se nengok eh. Tapi lopeh tu tim kito bangkit balik dan dapek satu gol yang kato Zainal Abidin Rawop 'gol lucu'. Memang lucu gol Malaysia tu kalau dibandingkan samo gol Indonesia mulo-mulo tu. 

Tapi ado satu lagi gol lucu. Gol terakhir Malaysia maso tondangan penalti tu pun lucu yo. Se bolum ado tengok gol penalti meleghet masuk dalam gol. Lopeh kono penjago gol pulak tu. 

Mano-mano oghang Indonesia yang tengok kodua-duo gol Malaysia yang lucu tu memang sakit hati. Tapi bagi se apo yang bulih se cakap iolah 'Padan muko kau, kono batang hidung hidung kau sondighi'.

Monday, November 21, 2011

Biarlah mereka bergembira seketika.

Semasa saya mula menulis pos ini pasukan bolasepak Indonesia sedang mendahului satu gol dalam perlawanan pingat emas Sukan SEA melawan pasukan Malaysia. Sebenarnya saya menerima keputusan perlawanan ini dengan hati terbuka berasaskan fakta-fakta yang akan saya terangkan nanti.

Beberapa tahun dahulu saya ditugaskan oleh jabatan saya untuk menjadi juruiring kepada Governor Sumatera Barat (SUMBAR) Indonesia. Beliau datang ke Negeri Sembilan untuk menerima pingat dari Paduka Seri Yang DiPertuan Besar kami di hari keputeraan baginda. Beliau tinggal di Seremban beberapa hari dan program disusun untuk beliau melawat beberapa tempat di Negeri Sembilan. Oleh kerana Seremban belum mempunyai hotel taraf berbintang seperti sekarang beliau ditempatkan di Rumah Tetamu Kerajaan di Taman Tasik, Seremban.

Setiap pagi saya pun datang ke rumah tetamu untuk bertemu beliau dan menerangkan mengenai program beliau untuk hari tersebut. Saya meletakkan kereta saya di kawasan rumah tetamu tersebut dan untuk tujuan tugas mengiring saya diperuntukkan dengan satu kenderaan jabatan. Governor juga diperuntukkan sebuah kenderaan oleh kerajaan negeri.

Di hari terakhir lawatan beliau menunjuk kepada kereta saya dan bertanya kereta siapakah itu. Sudah tentu saya terangkan itu kereta saya iaitu sebuah kereta Proton Saga 1.5 manual. Governor terus terperanjat dan menyatakan seorang kakitangan kerajaan bertaraf saya di Indonesia tidak mampu mempunyai sebuah kereta. Saya sendiri pernah dihantar oleh jabatan saya ke Padang dan Bukittinggi, Sumatera Barat dan melihat kebenaran kata-kata Governor itu.

Itu juga menjadi contoh perbezaan taraf hidup orang kita Malaysia dengan orang Indonesia. Kalau tidak kenapa beribu, mungkin berjuta rakyat Indonesia datang ke Malaysia untuk cari makan. Ramai pula yang tak mahu pulang ke kampung halaman mereka setelah berjumpa syurga di Malaysia.

Oleh itu tidak hairanlah di perlawanan sukan seperti bolasepak dan badminton apabila Indonesia berjumpa Malaysia sokongan mereka sangat fanatik. Sehinggakan bila tiket habis dijual mereka membakar pondok menjual tiket. Mereka tahu mereka tidak boleh menandingi taraf hidup kita. Oleh itu mereka akan bergembira jika dapat mengalahkan kita dalam bidang lain. Kenapa tidak menggunakan sukan seperti bolasepak untuk menunjukkan mereka lebih dari kita, walau pun untuk seketika.

Sebenarnya hubungan antara Malaysia dengan Indonesia adalah baik. Saya percaya kerajaan Indonesia menganggap Malaysia sebagai jiran mereka yang paling dipercayai, begitu juga sebaliknya di pihak Malaysia. Begitu juga di pihak rakyat Malaysia dengan Indonesia. Jika seorang rakyat Malaysia sesat di Indonesia saya tidak terfikir ia akan diapa-apakan. Begitu juga sebaliknya.

Saya tidak percaya pemain bolasepak kita akan diapa-apakan jika datang ke stadium menaiki bas. Walau bagaimana pun apa-apa tindakan pencegahan sepatutnya dihargai. Oleh itu penggunaan kereta perisai yang dipanggil 'barrakuda' untuk membawa pemain-pemain kita sepatutnya tidak diperbesarkan. Tidak payahlah perkara itu dibawa ke pihak FIFA. Di Afrika beberapa tahun dahulu seorang pemain bolasepak yang menaiki bas telah ditembak mati. Sudah tentu kita tidak mahu perkara begitu berlaku di sini.

Saya pernah tinggal beberapa ratus meter sahaja dari Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban . Setiap kali ada perlawanan bolasepak saya merasa bimbang kerana pernah kereta diletak betul-betul di luar pintu pagar dan  mengalang saya keluar. Begitu mewahnya kita sehingga setiap rumah mempunyai kereta. Di deretan rumah saya sekarang setiap rumah mempunyai dua kereta, yang tiga pun ada. 

Jika diasaskan dengan perbualan saya dengan Governor Sumatera Barat itu berapa peratus pula penonton di stadium Bong Karno, Jakarta itu mempunya kereta, atau pun rumah sendiri. Tapi tak apalah, biarlah mereka bergembira seketika.

Friday, November 18, 2011

Tajuk perlu sesuai - Bahagian 2 (Mereka pun nak cari makan)

Saya memilih untuk membuat pos baru ini untuk menjawab komen kepada pos asal saya oleh Abu Nu'man.

Tidak ada dalam pos itu saya menyebut mengenai kegiatan seks luar tabii kumpulan 'queer' itu. Saya hanya menyebut kita jangan menghina mereka. Saya tidak menyentuh kegiatan luar tabii mereka. Biarlah mereka menjawab terhadap kegiatan mereka itu di akhirat nanti. Mereka juga perlu hidup, perlu cari makan.

Saya mengambil contoh Brian Epstein kerana sumbangan besarnya terhadap kumpulan muzik terunggul The Beatles. Apa akan jadi jika The Beatles menolak tawaran Brian untuk mengurus mereka semata-mata kerana Brian seorang 'gay'? Jawapannya mungkin cari pengurus lain. Tetapi The Beatles pernah mempunyai pengurus sebelum dan selepas Brian Epstein tetapi sumbangan mereka tidak seperti Brian.

Tanpa disedari di Malaysia juga ramai mereka dari kumpulan 'queer' ini memberri sumbangan kepada kegiatan harian kita. Ramai 'mak nyah' menjadi mak andam pengantin. Saya pernah bertanya kenapa mereka ini dipilih untuk menyolekkan pengantin lelaki dan perempuan. Jawapannya orang perempuan selesa dengan mereka. Mereka tahu mak andam yang 'mak nyah' tidak akan mengambil kesempatan terhadap perempuan sedangkan pada hakikatnya kebanyakan 'mak nyah' ialah lelaki. Oleh itu mereka dibenarkan memasukki bilik pengantin yang biasanya dipenuhi orang perempuan. 

Tetapi persentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim tetap salah. Oleh itu persentuhan antara seorang mak andam 'mak nyah' dengan pengantin perempuan adalah salah. Mungkin kita boleh menjawab kenapa ambil mak andam 'mak nyah'? Ambil sahaja mak andam perempuan untuk pengantin perempuan dan biarkan 'mak nyah' mengandam pengantin lelaki. Tetapi alangkah baiknya jika kita menggunakan hanya seorang mak andam untuk dua pengantin? Membunuh dua ekor burung dengan satu batu, kata orang. 

Saya bimbang antara perkara negatif yang timbul dari kekeliruan tajuk program 'Seksualiti Merdeka' ialah golongan 'mak nyah' yang menjadi mak andam akan dipandang serong. Susahlah mereka nak cari makan. 

Monday, November 14, 2011

Tajuk perlu sesuai.

Siapa Brian Epstein? Mungkin ramai yang tidak tahu. Tetapi bila ditanya siapa The Beatles berjuta yang tahu. Tetapi berjuta juga tidak tahu tanpa Brian Epstein mungkin beratus sahaja yang kenal The Beatles. Sebab Brian Epsteinlah orang yang yang mengenalkan The Beatles kepada dunia.

Sebelum kenal The Beatles Brian Epstein menguruskan kedai rekod keluarganya di Livepool, England. Satu hari datang seorang bertanyakan satu rekod lagu My Bonnie nyanyian Tony Sheridan diiringi kumpulan bernama The Beatles. Tiba-tiba Brian teringat kumpulan dengan nama itu sedang bermain di satu kelab bernama The Cavern di bandar itu. Brian pun pergi melihat The Beatles membuat persembahan. Apabila sahaja Brian Epstein melihat mereka Brian seperti jatuh cinta pandang pertama terhadap The Beatles. 

Brian Epstein kemudian menawarkan diri untuk menjadi pengurus The Beatles. Sejak itu mulalah sejarah kemasyhuran The Beatles dengan usaha Brian Epstein. Saya merasa bertuah kerana di era The Beatles saya masih dalam belasan tahun di mana muzik menjadi penghibur utama saya. Hidup saya seperti tidak sempurna jika tidak mendengar satu lagu The Beatles dalam sehari.

Dulu semasa zaman kaset anak-anak saya sama-sama menyanyi lagu The Beatles semasa saya memainkannya di kereta. Sekarang di zaman CD dan 'flash drive' cucu-cucu saya pula yang sama-sama menyanyi lagu-lagu The Beatles di dalam kereta juga. 

Nasib baik juga era The Beatles telah berlaku. Dua anggota The Beatles telah meninggal dunia. Brian Epstein juga meninggal dunia semasa The Beatles berada di puncaknya. Saya berkata begitu kerana Brian Epstein ialah seorang Yahudi dan fakta ini mungkin tidak disenangi oleh orang-orang kita di Malaysia jika The Beatles dan Brian Epstein masih ada.

Satu lagi fakta yang mungkin memeranjatkan ialah Brian Epstein sebenarnya seorang 'gay'. Dua fakta iaitu Yahudi dan 'gay' sudah cukup untuk menghalang Brian Epstein membawa The Beatles datang ke Malaysia untuk membuat persembahan jika mereka masih ujud sekarang.

Brian Epstein pernah mengarang satu buku autobiagafi dirinya. Bila beliau meminta pendapat John Lennon iaitu ketua The Beatles untuk tajuk bukunya John terus menjawab 'Queer Jew'. 'Queer' ialah gelaran lain untuk seorang bertabii seks lain seperti 'gay' dan 'Jew' ialah bahasa Inggeris untuk Yahudi. Sudah tentu Brian tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana sekali pandang di kulit buku mendedahkan identitinya. Saya tidak pasti apakah tajuk yang disetujui oleh Brian akhirnya. 

Saya nampak perkataan 'Queer' baru-baru ini sebagai sebahagian dari ungkapan dalam dalam program apa yang dinamakan 'Seksualiti Merdeka'. Ungkapan penuhnya ialah 'Queer Without Fear' atau lebih kurang maknanya 'Bertabii seks songsang tanpa takut'. 

Ramai orang membantah terhadap program 'Seksualiti Merdeka' itu. Saya pun terpengaruh pada mulanya terhadap bantahan ini kerana ungkapan 'Seksualiti Merdeka' boleh disalah ertikan. Mula-mula saya fikir ia bermakud 'seks bebas'. Tetapi setelah meneliti lanjut saya dapati ia tidak bukan dari satu forum untuk membincangkan nasib mereka yang bertabii seperti Brian Epstein itu.

Saya pernah bertanya kepada seorang 'gay' bagaimana dia boleh jadi begitu. Jawapannya dia anak bongsu dari adik beradik yang lain semua perempuan. Dari kecil pula dia hanya berkawan dengan perempuan. (Untuk kawan yang dimaksudkan jangan ambil hati ya, identiti mu tetap ku jaga).

Sebenarnya saya sendiri nyaris jadi 'gay'. Bapa saya dahulu pernah kahwin beberapa kali tanpa mendapat anak. Tiba-tiba dengan ibu saya dia mendapat anak pula. Anak pertama ialah seorang lelaki iaitu abang saya. Tiba pula giliran saya yang dijangkakan perempuan. Bapa saya telah bersedia dengan pakaian bayi dan perhiasan perempuan untuk saya. Apabila saya lahir saya dipakai dengan pakaian perempuan siap dengan perhiasan. Bagaimana saya tidak berubah menjadi 'gay' tuhan sahaja yang tahu. 

Berbalik kepada program 'Seksualiti Merdeka'. Saya fikir kesilapan penganjur ialah menggunakan tajuk yang mengelirukan. Oleh itu apa-apa tujuan mereka dianggap serong. Mereka sepatutnya mendengar pendapat dari seorang genius seperti John Lennon untuk menapatkan tajuk yang sesuai.

Janganlah kita pandang hina kepada manusia yang bertabii lain itu. Mereka sudah dilahirkan begitu. Mungkin pengaruh manusia lain juga membuatkan mereka begitu. Bagi saya jika tidak ada seorang  'queer' seperti Brian Epstein telefon bimbit saya tidak akan berbunyi lagu-lagu Beatles bila orang memanggil saya. Anak-anak saya juga tidak akan menyanyi lagu 'Yellow Submarine' dan cucu-cucu saya tidak akan menyanyi lagi 'I am the Walrus'. 

Friday, November 11, 2011

Beri aku sebab yang baik.....

Saya ada seorang kawan semasa kerja dulu yang sering bertanya 'Give me a good reason why I should do that' apabila saya meminta pertolongannya. Maknanya 'Beri aku sebab yang baik mengapa aku mesti buat itu'. Oleh kerana saya setaraf dengannya saya tidak boleh mengarahkannya membuat sesuatu. Oleh itu saya mesti mempunyai sebab yang baik untuk meminta pertolongannya. Alhamdulillah biasanya saya mempunyai jawapan yang sesuai dan akhirnya dia menolong saya juga.

Pagi tadi seorang lagi kawan saya mengajak saya minum pagi bersama. Dia pun membawa saya ke satu restoran baru berhampiran tempat kerjanya. Katanya ia ingin mencuba restoran ini buat pertama kali.

Oleh kerana saya sudah minum pagi di rumah saya cuma mengambil dua keping kuih sambil memesan air minuman. Tetapi sehingga habis kuih saya makan air minuman tak kunjung sampai. Saya memesan air kopi panas dan setelah membuat pesanan kali kedua barulah minuman sampai. Bekas minuman ialah satu 'mug' yang tidak telus.

Saya perhatikan airnya hitam dan tidak keruh seperti air kopi biasa. Saya fikir saya diberi kopi oh dan tidak air kopi biasa yang bersusu. Tak apalah kerana saya sudah minum di rumah. Setelah meneguk sedikit saya rasa airnya pahit dan tidak manis. Masih saya anggap tak apa kerana saya diberi air kopi oh kosong atau tanpa gula.

Tetapi apabila saya meneguk seterusnya saya hairan kerana air kopi oh saya bertambah manis. Akhirnya baru saya perasan sebenarnya saya diberi air kopi bersusu seperti mana yang saya pesan. Tetapi air kopi dan susunya belum dibancuh. Sudah tentu pembuat air mengharapkan saya sendiri akan membancuhnya. Soalan saya ialah mana sudu atau camca atau apa-apa pembancuhnya? Kerana ia tidak diberi bersama dengan minuman yang saya pesan. Saya pula tidak diberitahu untuk mengambil pembancuh atau 'stirrer' di mana-mana seperti disediakan oleh restoran minuman segera.

Untuk berlaku adil saya telah menegur pihak restoran tentang kesilapan mereka, sama ada disengajakan atau tidak. Tetapi pengalaman itu sudah cukup untuk saya bertanya 'Beri aku sebab yang baik kenapa aku  mesti datang semula ke tempat ini'.

Monday, November 7, 2011

They are just acting.

There is a TV programme called 'Ice Road Trackers' which shows North American drivers driving trucks on icy roads in North America. Among folks close to me who like the programme are my uncle who is more than 70 years old and my eight year old grandson. There is even a spin-off of that program which shows a few of the same drivers used their skills to drive on so called 'deadliest roads' in India.

But how many of us realise that the truck drivers are actually actors? But they are not ordinary actors who can only just act and talk. They can drive too. But in this modern world where even heavy vehicles are fitted with power steering and servo brakes who can't drive them?

The trucks shown in this TV programmes were fitted with High Definition cameras to record the drivers' every move. There is one scene where one of the drivers who is a lady refused to continue driving along a dangerous stretch. It was left to her local co-driver who was mentioned as a spotter in the series to finish the job. Who can drive better on Indian roads if not Indians themselves as the spotter could negotiate the stretch easily. But since he is not an actor in the real sense his role in the series was limited.

Even the wrestling programmes shown on TV are acts. In other words the wrestlers are actors with muscles and wrestling skills. Like movie actors they also use catchy names instead of their sometimes tongue twisting real names. Even the wrestling federations keep their stables with equally numbered good and bad guys. Hence some good guys turn bad and vice versa just to keep the balancing act.

Television also have reality shows which our local stations copy blindly. One famous programme was Akademi Fantasia which ended recently. Except for the untalented Mawi I don't know what happened to the other past winners. In fact I stopped following the programme for the last three years.

Currently there is an American reality TV show about a large family. Now there is this lady family member who was married once and was involved in a sex tape with her boyfriend after her divorce. In between she had a few lovers. A few months ago she married a boy who was 4 years her junior. Yet her wedding was called a fairy tale wedding and was shown on TV. How she was compared to a fairy I never know. Never mind the wedding costed a few million dollars because the returns from the media coverage was much more than that.

But the marriage went bust after just 72 days and the couple are now facing divorce procedures. This made many to wonder whether the wedding was just an act to earn money.

This reminds me of another local TV reality show where a family was looking for a groom for their daughter. Eligible suitors including at least one divorcee were eliminated in earlier rounds. In other words they were deemed not good enough to marry. At last the programme found one winner but from what I learned the boy did not marry the girl. 

Had they got married I wonder if it turned out to be just another act.

Tuesday, November 1, 2011

Akhirnya kami bertemu semula.

Aku dan guru yang pernah mengajar ku di sekolah rendah, cikgu Haji Kassim Tamyes.

Kerana kegigihanku bergaul dengan kawan-kawan satu sekolah, aku berjumpa dengan seorang junior yang nama ayahnya sama dengan nama ayah seorang guru yang pernah mengajarku di sekolah rendah di kampungku dulu. Aku mulakan perbualan dengan bertanya adakah dia mempunyai seorang abang yang pernah menjadi guru dan umurnya sekarang, jika masih hidup, dalam lingkungan 69 tahun. Dia menjawab ada dan bila dia menyebut nama abangnya serta memberitahu di mana dia berada sekarang aku pasti itulah orangnya.

Dia menambah yang abangnya kurang sihat kerana sakit buah pinggang dan terpaksa menerima rawatan dialysis berkala. Ini membuatkan aku lebih bertekad untuk berjumpa dengan guruku ini. 

Dua malam lepas aku membaca di 'facebook' berita kembalinya ke rahmatullah ayah kepada kawan sekolahku itu. Sudah tentu Allahyarham juga ayah kepada guruku dan aku terus membuat keputusan inilah peluang paling baik untukku berjumpa semula dengan cikgu lamaku.

Tidak susah aku pergi ke kampungnya kerana kami berasal dari daerah yang sama iaitu Jelebu, Negeri Sembilan dan aku menempuh kampungnya tiap kali aku balik ke kampungku. Aku pula tinggal di Sikamat, Seremban dan tidak perlu menempuh apa-apa lampu trafik apabila hendak ke Jelebu. Tambahan pula jalan Bukit Tangga yang menghubungkan Seremban dengan Jelebu sudah duluruskan.

Pagi semalam aku ke rumah bapanya yang terletak lebih kurang 300 meter dari jalan besar. Rumah cikgu pula lebih jauh dari itu. Mungkin kerana itulah aku tidak sedar di mana rumah cikgu selama ini. Masa yang aku ambil untuk sampai ke kampungnya kurang sedikit dari 30 minit, terima kasih kepada kemajuan sekarang.

Aku menjangkakan cikgu sama ada bertongkat atau berkerusi roda, tetapi aku dikecewakan. Kedua-dua adik beradik tidak nampak dan setelah mengenalkan diri aku terus bertanya kemana mereka. Si adik yang junior aku di sekolah tu pergi ke bandar untuk membeli kelengkapan pengkebumian. Si abang pula iaitu cikguku pergi ke makam kampung itu menguruskan persiapan kubur.

Setelah membaca surah Yaasiin aku pun turun dari rumah dan bertanya khabar dengan ahli keluarga cikgu. Ibu cikgu telah lama meninggal dunia dan bapanya yang berusia 94 tahun selama ini tinggal dengan adik perempuan cikgu. Cikgu ialah anak sulung dan berumur 69 tahun.

Mereka bercerita yang cikgu tidak padan dengan penyakit yang dihidapnya. Sebagai contoh dia masih boleh membawa kereta untuk pergi kemana-mana.

Semasa cikgu mengajar aku dulu dia cuma guru sementara selepas lulus Malaya Certificate of Education. Dengan kelulusan dan pengalamannya dia berjaya masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjong Malim pada tahun 1962. Kebetulan di tahun yang sama aku berjaya masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim juga dan bersebelahan dengan MPSI. Kemasukanku ke sekolah berasrama pernuh itu hasil dari didikan cikgu juga.

Sekali sekala kami berjumpa di padang sekolah dan maktab kami yang juga bersebelahan. Kali terakhir aku berjumpa cikgu ialah pada tahun 1963 iaitu tahun terakhir latihannya sedangkan aku meneruskan persekolahan menengahku. SDAR kemudian berpindah ke Seremban pada tahun 1972 dan kompleks lamanya diambil oleh MPSI. Hari ini kedua-dua institusi itu dengan premis lama Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim disatukan menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Padang permainan dimana aku sering berjumpa cikgu sudah menjadi satu stadium.

Tidak berapa lama menunggu si adik dan abang pun kembali dari tugas masing-masing. Sementara itu, orang-orang kampung, saudara mara, kawan-kawan sekerja dan sekolah pun datang memenuhi kawasan rumah yang luas. Aku lihat cikgu turun dari sebuah kereta Toyota lama yang bergear manual dan tidak mempunyai steering berkuasa. Sungguh kuat cikgu ini.

Aku terus mendapatkannya dan bersalam sambil dia bertanya 'Siapa ni?' Aku tidak menjawab untuk meneruskannya meneka. Dalam beberapa saat sahaja dia meyebut namaku. Aku betul-betul kagum dengan ingatannya kerana aku tahu orang muda atau junior biasanya mengenali orang tua atau senior. Jarang-jarang seorang senior mengenali seorang junior. Rupa cikgu sudah banyak berubah dari dahulu dan jika aku berjumpa dengannya di mana-mana sudah tentu aku tidak mengenalinya.

Setelah jenazah sempurna dimandi, ditahlil dan disolatkan tiba pula untuk acara pengekebumian. Di sini sekali lagi cikgu menunjukkan kegigihannya. Dia berjalan kaki mengiringi jenazah yang disusung walau pun isterinya menahannya. Aku juga terfikir untuk membawa cikgu menaiki keretaku, tetapi aku membuat keputusan mengiringi cikgu dan isteri berjalan kaki ke makam yang berada kurang sedikit dari satu kilometer dari rumahnya..

Dalam pertengahan jalan sebuah kereta berhenti dan meminta kami masuk. Pemandu tidak lain dari Imam yang mengetuai tahlil dan solat jenazah tadi. Kami bertiga pun masuk ke keretanya dan kami mengikuti jenazah yang diusung bertukar ganti. Imam yang sama mengetuai bacaan Talqin nanti.

Sementara jenazah ayahandanya dikebumikan cikgu dan aku sempat bertukar pengalaman hidup. Mengikutnya setelah tamat latihan dia pernah juga kembali megajar di sekolah kampungku dulu dan aku sentiasa berada dalam ingatannya. Walau pun berkahwin dia tidak dikurniakan zuriat dan sudah lebih sepuluh tahun mengidap sakit buah pinggang yang memerlukan dialysis tiga kali seminggu.

Mendengar itu aku merasa kesal juga kerana tidak mencarinya selama ini. Walau bagaimana aku tetap bersyukur kerana berjumpa juga dengan, kalau tidak salah saya, satu-satunya guru sekolah rendahku yang masih hidup.

Semoga Allah panjangkan umur dan selamatkan cikgu Haji Kassim bin Tamyes.