Friday, November 11, 2011

Beri aku sebab yang baik.....

Saya ada seorang kawan semasa kerja dulu yang sering bertanya 'Give me a good reason why I should do that' apabila saya meminta pertolongannya. Maknanya 'Beri aku sebab yang baik mengapa aku mesti buat itu'. Oleh kerana saya setaraf dengannya saya tidak boleh mengarahkannya membuat sesuatu. Oleh itu saya mesti mempunyai sebab yang baik untuk meminta pertolongannya. Alhamdulillah biasanya saya mempunyai jawapan yang sesuai dan akhirnya dia menolong saya juga.

Pagi tadi seorang lagi kawan saya mengajak saya minum pagi bersama. Dia pun membawa saya ke satu restoran baru berhampiran tempat kerjanya. Katanya ia ingin mencuba restoran ini buat pertama kali.

Oleh kerana saya sudah minum pagi di rumah saya cuma mengambil dua keping kuih sambil memesan air minuman. Tetapi sehingga habis kuih saya makan air minuman tak kunjung sampai. Saya memesan air kopi panas dan setelah membuat pesanan kali kedua barulah minuman sampai. Bekas minuman ialah satu 'mug' yang tidak telus.

Saya perhatikan airnya hitam dan tidak keruh seperti air kopi biasa. Saya fikir saya diberi kopi oh dan tidak air kopi biasa yang bersusu. Tak apalah kerana saya sudah minum di rumah. Setelah meneguk sedikit saya rasa airnya pahit dan tidak manis. Masih saya anggap tak apa kerana saya diberi air kopi oh kosong atau tanpa gula.

Tetapi apabila saya meneguk seterusnya saya hairan kerana air kopi oh saya bertambah manis. Akhirnya baru saya perasan sebenarnya saya diberi air kopi bersusu seperti mana yang saya pesan. Tetapi air kopi dan susunya belum dibancuh. Sudah tentu pembuat air mengharapkan saya sendiri akan membancuhnya. Soalan saya ialah mana sudu atau camca atau apa-apa pembancuhnya? Kerana ia tidak diberi bersama dengan minuman yang saya pesan. Saya pula tidak diberitahu untuk mengambil pembancuh atau 'stirrer' di mana-mana seperti disediakan oleh restoran minuman segera.

Untuk berlaku adil saya telah menegur pihak restoran tentang kesilapan mereka, sama ada disengajakan atau tidak. Tetapi pengalaman itu sudah cukup untuk saya bertanya 'Beri aku sebab yang baik kenapa aku  mesti datang semula ke tempat ini'.

No comments: