Semasa saya mula menulis pos ini pasukan bolasepak Indonesia sedang mendahului satu gol dalam perlawanan pingat emas Sukan SEA melawan pasukan Malaysia. Sebenarnya saya menerima keputusan perlawanan ini dengan hati terbuka berasaskan fakta-fakta yang akan saya terangkan nanti.
Beberapa tahun dahulu saya ditugaskan oleh jabatan saya untuk menjadi juruiring kepada Governor Sumatera Barat (SUMBAR) Indonesia. Beliau datang ke Negeri Sembilan untuk menerima pingat dari Paduka Seri Yang DiPertuan Besar kami di hari keputeraan baginda. Beliau tinggal di Seremban beberapa hari dan program disusun untuk beliau melawat beberapa tempat di Negeri Sembilan. Oleh kerana Seremban belum mempunyai hotel taraf berbintang seperti sekarang beliau ditempatkan di Rumah Tetamu Kerajaan di Taman Tasik, Seremban.
Setiap pagi saya pun datang ke rumah tetamu untuk bertemu beliau dan menerangkan mengenai program beliau untuk hari tersebut. Saya meletakkan kereta saya di kawasan rumah tetamu tersebut dan untuk tujuan tugas mengiring saya diperuntukkan dengan satu kenderaan jabatan. Governor juga diperuntukkan sebuah kenderaan oleh kerajaan negeri.
Di hari terakhir lawatan beliau menunjuk kepada kereta saya dan bertanya kereta siapakah itu. Sudah tentu saya terangkan itu kereta saya iaitu sebuah kereta Proton Saga 1.5 manual. Governor terus terperanjat dan menyatakan seorang kakitangan kerajaan bertaraf saya di Indonesia tidak mampu mempunyai sebuah kereta. Saya sendiri pernah dihantar oleh jabatan saya ke Padang dan Bukittinggi, Sumatera Barat dan melihat kebenaran kata-kata Governor itu.
Itu juga menjadi contoh perbezaan taraf hidup orang kita Malaysia dengan orang Indonesia. Kalau tidak kenapa beribu, mungkin berjuta rakyat Indonesia datang ke Malaysia untuk cari makan. Ramai pula yang tak mahu pulang ke kampung halaman mereka setelah berjumpa syurga di Malaysia.
Oleh itu tidak hairanlah di perlawanan sukan seperti bolasepak dan badminton apabila Indonesia berjumpa Malaysia sokongan mereka sangat fanatik. Sehinggakan bila tiket habis dijual mereka membakar pondok menjual tiket. Mereka tahu mereka tidak boleh menandingi taraf hidup kita. Oleh itu mereka akan bergembira jika dapat mengalahkan kita dalam bidang lain. Kenapa tidak menggunakan sukan seperti bolasepak untuk menunjukkan mereka lebih dari kita, walau pun untuk seketika.
Sebenarnya hubungan antara Malaysia dengan Indonesia adalah baik. Saya percaya kerajaan Indonesia menganggap Malaysia sebagai jiran mereka yang paling dipercayai, begitu juga sebaliknya di pihak Malaysia. Begitu juga di pihak rakyat Malaysia dengan Indonesia. Jika seorang rakyat Malaysia sesat di Indonesia saya tidak terfikir ia akan diapa-apakan. Begitu juga sebaliknya.
Saya tidak percaya pemain bolasepak kita akan diapa-apakan jika datang ke stadium menaiki bas. Walau bagaimana pun apa-apa tindakan pencegahan sepatutnya dihargai. Oleh itu penggunaan kereta perisai yang dipanggil 'barrakuda' untuk membawa pemain-pemain kita sepatutnya tidak diperbesarkan. Tidak payahlah perkara itu dibawa ke pihak FIFA. Di Afrika beberapa tahun dahulu seorang pemain bolasepak yang menaiki bas telah ditembak mati. Sudah tentu kita tidak mahu perkara begitu berlaku di sini.
Saya pernah tinggal beberapa ratus meter sahaja dari Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban . Setiap kali ada perlawanan bolasepak saya merasa bimbang kerana pernah kereta diletak betul-betul di luar pintu pagar dan mengalang saya keluar. Begitu mewahnya kita sehingga setiap rumah mempunyai kereta. Di deretan rumah saya sekarang setiap rumah mempunyai dua kereta, yang tiga pun ada.
Jika diasaskan dengan perbualan saya dengan Governor Sumatera Barat itu berapa peratus pula penonton di stadium Bong Karno, Jakarta itu mempunya kereta, atau pun rumah sendiri. Tapi tak apalah, biarlah mereka bergembira seketika.
No comments:
Post a Comment