Saya terbaca berita bekalan air paip di negeri Kelantan yang kotor. Kemudian timbul pula alasan bahawa puncanya air sungai yang kotor. Maka disebut juga air sungai di negeri-negeri lain pun kotor juga. Memang saya akui air-air sungai kita kotor. Rakyat kita suka membuang sampah merata-rata. Jika sampah itu tidak dipungut ia akan dibawa oleh air hujan ke sungai melalui longkang-longkang.
Saya pernah berteduh dari hujan di satu kedai menjual anak-anak tanaman yang terletak di tepi Sungai Linggi, iaitu sungai utama di Negeri Sembilan. Kemudian saya sempat melihat paras air sungai itu naik. Sambil air naik segala kekotoran yang berada di hulu sungai dibawa bersama. Saya nampak botol-botol plastik, tin-tin kosong, perabut terbuang termasuk tilam dan juga bangkai binatang.
Kita memang gembira selepas hari hujan apabila melihat longkang-longkang kita bersih dari kotoran yang berpunca dari dari kita sendiri. Tetapi berapa ramai dari kita tahu yang kotoran itu akan pergi ke sungai dan air sungai juga menjadi punca bekalan air minuman kita? Tetapi kita tidaklah dibekalkan air terus dari sungai. Air yang dipam dari sungai perlu dirawat dahulu. Di Negeri Sembilan kerja-kerja bekalan air dijalankan oleh satu syarikat bernama Syarikat Air Negeri Sembilan dengan nama pendek Sains sahaja. Sebelum ini ia dijalankan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) dan sebelumnya pula oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Hampir 40 tahun dulu saya pernah bertugas di negeri Kelantan. Saya pun sama-sama terlibat dalam tugas-tugas bekalan air dan tugas saya ialah mengambil sampel-sampel air yang telah dirawat dan sepatutnya selamat dibekalkan kepada pengguna.
Di hari-hari tertentu satu kenderaan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan akan mengambil saya untuk dibawa ke tempat-tempat sampel air diambil. Tidak perlulah saya ceritakan secara terperinci bagaimana saya mengambil sampel air tersebut. Yang pasti ialah semasa mengambil sampel tidak ada apa-apa pencemaran berlaku. Adalah satu yang memalukan jika pencemaran berpunca dari pengambil sampel. Oleh itu pengambil sampel hendaklah orang yang terlatih dan bertauliah.
Sampel air yang sudah diambil dimasukkan ke dalam botol-botol khas yang bebas dari kuman dan apa-apa pencemaran dan dilak. Ia kemudian dihantar ke Jabatan Kimia berdekatan, di Kuala Terengganu kalau tak salah saya.
Setelah dianalisa satu salinan hasil analisa akan dihantar ke ibu pejabat saya di Kota Bharu dan satu salinan kepada saya sebagai pengambil sampel. Jika hasil analisa baik tidak ada apa-apa tindakan yang diambil. Tetapi jika ada bahan yang tidak diingini terdapat dalam sampel air Jabatan Kimia terus menalipon ibu pejabat saya di Kota Bharu. Ibu pejabat pula akan menalipon saya. Laporan rasmi analisa akan menyusul kemudian.
Dukacita saya kerana sering menerima panggilan talipon dari ibu pejabat saya mengatakan sampel air yang saya ambil mengandungi bahan-bahan pencemar. Apa yang saya buat ialah pergi sendiri ke pejabat JKR di bandar mana saya bertugas dan memberitahu pegawai yang berkenaan bahawa air yang mereka rawat mengandungi bahan pencemar.
Sudah tentu mereka menerima nasihat saya dan meningkatkan mutu rawatan air mereka walau pun saya merupakan seorang budah mentah dari negeri lain. Memang ramai budak-budak mentah dari negeri-negeri lain bertugas di negeri Kelantan di masa itu. Jika nasihat saya tidak diindahkan, saya akan membangkitkan isu air tercemar ini di Mesyuarat Tindakan Jajahan di mana ahli-ahli yang berhormat sama-sama hadir.
Oleh itu saya merasa sedih juga membaca berita bekalan air yang sudah dirawat di Negeri Kelantan masih lagi tercemar walau pun saya telah meninggalkan negeri itu hampir 40 tahun.
No comments:
Post a Comment