Saturday, March 26, 2011

Satu jam di Rembau.



Lawatan saya bermula apabila saya menerima gambar ini dari seorang sahabat facebook. Saya juga dicabar untuk membuktikan sama ada papan tanda ini benar atau tidak.  

Panduan saya bukan kepada nama-nama tempat, tetapi kepada nombor-nombor jalan yang ditulis. Saya tahu kalau papan tanda ini wujud ia terletak di persimpangan Laluan Persekutuan 1 dengan Jalan Negeri N109 (huruf N menunjukkan ia terletak di Negeri Sembilan). Berpandukan peta dan juga Google Earth saya dapat tahu papan tanda ini terletak betul-betul di pekan Rembau.

Saya pun pergi ke Rembau pada pagi Sabtu 26 Mac 2011.

 Ini dia papan tanda sebenar.

Jelaslah gambar pertama telah diedit. Tidak mungkin papan tanda asal ditulis begitu. Tetapi saya mengucapkan tahniah kepada sesiapa yang mengedit gambar asal itu. Dia telah berjaya menunjukkan kebolehannya. Dato' T kena belajar dari dia ni.

Semasa balik ke Seremban saya ingin mencuba cendol di satu restoran di tepi Sungai Rembau. Mula-mula saya nampak lima ekor memerang ini. Sudah lama saya tidak melihat memerang.

Nampak lima ekor memerang.

Tetapi apabila apabila sedar akan kehadiran saya, mereka cuba bepatah balik. 


Saya berlindung di belakang sebatang kayu dan dapat mengambil gambar ini.

Mereka terjun ke sungai.


Akhirnya berenang ke hulu sungai dan hilang dari pandangan.

Tidak banyak sungai yang masih jernih airnya di Negeri Sembilan seperti Sungai Rembau ini.


Saya ingin mencuba Cendol Madu Rembau.


Ini cendolnya. Tetapi saya kecewa, air batu dikisar kasar. Cendol baru keluar dari peti sejuk dan keras.


Akhir sekali saya nampak iklan untuk kopi segera ini. Tidak adakah nama yang lebih baik?

Friday, March 25, 2011

Bila orang Islam menindas semasa sendiri.

Rumah ibu saya di kampung cuma terletak 500 meter dari rumah mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan kami. YB bukan setakat ADUN sahaja, tetapi pernah menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan dianugerah gelaran Dato'. Tetapi beliau sudah meninggal dunia sekarang. Saya masih ingat apabila beliau dan isteri baharu sahaja pulang dari mengerjakan Haji dan saya baharu sahaja lepas sekolah menengah. Saya mengikut ibu saya untuk berjumpanya kerana isterinya berkawan dengan ibu saya. 

Bila ditanya pengalamannya di tanah suci YB terus berkata "Sekarang baru saya tahu mengapa emak saya tidak mahu cerita apa-apa kepada saya apabila balik dari Mekah (sebutan masa itu). Saya dah pergi baru saya tahu". Beliau seterusnya menceritkan pengalaman buruknya di tanah suci. Saya yang masih budak mentah di masa itu bertanya "Mengapa orang Islam sanggup menindas sesama Islam?" Mungkinkah kerana bangsa dan kebangsaan, mereka Arab dan kita Melayu Malaysia?

Empat puluh tahun kemudian tiba pula giliran saya menerima nasib sama seperti YB dan ibunya itu. Saya mengerjakan Haji pada penghujung tahun 2007. Ibu saya mengerjakan Haji beberapa tahun sebelum saya dan seperti ibu YB tadi tidak bercerita apa-apa kepada saya apabila kembali ke tanah air.

Selepas lebih seminggu di Madinah tibalah masa untuk saya dan isteri berpindah ke Makkah dengan bas. Saya salin dan tampal apa yang pernah saya tulis di pos saya sebelum ini supaya tidak bercanggah:

Lebih kurang jam 2200 bas berhenti di satu kawasan lapang di padang pasir di mana terdapat sebuah restoran, surau dan tandas. Tandasnya teramatlah kotor tetapi saya dapat juga mengambil air sembahyang.


Bas berhenti selama satu jam disini sedangkan tidak ada jemaah yang turun untuk makan kerana sudah menerima bekalan makanan dari pihak hotel. Saya perhatikan pemandu mundar mandir sahaja di kawasan tersebut. Semasa di Madinah kami telah membuat pungutan satu rial seorang untuk diberikan kepada beliau. Adakah pemandu ini sengaja membiarkan kami menanti kerana tidak mendapat bayaran yang mencukupi?


Tuhan sahaja yang tahu.

Sebenarnya cerita saya lebih dari itu. Najis bertaburan di tandas. Sejadah di masjid amatlah kotor. Keadaan di mana-mana kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuhraya kita 1000 kali lebih baik. Pemandu membiarkan kami duduk menunggu dalam bas selama 1 jam dengan enjin dihidupkan. Asap enjin diesel masuk ke ruang penumpang dan memabukkan kami sedangkan pemandu duduk berborak dan mundar mandir tanpa tujuan. Kami hendak turun takut ketinggalan bas.

Itulah pengalaman buruk  pertama saya semasa mengerjakan Haji. Selepas itu ada lagi pengalaman serupa yang tidak ingin saya ceritakan. Sejak dari kursus Haji yang dijalankan oleh Tabung Haji jemaah kita telah dingatkan supaya banyak bersabar di tanah suci nanti. Kita ialah tetamu Allah, kata mereka. Dengan sendirinya kita menganggap Allah juga Tuan Rumah kita di sana. Sampai kita lupa bahawa tuan rumah kita yang nyata di sana ialah orang Arab Islam. Orang Arab menindas kita , tetapi kita kata ini dugaan dari Allah.

Kalau orang Arab Islam sanggup menindas tetamu mereka yang ingin mengerjakan hukum Allah kenapa tidak mereka menindas rakyat mereka sendiri? Baru-baru dan di saat ini pergolakan berlaku di Mesir, Yemen, Bahrain, Libya dan sekarang Syria kerana orang Arab Islam menindas rakyat mereka. Sehinggakan kerajaan Malaysia dan kerajaan-kerajaan negeri dibawahnya membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membawa rakyat kita pulang ke tanah air dari Mesir dan menghantar mereka pulang kembali. Syukurlah pihak berkuasa di Mesir berfikiran waras dan menyerah kuasa mereka kepada yang berhak tanpa banyak tumpah darah.

Beberapa hari lepas Amerika Syarikat (USA), Britain, Perancis (itu yang saya tahu) telah mengebom Libya kerana kononnya menguatkuasakan keputusan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) supaya tentera Libya tidak membunuh raykyatnya sendiri. Tetapi dalam mengebom itu sudah tentu orang awam Libya (yang kononnya hendak dilindung oleh negara-negara tersebut) juga terbunuh. Apa mereka peduli? Yang pentingya satu lagi negara Arab Islam dihancurkan seperti mereka menghancurkan Iraq sebelumnya.

Saya baca di internet dari sebuah akhbar British sebenarnya tentera udara Libya sudah lumpuh.  Pesawat pejuang mereka yang tinggal tidak efektif lagi. Saya yang tidak berotak tentera ini pun tahu hendak menghancurkan tentera udara seperti Libya senang sahaja. Rosakkan sahaja landasan tentera udara mereka dan sudah tentu pesawat mereka tidak boleh naik, melainkan mereka mempunyai pesawat seperti Harrier yang boleh naik turun seperti helikopter. Lepas itu musnahkan pesawat mereka satu persatu.

Peduli apa mereka musnahkan pesawat penjuang Libya secara pengecut, iaitu menyerang pesawat yang sedang diikat kebumi. Mereka tahu jika kerajaan sekarang tumbang, kerajaan  baru akan membeli pesawat baru dari negara-negara pengebom tadi. Sudah tentu kerajaan baru akan berterima kasih kerana menjatuhkan kerajaan lama dan sudah tentu tidak pergi ke Russia untuk membeli Sukhoi atau MIG.

Kenapa ini berlaku? Sebabnya sama seperti alasan mengapa USA menghancurkan Iraq, walau pun dalam kes Iraq ada alasan lain yang tidak berasas iaitu Iraq mebuat senjata penghapus besar-besaran (weapons of mass destruction). Alasannya ialah negara-negara Arab Islam yang saya sebut menindas rakyat mereka.

Oh, orang Arab itu baik sangat ke? Saya sudah bergaul dengan orang Jepun selama enam minggu. Saya juga sudah bergaul dengan orang Arab juga selama enam minggu. Jangan tanya saya antara kedua bangsa itu bangsa mana yang saya kata lebih baik, lebih berbudi bahasa, menghormati tetamu dan jauh dari menindas tetamu dan kaum mereka sendiri.

Dalam hal ini saya ada seorang kawan sekelas yang pernah menjadi Duta negara kita dan pernah berkhidmat di negara-negara Arab. Kalau bohong saya, bohonglah dia. Katanya pembesar-pembesar Arab ini mempunyai bar-bar khas di rumah mereka di mana arak disimpan. Bukan untuk tetamu sahaja bang oi, tetapi untuk mereka sendiri.

Juga seperti di Malaysia para-para diplomat asing di negara-negara Arab ini akan menyambut hari-hari kebangsaan mereka di mana pembesar negara tuan rumah dan para diplomat termasuk kawan saya ini dijemput. Di sinilah kata kawan saya ini pembesar negara tuan rumah dan para diplomat Arab Islam minum arak untuk mabuk.

Apa hal kita asyik mempersoalkan pengilangan dan jualan arak di negara kita sedangkan pak pak Arab Islam di sana tu meneguknya hari-hari.

Dalam hal ini saya rasa negara kita Malaysia walau pun satu negara Islam (dan ada orang yang mempertikaikannya) ada kelebihan kerana mempunyai rakyat berbangsa dan beragama lain. Mereka inilah yang menjadi sebab penindasan tidak berlaku, walau pun ada penindasan di bentuk lain. Sama juga di Indonesia, walau pun merupakan negara yang mempunyai rakyat Islam terbesar di dunia.

Kenapa orang Islam tidak menindas orang Islam di Malaysia? Kerana kehadiran orang berbangsa dan beragama lain. Kenapa orang Islam tidak menindas orang Islam di Indonesia sedangkan mereka sebangsa? Kerana kehadiran orang Indonesia beragama lain.

Tetapi jika keadaan Malaysia dan Indonesia sama seperti di negara-negara Arab Islam, penindasan sesama sendiri sudah tentu berlaku. Dan ini sudah pasti mengundang negara kita dibom oleh negara-negara asing.

Oleh itu bersyukurlah kita tinggal di bumi bertuah ini.



Monday, March 21, 2011

Sambutan Maulidur Rasul di surau baru

Surau saya mengadakan sambutan Maulidur Rasul agak lewat pada tahun ini. Saya pun tidak tahu sebabnya. Kami tidak mengadakan apa-apa perarakan, juga saya tak tahu mengapa. Cuma saya hendak mengucapkan terima kasih kepada seorang Hamba Allah yang menyumbangkan daging seekor lembu untuk acara tersebut. 

Untuk laporan bergambar sila klik di sini.

Monday, March 14, 2011

Malapetaka di Jepun

Sukan Olimpik tahun 2004 di Athens, Greece diadakan cuma beberapa hari selepas saya kembali dari negara Jepun. Saya tidak melepaskan peluang menonton di tv mana-mana acara yang melibatkan negara itu.  Atlit dan pasukan Jepun memenangi pingat emas demi emas sehingga akhirnya mendapat tempat kelima dalam pungutan pingat keseluruhan. Mereka mengalahkan negara seperti Great Britain, dua-dua Korea, Germany, Italy dan France. Antara negara-negara Asia mereka cuma kalah dengan China. Semasa mereka bertanding saya tidak berhenti berfikir "Mereka ini(atlit Jepun) sebangsa dengan orang-orang yang bercampul gaul dengan saya selama enam minggu sebelum ini". Di hujung tahun 2004 itu satu tsunami ekoran gempa bumi terjadi berhampiran Acheh, Indonesia yang sedikit melibatkan negara kita.

Saya merasa bertuah dapat pergi ke Jepun yang juga dipanggil negara matahari terbit. Saya ke sana kerana menjalani satu latihan kerja di bandar Fukuoka, pulau Kyushu dari pertengahan bulan Jun hingga awal Ogos 2004.

Apabila saya melihat pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat Melayu kebanyakan mereka menawarkan perjalanan ke Indonesia, Vietnam, Kemboja, Arab Saudi untuk Umrah dan China. Belum saya nampak pakej pelancongan ke Jepun. Mungkin faktor makanan menjadi masalah, Betul, amat kurang umat Islam di negara Jepun sehingga saya tidak nampak mana-mana restoran halal di bandar Fukuoka, apa lagi surau atau masjid.

Tetapi walau bagaimana maju negara Jepun ia sering dilanda malapetaka seperti gempa bumi dan ribut taufan. Pesawat Airbus 330 MAS yang saya naiki dari KLIA mendarat di lapangan terbang Kansai, Osaka dalam hujan. Di sana saya diberitahu oleh tuan rumah penerbangan seterusnya ke Fukuoka belum disahkan kerana ribut taufan dijangka melanda Fukuoka.

Saya merasa takut juga memikirkan jangkaan malapetaka ribut taufan itu kerana di negara kita malapetaka yang biasa kita alami hanya banjir sahaja selain tanah runtuh akibat perbuatan manusia sendiri. Walau bagaimana pun penerbangan saya diteruskan juga mengikut jadual apabila ribut taufan yang dijangka tidak menjadi. Pesawat Airbus 321 All Nippon Airways (ANA) bermula dari Kansai dalam hujan dan mendarat di Fukuoka dalam hujan juga. Dalam perjalanan menaiki van dari Fukuoka ke Kitakyushu saya perhatikan pokok-pokok di liring bukit meliuk-liuk ditiup angin kencang. Saya tinggal di kampus Japan International Cooperation Agency (JICA) di Kitakyushu selama seminggu untuk menyuaikan diri dengan masyarakat Jepun sambil belajar beberapa patah perkataan mereka. 

Orang Jepun dengan teknologi tinggi mereka dapat menjangka malapetaka yang akan menimpa. Malah perkataan 'tsunami' ialah dari bahasa Jepun atau dipanggil Nihongo di sana. Semasa di sana juga saya sering melihat amaran angin kencang untuk bandar-bandar di negara mereka disiarkan di tv. Maklum sajalah pantai timur Jepun terdedah kepada Lautan Pasifik yang luas. Tetapi apabila angin kencang tidak membawa apa-apa bencana, penonton tv juga diberitahu.

Tetapi walau bagaimana canggih teknologi manusia, ia tidak dapat melawan kuasa Allah. Kali ini satu gempa bumi diikuti tsunami telah melanda kawasan utara timur Jepun pada Hari Jumaat 11 Mac 2011 yang lalu. Ia diikuti dengan meletupnya satu reaktor nuklear di Bandar Fukushima. Semasa saya menulis pos ini angka kematian ialah 3,600 orang tetapi jumlah sebenar dijangka berpuluh ribu. Syukur juga saya Bandar Fukuoka dan Kitakyushu tidak terlibat kerana terletak jauh di selatan. 

Kita di Malaysia ini patut besyukur kerana negara kita tidak termasuk dalam kawasan yang boleh membawa malapetaka. Negara kita pula terlindung oleh negara-negara lain di barat, timur dan selatan jika malapetaka seperti tsunami datang. 

Jika ada malapetaka pun ia disebabkan kerakusan kita sendiri. Contohnya banjir dan bangunan runtuh kerana perancangan tidak tersusun. 

Friday, March 11, 2011

Hajatnya tidak kesampaian.

Tepat 48 jam selepas saya menerima satu berita kematian, saya menerima satu lagi berita yang sama. Seperti sebelumnya saya juga menziarahi jenazah yang pergi itu. Kali ini yang pergi bukan bersaudara, berjiran atau berkawan dengan saya. Tetapi hubungannya dengan saya ialah antara penjual dengan pembeli. Lebih tepat lagi pembeli itu ialah isteri saya Salmah sedangkan saya hanya menjadi pemandu kereta menemani isteri saya itu.

Yang meninggal dunia kali ini ialah seorang lelaki berumur 54 tahun yang membuka gerai menjual sayur-sayuran, ikan dan daging ayam cuma lebih kurang 600 meter dari rumah saya di satu taman perumahan berjiran. Saya selalu menemani isteri saya apabila dia membeli makanan mentah di gerai ini. 

Saya masih ingat beberapa bulan yang lalu singgah di gerai ini dan Allahyarham sedang berborak dengan pelanggan-pelanggannya sedangkan saya mendengar sahaja. Tiba-tiba dia berkata lebih kurang "Saya bila berhenti berniaga nanti tidak mahu tinggal di sini. Saya hendak balik kampung. Buat apa tinggal di sini, sebelah sana Ca .... .... Alif, sebelah sini Kaf .... .... Nga".  

Jelas bagi saya ungkapannya itu berbau perkauman. Jika ia pun begitu sekali niatnya dia tidak patut berbahasa dengan nada begitu. Dari itu setiap kali saya menemani isteri saya ke gerainya saya tidak lupa apa yang disebutnya itu.

Saya cukup tidak senang apabila orang Melayu kita memanggil bangsa asing dengan bahasa berbau perkauman begitu. Apa salahnya kita berbahasa betul tidak kira sama ada orang yang kita sebut itu ada mendengar atau tidak.

Mengenai niat pula apa salahnya kita berjiran dengan orang bukan sebangsa dengan kita? Saya sendiri berkongsi pagar dengan satu keluarga berbangsa Cina di belakang rumah saya. Sebelahnya pula tinggal satu keluarga berbangsa India. 

Berbalik kepada Allahyarham beberapa hari sebelumnya dia balik ke kampung isterinya di Tanjung Bidara, Melaka (dia sendiri berasal dari Kuala Selangor), Dia telah memanjat satu pokok jering untuk mengambil buahnya, sudah tentu dengan tujuan untuk dijual digerainya. 

Tetapi malang menimpa dirinya kerana dia telah terjatuh dan dimasukkan ke hospital dimana dia menghembuskan nafas terakhir setelah tidak sedar diri beberapa hari.

Mendengar berita kematiannya saya, isteri dan beberapa orang jiran kami telah menziarahi jenazah Allahyarham yang telah dibawa ke rumahnya. Yang mengetuai tugas memandikan jenazah ialah orang yang sama saya jumpa di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dua hari sebelumnya. (Sila lihat pos saya sebelum ini). Jika sebelumnya dia memandikan jenazah orang yang tidak dikenalinya atas dasar diupah, kali ini dia menjalankan tugas yang sama terhadap seorang yang tinggal satu taman dengannya, satu Qariah dan mungkin satu surau. Tidak tahulah sama ada kali ini beliau menerima upah atau tidak. 

Sedang jenazah dimandikan saya sempat berjalan di sekeliling rumah Allahyarham sambil memikirkan apa yang disebutnya beberapa bulan yang lalu. Memang terdapat jiran-jirannya terdiri dari bukan Melayu tetapi bagi saya ini tidak menjadi sebab baginya untuk berpindah ke kampung. 

Walau bagaimana pun jelaslah hajatnya itu tidak kesampaian.
 

Wednesday, March 9, 2011

A couple of hours in a morgue.

I received a phone call from one of my brothers-in-law around 7.15 a.m. on Tuesday 8th March 2011. He conveyed the news that his wife's brother-in-law had just passed away around 6.30 a.m. earlier at the Tuanku Jaafar Hospital, Seremban. His body would be buried in Melaka later in the day.

I met the deceased last Saturday at his third son's wedding ceremony in Rembau where his family was residing. He was not in good health for some time and when I saw him he was sitting on a chair and staring at an empty space. The ceremony was held in the Rembau District Council's Hall. I was there for a couple of hours and when I left he was already brought home.

I and my wife decided to go to the hospital to pay our respects and maybe assist the bereaved family. We went straight to the hospital's mortuary as we knew the body would be brought there from the ward. We reached the mortuary around 8.15 a.m. and we were the first customers for the day. A few minutes later the body was brought down accompanied by his eldest son and maid.

The deceased was admitted to the hospital the night before when his family realised that he was not quite normal. He died only accompanied by the maid as his son was performing the Subuh prayers.

The family decided to hold the bathing rites at the mortuary. The man in charge of the bathing rites arrived soon after. Fortunately this man is known to me and stays less than a kilometer away from my house in a neigbouring housing estate. This is a good thing for the family as they were now not dealing with a stranger.

The deceased wife, two sons, daughter and daughter-in-law soon arrived and the bathing rites were performed. Meanwhile we were requested to wait in an air-conditioned waiting room. At first I thought there was no need for us to shift there as waiting in the lobby area was good enough. Then I realised the request was right after all as more customers came in, some crying.

The crying was from a family who at last was united with a member of their own after missing her for about a year. But the reunion was in tragic circumstances as the missing person was found in skeletal form. She was a 37 years old wife and mother to five children, the youngest was only a six month old infant girl when there were separated.  Now the girl is one year older and oblivious to the crying of her father, brothers and other family members.

I was told that the lady left her house to buy some provisions from the kampung shop. It was the last time she was seen alive about a year ago. Her skeletal remains was found wrapped by a mattress in the woods about two months ago by a man who was going fishing. Her remains were then sent for DNA tests. The family was at the mortuary to claim the body after the DNA tests turned positive.

While waiting also a police van came bringing the body of a man who died under the 'sudden death' category. He was suffering from kidney problems and he fell in his bathroom in the morning.

After the bathing rites of my relative was performed his body was transferred to a waiting hearse. He would later be brought home to Rembau for a brief stop allowing his neigbours to give their respects and at the same time performing the prayers for him. From there he would be brought on his last journey to his kampung in Melaka for burial.

I left the mortuary with these lyrics of a Beatles song in my mind "Life is very short and there's no time for fussing and fighting, my friend". 
  

Monday, March 7, 2011

Merlimau - Bahagian 3

Setahu saya dan juga dari pengalaman menjadi pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi ialah di mana Pegawai Pengurus Pilihnraya biasa bertugas. Tidak semestinya kedua-dua pusat itu bangunan yang sama. Biasanya Pegawai Pengurus Pilihanraya ialah Pegawai Daerah atau lebih dikenali sebagai DO. 

Oleh itu jika mengikut amalan biasa seperti di atas, sepatutnya Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi untuk Piihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau baru-baru ini diadakan di Bandar Jasin oleh kerana Pegawai Pengurus Pilihanrayanya ialah Pegawai Daerah Jasin. Saya hairan juga pada mulanya bila mendapat tahu kedua-dua pusat itu ialah bangunan yang sama iaitu Dewan Platinum Politeknik Merlimau. Dalam ingatan saya inilah pertama kali situasi seperti ini berlaku di satu PRK. Sebagai perbandingan Pusat Penamaan Calon dan Penjumlahan Rasmi Undi untuk PRK DUN Kerdau yang diadakan selari dengan PRK Merlimau ialah di bandar Temerloh dan bukan di Kerdau sendiri.

Sebenarnya 'pertukaran' ini melambangkan kehebatan Merlimau sendiri. Apa yang ada di Jasin yang tidak ada di Merlimau? Jika kita ke Merlimau dari Lebuhraya Plus dan Lebuhraya AMJ kita tidak akan sedar bahawa Merlimau ialah sebahagian dari Daerah Jasin. Malah jika kita datang dari Bandar Melaka lebih mudah ke Merlimau dari ke Jasin. 

Merlimau sudah mempunyai infrastruktur dan kemudahan yang cukup sehingga tidak perlu calon-calon mendaftar di Jasin dan pengumuman siapa yang menang dibuat di sana. Di hadapan Politeknik Merlimau tersergam masjid baru Merlimau yang memudahkan petugas-petugas PRK dan media massa untuk bersolat. Mungkin di Pilihanraya Umum nanti penamaan calon untuk Parlimen Jasin dan DUN-DUN di dalamnya diadakan di Merlimau. Mengapa tidak?

Oleh itu memang susah untuk mana-mana parti pembangkang merampas DUN Merlimau dari parti kerajaan. Tidak cukup dengan menjanjikan syurga. Tidak cukup dengan membawa seorang penulis lirik lagu yang berkempen sambil menyanyi, yang menganggap parti barunya itu agamanya. "aku menganuti (parti barunya)...." katanya. Dia sendiri tulis, bukan saya pandai-pandai cerita. Jadi selama ini dia menganuti agama apa? 

Cukuplah tu, nanti ada pulak yang marah. Supaya tak bosan saya sertakan bersama-sama ini beberapa gambar yang saya ambil sehari sebelum hari mengundi.

Di persimpangan Lebuhraya AMJ

Salam ke Selamat Tinggal? Teringat lagu  'Hello Goodbye' The Beatles.

Polis tak marah saya ambil gambar sambil memandu.

Jalan Jasin - Merlimau. Dulu tak sibuk macam ni.

Sapo pacak bondegho Noghi Somilan tu? 

Nampak kaunter SPR di bandar Merlimau.

Bandar Merlimau. Sebelah kiri tu Klinik Kesihatan lama.

Ini rumah kampung isteri saya. Tidak payah dijelaskan siapa menyewanya semasa PRK ini.

Tak ubah pun!!!

Jalan di hadapan rumah kampung isteri. Sekolah itu dijadikan tempat mengundi.

Rumah Penghulu Mat Natar, juga dikenali sebagai Rumah Merlimau.

Lagi Rumah Merlimau.

Friday, March 4, 2011

Apa beza nasyid dengan lagu-lagu rock?

Dari dulu lagi saya anggap mendengar lagu-lagu dari kumpulan nasyid tidak ada bezanya dari mendengar lagu-lagu klasik, klasik nasional atau rock. Ia setakat menghiburkan, itu sahaja. Saya tidak terfikir ada pendengar akan terus sembahyang apabila mana-mana kumpulan nasyid menyanyikan 'marilah kita sembahyang'. Samalah tidak ada diantara kita yang akan mencari tangan untuk dipegang apabila mendengar lagu 'I Wanna Hold Your Hand' nyanyian The Beatles.
Sekarang ini ramai diantara kita yang tergila-gilakan seorang penyanyi rakyat Sweden dan berasal dari Lebanon bernama Maher Zain. Saya mula mendengar lagunya semasa majlis berbuka puasa di rumah seorang sahabat sekolah saya di Melaka di bulan Ramadhan yang lepas. Berkali-kali lagunya diulang di majlis itu. Tetapi bagi saya tidak ada bezanya jika tuan rumah itu memainkan lagu Ziana Zain atau Anuar Zain. Sekurang-kurangnya Ziana dan Anuar Zain orang Melaka sama seperti saya bangga dengan penyanyi-penyanyi Negeri Sembilan seperti Aishah dan Hattan.
Dua bulan lepas pula di perkahwinan anak arwah abang saya lagu-lagu Maher Zain juga secara eksklusif didendangkan macamlah tidak ada lagu-lagu Melayu yang layak didengar di majlis itu. Cuma lagu 'Selamat Pengantin Baru' nyanyian Saloma dimainkan semasa kedua pangantin masuk ke dewan.
Malam tadi saya mendengar ceramah bulanan surau saya yang diadakan pada tiap-tiap hari Khamis pertama. Penceramah bukan sebarang orang. Dia berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mempunyai ijazah kodoktoran dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Dia sekarang menjadi pensyarah di sebuah universiti di Selangor.
Penceramah menyentuh mengenai solat termasuk sebab-sebab mengapa ramai dari kita meninggalkan solat. Diantara sebabnya mengikut penceramah ini ialah kerana keasyikan kita mendengar lagu-lagu nasyid yang kononnya mempromosikan Islam. Kemudian sekarang ditambah lagi dengan dengan keasyikan mendengar lagu-lagu Maher Zain. Sampai Maher Zain diminta menyanyikan lagu-lagunya dalam Bahasa Melayu. 
Mengikut ustaz ini sebenarnya kumpulan-kumpulan nasyid dan Maher Zain bukan mendekatkan kita dengan solat, tetapi sebaliknya. Mereka ini sebenarnya perosak Islam dan katanya lagi dia akan 'menentang mereka ini habis-habisan'. Saya selalunya kecewa bila mendengar ceramah-ceramah di surau atau masjid kerana penceramahnya menghina kecerdikan saya atau 'insults my intelligence'. Lebih-lebih lagi jika penceramahnya menyelitkan unsur-unsur politik dalam ceramahnya. Tetapi inilah diantara penceramah agama yang saya dapati selari dengan pemikiran saya.
Tetapi saya tidak setuju jika kita terus mengharamkan kumpulan-kumpulan nasyid atau penyanyi Maher Zain. Mereka nak cari makan juga. Cuma saya tidak mahu kita menganggap mereka ini melebihi penyanyi seperti Siti Nurhaliza dan Celine Dion. Tidak lebih Islam kita apabila mendengar lagu-lagu nasyid dan Maher Zain dibandingkan mendengar lagu-lagu ciptaan Tchaikovsky dan Lennon-McCartney. 
Oh ya, ada saya dengar lagu nasyid Melayu disadur dari lagu Lebanon ciptaan dua beradik beragama Kristian. Camno tu?

Thursday, March 3, 2011

Ke Sabah.

Pada tahun 2004 saya pernah menjejak kaki di bumi Sabah untuk lebih kurang satu jam sahaja. Saya dalam perjalanan pulang dari Fukuoka, Japan selepas berkursus dan pesawat saya berhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) dalam perjalanan ke KLIA.

Rasa tak puas itu memang ada dan saya berazam untuk kembali ke Kota Kinabalu apabila diberi peluang.  Saya pula semenjak kembali dari menunaikan Haji rasa kurang minat untuk terbang kemana-mana. Memadai dengan memandu kereta. Tetapi peluang tiba-tiba datang apabila syarikat penerbangan Firefly menawarkan tambang murah untuk memulakan perkhidmatannya ke Kota Kinabalu (KK) dan Kuching. Kebetulan pula saya mempunyai seorang sahabat dunia siber di KK yang telah berjanji membawa saya berjalan jika saya kesana.

Tempoh yang diberikan oleh Firefly adalah terhad dan saya juga terpaksa memikirkan jadual harian saya mengambil dua cucu saya Danial dan Fahim dari sekolah dan kemudian menghantar mereka ke kelas agama. Akhirnya saya memilih tarikh-tarikh yang membuatkan mereka tidak ke kelas agama untuk sehari sahaja.

Sedikit malang kerana sahabat siber saya tidak dapat bersama dalam tempoh saya di sana kerana tugas.  Walau bagaimana pun dia meminjamkan keretanya kepada saya dan mengaturkan saya dijemput dan dihantar ke lapangan terbang dengan percuma. GPS Navigator yang saya bawa bersama juga banyak menolong. Tetapi biarlah identiti sahabat saya ini menjadi misteri. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budinya.

Walau bagaimana saya terperanjat juga kerana tidak disangka-sangka berjumpa dengan seorang lagi sahabat siber di sana. Cerita bergambar saya ke Sabah boleh dilihat  di sini.

Wednesday, March 2, 2011

Tidak semestinya berbaloi jika bertindak awal.

Saya baca berita ramai rakyat kita tidak sempat membayar saman lalulintas dengan diskaun sehingga tarikh akhir 28 Februari 2011. Saya telah membayar saman saya beberapa hari sebelum tarikh akhir melalui bank secara online. Itu pun ada satu lagi saman yang belum saya jelaskan kerana tidak diberi diskaun. Kesalahan pula berlaku enam minggu yang lalu. Tak apalah kereta saya disenarai hitam. Saya akan tunggu sehingga cukai jalan saya mati baru saya bayar saman itu.

Kita tahu bila soal membuat bayaran orang kita suka membayar di saat-saat akhir. Tetapi bila soal mendapat bayaran orang kita pula 'tak monyompek' kata orang Negeri Sembilan. Saya dulu bekerja di Majlis Perbandaran Seremban dan biasalah saya lihat orang kita suka membuat bayaran di saat-saat akhir, sedangkan bil dan notis telah mereka terima beberapa bulan sebelumnya. Satu yang saya pelik juga ialah ada mereka itu bekerja di TM, TNB atau SAINS (Syarikat Air Negeri Sembilan) dimana mereka boleh membayar bil Cukai Taksiran jabatan saya itu di kaunter tempat mereka bekerja. 

Bila soal mendapat bayaran pula orang kita 'tak monyompek'. Contohnya dividen ASB. Pergilah ke pejabat-pejabat atau bank-bank yang menjadi agen ASB/ASB pada 2 hingga 7 Januari tiap-tiap tahun. Orang-orang kita sanggup cuti, ponteng kerja dan beratur untuk mendapatkan dividen mereka yang kadang-kadang berpuluh ringgit sahaja.

Bagitu juga dengan dividen koperasi. Kalau boleh disaat Mesyuarat Agung tamat mereka hendak mendapatkan dividen. Kalau boleh juga mereka mahukan wang tunai, tidak cek. Oleh itu setiap tahun sehari selepas mesyuarat satu koperasi anggota kerajaan dimana saya juga menjadi ahlinya, ramai beratur di Dewan Perbandaran Seremban di hadapan pejabat saya itu untuk mendapatkan cek dividen. Tidak kurang pula yang datang dari luar Seremban menggunakan kenderaan kerajaan. Tetapi saya cuma perlu menyeberang Jalan Yam Tuan, Seremban untuk mendapatkan cek dividen saya.

Sering kali kita dinasihatkan supaya membuat bayaran awal untuk mengelakkan kesesakan di saat-saat akhir. Begitu juga kita dinasihatkan menghantar borang seperti penyata cukai pendapatan awal-awal lagi untuk mengelakkan kesesakan juga. Tetapi dari pengalaman saya tidak semestinya bertindak awal itu berbaloi atau menguntungkan. Malah saya pernah rugi kerana bertindak sedemikian.

Sebagai seorang kakitangan kerajaan saya tidak boleh lari dari membayar cukai pendapatan. Seperti orang lain juga saya suka menghantar borang penyata pendapatan yang telah diisi di saat-saat akhir. Tetapi ada di satu tahun itu saya terfikir hendak bertindak cepat. Saya lupa akan tahunnya tetapi berikut ialah kronologinya mengikut bulan:-

1. Januari - saya terima borang penyata pendapatan dari Jabatan (sekarang Lembaga) Hail Dalam Negeri.        Setelah mendapat penyata gaji dari jabatan saya terus mengisi borang dan menghantar ke JHDN.

2. Februari - saya menerima borang penyata cukai pendapatan (Borang J) dari JHDN.

3. Mac - saya menerima notis dari JHDN meminta saya menjelaskan bayaran cukai pendapatan beserta denda RM 50.00

Saya terus berlari ke pejabat JHDN dan bertanya kenapa saya didenda RM 50.00? Mereka menunjukkan peraturan yang menyatakan 'apabila Borang J diterima bayaran hendaklah mula dibuat dalam tempoh 30 hari'.

Saya tidak boleh berkata apa-apa kerana itu peraturan yang ada hitam putihnya. Tetapi jika difikir balik ia tidak adil. Saya didenda kerana menghantar penyata pendapatan terlalu awal. Sedangkan tarikh akhir untuk menghantar penyata pendapatan ialah 30 April tiap-tiap tahun. Jelaslah tindakan saya menghantar penyata terlalu awal tindak menguntung, malah merugikan saya.

Semenjak itu saya hanya menghantar penyata pendapatan saya kepada Jabatan (kemudian Lembaga) Hasil Dalam Negeri pada bulan April tiap-tiap tahun.

Tuesday, March 1, 2011

Merlimau - Bahagian 2

Cik Wi dan bekas anak muridnya. Gambar dari akhbar The Star.

Yang berbaju kuning itu ialah Cik Gu Haji Zawawi. Rumahnya cuma lebih kurang 150 meter dari rumah mertua saya di Merlimau. Cik Wi (gelaran kami kepadanya) sebaya dengan saya dan berkahwin dengan saudara isteri saya. Kami sama-sama menunaikan Haji pada tahun 2007.

Cik Wi berasal dari Umbai, Melaka, kalau tak salah saya. Dari itu seperti saya dia juga termasuk dalam golongan "Bukan sebarang orang boleh berkahwin dengan orang Melemo" seperti saya sebut dalam pos saya sebelum ini. Bezanya antara Cik Wi suami isteri dengan saya suami isteri ialah mereka menetap di Merlimau sedangkan kami menetap di Seremban. Oleh itu juga Cik Wi dan isteri akan mengundi di Pilihanraya Kecil N27 Merlimau pada 6 Mac 2011 yang nanti.

Dari gambar di atas sudah jelas siapa yang Cik Wi akan pilih sebagai ADUN atau wakil rakyatnya. Kebetulan pula calon yang dipeluknya itu ialah bekas anak muridnya. Kalau sebelum ini anak muridnya itu tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Guru kepada bekas gurunya, tak tahulah apa pula yang akan diberikannya kalau beliau sudah bergelar Yang Berhormat.

Melainkan seperti saya kata dalam pos saya sebelum ini, Cik Wi dan orang Merlimau inginkan perubahan.