Saturday, August 28, 2021
MEMBERI PERSEPSI SALAH DALAM TEMPOH DUA HARI
Sunday, August 1, 2021
SAYA SUDAH TUNAIKAN SEMUA PERMINTAANNYA.
EN. KHAN
Saya mengenali En. Khan pada awal tahun 1990an semasa saya bekerja di Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. Di masa itu saya mengetuai Jabatan Pebersihan Bandar, MPS. Seperti namanya, En. Khan ialah keturunan Pakistan.
Sebelum saya bersemuka dengannya, saya sering melihat kelibatnya di pejabat saya. Di masa itu orang ramai bebas masuk ke mana-mana jabatan di MPS tanpa sekatan keselamatan seperti sekarang. Saya dapat tahu En. Khan datang ke MPS kerana membuat aduan. Ada sahaja aduan yang dibawanya. Sehingga satu hari kakitangan bawahan saya sudah bosan dengan aduannya dan meminta dia berjumpa saya sendiri.
MASALAH KECIL SAHAJA
Saya pun bertemu empat mata dengan En. Khan di bilik saya. Saya jangka tentu dia membawa aduan yang serious, tetapi tidak. Aduannya kecil sahaja, iaitu dia mengadu pekerja MPS yang memotong rumput di luar rumahnya membiarkan rumput yang dipotong itu memasuki rumahnya. Dia mahu pekerja itu masuk ke kawasan rumahnya dan menyapu rumput itu keluar.
Saya jawab sukar untuk mematuhi permintaannya. Pertama, cuma pegawai-pegawai MPS yang diberi kuasa sahaja boleh masuk ke kawasan rumah orang. Kedua, kalau perkara ini dibenarkan orang lain juga akan minta pekerja MPS masuk ke kawasan rumah mereka untuk menyapu rumput keluar. Oleh itu saya minta En. Khan menyapu sendiri rumput yang dimaksudkan keluar dari kawasan rumahnya.
SOALAN LUCU
Kemudian En. Khan menanya satu soalan yang agak melucukan saya. Dia tanya bagaimana kalau masalah yang sama melibatkan rumah saya? Saya terus jawab saya sapu sendiri rumput itu keluar. Saya tambah, tidak jadi masalah jika rumput disapu ke dalam longkang kerana ia ialah bahan 'bio-degradable', tidak seperti plastik dan sebagainya. En. Khan pun keluar meninggalkan saya.
Sejak itu En. Khan tidak lagi berani berjumpa saya walau pun kelibatnya masih saya nampak di MPS. Adakah dia takut saya akan memberi jawapan 'knock-out' seperti dahulu?. Saya tidak pasti.
BERJUMPA SEMULA
Bila saya bersara saya fikir saya tidak akan berjumpa dengan En. Khan lagi. Rupa-rupanya tidak. Lebih kurang tahun 2014 atau 2015 dia datang berjumpa saya di pejabat lain pula. Kali ini di pejabat Persatuan Pesara di mana kami berdua menjadi ahli. Malah dia mendahului saya memasuki persatuan ini, cuma saya memegang jawatan dan dia tidak.
Baru saya tahu bila En. Khan berlegar di MPS dulu dia sudah bersara dari menjadi guru. Biasalah bila sudah bersara, orang pencen ini lain yang difikirkannya. Saya masih ingat dulu ada seorang guru perempuan yang baru bersara mengadu tentang murid-murid tadika di sebelah rumahnya mengganggu kedamaiannya. Baginya nyanyian budak-budak tadika itu satu kacauganggu. Yang peliknya dia juga pernah menghantar anaknya ke tadika yang sama.
JUMPA MESRA
Pertemuan saya dengan En. Khan kali ini berjalan dengan mesra. Bila melihat nama saya Maarof, dia berkata bersaudara dengan seniman Mustafa Maarof yang berasal dari Mambau, Seremban itu. Saya sudah lupa apa yang diminta oleh En. Khan semasa perjumpaan kami itu, cuma saya telah menunaikannya.
DIA TELEFON SAYA
Beberapa bulan yang lalu saya menerima panggilan telefon dari En. Khan. Dia yang 'Bachelor Boy' atau tidak pernah berkahwin itu tidak tinggal lagi di rumah lamanya, tetapi dengan anak saudaranya di Seremban 2. Kerana susah hendak bergerak dia sudah lama tidak ke bank untuk mendapatkan duit pencennya. Tetapi baru-baru ini dia terperanjat kerana duit pencennya diberhentikan.
Saya terus faham akan masalah En. Khan, kerana telah banyak kali menolong pesara sepertinya. Oleh kerana dia bersara bujang, En. Khan telah dibayar pencen melalui Skim B di mana dia hendaklah melapor diri setiap bulan di bank. Jika tidak melapor diri selama tiga bulan, duit pencennya akan ditarik balik. Ini berbeza dengan penerima pencen Skim A di mana duit pencen dimasukkan ke dalam bank secara automatik setiap bulan.
BIBI
Saya terus berjanji akan membantu En. Khan dengan masalahnya. Untuk itu En. Khan akan menghantar anak saudaranya (yang saya pinggil Bibi sahaja di sini) untuk berjumpa saya.
Dipendekkan cerita, Bibi pun datang berjumpa saya di pejabat. Soalan pertama saya kepada Bibi ialah "Uncle ini cerewet tak?". Bibi terus menjawab "Amat cerewet". (Saya tidak dapat menceritakan butir-butir perbualan saya seterusnya dengan Bibi kerana saya anggap ia bertaraf 'classified').
Tindakan saya seterusnya ialah berurusan dengan Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP di Cyberjaya untuk menukar skim bayaran pencen En. Khan dari Skim B ke A termasuk mendapatkan tunggakan pencen beberapa bulan itu.
PANTAU
Selepas itu hampir setiap hari saya membuka laman web JPA Pencen untuk memantau perkembangan tuntutan En. Khan. Menyedari dia seorang yang cerewet (malah amat cerewet, kata Bibi), saya tidak mahu dia membuat apa-apa aduan lagi. Saya merasa lega apabila sahaja melihat tunggakan pencen En. Khan sudah dibayar dan skim bayaran pencennya sudah ditukar dari B ke A. Saya pun menalipon Bibi menyampaikan berita baik itu.
Selang beberapa hari saya pula menerima panggilan telefon dari Bibi. Katanya 'uncle' hendak bercakap dengan saya. Saya ingat En. Khan hendak berterima kasih, tetapi tidak. Dia mengadu tidak menerima bonus khas kerajaan sebanyak RM300 dan kenaikan pencen 2% untuk tahun 2021. Saya buka laman web JPA Pencen sekali lagi dan mendapati dakwaan En. Khan itu benar. Saya memarahi diri saya sendiri kerana tidak meneliti perkara ini.
HUTANG TETAP HUTANG
Saya terus menghantar email ke KWAP. Di samping itu saya berhubung melalui mesengger Facebook dan panggilan telefon dengan pegawai-pegawai JPA Pencen yang saya kenal. Akhirnya pada 30 Julai 2021 selesailah segala hutang Kerajaan Malaysia kepada En. Khan. Mulai sekarang pula En. Khan boleh mengeluarkan duit pencennya di mana-mana mesin ATM.