Saturday, August 28, 2021

MEMBERI PERSEPSI SALAH DALAM TEMPOH DUA HARI

Wajah PKP

Ia bermula bila seorang kuat persatuan pesara saya yang belum dikurniakan apa-apa pingat menghubungi saya pada 24 Ogos 2021. Saya tidaklah sensitif dengan pingat ini. Semasa mula-mula memegang jawatan Setiausaha persatuan, saya perhatikan di belakang nama setiap ahli jawatankuasa diletakkan singkatan pingat-pingat yang mereka terima, baik dari raja-raja yang memerintah negeri atau Yang Di-Pertuan Agong. Ada yang pingat mereka berderet. Saya pun membuang singkatan pingat-pingat itu bila menaip nama-nama mereka. 

Tujuan saya bukan apa, cuma untuk menjaga hati mereka yang mempunyai satu atau dua pingat atau tidak ada pingat langsung. Tetapi bila tindakan itu ditegur, saya pun meletakkan semula singkatan nama-nama pingat itu.

Kawan saya itu minta saya dapatkan sokongan dan tandatangan boss kami yang tinggal di Jelebu, Negeri Sembilan. Memandangkan orang Negeri Sembilan dibenarkan merentas daerah mulai 26 Ogos 2021 setelah berkurung lama akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya berjumpanya pada hari sebelumnya dan mendapatkan dokumen-dokumen tertentu.

Pada 26 Ogos 2021 pagi-pagi lagi saya bergerak ke Jelebu dengan tiga tujuan. Pertama, berjumpa dengan boss di rumahnya untuk berbincang mengenai persatuan. Kedua untuk mendapatkan sokongan dan tanda tangannya di borang permohonan pingat kawan kami itu. Ketiga untuk balik ke kampung dan berjumpa dengan adik-adik saya.

Setelah berbincang dengan boss, dia cuma menurunkan tandatangannya di borang permohonan pingat itu. Dia minta saya sendiri mengarang dan menulis apa-apa yang patut ditulis dalam borang yang sama. Kemudian saya pun meneruskan perjalanan ke kampung dengan harapan dapat merasa apa-apa buah-buahan yang ada. 

Di kampung saya pun membuka telefon bimbit untuk membaca apa-apa pesanan di WhatsApp. Satu darinya ialah dari seorang jiran juga suri rumah yang menyediakan makanan untuk saya beli hampir setiap hari. Dia cuti hari itu katanya. Saya jawap tak apa kerana saya pun ada di kampung. Perbualan berakhir dengan dia minta saya membawanya sedikit buah rambutan.

Memang ada buah rambutan masak di tanah peninggalan emak yang sekarang dipunyai oleh adik perempuan saya, tetapi untuk mengambilnya satu hal juga. Jadi saya putuskan untuk membeli rambutan dalam perjalanan balik nanti. 

Nasib saya baik bila saya dapati ada rambutan di gerai di mana kami adik beradik makan tengah hari. Tetapi bila saya hendak membelinya tuan punya gerai kata ambil sajalah banyak mana saya hendak kerana rambutan itu pun diletakkan di gerainya oleh seorang yang ingin bersedekah. Tidak patutlah dia menjualnya pula. Saya pun mengambil dalam 3 kilogram.

Sampai sahaja saya di rumah saya terus memberikan rambutan percuma itu kepada jiran saya itu melalui suaminya. Tidak lama kemudian saya menerima WhatsApp dari suri rumah tadi memuji kesedapan rambutan yang saya bawa itu. Dia membalasnya dengan memberi saya semangkuk bakso. Saya rasa bersalah kerana membuatkan dia berfikir bahawa rambutan itu datang dari dusun keluarga saya.   

Sementara itu saya pun menjalankan arahan boss dengan menulis apa yang patut di borang permohonan pingat kawan saya itu. Keesokan harinya, 27 Ogos 2021 saya menyerahkan borang yang lengkap itu kepadanya. Di samping mengucapkan terima kasih, dia gembira melihat boss kami ada menulis sesuatu disamping menurunkan tandatangannya.

Sekali lagi saya rasa bersalah kerana membuatkannya berfikir bahawa tulisan itu dikarang dan ditulis oleh boss kami.

Sekian.

No comments: