Friday, September 25, 2009

Nampak apa perubahan.

Pada Hari Raya keenam saya bersolat Jumaat seperti biasa di Masjid India Muslim Ulu Temiang, Seremban.


Masjid tidak penuh seperti solat Jumaat di bulan Ramadan. Tetapi sekurang-kurang ia melebehi dari jemaah di Jumaat pertama selepas Hari Raya pada tahun sebelumnya. Sila lihat pos saya ini:

Mungkin kerana di tahun lepas Jumaat pertama jatuh pada Hari Raya ketiga.

Tuesday, September 22, 2009

Berjumpa kawan lama - Bahagian 2

Semalam, 21 September 2009 bersamaan 2 Syawal 1380 saya berjumpa semula dengan seorang lagi kawan sekolah saya yang saya tidak temui selama 42 tahun. Beliau ialah Husin bin Bachik berasal dari Kg. Simpang, Merlimau, Melaka.

Saya tahu dari dulu lagi bahawa Husin berasal dari Melaka tetapi saya tidak sangka sama sekali kampungnya paling hampir dengan kampung isteri saya diantara kawan-kawan saya yang lain.

Baru-baru ini saya mendapat nombor telefon bimbitnya dari seorang kawan yang lain. Saya terperanjat bila Husin memberitahu dia berasal dari Merlimau, Melaka. Rupa-rupanya Husin kenal dengan Allahyarham bapa mertua saya yang pernah mengajarnya di sekolah rendah kampungnya. Rumahnya pula berhampiran dengan rumah Allahyarham Pak Itam Ghani adik kepada bapa mertua saya. Semasa hayatnya saya sering pergi ke rumah Pak Itam Ghani terutama di Hari Raya dan lalu di hadapan rumah Husin. Mungkin Husin ada dalam rumah semasa itu.


Husin dulu bertugas dengan TUDM dan sekarang menetap di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. Seperti biasa dia balik beraya di kampungnya. Oleh kerana saya pun balik ke kampung isteri saya di Hari Raya kedua saya mengambil kesempatan ini untuk berjumpa dengan Husin.


Dalam kelas Husin saya ingat sebagai seorang yang kelakar. Bila dia bersuara kawan-kawan semua akan ketawa. Ada sahaja jenakanya. Saya selalu teringatkan Husin bila mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Tan Sri Isa Samad berjenaka.



Dengan isteri masing-masing. Yang di hadapan itu ialah Haziq, cucu saya. Masih di Tadika tetapi cukup sebulan berpuasa.



Husin dan saya. Husin masih ceria dan sihat seperti dahulu.


Husin berdiri paling kanan di barisan paling belakang. Dia tinggi di masa itu tetapi semalam saya dapati saya lebih tinggi darinya.


Saturday, September 19, 2009

Perginya seorang kawan - Bahagian 2

Pemergian kawan saya Abd. Hafidz semalam mengingatkan saya apabila saya kehilangan seorang kawan sekolah juga beberapa tahun yang lalu. Kawan yang dimaksudkan bernama Hashim dan berasal dari Kg. Siliau, Rantau, Negeri Sembilan.

Allahyarham meninggal dunia di Pulau Jawa, Indonesia semasa menjalankan perniagaan di sana. Saya sudah lupa tahunnya tetapi yang jelas di masa itu Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA belum digunakan lagi. Dato' Salamon Selamat yang semasa itu menjadi Ahli Parlimen Shah Alam telah menggunakan pengaruhnya dengan menyegerakan kepulangan jenazah Allahyarham Hashim ke Malaysia.

Dato' Salamon berbuat demikian kerana dua sebab. Sebab pertama ialah beliau semasa itu juga menjadi Yang Di Pertua, Persatuan Murid Tua kami yang dikenali sebagai SDARA. Sebab kedua ialah Dato' juga sahabat karib kepada Allahyarham. Saya sering ke rumah Dato' semasa rumah terbuka Hari Raya dan juga perkahwinan anaknya. Tiap-tiap kali saya perhatikan Allahyarham Hashim menjadi orang kuat di rumah Dato'.

Saya menerima berita pemergian Hashim dari kawan saya Ibrahim juga. Kami pun berkumpul di pejabat guaman Ibrahim di Rasah dan di situ telah sedia beberapa orang kawan kami yang kebanyakannya datang dari Lembah Kelang.

Saya masih ingat Ibrahim menalipon Allahyarham Hafidz yang semasa itu tinggal di Pulau Pinang. Saya perhatikan Ibrahim menggunakan talian tetap. Saya sempat menasihatkan Ibrahim adalah lebih murah jika menggunakan telefon bimbit jika menalipon sejauh Pulau Pinang.

Dari situ kami bersama-sama bertolak ke Siliau menunggu kepulangan jenazah Allahyarham Hashim. Sekali lagi di Siliau saya berjumpa dengan beberapa orang kawan sekolah yang terputus hubungan selama berpuluh tahun.

Setelah beberapa jam menunggu jenazah Allahyarham Hashim pun sampai diiringi oleh kawan karibnya Dato' Salamon Selamat. Saya sempat melihat wajah Allahyarham yang sudah dimasukkan ke dalam keranda oleh pihak berkuasa Indonesia. Setelah bacaan Tahlil dan solat jenazah oleh orang-orang kampung dan kami jenazah Hashim pun dikebumikan dengan keranda sekali. Cuma imam mengarahkan supaya jenazah Hashim dialihkan di dalam keranda supaya menghadapi Kiblat.

Lebih kurang setahun kemudian saya datang sekali ke Kg. Siliau. Kali ini saya menghantar anak lelaki seorang jiran saya yang berkahwin di sana. Di masa itu Lapangan Terbang KLIA sudah digunakan kerana saya dapat melihat kapalterbang terbang rendah di atas Kg. Siliau.

Saya masih ingat rumah Allaharham Hashim dan kalau tak salah saya perhatikan ia cuma terletak lebih kurang 150 meter di belakang rumah pengantin perempuan.

Saya pun bertanya untuk mendapat pengesahan dari tuan-tuan rumah di sana. Rupa-rupanya betul dan pengantin perempuan ialah anak saudara kawan saya Allahyarham Hashim. Ramailah saudara mara Hashim yang datang meraikan perkahwinan saudara mereka termasuk ibu kepada Hashim.

Saya pun diperkenalkan kepada ibu Hashim dan saya terus menceritakan kepadanya hubungan saya dengan arwah anaknya. Mendengar cerita saya ibu Hashim terus memeluk dan mencium saya sambil menangis. Saya pun mengalirkan air mata dibuatnya.

Ibu Hashim terus bercerita bahawa Dato' Salamon banyak menolongnya dalam kepulangan jenazah anaknya dari Indonesia ke Malaysia. Dia juga bercerita ramai kawan-kawan sekolah Hashim datang di hari ketibaan jenazah. Saya nyatakan kepadanya saya adalah salah yang datang itu.

Di sekolah dulu Allahyarham Hashim menjadi Pengerusi, Jawatankuasa Makanan atau Chairman, Food Committee. Beliaulah yang menjadi ketua kepada peristiwa pecah pinggan seperti yang saya ceritakan di sini :

Oleh itu Allahyarham Hashim boleh dianggap sebagai seorang hero juga.

Apa yang saya pelajari dari pengalaman ini ialah persahabatan kami di sekolah yang singkat dahulu terus berpanjangan bukan sahaja setakat kami tetapi kaum keluarga kami juga.

Friday, September 18, 2009

Perginya seorang kawan

Entah mengapa malam tadi saya tidak selesa tidur walau pun saya tidur lewat dari biasa. Biasanya saya tidur pada jam 10.00 malam tetapi oleh kerana biras saya Cik Gu Ishak sekeluarga datang berkunjung pada waktu itu saya mula tidur pada jam 11.00 malam. Malam tadi saya asyik terjaga sahaja.

Saya terus bangun pada jam 4.45 pagi walau pun penggera di telefon bimbit saya sudah diprogramkan untuk berbunyi pada jam 5.00 pagi tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan ini untuk saya bangun bersahur.

Pada jam 5.30 pagi saya terdengar ada panggilan di telefon bimbit saya. Saya lihat nama penghantar ialah kawan saya Ibrahim Moideen. Saya sudah mengagak berita kurang baik darinya. Jika tidak mengapa dia menalipon pagi-pagi bagini. Betul, Ibrahim bertanya saya sudah mendapat tahu belum? Bila saya jawab belum dia terus memberitahu kawan kami Abd. Hafidz yang kami lawati kerana uzur pada 5 September 2009 yang lalu baru sahaja meninggal dunia dua jam yang lalu. Allahyarham akam dikebumikan selepas Solat Jumaat katanya.


Ibrahim menerima berita dari kawan kami Md. Shah yang sama-sama menziarahi Allahyarham dahulu. Cerita lawatan kami ada di sini:
http://maarofkassim.blogspot.com/2009/09/melawat-kawan-lama-yang-uzur.html


Walau kami kehilangan kawan sekurang-kurangnya Allahyarham bebas dari penderitaannya di dunia. Dia pergi pula di pagi Hari Jumaat di bulan Ramadhan. Semuga Allah mencucuri Rahmat kepada Roh Allahyarham Abd. Hafidz.

Monday, September 14, 2009

Berpuasa dalam bulan Ramadhan

KELAS TAHUN 1962

Semenjak bulan Ramadhan pada tahun ini fikiran saya berbelah bagi sama ada hendak menulis mengenai ibadat puasa atau tidak. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menulis sedikit.

MAKAN TENGAH MALAM

Apabila bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur tiga tahun pada tahun 1953 ibu membawa kami empat beradik tinggal di rumah datuk kami. Sejak itu lah saya tahu sedikit demi sedikit mengenai ibadat puasa. Mula-mulanya ialah apabila saya lihat orang-orang dewasa di rumah datuk saya iaitu datuk saya sendiri, nenek, ibu saya dan dua adik perempuannya yang masih anak dara ketika itu bangun untuk makan di malam hari. Kemudian mereka tidur kembali.

Di waktu senja pula mereka makan makanan yang sedap-sedap. Nenek, ibu dan adik-adiknya yang memasak sendiri makanan tersebut. Kami adik beradik beradik dan seorang lagi adik lelaki ibu saya yang muda setahun dari saya tidak dibenarkan makan bersama. Kami diarahkan untuk duduk di serambi rumah sambil mereka makan di ruang makan antara dapur dengan serambi. Kami hanya dibenarkan untuk menyertai mereka setelah makan. Alhamdulillah masih ada makanan untuk kami.


OH, MEREKA BEPUASA

Beberapa tahun kemudian selepas saya bersekolah baharu lah saya mengerti mengapa orang-orang dewasa di rumah datuk saya makan sebelum subuh dan sewaktu senja. Mereka menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Mereka bangun di waktu malam untuk makan sahur dan mereka makan di waktu senja untuk berbuka puasa.

Saya hanya mula berpuasa semasa saya darjah empat atau lima sekolah rendah setelah ibu membawa kami balik ke rumahnya. Tidak ada masalah bagi saya untuk berpuasa. Cuma saya rasa letih jika bersekolah kerana terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak lebih kurang dua kilometer jauhnya dari rumah.


BUDAK-BUDAK BAYA KAU BELUM PUASA LAGI

Saya memasuki sekolah menengah iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak pada tarikh 14 Februari 1962 bersamaan 9 Ramadhan 1381. Oleh kerana saya sudah biasa berpuasa tidak menjadi masalah bagi saya untuk berpuasa di asrama. Cuma pada mula saya terasa sedih amat sangat apabila tidak berbuka puasa dan bersahur bersama ibu dan adik-adik. Lama kelamaan saya rasa seronok pula berbuka puasa dengan kawan-kawan di dewan makan asrama.

Sehari sebelum sampai ke Tanjung Malim saya yang dihantar oleh ibu saya dan bapa saudara saya Allahyarham Ibrahim (adik ibu) singgah dan bermalam di rumah seorang saudara jauh kami di Kalumpang, Selangor. Kami sampai lebih kurang pukul 2 petang.

Sedang ibu dan bapa saudara saya berbual-bual dengan tuan rumah di serambi tiba-tiba isteri tuan rumah memanggil saya dan membawa saya ke ruang dapur. Di atas meja sudah terhidang makanan untuk saya dan ia meminta saya makan. Saya terus jawab saya tak boleh makan kerana puasa. Puan rumah terus menjawab "Kau puasa? Di sini budak-budak baya kau ni belum puasa lagi", sambil menunjuk kepada anak lelakinya bernama Zainol yang sebaya dengan saya. Puan rumah menghormati situasi saya dan menutup makanan dengan tudung saji.


SEMINAR DI BULAN PUASA

Saya mula bekerja pada 2 Disember 1968 bersamaan 11 Ramadhan 1388. Bulan puasa juga. Agaknya kerana berkat bulan puasa saya tidak memegang jawatan lain dari tarikh itu sehingga sekarang.

Tetapi peristiwa di bulan Ramadhan yang betul mencabar saya ialah pada bulan Oktober tahun 1973 bersamaan bulan Ramadhan 1393. Saya dihantar untuk menghadiri satu seminar makanan selama satu bulan di Kuala Lumpur. Ia terpaksa diadakan di bulan puasa untuk memberi ruang kepada seorang pakar makanan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organisation (WHO) yang datang dari New Zealand. Namanya T. W. Adams dan sudah tentu dia tidak wajib berpuasa.

Bayangkan kami bercakap mengenai makanan dari pagi hingga petang sedangkan kami berpuasa. Kemudian melawat pula kedai-kedai makan dan kilang-kilang makanan. Oleh itu ramai juga saya perhatikan kawan-kawan saya 'berbuka puasa' sebelum waktunya.

Rahmat dari seminar itu ialah elaun yang saya terima agak lumayan juga. Ia betul-betul menolong saya kerana saya mendirikan rumah tangga sebulan kemudian pada 17 November 1973.

Bila sekarang saya lihat kanak-kanak kecil lagi sudah berpuasa saya teringat pengalaman saya di Kalumpang, Selangor itu. Walau bagaimana pun saya harap di sana tidak ada lagi kanak-kanak yang sudah bersekolah menengah tapi belum berpuasa.

Saturday, September 5, 2009

Melawat kawan lama yang uzur

Pagi tadi saya dengan empat orang lagi kawan-kawan sekolah saya melawat seorang kawan kami yang sedang uzur. Saya, Ibrahim dan Karim datang dari Seremban. Md. Shah datang dari Tampin dan Mat Isa datang dari Felda Sg. Lui, Jempol, Negeri Sembilan. Kami bertemu di rumah kawan kami Hafiz di Desa Permai, Selaru, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Hafiz berasal dari Johol, Negeri Sembilan dan menetap di Selaru selepas bersara dari kerajaan. Jawatan akhirnya sebelum bersara ialah Pegawai Daerah Jempol, Negeri Sembilan. Setelah bersara beliau dilantik menjadi seorang Ahli Lembaga Penapisan Filem, Malaysia. Tetapi beliau terpaksa berhenti dari menjadi Ahli setelah uzur sejak beberapa bulan yang lalu.

Empat puluh tujuh tahun yang lalu atau di tahun 1962 kami mula-mula bertemu di pekan kecil Tanjung Malim, Perak untuk memulakan persekolahan menengah kami di Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR. Saya datang dari Jelebu, Ibrahim dari Rembau, Karim dari Tampin, Md. Shah dari Gemencheh, Mat Isa dari Felda Sg. Lui dan Hafiz dari Johol, kesemuanya dari Negeri Sembilan.

Selain memulakan persekolahan menengah kami juga memulakan hidup seperti keluarga di asrama. Kami juga bercampur dengan kawan-kawan dari negeri-negeri lain.

Kami meninggalkan sekolah pada penghujung tahun 1967 dan membawa haluan masing-masing. Ada yang meneruskan pelajaran dan ada yang terus bekerja seperti saya. Ibrahim dan Hafiz meneruskan pelajaran setelah bekerja.

Sebelum tiba era komputer dan telefon bimbit kami seolah-olah putus hubungan. Saya pernah berjumpa dengan Md. Shah di pantai Desaru, Pasir Puteh, Kelantan semasa saya bekerja di sana dan Md. Shah menjadi guru graduan. Di samping itu juga kami sibuk membesarkan anak-anak sambil mengejar kerjaya masing-masing.

Cuma dalam beberapa tahun kebelakangan ini hubungan kami erat kembali. Di antara kami Ibrahim lah yang menguatkan ikatan kami. Ini ditambah dengan kemudahan telefon bimbit dan internet yang belum ada semasa kami meninggalkan sekolah dulu.

Oleh itu apabila Ibrahim menalipon saya sambil mengajak untuk melawat kawan kami Hafiz yang uzur saya rasa berdosa jika menolaknya. Terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya sudah mendapat tahu mengenai keadaan Hafiz dari Md. Shah sebelum ini.

Saya sungguh terperanjat melihat keadaan Hafiz yang sangat berbeza dari apa yang saya lihat tiga tahun yang lalu bila kami berjumpa di Putrajaya. Gambar-gambar di bawah menjelaskannya. Hafiz pernah dibedah beberapa tahun yang lalu kerana masalah jantung. Sekarang beliau didapati mengidap barah usus atau colon cancer.

Semuga Allah memelihara Hafiz dan keluarga.

(Tambahan: Kawan saya Hafiz telah meninggal dunia beberapa hari selepas perjumpaan itu, juga di bulan puasa)

Inilah keadaan Hafiz yang saya lihat pagi tadi. Berdiri dari kiri: Karim, Mat Isa, Ibrahim, Md. Shah dan saya.



Ini gambar kami di Kelab Tasik Putrajaya pada bulan Jun 2006. Hafiz berdiri ketiga dari kiri, Mat Isa berdiri kelima dari kiri, saya sebelah Mat Isa, Md. Shah berdiri kesembilan dari kiri dan Karim berdiri kedua dari kanan. Ibrahim duduk kedua dari kanan.