Saturday, September 5, 2009

Melawat kawan lama yang uzur

Pagi tadi saya dengan empat orang lagi kawan-kawan sekolah saya melawat seorang kawan kami yang sedang uzur. Saya, Ibrahim dan Karim datang dari Seremban. Md. Shah datang dari Tampin dan Mat Isa datang dari Felda Sg. Lui, Jempol, Negeri Sembilan. Kami bertemu di rumah kawan kami Hafiz di Desa Permai, Selaru, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Hafiz berasal dari Johol, Negeri Sembilan dan menetap di Selaru selepas bersara dari kerajaan. Jawatan akhirnya sebelum bersara ialah Pegawai Daerah Jempol, Negeri Sembilan. Setelah bersara beliau dilantik menjadi seorang Ahli Lembaga Penapisan Filem, Malaysia. Tetapi beliau terpaksa berhenti dari menjadi Ahli setelah uzur sejak beberapa bulan yang lalu.

Empat puluh tujuh tahun yang lalu atau di tahun 1962 kami mula-mula bertemu di pekan kecil Tanjung Malim, Perak untuk memulakan persekolahan menengah kami di Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR. Saya datang dari Jelebu, Ibrahim dari Rembau, Karim dari Tampin, Md. Shah dari Gemencheh, Mat Isa dari Felda Sg. Lui dan Hafiz dari Johol, kesemuanya dari Negeri Sembilan.

Selain memulakan persekolahan menengah kami juga memulakan hidup seperti keluarga di asrama. Kami juga bercampur dengan kawan-kawan dari negeri-negeri lain.

Kami meninggalkan sekolah pada penghujung tahun 1967 dan membawa haluan masing-masing. Ada yang meneruskan pelajaran dan ada yang terus bekerja seperti saya. Ibrahim dan Hafiz meneruskan pelajaran setelah bekerja.

Sebelum tiba era komputer dan telefon bimbit kami seolah-olah putus hubungan. Saya pernah berjumpa dengan Md. Shah di pantai Desaru, Pasir Puteh, Kelantan semasa saya bekerja di sana dan Md. Shah menjadi guru graduan. Di samping itu juga kami sibuk membesarkan anak-anak sambil mengejar kerjaya masing-masing.

Cuma dalam beberapa tahun kebelakangan ini hubungan kami erat kembali. Di antara kami Ibrahim lah yang menguatkan ikatan kami. Ini ditambah dengan kemudahan telefon bimbit dan internet yang belum ada semasa kami meninggalkan sekolah dulu.

Oleh itu apabila Ibrahim menalipon saya sambil mengajak untuk melawat kawan kami Hafiz yang uzur saya rasa berdosa jika menolaknya. Terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya sudah mendapat tahu mengenai keadaan Hafiz dari Md. Shah sebelum ini.

Saya sungguh terperanjat melihat keadaan Hafiz yang sangat berbeza dari apa yang saya lihat tiga tahun yang lalu bila kami berjumpa di Putrajaya. Gambar-gambar di bawah menjelaskannya. Hafiz pernah dibedah beberapa tahun yang lalu kerana masalah jantung. Sekarang beliau didapati mengidap barah usus atau colon cancer.

Semuga Allah memelihara Hafiz dan keluarga.

(Tambahan: Kawan saya Hafiz telah meninggal dunia beberapa hari selepas perjumpaan itu, juga di bulan puasa)

Inilah keadaan Hafiz yang saya lihat pagi tadi. Berdiri dari kiri: Karim, Mat Isa, Ibrahim, Md. Shah dan saya.



Ini gambar kami di Kelab Tasik Putrajaya pada bulan Jun 2006. Hafiz berdiri ketiga dari kiri, Mat Isa berdiri kelima dari kiri, saya sebelah Mat Isa, Md. Shah berdiri kesembilan dari kiri dan Karim berdiri kedua dari kanan. Ibrahim duduk kedua dari kanan.

2 comments:

Anonymous said...

Maarof

Saya ucap terima kasih diatas posting ini.

Sebenarnya setiap kali saya lalu di Selaru itu, saya pasti ingatkan Hafiz. Tak sangka pula kesihatan dia semakin luntur.

Beberapa minggu (probably 2 bulan kut) sebelum puasa baru ini saya ada call h/p dia. Yang jawab wife dia. Hafiz masa tu keluar. H/p tinggal rumah.

Wife dia tak cerita yang dia uzur.

Sekiranya hang call saya pagi tadi, Insya Allah boleh juga aku join rombongan kamu tu.

Saya terperanjat bila tengok gambar dia.... he is really nampak berbeza dari masa dia sihat dulu.

Sama sama kita doa agar Allah sembuhkan dia.

wassalam
MA

Anonymous said...

Tn Hj,

Melihat pada wajah masing2 tn hj dengan A Karim nampak masih `muda'.

Adakah A Karim tu A Karim Alias?. Beri alamat penuh Hafiz ni. Tn Hj ada nombor tel Md Isa?. InsyaAllah saya lapangkan masa melawat saudara Hafiz.

Saya jarang2 sangat tengok email....tn hj. Kadang2 banyak cerita yang saya tak tau. Tengok2 email tau2 Husin Sirat dah meninggal....

Sejak pemergian ibu saya saya terasa sangat kehilangannya.

MBAA