Tuesday, May 26, 2020

Mereka pun pahlawan juga.

Saya dan kawan-kawan semasa latihan di Institut Kesihatan Umum, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Dengan kembali hidupnya blog saya ini setelah digantung kerana tidak membayar yuran 'domain', saya mulakan menulis semula dengan pos pertama mengenai wabak Covid-19.

Malaysia sekarang telah melalui kemuncak wabak Covid-19. Saya tidak mahu menerangkan apakah bendanya Covid-19 itu kerana semua orang sudah tahu. Sehinggakan hidup kita berubah kerananya. Contoh yang baik ialah di tahun ini pertama kali kita merayakan Hari Raya Aidilfitri tidak seperti biasa.

Saya baharu sahaja balik dari menjelajah daerah-daerah Seremban, Port Dickson, Rembau dan Kuala Pilah di Hari Raya Ketiga. Biasanya di hari ini orang-orang Islam di Malaysia masih merayakan Hari Raya itu. Kenderaan banyak di jalan raya dan suasana kunjung mengujung masih ternampak di kampung-kampung. 

Pekan Kuala pula biasanya sesak dengan kenderaan di Hari Raya ketiga ini. Tetapi kali ini tidak. Cuma saya perhatikan orang ramai beratur di Restoran KFC Kuala Pilah. Di Restoran McDonalds Kuala Pilah pula kereta beratur panjang. Saya terpaksa membatalkan niat untuk makan tengah hari di Kuala Pilah. Saya makan tengah hari di Restoran Marrybrown di Paroi, Seremban.

Banyak diceritakan mengenai 'front liners' yang menentang wabak Covid-19. Terbayang di kepala kita doktor dan jururawat memakan pakaian yang dipanggil 'Personal Protective Equipment' atau PPE di hospital-hospital. 

Tetapi ramai dari kita tidak sedar akan ujudnya satu lagi 'front liners'. Mereka tidak memakai PPE (kalau ada pun tidak penuh). Mereka tidak memakai uniform yang senang dikenali seperti Polis, Angkatan Tentera dan RELA. 

Mereka ialah Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP). Alangkah uniknya Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Perintah Kawalan Pergerakan mempunyai 'initials' yang sama iaitu PKP.

Tetapi saya ingin menumpukan kepada jawatan kedua iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran atau PPKP. Kalau ada sesiapa ingin menyiasat apakah jawatan rasmi saya semasa saya bersara, itulah jawatannya seperti direkodkan di Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perhidmatan Awam atau JPA Pencen.

Itu jugalah satu-satunya jawatan rasmi yang saya pegang semasa semasa bekerja dulu. walau pun di jabatan-jabatan berbeza. Pertama di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kedua di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). 

Jawatan ini dulu dipanggil Inspektor Kesihatan atau Health Inspector dan saya lebih selesa dipanggil begitu. Malah jawatan Inspektor Kesihatan ada disebut dalam Akta Mencegah Penyakit Berjangkit atau Akta 340 yang digunakan oleh kerajaan untuk mengawal penyakit Covid-19 sekarang.

Salah satu sebab mengapa orang ramai tidak sedar akan peranan kami dalam usaha-usaha mengawal penyakit Covid-19 yang sudah sampai ke taraf 'pandemic' (berbeza dengan taraf 'epidemic' seperti sekali sekala dalam kes 'cholera' atau 'typhoid') ialah bilangan kami. Bilangan kami kecil, baik di KKM Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Tetapi walau pun kecil, kami tidak kurang pentingnya.

Secara amya, tugas Inspektor Kesihatan dalam 'pandemic' Covid-19 ialah mengawal penyakit itu dari merebak. Setiap kes hendaklah disiasat untuk mencari puncanya. Kemudian 'contacts' kepada kes hendaklah dicari supaya mereka tidak merebakkan penyakit itu kepada orang lain.

Jika kita lihat di Negeri Sembilan, ketiga-tiga 'clusters' Rembau, Sendayan dan Pedas sudah dapat dikawal. Malah saya sendiri yang pernah menjadi 'contact' kepada satu kes 'cluster' Rembau menawarkan diri saya untuk disaring dan Alhamdulillah, keputusannya negatif.  Kejayaan mengawal 'clusters' itu ialah hasil usaha kawan-kawan se jawatan saya di Pejabat-Pejabat Kesihatan di Negeri Sembilan. 

Sekarang timbul pula 'cluster' Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Mengikut Dr. Noor Hisham, Ketua Pengarah Kesihatan di sidang akhbarnya hari ini, punca jangkitan 'cluster' ini belum dapat dipastikan. 

Tugas kenalpasti dalam 'cluster' DTI ini tentulah sukar sedikit, masalah utama ialah komunikasi. Saya pernah mengalami kesukaran komunikasi ini bila bertugas di Kelantan pada tahun 1972.

Selain dari kesukaran komunikasi, tentu PATI tidak mahu mendedahkan banyak rashsia, bimbang maklumat itu digunakan terhadap mereka. Terpulanglah kepada kawan-kawan saya di sana untuk menggunakan kepakaran mereka untuk memastikannya punca jangkitan di kalangan PATI ini dengan tujuan tidak merebakkannya kepada kita rakyat jelata Malaysia.

Sekian.

Sunday, May 10, 2020

SYUKUR, EMAK TIDAK DIAPA-APAKAN.

Itu arwah emak saya yang sedang memerah santan kelapa di satu persediaan kenduri. Foto diambil semasa saya masih bujang.

Saya seorang 'loner'. Saya merasa kurang selesa bila berada di kumpulan lebih dari dua orang. Walau  pun saya sedar akan sikap saya ini dari kecil lagi, belum ada orang yang memberi komen begitu hinggalah baru-baru ini bila seorang rakan pesara saya menulisnya di kumpulan WhatsApp kami.

Semasa berlatih di Japan pada tahun 2004, saya habiskan masa di hujung-hujung minggu untuk menjelajah seluruh Bandaraya Fukuoka seorang diri. Kefasihan saya berbahasa Inggeris cukup membantu.

Semasa mengerjakan Haji juga, jika saya tidak ke Masjid Nabawi dan Masjidiul Haram bersama isteri, saya suka merayau seorang diri. Semasa di Arafah dan Mina bila tidak membuat Rukun-Rukun Haji, saya suka merayau di khemah-khemah Haji.

Semasa kecil emak saya suka membawa saya ke majlis-majlis kenduri di kampung, termasuk ke majlis persediaan. Semasa persediaan emak akan menyuruh saya 'duduk ontok-ontok' di halaman rumah sedangkan dia naik ke atas menolong tuan rumah. Dia berharap saya akan bermain dengan kawan-kawan sebaya dan melupakannya dalam tempoh itu.

Tetapi saya ini jenis yang tidak suka berkawan. Saya membuat hal saya sendiri. Sekali sekala saya akan memandang ke atas rumah mencari emak. Bila kelibatnya nampak, hati saya lega sekejap. Tetapi bila emak agak lama tidak kelihatan membuat saya berfikir macam-macam.

Antara yang dibuat jiran-jiran semasa persediaan kenduri ialah memotong daging dan ayam. Disinilah saya memikirkan yang bukan-bukan. Antaranya ialah emak saya sudah disembelih. Seterusnya saya berfikir antara daging dan ayam yang dipotong ialah daging emak saya.

Kerana sifat pediam, saya malu hendak bertanya kepada orang-orang dewasa di situ di mana emak saya dan apa yang sedang dibuatnya. Hendak menangis terasa malu. Akhirnya saya berdiam diri sedangkan hati saya cuma Allah yang tahu.

Akhirnya bila emak turun dan mengajak saya pulang, barulah saya lega. Rupanya emak saya tidak diapa-apakan.

Bila saya sudah bersekolah dan berakal panjang, barulah saya tahu tidak mungkin emak saya diapa-apakan. Tetapi saya tetap dengan sifat saya suka bersendiri.

Tetapi emak saya tidak perlu bimbang dengan sifat saya itu. Ini kerana walau pun dia buta huruf, dia tahu membaca angka. Dia juga tidak buta warna. Dia tidak pernah nampak warna merah di Buku Kemajuan sekolah saya. Di peperiksaan pula kedudukan saya nombor 1 dalam kelas. Jarang-jarang saya dapat nombor lebih dari itu.