Saturday, February 19, 2022

DIA TAK TAHU APA ITU 'TIME SLIP'.

 

Mr. Ng dan saya di pejabat persatuan kami.

Mr. Ng ialah seorang pesara Jabatan Telekom dulu. Sekarang jabatan itu telah dikorporatkan dengan nama ringkas TM untuk Telekom Malaysia. Dia berjumpa saya di pejabat persatuan kami bila mendapat tahu dia boleh menuntut bayaran perjalanan perubatan dari rumahnya ke mana-mana hospital atau institut perubatan yang jauhnya melebihi 25 km.

Telah berpuluh kali dan bertahun dia pergi ke Institut Jantung Negara atau IJN di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dari rumahnya di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk mendapatkan rawatan. Ini terbukti dari kad temujanji yang ditunjukkannya kepada saya di pertemuan kali pertama kami.

Saya terangkan kad temujanji itu tidak boleh dijadikan dokumen untuk menyokong permohonannya. Ini kerana walau pun di kad itu ditulis tarikh-tarikh temujanji, ini tidak bermakna dia menepati janji. Bila dia tanya dokumen apa yang dia hendak gunakan untuk membuktikan kehadirannya di IJN, saya jawab dengan 'Two four letter words' iaitu 'Time Slip'. Bila dia tanya apa 'time slip' itu, saya terus jawab "Jika tak tahu apa itu 'time slip', ini bermakna awak tak pernah ponteng kerja dulu'.

Bila dia tanya macam mana saya tahu dia tak pernah ponteng kerja saya jawab sebab dia tak tahu apa itu 'time slip'. 'Time slip' ada dikeluarkan oleh setiap klinik dan hospital di seluruh Malaysia, baik kerajaan atau swasta. Ia amat dibenci oleh mana-mana pekerja yang ingin mendapatkan sijil cuti sakit dari klinik atau hospital di mana mereka menerima rawatan pesakit luar. Pemberian 'time slip' dan tidak sijil cuti sakit bermakna setiap pekerja, sama ada yang berhajat hendak ponteng atau tidak, dikehendaki balik bekerja semula. 

En. Ng faham akan penerangan saya dan berkata yang lepas tu lepaslah dengan makna dia tidak mahu bersusah payah mendapatkan 'time slip' tertunggak, tetapi akan mendapatkannya di lawatan seterusnya ke IJN.  Saya pun mencetak borang yang patut digunakan olehnya dan kerana dia bertaraf Pesara Persekutuan dengan kod AP di Kad Pesara, dia kena serahkan permohonan ke Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP di Cyberjaya. 

Selain dari 'time slip' saya beritahu En. Ng untuk melampirkan salinan surat rujukan dari mana-mana klinik atau hospital kepada IJN. Dia berkata itu dia ada sambil menunjukkannya kepada saya. 

Tidak sampai sebulan selepas itu En. Ng datang semula berjumpa saya dengan membawa satu surat dari KWAP yang menolak permohonannya. Penolakannya ialah kerana pihak KWAP mahu dia melampirkan saliran rujukan dari hospital di mana dia tinggal, iaitu Port Dickson.

En. Ng menerangkan dia tiba-tiba sakit dada semasa bercuti di Pulau Pinang beberapa tahun yang lalu. Dia terus pergi ke satu hospital swasta di sana di mana dia didapati mempunyai masalah jantung. Doktor di hospital itu terus merujuknya ke IJN. En. Ng berkata dia tidak pernah pergi ke mana-mana hospital di Port Dickson dan bertanya saya apa yang harus dia buat. Saya jawab akan deraf surat untuk dia tandatangan dan hantar ke KWAP. Sambil itu saya akan tanda tangan satu surat iringan untuknya. 

Baru-baru ini saya tanya En. Ng adakah dia menghadapi apa-apa masalah lagi dalam tuntutan perjalanannya ke IJN? Dia jawab tak ada. Saya merasa syukur.