Tuesday, December 18, 2018

Nyaris-nyaris tidak dapat ke Japan.


Petang semalam saya pergi ke satu kedai yang diberi nama 'Jalan Jalan Japan'. Ia menjual barang-barang yang 100% diimpot dari Japan, walau pun kebanyakannya sudah digunakan. Saya tidak pasti sama ada ia memerlukan lesen dari Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerana setahu saya mereka melesenkan perniagaan barang-barang 'second hand' sebagai 'BARANG-BARANG LUSUH'.

Melihat barang-barang yang dijual di kedai itu mengimbau ingatan saya pernah berlatih di Japan selama enam minggu di tahun 2004. Semasa itu cucu pertama saya Danial sedang nakal senakalnya, cucu kedua Haziq baru hendak berjalan dan cucu ketiga Fahim baru berumur dua bulan. Sebenarnya saya nyaris-nyaris tidak dapat pergi ke sana kerana beberapa halangan pada mulanya.

Setahun sebelumnya, di tahun 2003 jabatan saya Majlis Perbandaran Seremban atau MPS telah memilih seorang kawan saya (dia baru meninggal dunia beberapa minggu lepas) untuk pergi ke latihan yang sama, di tempat yang sama iaitu Fukuoka, Japan. Latihan dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency atau JICA. Tentulah saya merasa kecewa kerana tidak dipilih.

Di tahun 2004 MPS mendapat seorang Yang Di Pertua (YDP) baru bernama Jaafar Atan, seorang pegawai Kerajaan Persekutuan yang dipinjamkan. Memang dari dulu hingga sekarang semua YDP MPS terdiri dari pegawai Kerajaan Persekutuan yang dipinjamkan. 

Satu petang, tiba-tiba boss saya menalipon saya (yang berada di luar pejabat semasa itu) dan memberitahu jika ingin ke Japan sila balik sekarang dan pergi ke unit perkhidmatan. Saya pun segera balik dan mendapat tahu boss saya telah berbincang dengan YDP yang memilih saya untuk pergi ke latihan yang sama di Fukuoka itu. 

Setelah meneliti surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) saya ternampak satu halangan. Halangannya ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ditawarkan tempat untuk latihan ini dikehendaki membiayai tambang kapalterbang. Ini berbeza dengan latihan-latihan JICA sebelumnya yang dibiayai penuh oleh mereka. 

Menyedari polisi MPS tidak akan mengeluarkan belanja untuk apa-apa kursus atau latihan di luar negara, saya majukan perkara ini kepada boss saya. Dia terus memberi jawapan yang mengecewakan iaitu 'Kalau MPS kena bayar apa-apa, tak bolehlah'. 

Bila saya tunjukkan kepadanya yang YDP telah memutuskan secara hitam putih bahawa saya dikehendaki pergi, barulah boss saya menjawab 'Kalau macam tu cubalah'. Saya pun mengisi borang-borang yang diperlukan oleh JPA.

Di masa itu tidak terlintas di hati saya bahawa apabila bersara nanti saya akan sering berurus dengan JPA.

Kemudian saya juga berurus dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JICA Malaysia yang berpejabat di bangunan Citibank di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan akhirnya menguruskan visa di Kedutaan Japan, juga di Kuala Lumpur.

Di hari-hari terakhir sebelum pemergian, KPKT telah memberi jadual penerbangan. Tujuannya supaya kami yang dipilih iaitu tujuh orang semuanya, pergi bersama. Jadualnya ialah seperti berikut: Pergi dari KLIA (KUL) ke Kansai, Osaka (KIX) dengan MAS, kemudian dari Kansai (KIX) ke Fukuoka (FUK) dengan All Nippon Airways (ANA). Balik (enam minggu kemudian) dari Fukuoka ke Narita (NRT) dengan ANA, kemudian dari Narita ke KLIA dengan MAS.

Masalah yang saya dan empat lagi sahabat saya hadapi ialah tiket untuk kelas ekonomi, iatu kelas taraf kami untuk perjalanan dari KLIA ke Kansai telah habis dijual. Yang tinggal hanya tiket kelas 'business'. Yang dua orang lagi itu tidak ada masalah kerana mereka layak untuk kelas 'business'. Untuk itu, kami diminta mendapatkan kelulusan dari jabatan untuk kenaikan taraf tiket.

Ini yang membimbangkan saya. Saya sudah melanggar satu syarat MPS yang tidak membolehkan mereka berbelanja apa-apa jika seseorang pegawai hendak berkursus di luar negara. Kali ini saya dikehendaki melanggar satu lagi syarat iaitu menaiki kelas kapalterbang bukan setaraf saya. Saya memutuskan untuk berjumpa dengan YDP MPS.

Saya tahu YDP, seperti saya, tiba awal ke pejabat, dalam jam 7.30 pagi. Di satu pagi setelah 'punch card' saya terus menunggu di pejabatnya. Sesampainya dia, saya terus terangkan masalah saya. Dia terus meminta Setiausaha MPS yang bernama Yunus (dan yang kami panggil Es Yu untuk SU) berjumpanya di masa itu juga. En. Yunus juga dipinjamkan dari Kerajaan Persekutuan. Syukur juga SU yang juga tiba awal, ada di pejabatnya.

Berdebar jantung saya ketika itu. Bagaimana jika YDP bertanya SU layakkah saya dinaiktaraf kelas kapalterbang? Bagaimana jika SU menjawab 'tidak' untuk mencari jalan mudah (seperti yang diamalkan oleh MPS selama ini). Melepaslah peluang saya untuk ke Japan. Saya terfikir sanggup membayar perbezaan tambang kapalterbang tersebut.

Tetapi apa yang terjadi kemudian mengejutkan saya. YDP tidak bertanya apa-apa kepada SU. Sebaliknya dia memberi arahan berbunyi lebih kurang "Es Yu, saya sudah pilih En. Maarof pergi ke Jepun. Saya difahamkan dia ada masaalah kelas kapalterbang. Saya hendak dia pegi tanpa halangan. Kalau kita (MPS) kena bayar lebih (untuk naik taraf kelas), aturkan bayaran". Saya tidak dapat berkata apa-apa melainkan mengucapkan terima kasih kepada YDP dan SU.

Walau bagaimana pun, MPS membuat sedikit kesilapan yang menguntungkan saya. Sebenarnya tiket kelas ekonomi yang sudah habis ialah untuk perjalanan pergi dari KLIA ke Kansai. Untuk perjalanan balik yang sepatutnya melalui Narita, tiket kelas ekonomi masih ada. Tetapi MPS telah menempah tiket kelas 'business' untuk saya dari Kansai ke KLIA.

Untuk pengetahuan, di perjalanan antara KLIA dengan Kansai dan balik saya menaiki pesawat Airbus A330 MAS. Antara Kansai dengan Fukuoka semasa pergi, Airbus A320 ANA. Antara Fukuoka dengan Kansai semasa balik Boeing 737-400 ANA.

Akhirnya dapat juga saya pergi ke Japan dengan bonus menaiki kapalterbang kelas 'business'.


Penutup: 

Dalam perjalanan pulang, semasa menunggu di 'Business Lounge' di Kansai (KIX) saya berbual dengan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang hendak balik selepas tamat berseminar di Osaka. Bila saya katakan hendak balik setelah berkursus mengenai pengurusan sampah di Fukuoka, dia bertanya tentu saya belajar mengenai 'incinerator' atau tempat pembakaran sampah. Saya jawab ya, malah saya sudah masuk dan menerima latihan di satu 'incinerator'.

Saya hairan kenapa dia bertanya begitu. Kemudian dia bercerita nampak satu bangunan luar biasa di depan hotel di mana dia menginap di Osaka. Dia tertanya-tanya bangunan apakah itu? Ia seolah-olah macam satu kasino.

Akhirnya semasa dia hendak 'check-out' dari hotel pagi tadi dia telah bertanya kepada seorang pekerja hotel, bangunan apakah itu? Pekerja hotel itu menjawab itu ialah sebuah 'incinerator'.

Sekian.

Saturday, December 15, 2018

Malangnya ada yang tidak mahu ikut perubahan.




Beberapa minggu lepas semasa merasmikan mesyuarat agung satu kesatuan sekerja, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah meminta supaya rakyat Malaysia 'tidak tertinggal apabila berlakunya perubahan teknologi'. Itulah yang saya amalkan selama ini. 

Pada tahun 2004 saya dihantar berlatih di bandar Fukuoka, Jepun bersama enam rakan-rakan dari Malaysia. Kami bergerak ke mana-mana dengan satu bas kecil. Satu hari dalam perjalanan balik ke hotel, bas terperangkap dalam satu kesesakan lalulintas. Tiba-tiba television di depan bas yang selama ini menunjukkan siaran television Jepun menunjukkan peta di mana kami berada. Ditunjukkan juga arahan untuk kami keluar dari kesesakan itu.

Saya perhatikan ada monitor kecil depan pemandu dengan visual yang sama. Dia menyambungkan vusual itu kepada kami supaya dia boleh berbincang dengan kawan-kawan Jepun kami di dalam bas laluan mana yang perlu diikut. Dengan cara itu kami dapat balik ke hotel dengan selamat.

Setelah balik ke Malaysia saya pun mencari jika alat serupa ada dijual di sini. Ada rupanya dan saya sudah ketinggalan zaman. Alat itu dipanggil GPS Navigator dan saya pun membeli satu. Saya yang selama ini memandu berpandukan peta telah beralih kepada alat itu. Sekarang saya mempunyai pilihan sama ada menggunakan alat tersebut atau pun telefon pintar saya yang juga mempunyai program yang serupa.

Itulah satu contoh saya tidak mahu ketinggalan apabila berlakunya perubahan teknologi. Saya juga meggunakan kaedah yang sama semasa bekerja dulu dan semasa bekerja semula sekarang di satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO.

Sebagai contoh saya menggunakan komputer sepenuhnya. Semasa bekerja dulu saya menaip dan mencetak surat-surat, aduan mahkamah dan kertas pertuduhan mahkamah di komputer yang dibekalkan oleh jabatan. Sedangkan boss dan kawan-kawan sebaya saya menulis deraf atas kertas dan meminta jurutaip menaip dan mencetaknya.

Tetapi tindakan saya itu tidak dihargai sepenuhnya. Beberapa tahun sebelum saya bersara saya menjalani satu temuduga naik pangkat dan lawan saya cuma seorang sahaja. Semasa berbincang dengan seorang pemandu sebelum itu dia berkata dia yakin saya akan berjaya di temuduga itu. Bila saya tanya kenapa dia befikir begitu jawapannya saya tahu komputer sedangkan lawan saya tidak.

Saya jawab itulah masalah yang saya hadapi kerana boss kami pun buta komputer. Sangkaan saya betul dan lawan saya yang buta komputer itu dinaikkan pangkat. Untuk pengetahuan, lawan saya itu meninggal dunia beberapa minggu lepas setelah sakit sekian lama. Al Fatihah. 

Rupa-rupanya masalah saya dengan jabatan saya dulu belum selesai lagi selepas saya bersara. Salah satu tugas saya di NGO sekarang ialah menyemak permohonan bantuan perubatan dari ahli-ahli yang semuanya pesara. Kemudian tibalah masanya untuk saya memohon sendiri bantuan serupa apabila saya menghantar isteri saya untuk pemeriksaan dan rawatan di Institut Jantung Ngara (IJN) di Kuala Lumpur. 

Mengikut Akta Pencen taggungjawab tuntutan perubatan kepada pesara-pesara Persekutuan seperti guru, polis dan kakitangan kesihatan adalah Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Tetapi untuk pesara Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT seperti saya ia jatuh kepada PBT berkenaan.

Dari itu saya pun membuat tuntutan perjalanan dengan memandu sendiri (dengan kod MS di borang tuntutan) kepada Majlis Perbandaran Seremban atau MPS di mana saya bekerja dulu. Alangkah terperanjatnya saya bila diberitahu kami pesara tidak dibenarkan menuntut melalui kod MS. Kami hanya boleh menuntut tambang bas dan teksi dengan kod BT.

Saya terus mengamuk dan menyatakan saya telah membuat perjalanan sebenar dengan mengemukakan resit tol dan letak kereta sekali. Jika saya dapatkan resit teksi atau bas sekarang, bermakna saya menipu. Kemudian saya tinggalkan segala dokumen saya kepada mereka dan terpulanglah untuk mereka untuk berbuat apa-apa. 

Beberapa hari kemudian saya diberitahu permohonan tuntutan perjalanan saya dengan kaedah memandu sendiri atau MS diluluskan. Dari hari itu juga MPS telah mengubah polisi mereka dengan membenarkan pesara mereka menuntut bantuan perjalanan perubatan dengan memandu kereta sendiri.

Saya bersyukur kerana bukan sahaja semasa bekerja dulu saya telah banyak membuat perubahan di jabatan saya  kerana  tidak mahu 'tertinggal apabila berlakunya perubahan teknologi'. Setelah bersara pun saya melakukannya. 

Malangnya masih ada mereka yang tidak mahu ikut perubahan.

Tuesday, December 11, 2018

Tidak tahu berniaga tetapi nak ajar orang lain berniaga - Bahagian 3


Saya ingin menutup pos saya yang bertajuk 'Tidak tahu berniaga tetapi nak ajar orang lain berniaga' ini dengan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Seremban atau MPS.

Pagi tadi saya pergi ke MPS untuk membayar lesen perniagaan kawan baik saya. Saya telah menolong membayar lesen kawan saya ini sejak saya bekerja lagi. Beberapa hari lepas saya telah pergi ke kedainya untuk mendapatkan satu cek dan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pembaharuan lesen.

Apabila saya pergi ke kaunter jabatan lama saya iaitu Jabatan Pelesenan dan Pembersihan Bandar, kakitangan di kaunter itu bertanya adakah saya inginkan PATIL LESEN baru? Untuk pengetahuan pembaca, PATIL LESEN berbentuk satu fail di mana lesen boleh disimpan seperti gambar di atas. Ia mempunyi lubang kecil di bahagian atas untuk menyangkutnya di dinding.

Saya terperanjat dengan soalan itu kerana selama ini PATIL LESEN diwajibkan dibaharui setiap tahun dengan kos tambahan RM 5.00. Ini adalah tambahan kepada bayaran lesen yang berbeza untuk setiap jenis lesen. 

Mulai sekarang setiap pelesen MPS diberi pilihan sama ada hendak membaharui PATIL LESEN ini.  Ia cuma diwajibkan untuk lesen-lesen baru. Tetapi oleh kerana kawan saya itu telah menyediakan cek yang termasuk harga PATIL tersebut, saya terpaksa membeli yang baru untuknya.  

Saya telah berkali-kali menyuarakan kepada MPS supaya PATIL LESEN ini tidak payah diganti setiap tahun. Ia boleh digunakan untuk berpuluh tahun lamanya jika dijaga dengan baik. PATIL LESEN lama yang tidak diperlukan lagi, walau pun masih baik, akan menjadi sampah sahaja. 

Cuba bayangkan berapa banyaknya sampah yang dihasilkan dari PATIL LESEN yang dibuang begitu saja setiap tahun. Yang peliknya MPS juga menguruskan pelupusan sampah selama ini, sehingga tugas itu diambil alih oleh SWCorps beberapa tahun yang lalu.

Mungkin MPS akan menyatakan idea tidak perlu membaharui PATIL LESEN ini datangnya dari orang lain dari saya. Saya ingin nyatakan sekali lagi di sini bahawa idea itu telah saya majukan berpuluh tahun yang lalu. Itu juga merupakan salah satu dari banyak idea yang saya majukan kepada MPS, ada yang diterima dan ada yang tidak.   

Sekian.

Friday, December 7, 2018

Tidak tahu berniaga tetapi nak ajar orang cara berniaga - Bahagian 2


Saya ada seorang sepupu yang menjadi orang kuat satu persatuan penjaja dan peniaga kecil di negeri Selangor. Katanya dia selalu menjadi ahli panel temuduga untuk memilih peniaga-peniaga untuk  mengisi gerai-gerai kepunyaan Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT di negeri itu.

Mengikutnya PBT di Selangor berbuat demikian kerana memikirkan orang kuat persatuan sepertinya tentu tahu siapa yang betul-betul boleh berniaga. 

Saya pernah mengemukakan cadangan kepada jabatan saya Majlis Perbandaran Seremban atau MPS supaya mengikut apa yang dibuat di Selangor. Tetapi cadangan saya ditolak. MPS menganggap persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil sebagai parti pembangkang. Bagi mereka mana boleh parti memerintah duduk semeja dengan parti pembangkang?

Panel temuduga untuk mengisi gerai-gerai kosong terdiri 100% dari Ahli-ahli Majlis dari parti-parti politik kerajan semasa. Sebenarnya temuduga tersebut sabagai syarat sahaja. Di akhir temuduga setiap ahli panel akan mengemukakan nama-nama pilihan mereka yang tidak langsung berasaskan kepada apa yang dipersembahkan oleh pemohon-pemohon semasa temuduga.

Calon-calon yang terpilih ada yang langsung tidak pernah menjalankan perniagaan. Contoh yang terbukti dapat dilihat di kompleks yang dipanggil Kompleks Penjaja Ampangan di Ampangan, Seremban. Salah satu sebab mengapa kompleks itu menjadi gajah putih ialah kerana pemilihan peniaga yang tidak betul. 

Di sini saya berharap PBT di Negeri Sembilan yang sekarang ditadbir oleh satu kerajaan baru tidak mengamalkan apa yang dilakukan oleh kerajaan lama sebelum ini.

Bersambung.......

Thursday, December 6, 2018

Tak tahu berniaga tetapi nak ajar orang cara berniaga - Bahagian 1.

Saya tertarik dengan dua pesanan Y.A.B. Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia baru-ini. Pertama, beberapa minggu lepas dia meminta supaya jabatan-jabatan kerajaan tidak terlibat dengan perniagaan.  Kedua, baru semalam semasa berucap dengan kesatuan sekerja pekerja-pekerja Pos Malayis dia meminta supaya rakyat Malaysia 'tidak tertinggal apabila berlakunya perubahan teknologi'. Saya ingin menyetuh pesanan pertama Tun di sini. Pesanan keduanya akan saya sentuh kemudian. 

Berpuluh tahun dahulu satu kumpulan peniaga membuat satu cadangan kepada jabatan di mana saya bekerja, iaitu Majlis Perbandaran Perbandaran atau MPS. Cadangan mereka ialah untuk memajukan satu kawasan di tempat yang dipanggil Lobak di Seremban. Selepas ini saya akan menyebut kumpulan peniaga  itu sebagai 'konsortium'.

Di tapak cadangan terdapat rumah-rumah kerajaan kelas rendah yang didiami oleh pekerja-pekerja Majli Perbandaran Seremban dan Jabatan Kerja Raya, antara lain. Rancangan konsortium ini ialah untuk mendirikan rumah-rumah flet empat tingkat di tapak tersebut. 

Sementara itu mereka telah mendirikan bangunan-bangunan sementara di atas satu padang permainan sebagai penempatan kepada mereka yang kediamannya dirobohkan. Apabila rumah-rumah flet siap penghuni-penghuni sementara ini akan berpindah ke premis baharu. Sudah tentulah mereka dikehendaki membeli flet-flet tersebut.   

Selang beberapa tahun, konsortium memutuskan tidak sanggup meneruskan projek tersebut. Mereka pun memberitahu MPS secara rasmi akan perkara ini. Apabila ditanya oleh satu akhbar berbahasa Inggeris mereka menjawab 'This project is not viable' atau 'Projek ini tidak berdaya maju'

Kenyataan 'This project is not viable' telah menimbulkan kemarahan beberapa pegawai atasan MPS. Disamping menerima keputusan pahit yang konsortium tidak mahu meneruskan projek, MPS meminta konsortium membuat kenyataan baru bagaimana projek itu boleh menjadi 'viable' atau berdaya maju. Mereka telah membuatnya walau pun mereka tahu apa yang  mereka tulis atau meminta ditulis tidak akan memberi apa-apa kesan.

Konsortium terdiri dari orang-orang yang selama ini terlibat dengan perniagaan. Mereka tahu apa yang mereka buat itu 'viable' atau tidak. Dalam kes ini mereka tahu projek rumah flet itu tidak  'viable'. 

Lain pula kisahnya dengan MPS. Kami ialah satu jabatan kerajaan dan sepatutnya perkataan 'viable' tidak ada dalam vokabulari kami. Kami memberi perkhidmatan kepada pembayar cukai dan gaji kami dibayar dari cukai-cukai tersebut. Itu sahaja.

Dalam kes flet ini walau pun konsortium tersebut yang tahu selok belok perniagaan menyatakan projek itu tidak 'viable', MPS pula yang tidak tahu akan selok belok perbiagaan menyatakan projek itu 'viable'. 

MPS kemudian mengambil alih projek itu dan secara langsung terlibat dengan perniagaan. Akibatnya saya mendapat tahu MPS kerugian berpuluh juta ringgit dalam projek tersebut. Pegawai yang berkeras mengatakan projek itu 'viable' adalah dipinjamkan dari Kerajaan Persekutuan. Setelah kontraknya tamat dia dipulangkan kembali kepada Kerajaan Persekutuan dengan ucapan terima kasih walau pun dia telah menyebabkan MPS kerugian berjuta ringgit.

Bersambung.......